Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Thursday, June 17, 2010

Raja Melayu Singapura Yang Dilupakan

Singapura pernah beraja? Mungkin agak asing didengar pada hari ini, memandangkan Singapura kini merupakan sebuah negara-kota bercorak republik dan majoriti penduduknya berbangsa Cina. Tetapi hakikat bahawa sejarah Singapura yang pernah dibuka dan diperintah oleh Raja-raja Melayu tidak boleh dinafikan biarpun cuba digelapkan oleh pihak-pihak tertentu.




Peninggalan Kesultanan Singapura : Dua pending, iaitu perhiasan emas berkerawang yang dipakai di dada atau pinggang, antara pusaka Sultan Hussain Shah



Sebenarnya, sejarah Raja-raja Melayu yang memerintah Negeri Singapura telah bermula lebih kurang sejak 700 tahun yang dahulu. Memetik buku Kisah Raja-raja Melayu Singapura oleh Agus Salim terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), senarai Raja-raja Melayu dahulukala yang pernah memerintah Singapura adalah seperti beikut :


1) Sri Tri Buana @ Sang Nila Utama (memerintah 1299-1347 M)

2) Raja Kecil Besar @ Paduka Seri Pikrama Wira (1347-1362 M)


3) Raja Muda @ Seri Rana Wira Kerma (1362-1375 M)


4) Dasia Raja @ Paduka Seri Maharaja (1375-1388 M)


5) Raja Iskandar Shah @ Sri Parameswara (1388- 1391 M)


*Tahun-tahun pemerintahan raja-raja Singapura ini dipetik Agus Salim daripada kajian Dr. W. Linehan, 1947, The King of 14th Century Singapore, JMBRAS 20(2).




Apa yang menarik, Munsyi Abdullah juga pernah mencatatkan penemuan sebuah Batu Bersurat di pulau tersebut yang telah dipecahkan oleh pegawai Inggeris sebelum sempat dibuat kajian ke atasnya. Mungkinkah Batu Bersurat tersebut ada menyimpan rahsia besar mengenai Bangsa Melayu?

Singapura kembali diperintah oleh Raja-raja Melayu pada penghujung hayat empayar Negeri Johor. Pada masa lalu, Johor merupakan sebuah negeri yang luas iaitu wilayahnya meliputi negeri Pahang, Johor, Singapura dan kepulauan Riau-Lingga pada hari ini. Ketika Sultan Johor ke-16 iaitu Sultan Mahmud Riayat Shah III (1761-1812) mangkat di Pulau Lingga, yang merupakan Ibunegeri Johor pada waktu tersebut, anakanda sulung baginda yang bernama Raja Hussain Syah atau Tengku Long berada di Pahang. Justeru itu, baginda tidak sempat menghadiri upacara pengebumian ayahandanya. Memandangkan Adat Melayu menyatakan pengganti Sultan perlu dimasyhurkan sebelum jenazah almarhum Sultan dapat dikebumikan, maka adinda Raja Hussain Syah yang bernama Raja Abdul Rahman telah ditabal sebagai Sultan Johor yang baru dengan gelaran Sultan Abdul Rahman Muadzam Syah.

Terdapat juga maklumat lain yang menyatakan Raja Hussain Syah tidak ditabalkan sebagai Sultan kerana bondanya, Cik Makoh binti Daeng Maturang merupakan orang kebanyakan.

Raja Hussain Syah yang kecewa dengan keadaan tersebut telah membawa diri ke Kampung Bulang di Pulau Penyengat, Riau, untuk memancing ikan dan hidup dalam keadaan sederhana sahaja. Penjajah British menerusi Syarikat Hindia Timur Inggeris yang berhasrat untuk menguasai Pulau Singapura telah dapat menghidu peluang yang muncul kesan daripada krisis di Istana Johor pada masa tersebut. Thomas Stamford Raffles kemudian telah mengarahkan Kolonel William Farquhar untuk mempelawa Raja Hussain Syah untuk ditabalkan sebagai Sultan Singapura yang pertama.

Tentu sekali Raja Hussain Syah ketika itu berasa ragu untuk menerima tawaran untuk menjadi ketua bagi sebuah negeri baru. Baginda kemudian tetap pergi ke Singapura dan ditabalkan sebagai Sultan Singapura di Padang, Singapura, pada 31 January 1819 dengan gelaran Sultan Hussain Syah. Enche Yahya, pencatit untuk Kolonel William Farquhar membaca pengisytiharan yang telah dibaca dalam bahasa Inggeris oleh seorang pegawai Inggeris, “Adalah dimaklumkan bahawa Governor-General Lord Hastings di India telah melantik Yang Teramat Mulia Raja Hussain Muazzam Shah sebagai Sultan Singapura yang pertama dan semua tanah jajahanya, dengan gelaran Sultan Hussain Muazzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Mahmud pada hari ini, 31 haribulan Januari, 1819.” Sultan Hussein Shah kemudian telah mengarahkan pembinaan Istana Kampong Glam pada 1820.

Munshi Abdullah yang pernah bekerja sebagai pencatat untuk Stamford Raffles di Melaka dulu, datang ke Singapura dalam bulan Jun, 1819 untuk menyambung tugasnya. Oleh sebab itu, Munshi Abdullah tidak dapat menyaksikan upacara pertabalan yang berlangsung di Padang. Bagaimanapun, dia telah diberitahu tentang apa yang telah berlaku oleh rakan dan kenalan yang menyaksikannya. Munshi Abdullah tidak senang dengan apa yang telah dilakukan oleh pihak Inggeris. Dia tahu satu hari nanti, Sultan Singapura akan disingkirkan dan Singapura akan dikuasai oleh masyarakat bukan Melayu. Kesan pertabalan baginda amat besar kerana telah menyebabkan terpecahnya empayar Negeri Johor.

Kesan daripada Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, wilayah Johor di tanah semenanjung dan Singapura berada di bawah pengaruh Inggeris sementara Riau dan Kepulauan Lingga pula di bawah pengaruh Belanda. Di semenanjung, Negeri Pahang kemudiannya telah diperintah oleh keturunan Bendahara sementara Negeri Johor Moden pula telah diperintah oleh keturunan Temenggong sehingga kini. Di wilayah pengaruh Belanda pula, Keturunan Sultan Abdul Rahman Muadzam Syah kemudiannya menjadi Sultan-sultan Lingga sementara keturunan Yang Di-pertuan Muda menguasai Riau.





Tidak berapa lama selepas ditabalkan sebagai Sultan Singapura, Sultan Hussain Syah mula dihina dan diperlekehkan terutamanya oleh kumpulan pendatang dari China yang langsung tidak menghormatinya. Penjajah Inggeris telah mendatangkan orang Cina dan India ke Singapura semata-mata untuk menambahkan jumlah penduduk asing. Mereka tidak membawa atau menggalakkan orang Melayu dari Tanah Melayu mahupun pulau-pulau sekitar nusantara yang lain untuk tinggal di Singapura hanya untuk mengecilkan jumlah penduduk Melayu supaya hak dan kuasa Melayu di Singapura dapat disingkirkan. Jumlah penduduk asal iaitu masyarakat Melayu telah menjadi minoriti dan dengan ini kuasa politik mereka terhapus begitu sahaja. Sultan Hussain Syah menangis pada waktu malam apabila baginda sedar yang dirinya sekadar digunakan oleh penjajah Inggeris untuk menguasai Pulau Singapura.





Sultan Hussain Syah kemudiannya telah dipaksa untuk menandatangani “Treaty of Singapore” pada tahun 1824 untuk menyerahkan seluruh kekuasaannya di Singapura kepada penjajah British. John Crawford, Residen British telah mengherdik baginda dengan berkata “Tuan bukan Sultan lagi, tidak perlu tinggal disini”. Baginda berasa amat sedih hinggakan terpaksa berpindah ke Melaka dengan menaiki kapal bernama ‘Julia’ yang dimiliki oleh Sultan Kedah ketika itu pada 5 Jun 1834. Beliau tiba di Melaka lima hari kemudian. Baginda menetap di Melaka kerana dia mempunyai ramai keluarga di sana. Sultan Hussain Syah dihormati dan dihargai oleh penduduk Melayu di Melaka walaupun penduduk bukan Melayu tidak mengendahkan kehadirannya. Bagaimanapun, kehidupan baginda di Melaka tidak seperti di Singapura di mana baginda mempunyai pembantu dan pengawai kanan. Ditambah pula dengan kerisauan yang dialami yang akhirnya menyebabkan kemangkatan baginda lima belas bulan kemudian iaitu pada 5 September, 1835.





Jenazah baginda telah disemadikan di sebuah makam sederhana di penjuru tanah perkuburan dalam kawasan Masjid Trengkerah di Melaka, terbiar dan kurang dikenali oleh sesiapa. Cuma sebuah papan tanda sahaja yang menulis tentang riwayat hidupnya. Sedangkan baginda adalah watak penting dalam sejarah moden Singapura.



Makam Sultan Hussein Syah, Raja Singapura-Johor, di Melaka


Anak sulung Sultan Hussain Shah, Tengku Ali yang baru berumur 10 tahun kemudian ditabal untuk menggantikan ayahandanya sebagai Sultan Singapura dalam sebuah acara yang sederhana di Istana Kampung Glam pada 10 Mac 1855 dengan gelaran Sultan Ali Iskandar Syah. Dan kehidupan baginda juga melarat disebabkan baginda tidak diberikan wang oleh pihak Inggeris yang telah menyekatnya apabila Resident Inggeris di Singapura selepas William Farquhar Raffles digantikan oleh John Crawfurd yang mempunyai sikap anti atau membenci Melayu. Sultan Ali kemudian turut mangkat di Melaka pada 21 Jun 1877 dan dimakamkan diperkarangan Masjid Jamek Kampung Umbai.



Sultan Ali Iskandar Syah, Raja Singapura-Johor. Baginda berkuasa di wilayah Kesang-Muar



Selepas kemangkatan baginda, anakandanya yang bernama Tengku Alam Syah menaiki takhta dengan gelaran Sultan Alauddin Mansur Syah. Walaubagaimanapun, pihak British tidak melantik baginda sebagai Sultan sebaliknya hanyalah sebagai Ketua Keluarga Di Raja Singapura. Baginda mangkat pada 26 Ogos 1891 dan disemadikan di Makam Di Raja Teluk Belanga, Singapura.





Anakanda baginda yang bernama Tengku Ali kemudiannya menggantikan ayahandanya sewaktu berusia 34 tahun tetapi tidak lagi memakai gelaran Sultan. Tengku Ali mangkat di Istana Kampung Glam pada 2 November 1918 dan digantikan oleh puteranya yang bernama Tengku Hussein yang mengambil alih jawatan Ketua Di Raja Singapura hingga tahun 1930-an.





Walaupun Kesultanan Singapura tidak secara rasmi terkubur, ia telah dilupakan hinggalah simbolnya yang terakhir, Istana Kampung Gelam yang ketika itu masih didiami oleh Kerabat Di Raja Singapura, diambil alih (atau lebih tepat, dirampas!) oleh pemerintah Singapura untuk diubahsuai dan dijadikan Pusat Warisan Melayu pada tahun 2002. Ada pernyataan lisan yang menyatakan tragedi tersebut berlaku kerana sumpahan yang menyatakan jika Kerabat Di Raja Singapura berpecah belah dan bermusuhan sesama sendiri, mereka akan kehilangan istana tersebut. Dengan hilangnya simbol terakhir Kesultanan Singapura itu, maka berakhirnya sisa-sisa Raja-raja Melayu yang pernah memerintah Singapura sejak dahulu kala.



Istana Kampung Gelam, kediaman rasmi Raja Singapura. Kini diubah menjadi Malay Heritage Centre

Wednesday, June 16, 2010

Setul Asalnya Sebahagian Wilayah Kedah

Setul (atau Satun mengikut pelat sebutan orang Siam) merupakan wilayah terakhir Negeri Kedah yang terlepas ke tangan Thailand. Nama Setul merupakan nama dalam Bahasa Melayu yang dipercayai berasal dari nama sejenis pokok.








Berdasarkan sejarah, wilayah pantai barat Segenting Kera (hingga ke Tanah Sari / Tenasserim dalam wilayah Myanmar pada hari ini) termasuk Setul adalah sebahagian daripada Negeri Kedah. Ia kemudiannya dirampas oleh Siam pada tahun 1813 dan diperintah oleh Gabenor Siam berpusat di Nakhon Si Thammarat (Negara Sri Dharmaraja). Pada tahun 1897, Setul dan Perlis dikembalikan kepada Negeri Kedah yang ketika itu di bawah pengaruh Siam dan dikenali dengan nama Siam iaitu ‘Saiburi’.

Sultan Abdul Hamid Halim Syah, Sultan Kedah ketika itu telah mewakilkan adindanya, Raja Muda Abdul Aziz untuk menghadiri upayaca penyerahan kembali wilayah Setul dan Perlis kepada Kedah pada 17 Mei 1897. Ketibaan Raja Muda Abdul Aziz telah diiringi oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Wan Muhammad Saman dan diberi kawalan keselamatan oleh tentera berbangsa Sikh. Selesai upacara tersebut, Raja Muda Abdul Aziz telah menghantar surat kepada Putera Damong untuk memaklumkan baginda telah menempatkan sepasukan askar Kedah di Setul.







Sultan Abdul Hamid Halim Syah juga telah menghantar seorang Pegawai Istana Kedah bernama Ku Baharuddin @ Ku Din bin Ku Moh untuk menjadi Gabenor atau Pesuruhjaya Tinggi Setul. Ku Din telah menjalankan tugasnya dengan cemerlang sepanjang menjadi Gabenor Setul hinggalah persaraannya pada 1916. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1932 dan turut dikebumikan di Setul.







Menerusi perjanjian Anglo-Siamese Treaty 1909, Inggeris bersetuju menyerahkan kembali wilayah Setul kepada Siam. Raja Siam enggan melepaskan wilayah Setul kerana terdapat ramai etnik Siam yang telah dipindahkan ke wilayah tersebut.

Beberapa nama tempat di Setul berasal dari perkataan Melayu masih lagi digunakan pada hari ini tetapi telah berubah mengikut pelat orang Siam. Antaranya ialah :

Mueng Satun : Asal nama tempat ini ialah Mambang
Khuan Don : Dusun
Ko Tarutao : Pulau Terutau
Ko Phetra : Pulau Petra
Ko Lidi : Pulau Lidi
Ko Bulon : Pulau Bulan

Pada hari ini, wilayah Setul merupakan salah satu daripada empat wilayah di Thailand yang majoriti penduduknya masih beragama Islam. Percampuran antara penduduk daripada Bangsa Melayu dengan Siam telah melahirkan satu etnik baru yang dikenali dengan nama Sam-sam. Walaupun begitu, agak mendukacitakan apabila kurang daripada 10% daripada penduduk Melayu-Islam di wilayah ini yang masih mengaku berketurunan Melayu. Tambahan pula, ramai dikalangan mereka tidak lagi mampu untuk bertutur dalam Bahasa Melayu pada hari ini (Dapat lihat peranan dan kepentingan Bahasa? Ingat motto “Bahasa Jiwa Bangsa” yang semakin dilupakan pada hari ini?)