Featured Post

Kenapa Singapura Lebih Maju?

Sudah beberapa hari berlalu sejak negara jiran kita iaitu Singapura menyambut Hari Kemerdekaannya yang ke-50 pada 9 Ogos yang lalu. Nam...

Friday, July 1, 2011

Negeri-negeri Melayu di Tengah dan Selatan Sumatera

Sebelum ini, penulis telah dedahkan mengenai kehancuran Kesultanan-kesultanan Melayu di wilayah Sumatera Timur iaitu Langkat, Deli, Serdang Darul Arif dan Asahan. Artikel ini merupakan siri terakhir bagi ‘Negeri-negeri Melayu di luar Malaysia’, iaitu dengan menyusuri pula ke beberapa buah negeri Melayu di kawasan wilayah tengah dan selatan pulau Sumatera. Untuk makluman, artikel ini tidak akan memasukkan Kerajaan Minangkabau dan Kesultanan Acheh Darussalam kerana di Indonesia, suku Minang dan suku Acheh dianggap sebagai dua etnik yang berbeza dengan suku Melayu.





Wilayah Melayu di pulau Sumatera terbentang luas daripada Temiang di sebelah utara yang bersempadan dengan Acheh, hinggalah ke Palembang di sebelah selatan yang bersempadan dengan Lampung. Selain daripada negeri-negeri Melayu di Sumatera Timur, terdapat juga enam buah negeri Melayu di kawasan tengah dan selatan pulau Sumatera iaitu bermula dengan Kesultanan Lingga (termasuk kepulauan Riau), Kesultanan Siak Sri Indrapura, Kesultanan Pelalawan, Kesultanan Indragiri, Kesultanan Jambi dan Kesultanan Palembang. Daripada enam Kesultanan Melayu tersebut, sebanyak empat daripadanya mempunyai kaitan rapat dengan Kesultanan Melaka dan pewarisnya iaitu Kesultanan Johor yang berpusat di semenanjung Tanah Melayu.

Paling menarik minat penulis, adalah mengenai asal kewujudan Kesultanan Indragiri. Sejarah umum menyatakan bahawa Kerajaan ini berdiri pada tahun 1298 dan didirikan oleh Putera Mahkota Kerajaan Melaka yang bernama Raja Merlang I. Ketika tempoh awal penubuhannya, Raja-raja Indragiri dikatakan masih berkedudukan di Negeri Melaka. Perhatikan tarikh penubuhan Kerajaan ini yang dikatakan bermula pada tahun 1298, sedangkan persepsi umum menerima bahawa Kesultanan Melaka hanya mula didirikan sekitar tahun 1400-an Masihi.

Semasa berbincang dengan waris Raja Indragiri, penulis mengusulkan bahawa ‘Melaka’ yang dinyatakan disini sebenarnya merujuk kepada Kerajaan Singapura Tua. Penulis memberi hujah, isu ini sama seperti kisah Raja Brunei iaitu Awang Alak Betatar @ Sultan Muhammad Syah yang telah memeluk Islam pada tahun 1363 hasil perkahwinannya dengan Puteri Pingai, puteri Sultan Iskandar Syah dari Negeri Johor, sedangkan Kesultanan Johor hanya bermula selepas kejatuhan Kesultanan Melaka pada tahun 1511 Masihi. Maklumat dari Pusat Sejarah Brunei bersepakat menyatakan bahawa Puteri ‘Johor’ yang dinyatakan disini adalah Kerajaan Singapura Tua iaitu waris daripada Sang Nila Utama. Waris Raja Indragiri itu tidak menolak kemungkinan tersebut. Walaubagaimanapun, beliau juga menegaskan tidak mustahil juga Raja Indragiri yang pertama ini merupakan zuriat langsung dari Maharaja Srivijaya yang berpusat di Palembang.



Lambang Kesultanan Siak dan Kesultanan Pelalawan berbentuk naga beralih (dua naga saling mengadap). Dikatakan lambang Kesultanan Indragiri juga berbentuk begini sebagaimana yang terdapat di istana asal Indragiri yang telah runtuh ke dalam sungai pada tahun 1960-an.


Kesultanan Siak Sri Indrapura dan Kesultanan Pelalawan pula merupakan dua buah Kerajaan Melayu bersaudara. Kesultanan Siak diasaskan oleh Raja Kecil, yang dibesarkan di Pagaruyung (Minangkabau) dan mendakwa dirinya sebagai pewaris yang sah bagi Sultan Mahmud Syah II, Sultan Johor lama yang telah mangkat tanpa meninggalkan sebarang waris. Raja Kecil kemudiannya berjaya menduduki tahkta Johor lama dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah I, tetapi tidak lama kemudian disingkirkan oleh bangsawan Bugis sebelum berundur ke Siak dan mendirikan Kerajaan baru. Kesultanan Pelalawan pula didirikan pada awal abad ke-19 oleh Syarif Abdul Rahman, saudara kepada Sultan Ali, Raja Siak. Baginda telah mengambil alih kedudukan Pelalawan dan menjadi penguasa di kawasan tersebut, dengan mendapat perkenan daripada Sultan Siak dan diakui oleh penjajah Belanda.



Tokoh korporat negara, Tan Sri Syed Yusuf bin Tun Syed Nasir, yang berketurunan Sultan Siak, menerima Anugerah Adat Kesultanan Siak.


Kesultanan Lingga pula wujud selepas perpecahan empayar Johor lama yang pada asalnya merangkumi Negeri Pahang moden, Johor moden, pulau Singapura, serta kepulauan Riau, tetapi telah berpecah kesan daripada perjanjian Anglo-Dutch Treaty 1824. Putera tertua kepada Sultan Mahmud Syah III dari empayar Johor lama, iaitu Tengku Hussein dilantik menjadi Raja Johor dengan berpusat di Singapura yang di bawah pengaruh Inggeris, sementara kekanda tirinya, Tengku Abdul Rahman pula yang sebelum itu mewarisi takhta Johor lama, menjadi Raja Lingga yang menguasai kepulauan Riau yang di bawah pengaruh Belanda. Perjanjian inilah yang telah memecahkan hubungan erat antara negeri-negeri Melayu di semenanjung Tanah Melayu dengan negeri-negeri Melayu di Sumatera dan membentuk sempadan politik Malaysia-Indonesia seperti yang wujud pada hari ini. Kesultanan Lingga telah dihapuskan oleh penjajah Belanda tanggal 3 Februari 1911, dan sebelum itu, penjajah Belanda juga telah menghapuskan Kesultanan Palembang pada tahun 1825 dan Kesultanan Jambi pada tahun 1906.

Menjelang fasa kemerdekaan Republik Indonesia, hanya tiga buah negeri sahaja yang masih diperintah oleh Raja-raja Melayu iaitu Siak, Pelalawan dan Indragiri. Walaubagaimanapun, berbeza dengan pendirian Raja-raja Melayu di Sumatera Timur yang masih berkeras mempertahankan kuasa dan negeri mereka, Raja-raja Siak, Pelalawan dan Indragiri pula bersedia untuk turun daripada takhta dan menyerahkan kekuasaan mereka kepada pihak Republik yang berpusat di Jakarta. Sejarah kemudian telah mencatatkan nasib dan tragedi yang menimpa Raja-raja Melayu serta kerabat mereka di Sumatera Timur.

Pada hari ini, para pewaris dan kerabat Kesultanan Melayu di wilayah tengah dan selatan Sumatera juga tidak ketinggalan untuk membangunkan kembali institusi Raja Melayu untuk melestarikan warisan dan kebudayaan negeri mereka. Terdapat sebilangan dari mereka yang sangat aktif dengan menyertai Festival-festival Keraton yang diadakan di Indonesia.



Tengku Abdul Rahman, waris Kesultanan Lingga



Tengku Mukhtar Anum, Raja Siak



Tengku Kamaruddin Haroen, Raja Pelalawan



Tengku Arief ibni Sultan Mahmud Syah, Raja Indragiri



Tengku Abdul Rahman Thaha Syaifuddin, waris Kesultanan Jambi



Sultan Iskandar Mahmud Badaruddin, Raja Palembang bersama isterinya


Lihat juga catatan lama :

Negeri-negeri Melayu di Sumatera Timur


Nota : Dengan selesainyanya siri ‘Negeri-negeri Melayu di luar Malaysia’, penulis ingin memohon kemaafan kerana akan berehat panjang dari menulis. Penulis ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ‘follower’ dan pengunjung atas sokongan dan minat yang telah diberikan terhadap blog ini. Segala yang baik datang dari Allah, yang buruk dari kelemahan penulis sebagai insan biasa. Salam hormat.

20 comments:

  1. saya pernah baca satu artikel, tapi x ingat kat mana. dlm artikel tu, dinyatakan penduduk di Riau lebih suka bergabung dengan Malaysia sbb kaitan budaya & bangsa yang sama, jika dibandingkan dengan Indonesia yang majoritinya jawa...

    ReplyDelete
  2. sayang kaum serumpun dipecah-pecahkan oleh penjajah jahanam. Semoga Allah menyatukan hati2 kita semua umat Islam Nusantara. Terima kasih tuan ibnu rusydi atas artikel ini...

    ReplyDelete
  3. Saya terpanggil untuk menyatakan kesetiaan saya pada DYMM Raja Raja kita. Empire Melaka sebenarnya dirampas kemudian dijajah, dibahagi-bahagikan, dijual. Selepas merdeka,mungkin pejuang2 kemerdekaan yang saya hormati terlepaspandang untuk berusaha menghidupkan kembali kesultanan silam Tanah Melayu, Serawak dan North Borneo. Raja adil didahulukan dan rakyat setia tentunya akan sedia berkorban untuk Agama, Bangsa dan Negara !

    ReplyDelete
  4. Kenapa ye, orang yang dah ada sultan nak hapuskan sultan. Negeri-negeri yang pernah rasa bersultan tapi dah dibuang nak adakan balik sultan. Apa rahsia yang ada disebalik sultan?

    Kenapa ye rakyat Melaka tak minta diadakan sultan balik? Waris sah dah sedia ada.

    ReplyDelete
  5. "carila dikau akan SRIKANDI VI itu!" titah Sang kelembai menurut bicara si hambanya. "Kelak bertiga akan difahami" ber3 la woit! BERTIGA! 30 itu bukan gado2, itu cokia meh, ini KOSONG TIADA

    ;PpPpP

    ReplyDelete
  6. salam buat saudara ibnu rusydi,

    tumpang bertanya.mengapa suku minang dan suku aceh tidak dianggap melayu?mohon maaf kalau jawapannya sudah ada di posting yang sudah2, mungkin saya tak berjumpa.

    mohon pencerahan..

    terima kasih,

    wassalam

    -siddiqnasir-

    ReplyDelete
  7. Waalaikumussalam buat saudara Siddiq Nasir,

    Di Indonesia, Melayu adalah suku (ethnic), bukannya ras (race) sebagaimana yang digunakan di Malaysia.

    Orang Minang dan orang Acheh mempunyai loghat/bahasa serta budaya yang sedikit berbeza dengan Melayu pesisir pantai Sumatera (coastal Malay). Mungkin disebabkan inilah, mereka dikategorikan sebagai etnik yang tersendiri.

    Begitu juga dengan suku2 lain seperti Banjar, Jawa, Bugis, dsb. Juga tidak dianggap sebagai Melayu di Indonesia.

    Harap dapat membantu.

    Salam hormat.

    IBNU RUSYDI

    ReplyDelete
  8. apa signifikan batu ini dgn perkara akhir zaman?
    http://www.youtube.com/watch?v=BfOGSIHx9go

    ReplyDelete
  9. Saya bersetuju dgn kesetiaan kepada DYMM Raja Raja Melayu. Kesatuan Melayu yang pertama adalah semasa menentang Malayan Union yang menubuhkan Malaysia sbg Negara berpelembagaan dgn mengangkat Sultan sbg Yang Dipertuan Agung lebih tinggi drp parti politik. Perdana Menteri pertama bijak menyatukan Sabah & Sarawak tp tolak Singapore untuk mengelakkan pengaruh Ultrakiasu & Sosialisme. Juga membendung pengaruh Presiden Sukarno masa era Konfrontasi yang bercita-cita menubuhkan Republik Melayu Raya merangkumi seluruh Nusantara Melayu yang secara tak langsung akan menghapuskan Kesultanan Melayu dan menyemaikan fahaman Komunisme.

    ReplyDelete
  10. Assalamualikumm..wrt.
    salam perkenalan, sudah lama hamba mengikuti artikel-artikel hebat tuan IBNU RUSYDI secara diam-diam , kini terpanggil hati hamba ini untuk bersama mencari kebenaran yang hakiki.Dan semoga tuan hamba akan terus membongkar rahsia sejarang bangsa di Alam Nusantara ini. Wassalam.

    ReplyDelete
  11. Assalamualaikum

    Sejak kebelakangan ini, saya sedang mencari identiti suku Melayu saya. Saya diberitahu oleh bapa saudara saya bahawa kami ini adalah suku Mandailing dari Sumatera. Kononnya kami golongan bangsawan dari sana yang lari ke Tanah Semenanjung. Setahu saya, moyang saya berasal dari Kedah (area Baling). Wujudkah komuniti Mandailing di Kedah? Kalau benarlah dakwaan bapa saudara saya bahawa kami ini dari bangsawan Mandailing yg lari ke Semenanjung, ada apa2 rujukan yg dapat saudara berikan kepada sy?

    ReplyDelete
    Replies
    1. baling tang mana orang mandailing memang ada lagi kat baling tapi tak ramai hangkroh@gmail.com utk keterangan lanjut guna email tu

      Delete
    2. saya juga adalah suku Mandailing. memang mengikut dari pertemuan dengan orang yang lebih tua sememangnya suku Mandailing ini berada di Baling. Keluarga kami membuka penempatan di sekitar Selayang-Keramat dan Petaling Jaya-Puchong.

      p/s: Meskipun Mandailing sering dikaitkan dengan Batak, namun rata-rata orang Mandailing menolak tanggapan ini. hal ini disebabkan karena perbedaan agama, kerana rata-rata orang Batak menganut agama Kristen sedangkan orang Mandailing kebanyakan menganut agama islam. Menurut Basyral Hamidy Harahap, orang Mandailing yang merantau ke semenanjung tanah melayu memiliki sifat-sifat keberanian, berilmu agama, elmu hadatuon (ilmu pendukunan) dan memiliki semangat ingin maju. Penghijrahan beramai-ramai dipercayai berlaku selepas Perang Padri (1816-1833). Selain itu keinginan untuk menuntut ilmu agama, berniaga, membawa diri kerana perselisihan faham di kalangan ahli-ahli keluarga atau menghindarkan penjajahan Belanda juga menjadi faktor kedatangan mereka ke semenanjung.

      anwar.medic@gmail.com

      Delete
    3. Assmlkm, en Zuwairi, Baling kat mana? Tidak ada kah Mendailing Kedah menjadi ahli Persatuan Mendailing Malaysia?

      Delete
  12. telah wujud usaha untuk membuktikan bahawa kesultanan melayu melaka bukan tertubuh pada 1403 ataupun 1398 malah lebih awal dari itu kemungkinannya pada 12XX...

    sama-sama kita nantikan hasil kajian ini

    ReplyDelete
    Replies
    1. As Salam....Panglima Hitam @ pengawal peribadi Diraja...yg dimaksudkn dgn Kesultanan Melayu Melaka itu sebenar2nya adakah merujuk kpd bandar hilir di negeri Melaka @ adakah sebenarnya ia merujuk kpd seluruh semenanjung MelaKa (nama lama semenanjung Tanah Melayu) dimana pd peta2 pelayaran Eropah dahulu dimana semenanjung dikenali sbg Melaka...apa pula pendapat Panglima mgenai duit syiling emas yg dijumpai penduduk tertanam dlm tembikar kwsn kg Ulu Melaka, Langkawi....

      Delete
  13. Waalaikumussalam,

    Kepada saudara Zuwairi, suku Mandailing adalah sebahagian daripada kaum Batak. Cuma mereka beragama Islam.

    Salam hormat,

    IBNU RUSYDI

    ReplyDelete
  14. Salam Saudara Ibnu Rusydi,

    Betul suku mandailing adalah sebahagian dari sub suku batak, dan mereka tidak menafikan fakta tersebut cuma mereka tidak suka dipanggil batak.. Suku mandailing akan terbahagi kepada beberapa keturunan yang kita boleh lihat dari nama mereka seperti harahap, Nasution, lubis, batubara, hasibuan dan banyak lagi.. Dari semua aspek mereka seperti bangsa melayu, agama, lemah lembut dan kebanyakan mereka berada di sumatera utara seperti Sidempuan (terkenal dengan buah salak kondok).. Mereka juga menggunakan bahasa tersendiri yang berlainan daripada bahasa yang digunakan oleh batak kristian di sumatera utara (original masih boleh dilihat di pendalaman seperti danau toba) dan terkenal dengan suku yang kasar percakapannya..

    Ini adalah hasil pemerhatian saya sepanjang lebih 3 tahun di Sumatera.. Terima kasih kerana berkongsi maklumat yang sangat penting buat saya dan orang yang merasa perkara ini penting.. Baru baca beberapa entri dan terus menyokong usaha anda.. Semoga anda diberi keberkatan.. Wassalam

    Terima kasih,

    Kija Izzu

    ReplyDelete
  15. Aslmkm
    Saya amati segala usaha untuk mengumpul sejarah dan warisan. Harap dapat beri pendapat sekiranya ada cara lain untuk mempastikan waris sebenar secara batin atau tanda-tanda tertentu selain dokumen yang dipamirkan secara zahir.

    ReplyDelete
  16. Assalam
    Sy adalah generasi ke 4 maindaling di kaw kg pekan lama Kuala Ketil Kedah dlm daerah Baling. Nenek moyang dtg dgn kapal suatu ketika dulu menyusuri sunga kuala ketil. Sy juga sdg mencari salasilah keturunan. Sy diphmkn nenek moyang lari dari Belanda dahulu. Wallahualam.

    ReplyDelete