
Lambang dan bendera Kerajaan Kutaringin
Di Propinsi Kalimantan Tengah, Indonesia, pernah berdiri sebuah Kerajaan Melayu yang bernama Kutaringin. Kadang kala, nama negeri ini juga dieja sebagai Kota Waringin. Kerajaan ini merupakan satu satu Kerajaan Melayu yang bertahan agak lama di Indonesia, iaitu sejak abad ke-16 hinggalah abad ke-19, dengan 14 orang Sultan kesemuanya yang pernah memerintah. Walaubagaimanapun, nama Kutaringin ini sebenarnya telah disebut lebih awal, iaitu dalam kitab ‘Negarakertagama’, iaitu apabila Negeri Kutaringin dinyatakan sebagai sebahagian daripada wilayah Tanjung Nagara yang tunduk kepada empayar Majapahit.

Peta wilayah Kerajaan Kutaringin berwarna kuning
Pada asalnya, wilayah Kutaringin ini adalah di bawah pengaruh Kerajaan Banjar yang berpusat di Kalimantan Selatan. Sebelum wujudnya Sultan yang memerintah kawasan tersebut, Raja-raja Kerajaan Banjar yang menguasai kawasan pantai selatan dan tenggara pulau Borneo telah mengirimkan wakil-wakilnya untuk mengutip cukai termasuklah di wilayah Kutaringin. Bahkan, para Sultan Kutaringin sebenarnya adalah berketurunan dari Dinasti Banjar. Raja pertamanya, iaitu Pangeran Dipati Anta-Kasuma merupakan anak keempat kepada Sultan Banjar ke-4, iaitu Sultan Mustain Billlah. Pangeran Dipati Anta-Kasuma telah menggantikan bapa mertuanya, Dipati Ngganding yang sebelum itu merupakan Adipati (lebih kurang seperti Gabenor) untuk menjadi penguasa Negeri Kutaringin tetapi masih di bawah pengaruh Kerajaan Banjar. Disebabkan itulah, Raja-raja Negeri Kutaringin kebiasaannya memakai gelar Pangeran jika berada di Negeri Banjar, tetapi menggunakan gelaran Sultan di negerinya sendiri. Kerajaan Kutaringin ini mencapai zaman kemuncaknya ketika era pemerintahan rajanya yang ke-7 iaitu Pangeran Ratu Bengawan sekitar kurun ke-18.
Semasa fasa awal pasca kemerdekaan Indonesia, iaitu pada awal Januari 1946, Negeri Kutaringin telah diduduki oleh Belanda dan kemudiannya dimasukkan sebagai sebahagian daripada wilayah Negara Dayak Besar, sebuah negara yang disokong oleh penjajah Belanda bagi memecahbelahkan republik tersebut. Walaubagaimanapun, Negeri Kutaringin secara rasminya telah bergabung semula di dalam kesatuan Republik Indonesia pada 1 Mei 1950 dan negeri ini ditukar statusnya menjadi sebuah Kabupaten (seperti Bahagian di Sabah dan Sarawak) di dalam Propinsi Kalimantan Tengah.

Istana Kuning, lambang Kerajaan Kutaringin
Dengan berakhirnya kedaulatan Kerajaan Kutaringin, maka para bangsawan dan kerabat Di Raja Kutaringin tidak lagi memegang jawatan-jawatan dalam pemerintahan. Hanya beberapa keturunan Sultan dan bangsawan sahaja yang sebelum itu sudah bekerja sebagai pegawai pemerintahan tetap memegang jawatan di dalam pemerintahan Indonesia yang merupakan sebuah negara bercorak Republik.
Pada hari ini, sebagaimana yang berlaku di wilayah lain di Indonesia, para waris Kerajaan Kutaringin telah sepakat untuk mengangkat salah seorang zuriat kerabat mereka untuk bertindak sebagai Sultan Kutaringin yang baru bagi tujuan melestarikan budaya tempatan dan sebagai penjaga kepada pusaka Kerajaan Kutaringin, termasuklah adat istiadat dan peninggalan leluhur mereka. Pangeran Alidin Sukma Alamsyah, zuriat kanan kesultanan tersebut telah terpilih dan telah ditabalkan secara rasminya sebagai Sultan Kutaringin ke-15 dengan gelaran Sultan Alidin Sukma Alamsyah pada 16 Mei 2010 yang lalu.

Sultan Alidin Sukma Alamsyah, Raja Kutaringin ke-15 bersama keluarganya
Nota : Sebuah lagi negeri Melayu yang terdapat di Pulau Borneo adalah Negara Brunei Darussalam. Walaubagaimanapun, memandangkan semua orang telah maklum tentang negeri ini dan maklumat mengenainya juga mudah diperolehi di internet, maka rasanya tidak perlu untuk dikeluarkan artikel mengenai Brunei.

tak apa tuan, jika ada apa2 maklumat menarik, harap masih boleh dikongsi...
ReplyDeleteTahniah tuan di atas pendedahan yang diberikan. Terima kasih
ReplyDeleteKutaringin ni dulu dalam wilayah Kerajan Melayu Jambi ke Bro??
ReplyDeleteAssalamualaikum,
ReplyDeleteKerajaan Melayu Jambi terletak di tenggara pulau Sumatera. Kerajaan Melayu Kutaringin pula terletak di selatan pulau Borneo.
Setakat yang saya tahu, tak ada pula Kerajaan Kutaringin ni di bawah Kerajaan Jambi.
Salam hormat,
Boleh cerita tentang kerajaan haram cina, republik Lanfang (Lanfang Repulik) di Kalimantan Tengah semasa kehadiran Belanda? Macam mana republik tersebut boleh ditubuhkan di tengah-tengah kewujudan kesultanan dan kerajaan tempatan?
ReplyDeleteterima kasih atas cadangan. sebenarnya saya tak berapa berminat dengan cerita republik lanfang tu. ia bukan kat kalimantan tengah, tapi kat kalimantan barat & pernah berperang dgn bbrp kerajaan Melayu. pada saya, ia sebenarnya hanya kongsi gelap, tak layak dipanggil pun sebuah negara.
ReplyDeleteAnyway, jika ada maklumat menarik tentang republik lanfang ini nanti, Insya Allah saya akan siarkan.
Salam hormat,
Kenapa agaknya orang Kotawaringin, orang Banjar dan seumpamanya di Kalimantan boleh di dipanggil Melayu, tetapi orang Minangkabau di Sumatra tidak mahu dikategorikan ke dalam kelompok Melayu? Orang Sambas pula telah dikeluarkan daripada Melayu. Kini mereka mempunyai suku tersendiri iaitu suku Sambas.
ReplyDeleteKepada saudara anon 9:01,
ReplyDeleteDi Kalimantan, Banjar dan Melayu dianggap dua etnik berbeza. Ada juga yang memilih kedua2 identiti kerana percampuran darah akibat perkahwinan dan budaya kedua2 etnik yang hampir sama.
Di Sumatera, memang suku Minang dianggap berbeza dengan Melayu, begitu juga dengan suku Acheh dan suku Batak-Muslim seperti Mandailing.
Dalam sensus tahun 2000 di Indonesia, memang ada suku Melayu yang memilih identiti suku yang lebih spesifik di Kalimantan, seperti suku Sambas dan suku Kutai. Namun secara umumnya, mereka adalah Melayu Kalimantan. Harap dapat membantu.
Salam hormat,
IBNU RUSYDI