Featured Post

Kenapa Singapura Lebih Maju?

Sudah beberapa hari berlalu sejak negara jiran kita iaitu Singapura menyambut Hari Kemerdekaannya yang ke-50 pada 9 Ogos yang lalu. Nam...

Monday, September 20, 2010

Kebangkitan Raja-raja Melayu di Kalimantan Barat




Tidak banyak perkara menarik yang penulis perolehi semasa melawat Kalimantan Barat (Kalbar) sebelum ini, mungkin kerana tempoh waktu lawatan yang terhad. Penulis telah memilih untuk melawat Kota Pontianak, yang merupakan ibukota Provinsi Kalbar, merangkap pusat salah satu Kesultanan Melayu yang besar di kawasan ini satu ketika dahulu. Terasa jelas perbezaan taraf pembangunan dan kemudahan fasiliti sebaik sahaja bas yang dinaiki melepasi Biawak di sebelah Sarawak dan memasuki Entikong di sebelah Indonesia. Keadaan jalan yang dilalui agak teruk hinggakan tayar bas yang dinaiki pancit beberapa kali menyebabkan penulis tiba di Kota Pontianak semasa hari sudah mulai gelap sedangkan penulis bertolak pada awal pagi!

Keesokan harinya, penulis tidak membuang masa untuk pergi ke Keraton Kadriyah, yang merupakan Istana peninggalan Kesultanan Pontianak. Memudahkan kerja penulis apabila pemandu yang membawa penulis mempunyai hujung pangkal nama Al-Kadri, yang kemudian mengesahkan kepada penulis bahawa beliau sememangnya berketurunan Sultan Pontianak. Sambil berjalan, penulis tidak melepaskan peluang untuk berbual dan bertukar maklumat dengannya mengenai pelbagai perkara terutamanya berkenaan dengan kewujudan Kerajaan (Kingdom) dan Kesultanan Melayu yang pernah wujud di bumi Kalbar ini satu ketika dahulu.





Terdapat hampir 12 buah Kerajaan/Kesultanan Melayu yang pernah berdiri di wilayah ini iaitu Kesultanan Sambas, Kesultanan Pontianak, Kerajaan Mempawah, Kerajaan Landak, Kerajaan Kubu, Kerajaan Matan, Kerajaan Sukadana, Kerajaan Simpang, Kerajaan Sanggau, Kerajaan Sekadau, Kerajaan Tayan, dan Kerajaan Sintang. Berbeza dengan Raja-raja Melayu di Sumatera yang lebih dekat budayanya dengan semenanjung Tanah Melayu, Raja-raja Melayu di Kalbar ini mempunyai pengaruh kuat budaya Jawa dan Dayak tempatan. Justeru itulah, selain daripada gelaran Sultan dan Yang Dipertuan Besar, ramai Raja-raja di sini memakai gelaran Panembahan, sementara kerabat di Raja yang lain tidak memakai gelaran Tengku/Tunku sebaliknya menggunakan gelaran Gusti dan Pangeran (atau Pengiran sebagaimana pemakaian Kerabat Di Raja Melayu di Brunei Darussalam).



Antara bendera dan lambang Kerajaan/Kesultanan Melayu yang pernah wujud di Kalimantan Barat


Walaubagaimanapun, kesemua Raja-raja Melayu di sini telah dibunuh oleh tentera penjajah Jepun sekitar tahun 1944 dalam satu peristiwa menyedihkan yang dikenali sebagai Tragedi Mandor Berdarah. Selepas tamat Perang Dunia Ke-2, Raja-raja Melayu di Kalbar telah bersepakat untuk menubuhkan sebuah persekutuan yang dikenali dengan nama "Daerah Istimewa Kalimantan Barat", yang diketuai oleh Sultan Pontianak ketika itu, iaitu Sultan Abdul Hamid Al-Kadrie II. Walaubagaimanapun, berlaku konflik antara Sultan Abdul Hamid Al-Kadrie dengan tokoh-tokoh kemerdekaan Indonesia yang berpusat di Jawa. Sebabnya hanya satu sahaja, Indonesia bertegas mahukan sebuah negara yang bercorak Kesatuan, sedangkan Sultan Abdul Hamid Al-Kadrie memperjuangkan sebuah negara bercorak Persekutuan (Federalisma), sebagaimana di Malaysia.

Sambil berjalan-jalan di sekitar Keraton, penulis terpaku pada satu bingkai kaca yang memaparkan Sultan Abdul Hamid Al-Kadrie sebagai pencipta lambang Garuda, iaitu jata negara Indonesia yang masih digunakan sehingga kini. Kerabat di Raja di Keraton tersebut hanya tersenyum sahaja memandang penulis, namun penulis dapat menyelami perasaan mereka yang mahukan Sultan Abdul Hamid Al-Kadrie diletakkan pada tempat yang sewajarnya, biarpun bukan sebagai Pahlawan Nasional, tetapi sekurang-kurangnya sebagai salah seorang tokoh yang turut memperjuangkan kemerdekaan negara Indonesia. Namun begitu, ‘dosa’ yang membelenggu Almarhum Sultan ini adalah kerana dia memperjuangkan sebuah negara Persekutuan, hingga membayangi sumbangan besarnya sehingga kini.



Sultan Syarif Abdul Hamid Al-Kadrie II, pencipta Lambang Negara Indonesia


Penulis juga dimaklumkan bahawa kini waris-waris Keluarga di Raja di Kalbar kini telah menghidupkan semula institusi Kerajaan/Kesultanan masing-masing. Sebagaimana di Sumatera Timur, pengwujudan semula Kerajaan/Kesultanan ini bukannya untuk menghidupkan semua sistem monarki, tetapi bagi melestarikan warisan sejarah dan budaya setempat.



Pangeran Ratu Muhammad Tarhan Winata Kesuma, Raja Sambas yang masih remaja



Pangeran Ratu Drs. Gusti Suryansah, Raja Landak



Sultan Syarif Abu Bakar bin Syarif Mahmud Al-Kadrie, Raja Pontianak



Dr. Ir. Pangeran Ratu Mardan Adijaya, Raja Mempawah



H. Gusti Arman, Raja Sanggau



Sri Paduka Tuanku Muhammad Ikhsani Shafiuddin ibni al-Marhum Panembahan Muhammad Jamal ud-din, Raja Sintang



Pangeran Ratu Kertanegara Gusti Kamboja, Raja Matan



Sultan Muhammad Jamaluddin II, Raja Simpang



Gusti Muhammad Efendi Bin Sidik Gusti Agung, Raja Sekadau


Oleh kerana waktu yang suntuk, penulis terpaksa melupakan hasrat untuk bertemu dengan Sultan Pontianak. Sambil melihat persekitaran Keraton Kadriah yang usang dengan beberapa ekor kambing berkeliaran di laman Istana, penulis berasa bersyukur dan betapa bertuahnya Raja-raja Melayu di negara kita masih didokong utuh oleh rakyat biarpun kekuasaannya beberapa kali dicabar oleh pihak-pihak tertentu yang berusaha untuk melenyapkan kuasa politik Melayu-Islam.

Dalam perjalanan pulang, penulis kembali menyambung perbualan dengan pemandu. Berkenaan dengan pelbagai isu dari kebanjiran pendatang dari pulau Jawa hingga pernah mencetuskan rusuhan antara kaum Melayu dan Dayak dengan masyarakat Madura, pengusaan ekonomi oleh kaum Tionghua walaupun bilangan mereka yang minoriti, hinggalah kepada kewujudan semula Sultan yang kini hanyalah sebagai simbol tanpa kuasa. Dua perkara tersebut sudah pernah berlaku di negara kita, dan penulis berharap perkara terakhir yang disebutkan tidak terjadi kerana jika runtuh Institusi Raja-raja Melayu di negara kita, akan lenyap jugalah warisan kuasa politik Bumiputera di negara kita. Penulis juga mendengar rungutan pemandu mengenai segelintir pihak yang mempertikaikan kesetiaan Almarhum sultan Abdul Hamid Al-Kadrie kepada pembentukan negara Indonesia. Menurutnya, Almarhum Sultan Abdul Hamid Al-Kadrie pernah ditawarkan oleh Pemerintah Negeri Sarawak, Malaysia. Namun Almarhum Sultan menolaknya kerana setianya baginda kepada Indonesia. Apa yang ditawarkan? Adakah tawaran kepada Daerah Istimewa Kalimantan Barat untuk bersama-sama Sarawak menyertai Malaysia, atau membentuk sebuah negara sendiri? Tidak pula dinyatakan. Penulis hanya mendiamkan diri sahaja kerana menganggap maklumat tersebut adalah maklumat tidak rasmi yang belum tentu kesahihannya. Namun terfikir juga, sejarah pada hari ini mungkin berbeza jika tawaran tersebut diterima.


Nota :

1. Hantu Pontianak di Indonesia di panggil sebagai Kuntilanak @ Sundel Bolong. Tetapi nama Kesultanan Pontianak memang diambil daripada nama hantu tersebut yang pernah ada di kawasan ini sewaktu negeri ini dibuka.

2. ‘Gusti’ adalah satu gelaran kehormat yang digunapakai oleh Kerabat Di Raja di Indonesia, sebagaimana gelaran ‘Tengku/Tunku’ di negara kita. ‘Gusti’ ini bukanlah seperti ‘World Wrestling Entertainment’. Sukan ‘Wrestling’ di Indonesia dipanggil ‘Gulat’.


Lihat juga catitan lama :

http://ibnurusydi.blogspot.com/2010/03/mengenang-kembali-kejatuhan-kerajaan.html

Thursday, September 2, 2010

Rasiskah Kita? -Siri 2-

Penulis mohon maaf jika penulis kurang menulis artikel berkenaan sejarah Melayu (sebagaimana komen beberapa pembaca dalam emel) akhir-akhir ini. Namun begitu, penulis ingin jelaskan blog ini membicarakan berkenaan dengan sejarah dan politik Melayu, khususnya bagi memberi penjelasan kepada beberapa isu yang dilihat menghentam bangsa dan Agama Islam. Terutamanya apabila penulis melihat terdapat ramai blogger yang tidak mampu mematahkan hujah daripada puak-puak Ultra-Kiasu yang bertindak menyerang Melayu dan Islam berdasarkan fakta-fakta yang dirasakan tepat oleh mereka.

Kali ini, penulis ingin berbicara pula mengenai usaha puak-puak Ultra-Kiasu untuk menunjukkan keadilan berdasarkan prinsip kesamarataan dalam hal berkaitan isu papan tanda jalan. Mungkin isu ini sudah dianggap lapuk, tetapi penting bagi penulis untuk menyiarkannya bagi memberikan gambaran realiti sikap bertolak ansur yang telah lama diamalkan di negara kita sebelum diporakperandakan oleh puak-puak Ultra-Kiasu ini.





Bagi puak Ultra-Kiasu, meletakkan tulisan Jawi pada papan tanda jalan merupakan satu diskriminasi kerana hanya menonjolkan imej Melayu. Selaras dengan prinsip kesamarataan yang diperjuangkan mereka, maka tulisan Mandarin dan Tamil perlu disertakan dalam papan tanda jalan bagi menggambarkan kepelbagaian kaum yang wujud di semenanjung Malaysia.





Komen penulis, dalam Islam, keadilan bukanlah semata-mata berkaitan dengan kesamarataan. Keadilan bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya (bagi pembaca yang arif tentang agama, pohon betulkan jika penulis tersilap). Orang-orang Melayu telah membuat pengorbanan besar dengan menggunapakai tulisan rumi disamping tulisan Jawi bagi pengunaan bahasa Melayu yang diharap dapat dijadikan sebagai faktor perpaduan seluruh rakyat negara kita. Namun begitu, tulisan jawi masih dikekalkan pada papan tanda jalan kerana sewaktu awal kemerdekaan, masih ramai Orang Melayu membaca dalam tulisan Jawi, disamping faktor warisan sejarah yang penulis rasakan tidak ada salahnya untuk dikekalkan.

Jika meletakkan tulisan Jawi pada papan tanda jalan pun dianggap rasis, maka mari penulis bawa para pembaca termasuklah puak-puak Ultra-Kiasu ini ke Bandar Sibu di Sarawak. Cuba lihat papan-papan tanda jalan di seluruh bandar ini, dan lihat tulisan dalam bahasa apakah yang terpampang di papan-papan tanda jalan ini. Mengapakah puak Ultra-Kiasu selepas memenangi pilihanraya Bandar Sibu tidak pula sibuk untuk mengecam papan-papan tanda jalan di Bandar ini sebagaimana di semenanjung? Pernah satu komen dari puak Ultra-Kiasu yang mempertikaikan adakah selepas berpuluh tahun merdeka, masyarakat Melayu masih tidak pandai membaca tulisan rumi hingga terpaksa meletakkan tulisan jawi pada papan tanda jalan di semenanjung. Maka di sini, penulis ingin pulangkan kembali soalan ini kepada komentar Ultra-Kiasu tersebut berhubung dengan papan tanda jalan di Bandar Sibu ini.





Tidak pernah terdetik dalam hati masyarakat pribumi di Bandar Sibu ini, sama ada Dayak, Melanau, mahupun Melayu, untuk mempertikaikan tulisan Cina yang dipaparkan dalam papan tanda jalan di Bandar ini. Kerana mereka menghormati realiti bandar ini yang majoriti penduduknya berketurunan Cina Foochow, biarpun merekalah sebenarnya penduduk asal yang telah menetap jauh lebih lama sebelum kehadiran kaum Cina Foochow di sini. Tapi adakah mereka menghormati sikap bertolak ansur yang telah ditunjukkan oleh kaum-kaum pribumi di sini? Selepas puak Ultra-Kiasu memenangi kerusi Parlimen Sibu, United Chinese Association (UCA) di Sibu telah memulakan usaha untuk menukar nama Sibu kepada nama Cina iaitu Shi Wu, sedangkan nama Sibu diambil daripada nama sejenis buah iaitu buah Sibau yang dikenali oleh penduduk pribumi tempatan dan telah digunakan sejak ratusan tahun dahulu.

Kecuali beberapa nama jalan yang mengabadikan nama tokoh penjajah di Ibukota serta beberapa nama tempat yang membawa maksud tidak baik di seluruh negara, tidak pernah Kerajaan, sama ada BN mahupun PAS, terdetik untuk menukar nama-nama bandar utama di negara kita kepada nama berunsur keMelayuan. Lihat sahaja Georgetown dan Cameron Highland sebagai contoh. Jadi, apakah faktor yang menyebabkan puak-puak Ultra-Kiasu ini bersungguh-sungguh mahu menukar nama Bandar yang dihuni majoriti penduduk Tionghua kepada nama Cina biarpun membawa maksud yang tidak baik?

Penulis juga tidak mahu ketinggalan untuk mengucapkan tahniah kepada pihak Polis Di Raja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri kerana seperti biasa, melepaskan individu yang telah terang-terangan menghina Melayu dan ajaran Islam. Maka hasilnya amat memberansangkan. Kita kita tidak lagi sukar untuk menemui penduduk tempatan yang secara terus terang bukan setakat berani mencaci Melayu, malahan menghina Allah (Nauzubillah).














Kepada segelintir pembaca yang masih terkongkong dengan sentimen UMNO-PAS-PKR, teruskanlah perselisihan kalian. Tak perlu ambil peduli tentang penghinaan kepada Islam ini. Kerana jika dibuat laporan polis pun, mereka akan dilepaskan atas alasan masih tidak matang. Lebih baik kalian sibuk mencari kesalahan parti lawan yang sebangsa dan seagama seperti biasa.

Wednesday, September 1, 2010

Kerana Definisi Perkataan ‘Melayu’ dan ‘Asli’

Apa sebenarnya punca masalah yang terus menghantui hubungan penduduk Malaysia dan Indonesia? Itulah yang terus berlegar di fikiran penulis saat membaca akhbar harian mengenai sikap segelintir penduduk Republik itu yang tidak henti-henti terus mencanangkan semboyan ‘Ganyang Malaysia’. Malaysia dan Indonesia, walaupun serumpun dan nampak seperti sama, kedua-dua Bangsa ini sebenarnya memiliki perbezaan yang ketara. Salah satunya adalah dari segi perkataan. Terdapat sejumlah perkataan yang berbeza membawa maksud yang sama. Sebagai contoh, basikal dalam Bahasa Melayu dipanggil sebagai ‘Sepeda’ dalam Bahasa Indonesia, ataupun Akaun dalam Bahasa Melayu dipanggil sebagai ‘Rekening’ dalam Bahasa Indonesia. Tapi yang menjadi masalah adalah apabila perkataan yang sama membawa maksud yang berbeza bagi kedua-dua Bahasa ini.

Yang paling jelas, adalah mengenai ‘Melayu’. Definisi ‘Melayu’ di Malaysia adalah berbeza dengan definisi ‘Melayu’ di Indonesia. Di Malaysia, maksud ‘Melayu’ dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu berketurunan Melayu, bertutur dalam Bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu, serta beragama Islam. Apa yang lebih penting, definisi ‘Melayu’ di Malaysia adalah dalam konteks yang lebih luas, iaitu sebagai ‘Ras’ (Race), bukannya terhad kepada etnik. Justeru itulah, kita dapat lihat selain daripada Melayu Anak Negeri seperti Melayu Kedah, Melayu Kelantan, Melayu Pahang dan sebagainya yang memang berasal dari tanah Semenanjung, kumpulan-kumpulan Melayu Anak Dagang yang berasal dari seluruh kepulauan Nusantara tetapi berhijrah ke semenanjung seperti Jawa, Bugis, Rawa, Minang, Acheh, dan sebagainya juga dipanggil sebagai ‘Melayu’. Namun begitu, disebabkan Perlembagaan Persekutuan telah mengikat Melayu itu mesti beragama Islam, maka beberapa rumpun Melayu lain seperti Orang Asli, Melanau, Iban, Dusun, dan sebagainya tidak ditakrifkan sebagai ‘Melayu’ di negara kita.

Berbeza pula di Indonesia, definisi ‘Melayu’ adalah lebih sempit, iaitu tidak lebih dari sekadar salah satu etnik (atau ‘Suku’ dalam Bahasa Indonesia) daripada puluhan kumpulan etnik di Republik itu. ‘Melayu’ dalam konteks Indonesia tidak lebih sebagai penduduk pribumi di sepanjang kawasan pantai timur Pulau Sumatera dan pantai barat Kalimantan Barat, seperti Deli, Riau, Jambi, Pontianak, dan sebagainya. Etnik lain, walaupun beragama Islam, seperti Jawa, Sunda, Madura, Acheh, Minang, Batak, Lampung, dan sebagainya, tidak ditakrifkan sebagai ‘Melayu’, tetapi menggunapakai nama etnik mereka sendiri. Justeru itulah, sebagai contoh, apabila Kerajaan cuba menonjolkan tarian ‘Barongan’ yang dimainkan oleh masyarakat Melayu berketurunan Jawa sejak ratusan tahun di negeri Johor sebagai ikon tarikan pelancongan, berlaku kekeliruan di pihak Indonesia kerana tarian Barongan di Malaysia merupakan versi lain kepada tarian ‘Reog Ponorogo’ yang dimainkan di tanah Jawa oleh penduduk tempatan. Mereka tidak faham bagaimana masyarakat ‘Melayu’ di Malaysia boleh memainkan tarian ‘Jawa’ dan kemudian mendakwa ia merupakan tarian ‘Asli’ Negeri Johor. Mereka tidak faham mengapa kartun Upin Ipin yang bernuansa ‘Melayu’ boleh menyelitkan masakan rendang kerana pada mereka, Rendang adalah masakan suku Minang. Walhal Orang Minang telah lama menetap di semenanjung, malahan mempunyai sebuah negeri di sini!

Salah satu lagi perkataan yang sering menimbulkan salah faham adalah ‘Asli’. Di Malaysia, ‘Asli’ dirujuk sebagai sesuatu yang tradisional. Sebagai contoh, Tarian ‘Asli’, masakan ‘Asli’, dan sebagainya. Sedangkan di Indonesia, perkataan ‘Asli’ merujuk kepada sesuatu yang berasal dari tempatnya. Sebagai contoh, Tarian Barongan merupakan tarian ‘asli’ di Negeri Johor, bermaksud tarian ini adalah tarian tradisional yang dimainkan di negeri ini. Apabila masyarakat Indonesia membaca kenyataan tersebut, pada pemahaman mereka, Malaysia mendakwa tarian tersebut berasal dari Negeri Johor sedangkan umum tahu ianya berasal dari Pulau Jawa.



Tarian Barongan oleh masyarakat Melayu keturunan Jawa di Johor



Tarian Reog Ponorogo di Pulau Jawa


‘The Hidden Hand’ yang memang berniat memecahbelahkan kedua-dua bangsa serumpun dan seagama ini amat-amat memahami perkara inilah. Mereka juga tahu kelemahan Bangsa Indonesia yang amat mudah diprovokasi kerana sebahagian besarnya berpendidikan rendah dan berfikiran tertutup. Justeru itulah, amat mudah bagi mereka memercikkan api permusuhan dengan mengubahsuai iklan pelancongan Malaysia didalangi oleh Discovery Channel yang berpusat di Singapura dengan menyelitkan Tarian Pendet yang berasal dari Bali. Mereka tahu, masyarakat Bali yang beragama Hindu tidak terdapat di Malaysia dan Malaysia tidak akan dapat dapat memberi penjelasan sebagaimana isu persamaan tarian Barongan dengan Reog Ponorogo. Akhbar-akhbar dan media massa di Republik itu yang sentiasa dahagakan isu-isu hangat tidak ada masa untuk membuat semakan dan siasatan mengenai kesahihan iklan tersebut sebaliknya mengejar rating berdasarkan sentimen semasa rakyat Republik itu yang masih terkesan dengan kehilangan Pulau Sipadan dan Ligitan yang didakwa kononnya sebagai milik mereka warisan dari Kesultanan Bulungan (walhal Pemerintah mereka jugalah yang sibuk menghapuskan sebahagian besar Kesultanan dan Kerajaan semasa Republik itu mahukan kemerdekaan).





Agaknya mereka terlupa bahawa kawasan selatan Thailand, Malaysia, Singapura, Brunei, selatan Filipina dan Indonesia dihuni oleh Bangsa yang serumpun. Idea mengenai ‘serumpun’ ini tidak laku kepada segelintir rakyat Indonesia yang telah tertutup mata dan hati mereka. Persoalan penulis, mengapa mereka tidak menghentam Singapura yang mempromosikan masakan masyarakat Melayu di Republik tersebut seperti Rendang dan Satay dalam pelancongan ‘Uniquely Singapore’? Mengapa mereka tidak pula bertindak seperti beruk untuk mencerca Brunei yang turut memakai Baju Batik? Atau lebih jauh, mengapa mereka tidak menghentam negara Surinam dan New Caledonia apabila masyarakat Jawa di negara tersebut masih mengamalkan adat istiadat Jawa dan memakan masakan Jawa?


SEBAB APA??? KERANA BAHASA DAN BUDAYA ADALAH MILIK BANGSA!!! BUKANNYA MILIK SESUATU NEGARA!!!



Tarian Kuda Kepang yang dimainkan oleh etnik Jawa di Negara Surinam


Orang-orang etnik Han yang berhijrah ke Taiwan, Malaysia, atau kemana-mana sahaja masih membawa bersama bahasa dan budaya Cina kerana itu adalah hak mereka. Pernahkah kita dengar Republik Rakyat China menghentam Taiwan sebagai pencuri kerana persamaan budaya mereka??!! Pernahkah Jepun mencerca Korea dan China kerana mereka turut menggunakan Chopstik semasa makan??!! Pernahkah Kerajaan India mengentam Malaysia kerana menonjolkan tarian etnik Tamil dalam iklan perlancongan Malaysia??!! Tidak sama sekali bukan??!!


KEKECOHAN MENGENAI ISU SIAPA PEMILIK SEBENAR BUDAYA BAGI SATU BANGSA SERUMPUN HANYA DITIMBULKAN OLEH KAUM YANG TIDAK BERTAMADUN DAN BERPELAJARAN RENDAH!!!




Dua perkataan di atas adalah sekadar contoh bagi menjelaskan perbezaan yang wujud antara kedua-dua negara ini yang sebenarnya, hanyalah perkara remeh disebabkan salah faham yang boleh diselesaikan melalui perbincangan secara baik. Namun begitu, perkara pokok sebenarnya adalah sentimen rakyat Republik tersebut bahawa Indonesia merupakan ‘Abang besar’ dan Malaysia adalah ‘Adik kecil’ yang perlu sentiasa beralah. Mereka tidak dapat menerima hakikat apabila Malaysia yang masih ketinggalan semasa merdeka dahulu kini telah jauh meninggalkan mereka dari segi kemajuan dan kemodenan. Mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa kartun Upin Ipin telah berjaya menarik minat anak-anak kecil mereka hinggakan mereka tergocoh gacah menerbitkan kartun sendiri tetapi tidak berjaya mencipta fenomena sebagaimana Upin Ipin.



Upin & Ipin bersama Susanti, watak anak dari Jakarta, Indonesia, yang diwujudkan bagi memberi gambaran keharmonian dua Bangsa serumpun


Malaysia bukanlah adik kepada Indonesia, walaupun negara kita agak lewat merdeka, lebih sedikit penduduk, dan lebih kecil saiz keluasannya. Malaysia adalah negara berdaulat yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Indonesia. Selagi perasaan hormat kepada Malaysia tidak ditanamkan kepada penduduk Indonesia, selagi itulah isu-isu remeh temeh seperti siapa pemilik sebenar Rendang, Batik, dan sebagainya akan terus menghantui hubungan baik kedua-dua negara.