Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Monday, August 30, 2010

Bendera Punya Cerita




"Orang Malay maling (Pencuri)! Bendera pun dijiplak (ditiru) dari bendera Amerika Serikat" Itulah kecaman yang penulis terima semasa sedang berbicara dengan seorang rakyat Indonesia di laman maya. "Waduh, hal bendera pun Bapak (Encik) bisa (boleh) ributkan? (Kecohkan). Kok gitu (Kalau begitu), Bangsa Indonesia pun bisa saya dakwa sebagai penjiplak yang maha besar. Ambil saja bendera Monako (Monaco) tanpa ubahsuai langsung. Ataupun terbalikkan bendera Polandia (Poland) untuk menjadi Sang Saka Merah Putih (nama bendera Indonesia)" Begitulah lebih kurang jawapan saya yang menyebabkan teman Indonesia itu terdiam. Ya, mengenai hal bendera.

Sebenarnya panjang lagi isu yang saya debatkan dengan orang Indonesia tersebut, tapi saya tak berminat untuk ulas di sini. Apatah lagi, saya mendapat maklumat dari teman perisik bahawa ramai forumer sama ada dari Indonesia mahupun Malaysia yang mengapi-apikan isu sensitif antara kedua negara ini sebenarnya adalah dari satu kaum/keturunan yang sama. Apakah kaum mereka & apa tujuan mereka mengadu domba dua bangsa serumpun ini? Pembaca teka & carilah sendiri. Cuma penulis mohon agar pembaca berhati-hati semasa membaca thread yang cuba mengapi-apikan hubungan Malaysia-Indonesia ini.

Cuma apa yang jelas, orang Indonesia memang mudah diprovokasi. Segelintir daripada mereka telah bersikap sangat biadap apabila membakar bendera negara dan cuba merempuh masuk kedutaan kita di Jakarta dengan isu-isu yang sengaja diapi-apikan. Isu ini juga penulis sudah malas hendak debatkan kerana sebelum ini, penulis sudah pernah menerbitkan artikel mengenai sikap segelintir penduduk Indonesia ini.

Jadi, daripada membuang masa membicarakan isu tersebut, penulis lebih berminat untuk 'highlight'kan mengenai jasa seorang warga tempatan yang jarang diwarwarkan iaitu Encik Mohamed bin Hamzah. Asing sungguh kan namanya? Bagi yang tidak tahu, beliau merupakan seorang arkitek di Jabatan Kerja Raya Johor dan beliaulah yang telah mereka bentuk bendera negara kita melalui beberapa pengubahsuaian sebelum digunapakai hingga ke hari ini.





Daripada 3 rekabentuk bendera yang disenarai pendek (boleh rujuk artikel lama http://ibnurusydi.blogspot.com/2009/09/siapa-yang-cipta-bagi-nama-malaysia.html), rekaan Encik Mohamed Hamzah yang telah terpilih dengan sedikit pengubahsuaian. Iaitu warna kuning bagi bulan sabit dan bintang, bintang ditukar berbucu sebelas, dan jalur ditukar menjadi merah dan putih. Selepas pembentukan Malaysia, bucu bintang dan jalur ditambah menjadi empat belas, melambangkan Negara Persekutuan kita dibentuk oleh 14 buah negeri (11 buah negeri di Semenanjung bersama Sabah, Sarawak dan Singapura). Pada 31 Ogos 1997, barulah bendera negara di beri nama "Jalur Gemilang".

Terdapat banyak blog yang telah menyiarkan mengenai sejarah bendera negara kita secara lengkap, termasuklah di Wikipedia. Namun, penulis berminat untuk membicarakan mengenai warna Merah Putih yang pernah dianggap sebagai warna rasmi Nusantara. Putih melambangkan kesucian, sementara Merah melambangkan keberanian.

Bangsa Indonesia menggunapakai warna Merah-Putih kerana warna tersebut digunapakai oleh sebuah Kerajaan yang sangat dibanggakan oleh mereka iaitu Kerajaan Majapahit (Memandangkan lebih satu pertiga rakyat Indonesia dari etnik Jawa). Namun begitu, sewaktu zaman pra kemerdekaan dahulu, pengaruh bendera Merah-Putih ini juga sebenarnya sudah tersebar ke kawasan yang di bawah pengaruh British dan Thailand.





Penulis pernah terbaca dalam sebuah buku tulisan Lee Kuan Yew (The Singapore Story jika tidak silap) bahawa beliau terpaksa tunduk kepada kemahuan masyarakat Melayu di pulau tersebut yang mahukan warna Merah-Putih sebagai lambang Bangsa Melayu dan Bulan sabit dan Bintang sebagai lambang agama Islam diletakkan pada Bendera Singapura.





Salah sebuah kumpulan yang memperjuangkan kemerdekaan dan penubuhan sebuah Republik Islam Patani yang diketuai oleh Haji Sulong juga turut mengabadikan warna Merah-Putih pada bendera mereka dengan ditambah dengan warna hijau dan Bulan Sabit dan Bintang sebagai lambang agama Islam pada bendera mereka.





Begitu juga dengan dengan "Bendera Rakyat" yang digunapakai oleh kumpulan berhaluan kiri Putera-AMCJA semasa zaman pra-kemerdekaan negara kita dahulu. Bendera ini berwarna Merah-Putih dan disertakan dengan 12 buah bintang berwarna kuning yang melambangkan 11 buah negeri semenanjung bersama-sama Singapura.





Seperkara lagi yang menarik, warna Merah-Putih juga diabadikan pada bendera-bendera parti politik yang ditunjangi oleh kaum Pribumi/Bumiputera di negara kita iaitu UMNO, PAS, PBB dan USNO (kini tidak lagi wujud).



Bendera Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang bergelar "Sang Saka Bangsa" turut diletakkan Keris sebagai lambang Bangsa Melayu



Salah satu bendera yang pernah digunakan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Kini PAS lebih banyak menggunapakai bendera Hijau berlambangkan bulan putih sebagai bendera rasmi mereka.



Bendera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sarawak. PBB merupakan gabungan Parti Pesaka milik kaum Dayak dengan Parti Bumiputera yang ditunjangi oleh kaum Melayu-Melanau Islam.



Bendera Merah-Putih yang terdapat pada lambang United Sabah National Organisation (USNO), sebuah parti politik di Sabah yang kini tidak lagi aktif.


Dan sudah pasti, warna yang melambangkan kesucian dan keberanian ini turut diabadikan pada Bendera Kebangsaan Negara kita. Oleh yang demikian, penulis ingin mengajak pembaca semua untuk menyokong dan mengibarkan Jalur Gemilang sempena 53 tahun kemerdekaan negara dan ulangtahun ke-47 pembentukan Malaysia.




DIRGAHAYU NEGARAKU MALAYSIA!!!

Thursday, August 26, 2010

Rasiskah Kita? -Siri 1-

Wajarkah jika kita terus menyalahkan seseorang yang telah dituduh atas satu kesalahan yang belum dibuktikan kebenarannya? Itulah yang berlegar di kepala penulis apabila melayari beberapa laman sesawang beberapa hari sebelum kita menyambut Hari Kebangsaan pada minggu hadapan. Boleh dikatakan amat kurang sekali laman yang membicarakan mengenai perpaduan dan semangat untuk menyambut Hari Kebangsaan. Kebanyakannya, terutamanya blog yang cenderung kepada Ultra Kiasu, lebih banyak membicarakan (atau lebih tepat, menghentam, menghina dan mencerca tanpa usul periksa) mengenai isu seorang Pengetua cemerlang di sebuah sekolah di selatan tanah air yang didakwa telah menghamburkan kata-kata kesat berunsur perkauman kepada para pelajarnya.

Apa yang penulis kesalkan, ianya hanya bersandarkan kepada laporan polis yang dibuat oleh seorang pelajar berumur 16 tahun dengan disokong oleh tangan-tangan ghaib dibelakangnya yang belum dapat dipastikan kesahihan dakwaan tersebut kerana siasatan masih berjalan.





Tetapi pada masa yang sama, kebanyakan komen-komen dari Ultra Kiasu ini berubah apabila membicarakan mengenai seorang rapper yang pernah menghina seluruh rakyat dengan mempermain-mainkan lagu Negaraku (tak tahulah jika mereka anggap lagu Negaraku ni milik orang Melayu sahaja) dan lebih teruk, menghina Islam dalam lirik lagu yang digubahnya. Rapper ini kemudian meminta maaf sekadar untuk memenuhi tuntutan, dan kemudiannya kerana tidak dijatuhkan sebarang hukuman, dia terus bebas dan terus bangga menghina Bangsa Melayu dan Islam. Bagi puak Ultra Kiasu, inilah contoh kebebasan bersuara yang patut ada dan menyanjung tinggi keberanian rapper tersebut. Adakah gejala ala Islamophobia (Baca : Malayophobia) dan Anti-Semitik (Baca : Anti-Sino) dah menular dalam negara kita? Kalau satu pihak menghina, dikecam melangit. Tapi jika satu pihak lain yang buat, dikatanya hak asasi dan kebebasan???








Penulis berasa amat kesal kerana terpaksa mengeluarkan artikel ini disaat kita semua sepatutnya bersatu untuk menyambut Hari Kebangsaan. Namun tidak mengapa, penulis yakin Kementerian Dalam Negeri pasti akan mengambil tindakan, ya, macam biasa, tindakan untuk SEKADAR MEMBERI AMARAN KERAS. Hasilnya??? inilah yang boleh kita jumpa dalam laman-laman sosial milik rakyat tempatan.





























Siapakah harapan kita untuk mempertahankan maruah agama dan bangsa kita???

Parti Keris??? Oh, kita kena jaga sensitiviti antara kaum. Tindakan kena berhati-hati, jangan bagi nampak rasis. Jika tidak, undi kita akan merosot.

Parti Bulan??? Oh, hal bangsa ni nombor dua. Semangat kebangsaan ni semua Asabiyah, sesat. Lagipun nanti takut ada parti lain marah, pakatan kita akan hancur semula.

Parti Mata Dajal??? Lagi la tak payah harap apa-apa.



Hanya ada satu tempat sahaja di negara kita yang penulis rasakan boleh jumpa perpaduan antara kaum yang tulen di satu kawasan kejiranan yang sama.

Nak tahu di mana?


...........................

.......................

...................

...........

.....


Di TV9!!!!




SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE-53 & ULANGTAHUN PENUBUHAN MALAYSIA YANG KE-47

Thursday, August 12, 2010

Penyatuan Rakyat Melalui Bahasa

Sejak Tanah Melayu mendapat kemerdekaannya 53 tahun yang lalu dan Malaysia di bentuk 47 tahun yang lalu, isu perpaduan merupakan perkara pokok yang sentiasa ditekankan baik oleh pihak pemerintah mahupun pembangkang. Sebagaimana beberapa buah negara lain di dunia, negara kita dihuni oleh pelbagai keturunan yang mempunyai pelbagai anekaragam bahasa dan budaya. Secara umumnya, rakyat negara kita dibahagikan kepada dua kumpulan utama iaitu Bumiputera, meliputi kaum Melayu, Orang Asli, Bumiputera Sabah (Kadazan-Dusun, Bajau, Murut dan lain-lain) dan Bumiputera Sarawak (Iban, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu dan lain-lain) serta bukan Bumiputera yang majoritinya dari kaum Cina dan India.





Tak usah lagi dipertikaikan mengapa Allah mentakdirkan negara kita ini dihuni oleh rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan, bukannnya negara satu bangsa seperti Korea atau Jepun. Sebaliknya perkara ini harus diambil sebagai sumber kelebihan yang ada, bukannya satu kekurangan. Jika diimbas kembali pada masa lampau, kewujudan masyarakat majmuk di negara kita bukanlah satu perkara baru, malahan telah bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Buktinya masih dapat dilihat pada hari ini menerusi kewujudan masyarakat Baba-Nyonya (Cina Peranakan) dan Chitty (India peranakan). Menariknya, masyarakat Baba-Nyonya serta Chitty Melaka ini sememangnya diketahui fasih bertutur dalam Bahasa Melayu, serta banyak menyerap kebudayaan Melayu dalam kehidupan mereka, khususnya bagi generasi tua. Dan untuk makluman, Kesultanan Melayu Melaka tidak pernah mengamalkan dasar untuk memaksa mereka untuk menjadi “Melayu” dan memeluk agama Islam, sebaliknya penyerapan budaya serta penggunaan Bahasa Melayu dibuat atas kerelaan kaum mereka sendiri, melambangkan perpaduan serta keharmonian hubungan antara kaum yang utuh di negara kita pada masa lampau. Penulis sendiri masih terkenang keramahan serta keikhlasan rakan-rakan Cina dari kaum Baba Nyonya ini sewaktu zaman persekolahan dahulu.








Walaubagaimanapun, asimilasi budaya Melayu terhadap kaum Cina dan India di Malaysia pada hari ini pasti bukanlah satu cadangan yang baik untuk diaplikasikan, malahan satu perkara yang amat mustahil untuk diterima oleh mereka. Berbeza dengan polisi keras yang diamalkan oleh Pemerintah Indonesia khususnya sewaktu era Presiden Soeharto, kita tidak pernah memaksa kaum Cina dan India di negara kita sewaktu kemerdekaan dahulu untuk mensyaratkan penggunaan nama Melayu, bertutur hanya dalam Bahasa Melayu serta mengharamkan pengamalan budaya dan bahasa kaum pendatang. Sebagai bangsa yang terkenal paling bertoleransi di dunia, perpaduan secara luaran melalui pemaksaan asimilasi budaya ini bukanlah satu tindakan yang bijak.

Oleh yang demikian, apakah yang dapat menyatukan seluruh rakyat Malaysia? Mustahil untuk memaksa kaum-kaum lain memeluk Islam yang merupakan agama majoriti sebagai jalan menyatupadukan rakyat, sudah pasti akan berlaku kerusuhan kaum yang besar. Tidak logik pula untuk kaum Melayu dipaksa memakai kebudayaan Cina atau India sebagai contoh untuk dijadikan budaya nasional, memandangkan kaum tersebut hanya minoriti di negara kita.

Jika kesatuan agama dan budaya tidak dapat dijadikan sebagai satu elemen yang dapat menyatukan seluruh rakyat negara kita, apakah instrumen yang dapat menyatukan kita semua???


................


.........


....


..


Tak lain dan tidak bukan, BAHASA KEBANGSAAN, iaitu Bahasa Melayu, yang merupakan lingua-franca di kepulauan Nusantara ini sejak ratusan tahun dahulu.

Penulis berasa amat sedih dengan laporan yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Perangkaan yang menyatakan lebih 70 peratus daripada individu yang tidak memberikan kerjasama sewaktu bancian dibuat datangnya daripada kaum Cina dengan alasan tidak tahu berbahasa Melayu mahupun Inggeris, termasuklah penduduk di kawasan bandar!!! Itulah penghinaan terkini terhadap negara yang dilakukan oleh penduduk tempatan sendiri selepas 53 tahun usia kemerdekaan dan 47 tahun pembentukan Malaysia. Betapa angkuhnya segelintir daripada masyarakat kita apabila berkata mereka hanya tahu berbahasa Mandarin sahaja!

Namun, apa yang boleh dilakukan apabila kaum Melayu sendiri yang mula-mula memperlekehkan bahasanya sendiri??? Siapa yang mahu mendaulatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam majlis-majlis yang dianjurkan oleh sektor awam apatahlagi korporat??? Siapa pula yang sibuk membantah apabila Kerajaan membatalkan pelaksanaan PPSMI??? Siapa pula yang melacurkan dan mencampuradukkan pemakaian Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam drama TV mahupun filem atas alasan komersil dan menunjukkan realiti??? Jika kita sendiri tidak menghormati diri sendiri, adakah kita berharap orang lain akan menghormati kita???

Sudahlah kita berpecah belah dari segi politik, geografi, status sosial, agama dan budaya, Bahasa Kebangsaan pun diperlekeh dan dipandang sebelah mata. Penulis ingin membandingkan rakan-rakan dari Indonesia berketurunan Cina yang amat berbangga dengan Bahasa Indonesia dan sudah tentu tidak kekok bertutur bahasa tersebut dalam komunikasi seharian. Betapa segannya penulis apabila Bahasa Indonesia menjadi satu kebanggaan kepada rakyat mereka, tidak kira apa juga suku (etnik) atau keturunan mereka.

Dalam hal ini, penulis rasa Kerajaan perlu mempertimbangkan semula saranan blogger bigdogdotcom agar Kerajaan mengkaji semula kewujudan sekolah vernakular dalam sistem pendidikan negara kita. Ibarat kata pepatah, “Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya”. Orang Melayu telah lama berkorban dengan kehilangan Sekolah Melayu, tetapi jika kewujudan Sekolah Kebangsaan ini terus dipandang sepi dan tidak dihargai oleh kaum-kaum lain, percayalah, 50 tahun lagi pun, keadaan ini akan terus sama dan terus berulang. Dan perpaduan nasional hanya tinggal omongan kosong yang terus dijadikan retorik politik oleh kedua-dua belah pihak.




DIRGAHAYU NEGARAKU MALAYSIA!!!

Monday, August 9, 2010

Ulamak Nusantara Terdahulu Yang Dilupakan

Siapa Sayyid Hussain Jamadil Kubra? Tidak ramai daripada kita pada hari ini yang mengenali tokoh tersebut, sedangkan beliau merupakan tokoh yang telah mencorakkan sejarah yang amat besar di alam Nusantara, khususnya dalam hal penyebaran syiar Islam. Penulis dapat mengagak, disebabkan sumbangan penting beliau itulah, pihak penjajah baik British mahupun Belanda berusaha keras memadamkan nama beliau daripada lipatan sejarah, hinggakan pada hari ini, nama beliau kurang disebut terutamanya sejarah arus perdana berkenaan dengan penyebaran Islam di bumi nusantara ini.

Sayyif Hussain Jamadil Kubra merupakan ahlul-bait dari keturunan Rasulullah S.A.W. Nama penuh beliau ialah Sayyid Hussain bin Sayyid Ahmad Shah Jalal al-Khan bin Sayyid Abdullah Khan bin Sayyid Abdul Malik al-Azhamat Khan bin Sayyid Alawi bin Sayyid Muhammad Sahib al-Mirbat bin Sayyid Ali Khali’ Qasam bin Sayyid Alawi bin Sayyid Muhammad bin Sayyid Alawi bin Sayyid Ubaidillah bin Sayyid Ahmad al-Muhajir bin Sayyid Isa al-Rumi bin Sayyid Muhammad al-Naqib bin Sayyid Ali al-Uraidhi bin Imam Jaafar al-Sadiq bin Imam Muhammad al-Baqir bin Imam Ali Zainul Abidin bin Sayyidina Hussain bin Sayyidina Ali.

Ayahanda beliau iaitu Sayyid Ahmad Shah Jalal merupakan bekas Gabenor Kesultanan Delhi yang kemudian berkuasa di wilayah Deccan (India Selatan). Sayyid Hussain Jamadil Kubra dikhabarkan tiba di Kelantan dalam tahun 1349M bersama adinda beliau, Sayyid Thana’ullah, atau dikenali juga sebagai Syeikh Saman, anak murid kepada Imam Ibnu Hajar. Kelantan pada waktu tersebut adalah di bawah kuasa Empayar Chermin, yang merupakan sebuah persekutuan meliputi negeri Langkasuka/Majapahit Barat, Samudera-Pasai di utara Sumatera serta Champa di Vietnam pada hari ini. Ibukotanya bernama ‘Jeddah’ (bermaksud Permata) yang terletak 3 batu dari Bukit Panau, Kelantan, pada hari ini.

Sepanjang misi dakwahnya, Saiyid Hussein sempat mengawini tiga puteri keluarga Diraja Empayar Chermin. Dari isterinya yang pertama iaitu Puteri Linang Cahaya, yang merupakan adik kepada Cik Siti Wan Kembang, beliau mendapat dua orang anak iaitu Maulana Malik Ibrahim (pelopor Wali Songo) dan Siti Aisyah. Perkahwinan Saiyid Hussein Jamadil Kubra dengan Ramawati, yang merupakan puteri kepada Raja Champa, Sultan Zainal Abidin (Che Bo Nga) dan Permaisuri Siti Zubaidah pula melahirkan Ibrahim Asmaro, yang melahirkan pula titisan generasi yang tersenarai di dalam kumpulan Wali Songo.

Sewaktu umurnya hampir 80 tahun, beliau telah dipertemukan jodoh dengan Puteri Selindung Bulan atau Siti Syahirah, yang merupakan cucu saudara kepada isterinya yang pertama, Puteri Linang Cahaya, dan beroleh seorang anak lelaki bernama Ali Nurul Alam, yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri Majapahit Barat yang berpusat di Kelantan dengan gelaran Patih Aria Gajah Mada. Para isterinya dikahwininya selepas tiap-tiap seorang daripadanya meninggal dunia.

Sayyid Hussain Jamadil Kubra telah menghantar anak-anaknya untuk menyambung usaha dakwah beliau dan keluarganya di beberapa kawasan di Nusantara, dan kemudiannya disambung pula oleh cucu cicitnya hingga agama Islam menjadi agama anutan terbesar penduduk di seluruh Kepulauan Nusantara pada hari ini, serta tertubuhnya beberapa Kesultanan Islam yang gigih mempertahankan bumi Nusantara ini daripada serangan penjajah kafir. Dari keturunan Maulana Malik Ibrahim dan Sayyid Ali Nurul Alam inilah lahirnya para Wali Songo seperti Sunan Ampel, Sunan Bonang, Sunan Gunung Jati, Sunan Kalijaga, Sunan Giri, Sunan Drajat, Sunan Kudus dan Sunan Muria yang gigih menyebarkan Islam di Pulau Jawa.



Dan seperti biasa juga, sejarah kebesaran dan kejayaan penyebaran syiar Islam ini juga cuba dikaburi dengan fakta-fakta merapu oleh musuh-musuh Islam yang cuba mahu mengelirukan generasi pada hari ini. Amat pelik sekali apabila tuduhan dangkal bahawa Wali Songo merupakan bekas Sami-sami Shaolin dari China yang melarikan diri dari kuil dan memeluk Islam disambut pula oleh beberapa umat Islam yang cetek pengetahuannya mengenai sejarah realiti (ingat mengenai tuduhan Hang Tuah adalah Cina yang turut ghairah disebarkan secara melulu oleh segelintir masyarakat Melayu/Islam?). Kumpulan yang berpegang kuat pada teori mengarut Siam-Kedah pula tergamak menyebarkan fitnah dan menghina Wali Songo kononnya mereka dihantar oleh Maharaja Ayutthaya untuk menyebarkan Islam, sedangkan realitinya Maharaja Ayutthaya adalah beragama Buddha yang kuat menentang Kerajaan-kerajaan Islam disekitarnya!!! Di Indonesia pula, sebilangan chauvinist Jawa amat sukar menerima fakta bahawa Wali Songo mempunyai pertalian yang kuat dengan Champa dan Kelantan, sudah tentu kerana perasaan asabiyah melampau mereka yang terasa tercabar untuk mengatakan Islam disebarkan di Pulau Jawa menerusi semenanjung Tanah Melayu.

Apa yang menyedihkan penulis, bukan ulamak terdahulu sahaja yang dipinggirkan, golongan ulamak pada hari ini juga tergamak dicaci dan dimaki oleh segelintir individu di media massa mahupun di alam maya termasuk digelar sebagai “pelacur” hanya kerana perbezaan isu politik. Penulis dengan rendah hati memohon dan mengingatkan diri sendiri, tidak kira apa juga pegangan politik kita, sama ada keris, sabit mahupun bulan, jangan sesekali kita melampaui batas dalam mengkritik pandangan yang dikemukakan oleh alim ulamak kita. Ingatlah dalam perbezaan fahaman politik kita, kita semua masih berpegang kepada agama yang sama. Ingatlah sabda Rasullah S.A.W., bahawa sesungguhnya ulamak ialah pewaris nabi.





Oleh yang demikian, dikesempatan kedatangan bulan Ramadhan 1431 Hijrah yang penuh dengan keberkatan ini, penulis ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat. Semoga kita sama-sama dapat memanfaatkan bulan Ramadhan pada tahun ini dengan beribadat dengan semaksimum mungkin dan dapat mencari keberkatan malam Lailatulqadar...