Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Wednesday, December 15, 2010

Penobatan Raja Baru Kesultanan Banjar





Beberapa bulan yang lalu, penulis telah mendapat undangan daripada seorang rakan, yang merupakan pengkaji sejarah Kerajaan/Kesultanan di Indonesia, untuk menghadiri Majlis Penobatan (atau mungkin lebih tepat, Pertabalan) Raja Muda bagi Kesultanan Banjar, sebuah Kerajaan Melayu yang terletak di wilayah Kalimantan Selatan, Indonesia, pada hari ini.



Menarik sekali apabila gambar 'Naga' jelas kelihatan (Ya, lepas ni golongan sesat Sayyam Cadburi boleh dakwa Raja Banjar ni salah seorang 'Raja Daerah' Maharaja khayalan mereka)


Walaubagaimanapun, kerana kekangan masa, penulis menolak pelawaan tersebut. Dan baru-baru ini, rakan tersebut telah mengirimkan beberapa buah gambar menarik untuk tatapan penulis. Penulis dimaklumkan Raja Banjar yang baru itu bernama Pangeran Khairul Saleh, berjawatan Bupati bagi Kabupaten Banjarmasin. Jika di negara kita, Bupati ini boleh disama tarafkan dengan jawatan Residen Bahagian di Sabah atau Sarawak. Dan Majlis Penobatan tersebut telah berlangsung pada hujung minggu yang lalu.





Bukanlah maklumat mengenai Raja itu sebenarnya yang menarik perhatian penulis, tetapi sikap dan kesungguhan masyarakat Banjar di sana yang sebenarnya menjadi minat penulis. Akhir-akhir ini, di negara kita, kaum Melayu dan Bumiputera di serang habis-habisan, bukan sahaja oleh kumpulan Ultra-Kiasu, malahan juga dari segelintir orang-orang Melayu sendiri yang telah lupa diri atas sebab kepentingan politik. Bukan lagi rahsia, salah satu daripada intipati keistimewaan dan Ketuanan Melayu yang kerap dihina dan disindir terutamanya di alam maya adalah mengenai Raja-raja Melayu. Ada yang memberikan pandangan menghina, apa relevannya sistem Beraja pada abad milenium ini? Ada yang mengata secara kutukan, bagaimana negara kita boleh mempunyai sehingga 9 orang Raja? (penyakit buta sejarah, biasalah). Dan ratusan lagi soalan yang sengaja ditimbulkan untuk menggoyahkan pegangan masyarakat Melayu tentang hak dan keistimewaan Bumiputera di negara kita.






Raja Banjar yang baru menjulang keris, satu 'dosa yang maha besar' jika dilakukan oleh orang-orang Melayu di negara kita pada hari ini.


Berbalik kepada kisah Penobatan Raja Banjar itu tadi, secara ringkasnya Kesultanan Banjar telah diasaskan sekitar tahun 1520, menerima Islam pada tahun 1526, dan telah dihapuskan oleh penjajah Belanda pada 11 Jun 1860. Ini bermakna Kesultanan Banjar telah terhapus selama lebih daripada 150 tahun sebelum ini!!! Mengapakah masyarakat setempat di Kalimantan Selatan ini berusaha gigih dan menyokong pengembalian institusi beraja di wilayah mereka pada zaman milenium yang serba canggih ini?!! Ironinya, di negara kita, segelintir masyarakat menganggap institusi beraja merupakan satu sistem kuno yang telah lapuk dan usang serta perlu dihapuskan jika mereka berkuasa.






Sekali pandang macam pakaian Rejimen Askar Melayu Diraja di negara kita


Penobatan Raja Banjar ini juga turut mendapat sokongan daripada Pemerintah negara dan setempat. Perkara ini dapat dibuktikan melalui kehadiran Bapak Jero Wacik, Menteri Budaya dan Parawisata Indonesia, serta Bapak Rudy Arifin, Gabenor Propinsi Kalimantan Selatan. Janganlah dihairankan apabila Pemerintah Indonesia yang merupakan sebuah negara Republik menyokong penobatan tersebut, kerana Raja ini sebenarnya tidak mempunyai kuasa langsung sebagaimana Raja-raja Melayu di negara kita. Ia hanya berperanan sebagai simbol dan penjaga seni kebudayaan masyarakat setempat sahaja bagi menarik kehadiran pelancong (Mungkinkah satu hari nanti akan berlaku juga di negara kita?).





Sebelum terlupa, masyarakat Banjar juga ramai terdapat di Malaysia. Antara penempatan masyarakat Melayu berketurunan Banjar di negara kita adalah di Batu Pahat, Johor, Sabak Bernam dan Tanjung Karang, Selangor, serta Bagan Datoh di Perak. Walaupun mirip dengan masyarakat Melayu, etnik Banjar juga mempunyai bahasa dan budayanya yang tersendiri.


Nota :

1) ‘Parawisata’ dalam Bahasa Melayu bermaksud ‘Pelancongan’

2) ‘Bapak’ merupakan panggilan kehormatan di Indonesia sebagaimana panggilan ‘Encik’ atau ‘Tuan’ di negara kita.