Featured Post

Kenapa Singapura Lebih Maju?

Sudah beberapa hari berlalu sejak negara jiran kita iaitu Singapura menyambut Hari Kemerdekaannya yang ke-50 pada 9 Ogos yang lalu. Nam...

Thursday, September 17, 2009

Melayu Islam di Selatan Myanmar

Berdasarkan catatan Haji Mohd. Hashim (http://www.ibnuhashim.com/) yang telah ke selatan Myanmar sepuluh tahun dahulu. Beliau telah melintasi sempadan melalui laut dari Ranong, Thailand ke daerah Kawthoung, di dalam wilayah Tanintharyi, semenanjung Selatan Myanmar. Ketika era pemerintahan British, nama kawasan ini dikenali sebagai Victoria Point. Penduduk Melayu Islam tempatan pula memanggil tempat mereka ini sebagai Pulau Dua. Penduduk Melayu Islam di sini bertutur dalam Bahasa Melayu dialek Kedah.



Semasa kunjungannya, Haji Mohd. Hashim turut singgah di sebuah pulau bernama Ping Gai, dalam Bahasa Melayu bermaksud ‘Tempayan Pecah’. Pulau tersebut bersempadan dengan Kawthoung, Myanmar, dan terletak di dalam negara Thai. Menurut Penghulu pulau tersebut, ahli keluarganya yang bernama Tok Adam mula-mula meneroka pulau itu kira-kira ratusan tahun yang lalu. Tok Adam berasal dari Negeri Kedah. Disebabkan itulah, penduduk di sini bertutur dalam Bahasa Melayu loghat Kedah dan beragama Islam. Tiada orang Thai yang beragama Buddha di sini. Begitu juga keadaannya di Pulau Tongtong yang terletak bersempadan di dalam negara Myanmar.


Baru-baru ini, Haji Mohd. Hashim telah kembali ke Kawthoung. Dengan bantuan seorang pemandu motosikal tambang bernama Muhammad Yusof, berketurunan Pusto-Myanmar, yang memeluk Islam di zaman remajanya dan kemudian mengahwini gadis Melayu Myanmar tempatan, Haji Mohd. Hashim telah dibawa ke Kampung Melayu Dua Batu. Nama sebenar kampung ini ialah Kampung Batu Ke 2. Mereka bertolak dari pekan Pulau Dua (Kawthoung) dengan bermotosikal melalui jalanraya hingga ke Dua Batu, menuruni bukit arah pantai dan menyusup di celah-celah rumah orang Melayu. Keadaannya sama seperti rumah-rumah tradisional lama orang Kedah, berselerak dan tidak teratur di atas pasir putih pantai. Melintasi beberapa kawasan perigi tempat mandi, ramai wanita-wanita dan gadis masih mandi berkemban. Menurut maklumat penduduk tempatan, terdapat kira-kira 100 buah rumah milik masyarakat Melayu-Islam di kampung ini dan masih mengamalkan gaya hidup orang Melayu.







Haji Mohd. Hashim kemudian telah ke Pulau Tongtong yang terletak berhampiran dengan Pulau Dua. Jika semasa kunjungannya dahulu, tiada orang bukan Islam di pulau ini, tetapi keadaan kini telah berubah. Sebuah tambak tanah merah kecil yang berdindingkan batu-bata dan kayu bakau yang dipacak telah dibina bagi menghubungkan pulau ini. Sesampai ke pulau, beliau melawat kampung-kampung Melayu. Ramai penduduk berketurunan Melayu-Islam yang merupakan penduduk asal di sini. Walaubagaimanapun, ramai juga orang Myanmar yang bukan Islam telah berpindah dan tinggal di sini.

Di hujung pulau, Kerajaan Myanmar telah membuat kawasan peranginan di tepi pantai, kedai makan, rumah dan bilik-bilik sewa. Di sini, banyak pelacur dibawa dari kawasan utara. Para pelanggan pula merupakan orang-orang yang datang dari Yangon dan kawasan di utara daerah ini, bukannya masyarakat tempatan. Jelas pembangunan yang dilaksanakan telah menghambat orang Melayu tempatan. Mereka cuba menggugat agama anutan masyarakat Melayu tempatan. Mereka cuba menutup pengaruh orang luar kepada rakyat tempatan. Jika dulu tiada orang bukan Islam di sini, keadaanya telah menjadi sebaliknya.

Perjalanan Haji Mohd. Hashim kemudian diteruskan ke rumah Ustaz Haji Mohd Yusof yang terletak di Kampung Sepuluh Batu. Kampung yang di bawah pohon-pohon nyiur melambai-lambai, di atas tanah pasir putih bersih di tepi laut dengan rekabentuk rumah papan tradional orang Melayu. Menurut Ustaz Haji Mohd Yusof, sebelum bandar Pulau Dua yang ada sekarang menjadi pusat pemerintahan wilayah Kawthoung di Myanmar, pusat pemerintahannya adalah di Malay One, yang terletak beberapa batu daripada pekan Pulau Dua. Nama "Malay One" telah diberikan oleh pihak Inggeris yang menunjukkan pemerintah Inggeris mengiktiraf masyarakat Melayu yang telah wujud di sini.

Menurutnya lagi, rumah dan tanah tempat tinggal mereka di pesisir pantai ini merupakan warisan turun temurun nenek moyang mereka dari bangsa Melayu. Akhir-akhir ini, terdapat cubaan untuk menukar nama-nama tempat di sana daripada Bahasa Melayu kepada nama dalam Bahasa Myanmar. Antara nama-nama tempat yang menggunakan nama Melayu adalah Pulau Dua, Pulau Tongtong (binatang seakan penyu), Sungai Gelama (ikan), Sepuluh Batu, Kepala Batu, Tanjung Badai, Pasir Panjang, Malay One, Cham Prong (dalam Bahasa Siam bermaksud 'Seekor Gajah', dihuni masyarakat Melayu Thai), Teluk China, Teluk Besar, Mek Puteh (nama wanita Melayu), Sungai Balai, Pulau Balai, Pulau Cek Ali (Nama lelaki Melayu Islam), Tanjung Peluru, Teluk Peluru, Tanjung Gasi, Pulau Rotan Helang, Pulau Senangin dan banyak lagi.

Haji Mohd. Hashim kemudian di bawa berjumpa Ustaz Mohd Syafie, Imam Masjid Jannatun Naim, Kampung Sepuluh Batu, Pulau Dua. Rumahnya hampir sama gayanya dengan rumah Ustaz Mohd Yusof dan penduduk-penduduk Melayu Islam lain di situ. Menurut Ustaz Mohd Syafie, masyarakat Melayu Islam di sini agak terpinggir kerana tidak diiktiraf sebagai rakyat negara Myanmar. Nasib status masyarakat Melayu di sini adalah sama sahaja sebagaimana nasib Kaum Rohingya. Dalam kebanyakan program Pemerintah Myanmar, mereka tidak pernah memasukkan bangsa Melayu dalam senarai sebagai rakyat mereka sebagaimana kaum Karen, Myanmar, Siam, Mon, Kaya, Kecin, Chea dan sebagainya.

Ustaz Mohd Syafie menyatakan masyarakat Melayu Islam di Myanmar bukan sahaja menjadi rakyat yang taat, mengikut Pemerintah sebagai rakyat yang baik, bahkan pernah bersama-sama membantu memperjuangkan kemerdekaan negara Myanmar. Pahlawan agung negara Myanmar iaitu Aung San atau dipanggil juga Bucu Asa merupakan tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan negara itu. Aung San juga merupakan ayah kepada Suu Kyi, seorang pejuang demokrasi Myanmar yang terkenal dan Aung San telah terkorban semasa Suu Kyi masih berumur 2 tahun. Orang kuat atau tulang belakang kepada Aung San adalah Abdul Razak, seorang Melayu beragama Islam yang merupakan rakyat tempatan Myanmar. Jelas Bangsa Melayu Islam telah menabur bakti dalam memperjuangkan membebaskan dan kemerdekaan Myanmar.

Baru-baru ini, penduduk Melayu-Islam di sini telah membuat majlis pertemuan dengan Duta Malaysia di Myanmar. Tuan Duta itu terkejut apabila melihat ramai dan banyaknya kampung-kampung Melayu di sini. Ramai masyarakat Melayu Islam di sini yang masih berhubungan dengan negara Malaysia. Dan anak Ustaz Mohd Syafie juga ada yang berkahwin dengan pemuda Malaysia.

7 comments:

  1. salam.. saya gembira sangat akhir ada juga rakyat malaysia sampai juga di kampung halaman saya Pulau Dua@Kawthoung. tapi sayangnye en. hasim tidak ketemukan dgn org yg betul2 mengetahui asal usul pulau dua di sana. di sana ada ramai lg orang melayu tinggal di sana. kebanyakan mereka tinggal di kawasan pendalaman seperti 9 batu, 10batu, sungai balai, di kawasan bandar pula, jalan pasar (rumah sebelah masjid 3 tingkat), jalan tengah@phiya lan(rumah depan masjid, rumah tepi masjid phiya lan), pedaut lan (jalan pokok sena)dll. ini semua adalah rumah orang melayu. walaupun mereka ada rupa mamak, tp mereka fasih berbahasa melayu ala ala kedah. untuk maklumat lanjut asal usul pulau dua@ gambar lama lama pulau dua sila hubungi saya mohamad.83@gmail.com

    ReplyDelete
  2. Bagaimana agaknya Tok Adam yang berasal dari Kedah boleh berhijrah ke sana?

    ReplyDelete
  3. bolehkah saya dapat serba cikit mengenai sosioekonomi masyarakat Melayu Islam disana??

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mohon maaf saudara sebab maklumat tu saya masih belum ada..

      Delete
  4. Salam..mcmmn kalau mahu ke sana..tq

    ReplyDelete
  5. jom naik atas lagi sampai pulau johor khutbah jumaat pun cakap melayu kedah sy dah sampai sana kat bokpyin pun ada orang melayu juga

    ReplyDelete
  6. entah kenapa rasa sayu dan sebak baca cerita cerita melayu yang tinggal di thailand kemboja vietnam dan myanmar. terasa seperti berjumpa semula dgn saudara yang lama berpisah

    ReplyDelete