Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Monday, September 28, 2009

Sultan Sarawak Darul Hana

Tidak, artikel ini bukannya ingin membicarakan tentang Raja-raja Brooke yang pernah memerintah Sarawak, tetapi mengenai seorang Pengiran (Putera/Tengku) dari Brunei yang pernah menjadi Sultan di Sarawak. Sememangnya sejarah yang diajar di sekolah-sekolah pada hari ini hanya memfokuskan kepada sejarah Rajah Putih Sarawak tanpa langsung menyebut bahawa seorang sultan pernah memerintah negeri tersebut.





Lebih kurang 200 tahun sebelum Dinasti Brooke menjadi Rajah Putih di Sarawak, Sarawak asalnya berada di bawah wilayah kawalan Kesultanan Brunei. Tidak banyak yang diketahui bagaimana Sarawak ditadbir oleh Kesultanan Brunei pada masa tersebut, tetapi berkemungkinan seorang yang setaraf dengan Gabenor pada hari ini diletakkan di kawasan tersebut. Sarawak pada masa lalu tidaklah seluas seperti pada hari ini, tetapi hanya meliputi lebih kurang sekitar wilayah Kuching dan Santubong sahaja.







Apabila Paduka Sri Sultan Muhammad Hassan ibni al-Marhum Sultan Saif ul-Rijal Nur ul-Alam , Sultan Brunei ke-sembilan yang memerintah pada tahun 1582 hingga 1598 mangkat, takhta pemerintaha telah jatuh kepada Putera sulungnya yang kemudian bergelar Paduka Sri Sultan 'Abdu'l Jalil ul-Akbar ibni al-Marhum Sultan Muhammad Hassan. Sultan Abdul Jalilul Akbar mempunyai seorang adinda (adik) bernama Pengiran Muda Tengah Ibrahim Ali Omar Shah atau lebih dikenali sebagai Raja Tengah.

Menurut sumber lisan, Pengiran Muda Tengah turut berkeinginan untuk menjadi Sultan Brunei. Baginda membantah dengan menyatakan abangnya lahir ketika ayahandanya belum menjadi Putera Mahkota, sedangkan dia lahir ketika Sultan Muhammad Hassan dilantik sebagai Putera Mahkota. Pengiran Muda Tengah berpendapat, baginda lebih layak untuk menjadi Sultan berbanding abangnya. Sultan Abdul Jalilul Akbar adalah seorang yang bijak. Dia memahami maksud adindanya itu dan cuba memenuhi keinginan adindanya. Jalan penyelesaian untuk Sultan Abdul Jalilul Akbar adalah dengan melantik Pengiran Muda Tengah sebagai Sultan di tempat lain. Dengan itu, Pengiran Muda Tengah telah diangkat sebagai Sultan Sarawak, kerana Sarawak ketika itu merupakan salah satu wilayah Brunei.

Menurut Salsilah Raja-Raja Brunei, Pengiran Muda Tengah berkenan menerima perlantikan tersebut dan baginda membuat persiapan untuk pergi ke Sarawak dengan ditemani oleh lebih daripada 1,000 perwira dari kaum Sakai, Kedayan and Pulau Bunut. Beberapa golongan bangsawan turut berangkat bersamanya untuk membantu baginda mengurus sebuah negeri baru. Kebanyakan daripada mereka merupakan nenek moyang kepada masyarakat Melayu di Sarawak pada hari ini.

Di Sarawak, Sultan baru dan anak buahnya mula membina sebuah istana dan benteng untuk mempertahankan istananya. Sultan Tengah kemudian melantik orang-orang besarnya. Antaranya ialah Patinggi Datuk Seri Setia, Indera Wangsa Shahbandar Datu, Datu Amar Setia Di-raja dan Datuk Temenggong Laila Wangsa. Setelah semuanya selesai, Sultan Tengah mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Ibrahim Ali Omar Shah, Sultan Sarawak yang pertama. Menurut Sejarah Sambas, Sultan Tengah juga dikenali dengan nama Sultan Abdul Jalil. Dikatakan pada masa inilah negeri ini digelar sebagai Sarawak Darul Hana.

Sekitar tahun 1599, Sultan Tengah melawat Pahang yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada taklukan Kerajaan Johor, untuk melawat Raja Bonda yang merupakan ibu saudara Sultan Tengah yang telah berkahwin dengan Sultan Abdul Ghafur Muhyiddin Shah ibnu Sultan Abdul Kadir Alauddin Shah. Semasa tinggal di sana, lama tinggal, Sultan Tengah telah diminta untuk menari. Tetapi semasa menari, saputangan teman tarian baginda hampir memukul wajah baginda. Baginda menjadi sangat marah hingga menyebabkan baginda menampar pasangannya. Insiden ini menyebabkan Sultan Johor menjadi sangat kecewa dan Sultan Tengah disarankan untuk meninggalkan Johor secepat mungkin.

Menurut versi Sejarah Sambas pula, Sultan Tengah terpaksa meninggalkan Johor kerana ia menolak tawaran Raja Bonda untuk mengahwini puteri Sultan Johor yang dikenali sebagai Encik Zohra. Semasa pelayaran untuk kembali ke Sarawak, kapal Sultan Tengah telah dilanda taufan yang menyebabkannya terkandas di Sukadana (Dalam wilayah Provinsi Kalimantan Barat, Indonesia, pada hari ini). Sukadana ketika itu diperintah oleh Penambahan Giri Mustika, Sultan Muhammad Saifuddin, yang baru sahaja memeluk Islam dan dibantu oleh Syeikh Syamsuddin dari Mekah. Sultan Tengah turut belajar di bawah Syeikh Syamsuddin selama baginda tinggal di sana. Semasa di Sukadana, Sultan Tengah telah berkahwin dengan salah seorang puteri Sukadana iaitu Puteri Surya Kesuma, yang merupakan adinda Sultan Muhammad Saifuddin.

Sultan Tengah tinggal di Sukadana dan meminta izin untuk membantu menyebarkan ajaran Islam di kawasan tersebut. Diputuskan baginda perlu melaksanakannya di Sungai Sambas. Maka pada sekitar tahun 1600, Sultan Tengah meninggalkan Sukadana melalui Sungai Sambas dengan diiringi 40 buah perahu yang lengkap bersenjata. Di Sungai Sambas, mereka mendarat di Kuala Bangun dan Puteri Surya Kesuma kemudiannya melahirkan seorang putera bernama Radin Sulaiman. Dua putera lain kemudian turut lahir. Putera kedua ini dikenali sebagai Pengiran Badaruddin yang kemudiannya bergelar Pengiran Bendahara Seri Maharaja sementara putera ketiga, Pengiran Abdul Wahab kemudiannya bergelar Pengiran Temenggong Jaya Kesuma.

Sultan Tengah akhirnya tiba di Pekan Lama. Di sana, baginda disambut oleh pemerintah Pekan Lama, Ratu Sepudak, yang menyambutnya mengikut adat istidat dan protokol Di-raja. Sultan Tengah mendapati Ratu Sepudak mengizinkannya untuk menyebarkan Islam di sekitar kawasan tersebut meskipun Ratu Sepudak bukan seorang Muslim. Semasa baginda tinggal di sana, putera sulung Sultan Tengah, Radin Sulaiman telah berkahwin dengan puteri Ratu Sepudak bernama Puteri Mas Ayu Bongsu. Pasangan ini mempunyai seorang putera bernama Radin Bima yang kemudian bergelar Sultan Muhammad Tajuddin.

Ketika Ratu Sepudak mangkat, baginda digantikan oleh Prabu Pengiran Radin Kenchana yang kemudiannya melantik Radin Sulaiman sebagai salah seorang pembesarnya. Dikatakan bahawa Ratu Sepudak mahu menyerahkan takhta kerajaan kepada Sultan Tengah memandangkan baginda mempunyai pengalaman menguruskan negara, tetapi cadangan tersebut telah ditentang oleh keluarga diraja yang lain. Sekitar tahun 1630, Sultan Tengah pergi ke Matan (Dalam wilayah Provinsi Kalimantan Barat, Indonesia, pada hari ini). Di Matan, baginda berkahwin dengan salah seorang Puteri Matan yang kemudian melahirkan Pengiran Mangku Negara. Pengiran Mangku Negara kemudiannya menjadi Sultan Matan.

Setelah beberapa tahun tinggal di Matan, Sultan Tengah kembali semula ke Sarawak. Setelah kembali ke Sarawak, baginda berhenti di suatu tempat bernama Batu Buaya, di Santubong. Di sanalah baginda dibunuh oleh salah seorang pengikutnya. Ketika berita kematiannya tersebar, Datu Patinggi, Datu Shahbandar, Datu Amar dan Datuk Temenggong datang ke Santubong untuk menyelesaikan upacara pengebumian mengikut tradisi Di raja Brunei. Dikatakan bahawa baginda mangkat pada tahun 1641, sekitar 10 tahun selepas anakanda baginda, Radin Sulaiman menjadi Sultan Muhammad Saifuddin I di Sambas. Sultan Tengah dimakamkan di Santubong, iaitu pada hari ini di Kampung Batu Buaya. Makam yang dibina berpadanan untuk menandakan kubur tersebut merupakan makam seorang Sultan.









Dengan kemangkatan baginda, Kesultanan Sarawak wujud dan berakhir hanya dengan seorang Sultan sahaja. Tetapi gelaran yang diberikan kepada golongan bangsawan di Sarawak masih kekal hingga ke hari ini.






Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Al-Mu'izzaddin Waddaulah ibni Almarhum Sultan Omar Ali Saifuddin, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melawat makam Sultan Tengah di Santubong pada bulan Ogos 2009



20 comments:

  1. Tahniah atas artikel ini. Memang amat kurang cerita2 atau maklumat sejarah tentang kesultanan di Borneo ini. Dalam buku teks

    sekolah pun hanya menyebut pasal kisah raja beruk putih Sarawak tu aje! Selain kesultanan Brunei, banyak lagi kerajaan lain

    yang tidak banyak diketahui sejarahnya seperti kesultanan Sulu, Pontianak dan Banjar di Selatannya.

    Berkenaan artikel tuan ini izinkan saya berkongsi persoalan dan cerita. Adakah Paduka Seri Sultan Muhammad Hassan Brunei ini

    sama orangnya dengan Tengku Syed Hassan iaitu salah seorang putera kepada Babur Monggol/Mughal yang telah diutuskan ke Borneo

    untuk ditabal sebagai raja di sana?

    Kalau menurut anai2, nama SANtubong adalah sempena nama Tengku Syed HasSAN...Selain itu ada seorang lagi putera Babur yang

    bongsu dan diutus ke sana untuk ditabal sebagai Sultan Brunei bernama Pinggiran Mustafa...

    Dalam pembacaan saya, nama pinggiran Mustafa ini tidak ada dalam silsilah Kesultanan Brunei. Tapi tak tahu la pula kalau

    baginda ada guna gelaran lain...

    Selain 2 org putera Babur yang diutus ke Borneo, ada 2 orang putera Babur lagi yg masing2 ditabal sebagai raja di semenanjung

    iaitu Tengku Syed Hisbullah sebagai raja Kota Beruas(Gangga Nagara) dan Tengku Syed Shaari sebagai raja Johor-Riau ketika

    itu.

    Dalam kisah tuan diatas ada sebut putera kepada Sultan Hassan iaitu Sultan Tengah datang ke Pahang(Johor) untuk berjumpa Raja

    Bonda(kerabat Pahang). Kemudian penceritaannya ada juga melibatkan watak Sultan Johor. Sedikit sebanyak penceritaan ini kalau

    dilihat dari versi anai2 hakikatnya adalah hubungan kekeluargaan yang memang telah sedia wujud.

    Selain itu ada satu perkara yang saya kira menarik dalam penulisan tuan diatas iaitu berkaitan nama kepada suami Raja Bonda

    yang bernama Sultan Abdul Ghaffur Muhiyudin Shah ibni Sultan Abdul Kadir Alauddin Shah- Sultan Pahang ketika itu. Baru2 ini

    ketika menonton filem Langkasuka keluaran perfileman Thailand, didalamnya ada menunjukkan watak Sultan Abdul Ghaffur

    Muhiyuddin selaku putera mahkota Pahang ini meminang Puteri Unggu iaitu adinda kepada Raja Hijau, Ratu bagi kerajaan

    Langkasuka atau lebih tepat sebenarnya Patani. Namun sekiranya dirujuk pada salasilah kerabat Pahang dan Patani di wikipedia,

    penceritaan filem itu tidak sama dengan perjalanan plot cerita dalam catitatan sejarah walaupun wataknya adalah sama.

    Berbalik kepada watak Raja Bonda yang merupakan ibu saudara kepada Sultan Tengah tersebut yang mana dalam masa yang sama Raja

    Bonda juga merupakan isteri kepada Sultan Pahang Sultan Abdul Ghaffur Muhiyudin Shah. Memang tercatit yang Sultan Abdul

    Ghaffur mempunyai isteri yang ramai. Kalau Raja Bonda ini berpangkat ibu saudara kepada Sultan Tengah Sarawak dan kekandanya

    Sultan Abd Jalil Akbar Brunei maka memang tidak dinafikan lagi hubungan pemerintahan kesultanan disini saling berkait antara

    satu sama lain.

    ReplyDelete
    Replies
    1. 1. Sultan Muhammad Hassan dengan Tengku Syed Hassan adalah bukan orang yang sama.
      2. Pinggiran (mungkin Pengiran) Mustafa tidak terdapat di dalam senarai sultan-sultan Brunei.

      Delete
  2. Artikel yang apadat dan penuh maklumat, tahniah...
    Saya org sarawak

    ReplyDelete
  3. Sememangnya mengikut fakta sejarah, Sultan Jalilul Akbar (Brunei), Sultan Ibrahim Ali Omar Shah (Sarawak)@ Sultan Tengah & Sultan Mawalil-Wasit-I @ Raja Bongsu-I @ Pangiran Shahbandar Maharajalela adalah 3 bersaudara putera-putera kepada Sultan Muhammad Hassan ibni Sultan Saiful Rizal (Sultan Brunei). Mengikut fakta dari Kesultanan Sulu, bukti persaudaraan tersebut adalah dibuktikan dengan wujudnya Barang Pusaka Diraja yang dipanggil "Pulau Janggi" (Panggilan di Sulu) atau "Sepoh/Sepong Janggi" (Panggilan di Brunei). Barang pusaka tersebut adalah merupakan Belahan biji benih terbesar dunia yang di panggil "Coco de mer". Mengikut ceritanya, belah-belahan coco de mer tersebut telah diberikan kepada putera-putera Sultan Muhammad Hassan seperti;

    1. Bahagian Tengah (Induk) diberikan kepada Sultan Jalilul Akbar (Brunei),
    2. Bahagian sebelah tepi kanan, diberikan kepada Sultan Tengah (Sarawak) dan
    3. Bahagian sebelah tepi kiri, diberikan kepada putera Bongsu Sultan Muhammad Hassan, yang telah menjadi Sultan di Sulu bergelar Sultan Mawalil-Wasit-I @ Raja Bongsu-I.

    Jika ketiga-tiga bahagian ini dapat diketemukan & dicantumkan, ianya akan membentuk biji benih Coco de mer yang asal.

    Dalam Kesultanan Sulu, barang ini masih wujud & masih dapat dilihat sehingga hari ini. Ianya masih tersimpan dengan selamat di Muzium Brunei, selepas dihantar oleh "Pewaris Sebenar Kesultanan Sulu" iaitu Datu Aliuddin Bin Datu Muhammad Sie/Seh ibni Maharajah Adinda Sultan Mohammad Aranan/Adanan Puyo pada tahun 1978. Dimana kemudiannya beliau telah diikhtiraf oleh pihak Brunei sebagai "SULTAN ALIUDDIN-II (Sultan Sulok)" semenjak dari tahun itu (1978).

    Sila baca keterangan lanjut dalam catatan saudara Ibnu Rusydi, "Siapa Sultan Sulu yang Sebenar? Bahagian 2.

    Wassalam.

    ReplyDelete
  4. kalau dapat, ada x list salasilah keturunan sultan tengah selepas mangkat??

    ReplyDelete
  5. Salam saudara Faizal84,

    Keturunan Sultan Tengah di sarawak diteruskan oleh anakandanya yang menjadi Sultan Sambas, kini terletak di Propinsi Kalimantan Barat, Indonesia.

    Salam hormat,

    ReplyDelete
  6. salam saudara, mohon mendapat email saudara kerana ingin bincang research proposal. TQvm email saya: azizanhm[at]gmail.com

    ReplyDelete
  7. salam..ada tak artikel tentang upacara pengebumian sultan-sultan dahulu

    ReplyDelete
  8. Salam 1Malaysia. Sy sbg seorang Dayak Sarawak(Iban), amat bkenan dgn artikel ini. Sejarah kesultanan sarawak telah hilang d buku2 sejarah yg diajar d sekolah2 d sarawak.

    ReplyDelete
  9. Tahniah atas artikel tersebut.
    Saya sebenarnya keturunan Kesultanan Sambas. Moyang saya bergelar Datu Paduka Syeikh *Al Majid (nama sebenar masih rahasia sejak dahulu) dari yang pernah berkuasa di Papar. Makamnya masih ujud, di peliharan keluarga, terdapat Batu batu bukit sebagai nisan dekat perkuburannya sebagai tanda kubur terawal (dipercayai kubur pengikutnya). Disisinya isterinya dari kelurga kesultanan Sulu ke-4. Ketika ini saya masih mengesan susulgalur moyang saya, melalui sejarah tertulis mahu pun pandangan kasyaf/batin. Insyallah, atas usaha ikhlas, saya telah mendapat beberapa petunjuk dan bukti yang akan mencerahkan pencarian saya.

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum, sy sdg search pasal Kesultanan Sambas dan nama Sultan Jalilul Akbar. Sudah 2 kali saya bermimpi mendengar nama Sultan Jalilul Akbar, kemudian baru2 ni sy bermimpi mengenai Kesultanan Sambas, bila sy search2, rupanya memang wujud dua2 nama ini. Wallahualam, Kuasa Allah.

    ReplyDelete
  11. Mohon dinyatakan pengarang sebenar artikel ini.saya pernah terbaca artikel ini ditulis oleh Haji.........Terbitan .........Tk,

    ReplyDelete
  12. Salam,

    Tak pasti pula artikel mana saudara rujuk. Maklumat di atas saya peroleh dari Pusat Sejarah Brunei. Pengarang bukunya ialah Dato' Seri Utama Dr. Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri. Tajuk bukunya memang Sultan Sarawak kalau tak silap.

    Harap dapat membantu.

    Salam hormat,

    IBNU RUSYDI

    ReplyDelete
  13. Mohon bantuan tuan. Moyang saya dari sebelah ibu dan nenek kpd ayahnya. Dikatakan berasal dari Sarawak. Lari dari Sarawak hanya dgn sebilah keris. Mempunyai seoarang saudara lelaki yang akhirnya menetap di Singapura sebagai oranag kaya di sana. Bolehkah tuan beri pencerahan kpd saya jika boleh membantu.

    ReplyDelete
  14. Salam.. Tak pasti pula saya dengan kisah ini..

    ReplyDelete
  15. Sejarah Awal Kepulauan Melayu: Lima buah negeri warisan Sarawak yang hilang > http://www.myjurnal.my/filebank/published_article/25245/Article__2.PDF

    ReplyDelete
  16. Assalammualaikum..ada beberapa perkara perlu ditambah dan dirujuk semula.Apapun tahniah suatu perkara baru bagi kebanyakan masyarakat bumi kenyalang..mohon diteruskan kajian.jika memerlukan bantuan dan perkongsian sila email saya.
    Sekian.

    ReplyDelete
  17. aniz.azmi@hotmail.comAugust 6, 2019 at 11:42 AM

    assalamualaikum, saya dari jalur keturunan Raden sulaiman & alang banun dari keraton solo.. adakah raden sulaiman anak kepada sultan tengah. seperti di artikel di atas.

    ReplyDelete
  18. Nama Santubong itu bahasa Iban asli ynag bermaksud keranda.Santubong diberikan nama oleh kaum Iban sendiri orang asal di santubong sebelum kedatangan melayu dri Jawa datuk merpati Jepang dan dari Brunei.

    ReplyDelete
  19. Adakah Anda memerlukan bantuan kewangan segera atau Pinjaman penyatuan hutang, Kami menawarkan pinjaman daripada minimum lima ribu dolar kepada jumlah maksimum lima belas juta dolar. hubungi kami hari ini.
    EMEL: kabelofinance@aol.com
    WhatsApp: +16282720841

    ReplyDelete