Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Wednesday, February 2, 2011

Melayu Dituduh Pendatang?

IKARMAN Wagino, 54 dari Rengit, Johor mengaku datuknya berasal dari Jawa Tengah dan merantau ke negara ini pada 1905 dan berkahwin dengan orang tempatan.

Daeng Salim Daeng Kechik, 48 yang kini menetap di Kuala Lumpur juga mengesahkan ayah dan datuknya berketurunan Bugis yang berhijrah ke Johor.

Seorang lelaki dari Tumpat, Kelantan yang kini berusia 65 tahun pula menyatakan datuk dan neneknya adalah Melayu Champa dari Kemboja sebelum berhijrah ke Kelantan pada awal 1930-an manakala Mohd Mirza Gulam, 56 pula mengatakan datuknya berasal dari Pakistan dan berkahwin dengan rakyat tempatan.

Kini semua mereka adalah orang Melayu berwarganegara Malaysia. Cuma ada sesetengahnya berwajah kacukan dan campuran Cina, Mamak, Pakistan, India dan Arab. Malah rata-rata orang Melayu apabila ditanya asal-usul dan keturunan nenek moyang, mereka mengatakan adalah pendatang dari Indonesia, India, China, Kemboja malah dari Arab. Mereka seolah-olah tidak mahu mengatakan anak jati negara ini kerana dikhuairi dituduh keturunan Orang Asli.

Jika begitu andaiannya, Melayu yang menjadi penduduk majoriti negara ini bukanlah anak jati atau penduduk asal negara ini atau mereka juga mungkin layak dikatakan sebagai pendatang seperti Cina dan India. Jadi, siapa penduduk asal negara ini? Adakah Orang Asli boleh dikategorikan sebagai penduduk asal.






Petikan di atas sebenarnya adalah kata-kata pembuka untuk artikel di dalam Majalah Milenia Muslim keluaran September 2010 yang lalu. Saya tidak menyalahkan editor majalah tersebut yang memulakan artikelnya dengan petikan yang agak provokatif (biasalah, nak jual majalah!), kerana artikel tersebut sebenarnya sepanjang tiga muka surat, dan ia menerangkan justifikasi bahawa Melayu bukanlah pendatang di Tanah Melayu. Tetapi malangnya, petikan awal di atas ini telah digunakan sepenuhnya oleh sesetengah blogger Ultra-Kiasu yang sengaja ingin mengapi-apikan sentimen perkauman tanpa menyentuh langsung isi kandungan keseluruhan artikel tersebut.

Tidak terhad kepada blog-blog Ultra-Kiasu tersebut, sebenarnya bersepah-sepah komen oleh golongan tersebut, sama ada di dalam laman Facebook, Youtube, Blog dan pelbagai lagi yang memperlekehkan orang Melayu. Termasuklah yang ditulis bukan dalam Bahasa Malaysia (yang sudah pasti hanya boleh dibaca dan difahami oleh orang Melayu yang memahami Bahasa tersebut). Perkara biasa yang kita akan jumpa, Melayu di negara kita dituduh pendatang dari Sumatera, Jawa, Sulawesi dan lain-lain (terutamanya bila merujuk kepada sejarah pengasas Kesultanan Melaka iaitu Parameswara berasal dari Sumatera), dan kaum asal di Tanah Melayu adalah Orang Asli.

Rasanya telah penulis tekankan sebelum ini, untuk meneliti sejarah Malaysia perlu melihat kepada keseluruhan alam Melayu (Nusantara), jangan hanya terhad dari Perlis hingga ke Sabah semata-mata. Sempadan politik pada hari ini sebenarnya diwarisi daripada pecahan kawasan jajahan penjajah Barat terutamanya Inggeris dan Belanda. Kajian mengenai penduduk Bumiputera di sini pula perlu melihat dari aspek keseluruhan Ras (race) Austronesian, bukannya terhad kepada sesuatu suku atau etnik sahaja. Logikkah jika kita mengatakan (contoh sahaja ya!) bahawa Bumiputera Sarawak sebenarnya adalah orang Penan, sementara orang Iban dan Bidayuh pendatang dari Kalimantan Indonesia, Melayu Sarawak pendatang dari Sumatera, sementara Melanau pendatang dari suku Maranao di Filipina? Ataupun jika di Sabah (contoh juga ya), kita mendakwa Kadazan-Dusun pendatang dari Filipina, Bajau dan Bugis pendatang dari Sumatera dan Sulawesi, sementara hanya Murut sahaja Bumiputera asal Negeri Sabah?





Berbeza dengan kawasan lain di dunia, ambil contoh semenanjung Korea misalnya, penduduk asalnya adalah homogeneous, iaitu hanya terdiri dari satu kaum sahaja. Berbeza dengan wilayah Nusantara di mana penduduk asalnya adalah terdiri daripada pelbagai suku/etnik. Mengapa ini terjadi? Lihatlah kepada keadaan geografi Nusantara itu sendiri! Di Pulau Jawa, selain daripada kaum Jawa, Sunda, Betawi dan Madura, ada juga kaum asli iaitu Baduy dan Tengger. Adakah ini bermakna kaum Jawa, Sunda dan lain-lain adalah pendatang di Pulau Jawa? Di Sumatera pula, ada kaum Acheh, Minang, etnik-etnik Batak seperti Karo, Simalungun, Mandailing, dan tidak terkecuali juga, kaum Melayu dan Orang Asli. Ya, diulangi, Melayu dan Orang Asli juga ada di Sumatera. Jika di semenanjung Tanah Melayu, orang Melayu dikatakan pendatang dari Sumatera hanya kerana wujudnya masyarakat Orang Asli. Maka bagaimana pula halnya Melayu di Sumatera yang wujud juga masyarakat Orang Asli seperti Talang Mamak, Sakai, Akit dan lain-lain? Melayu Sumatera itu pendatang dari mana pulak? Planet Zargus??? (Pinjam ayat Srikandi, tanpa izin).



Orang Asli dari suku Talang Mamak di Pulau Sumatera


Apa istilah yang digunakan oleh pengkaji Barat terhadap orang Melayu dan Orang Asli? Orang Asli dipanggil ‘Proto-Malay’, sementara Melayu adalah ‘Deutro-Malay’ (lihat, nama MELAYU juga yang digunapakai!). Hanya kerana Melayu memegang kuasa di semenanjung Tanah Melayu, maka untuk melemahkan kuasa kaum melayu, dituduhlah Melayu pendatang dari Sumatera, penduduk asal adalah Orang Asli. Jika telah memegang kuasa kelak, mungkin Orang Asli nanti pun dikatanya pendatang dari Burma atau Kemboja, disebabkan bahasanya (contohnya dari suku Mah Meri dan Semai) yang mirip kepada bahasa Mon-Khmer. Ataupun Orang Asli nanti pun dituduhnya juga pendatang dari Sumatera. Maka jadilah sejarah negara kita nanti seperti sejarah arus perdana Republik Singapura, kaum Cina pendatang dari Tanah Besar Cina, kaum Tamil pendatang dari India, sementara kaum Melayu pendatang dari Malaysia (pelik tak?).

Apa nak dihairankan jika pengasas Kesultanan Melaka iaitu Parameswara berhijrah dari Sumatera? Lihat pula beberapa contoh lain, Kesultanan Banten dan Cirebon di Pulau Jawa diasaskan oleh anak-anak Sunan Gunung Jati yang merupakan anak pula kepada Raja Champa yang kini terletak Vietnam. Kesultanan Mempawah di Kalimantan Barat diasaskan oleh Opu Daeng Menambun yang merupakan putera Bangsawan dari Sulawesi. Raja Mambang Kecik yang merupakan Sultan Indragiri yang pertama di Sumatera adalah putera dari Kesultanan Melaka di semenanjung Tanah Melayu. Kisah naratif dari Pulau Timor pula menyebutkan pedagang dari Melaka yang dinyatakan sebagai ‘Sinan Mutin Melaka’ mengasaskan Kerajaan Wesei Weihali. Bagaimana mereka dengan mudah boleh menjadi Raja di kawasan pulau lain? Jawapannya, mereka hanya berhijrah dalam satu lingkungan kawasan atau alam yang sama, iaitu alam Melayu @ Nusantara!





Jika pada hari ini, kita lihat ramai anak-anak Melayu yang mempunyai darah kacukan seperti Arab, Pakistan, ataupun Caucasian contohnya, mereka adalah Melayu. Kerana seperti disebutkan, mereka adalah KACUKAN, bukannya Pakistan Tulen contohnya. Jika ayah mereka Pakistan, ibu mereka pula Melayu. Dan membesar pula dalam lingkungan budaya dan bahasa Melayu. Belum tentu (contoh sahaja) kacukan Pakistan-Melayu yang membesar di Malaysia ini mampu bertutur dalam Bahasa Urdu dan memahami budaya masyarakat Pashtun jika mereka melancong ke Karachi. Ini kerana mereka telah memilih identiti Melayu sebagai Bangsa mereka. Tak dihairankan jika kita lihat Kesultanan Pontianak di Kalimantan diasaskan oleh ulama’ berdarah Arab, sementara Kesultanan Deli di Sumatera diasaskan oleh pahlawan dari Delhi, India. Tetapi keturunan mereka pada hari ini adalah semestinya Melayu. Kerana mereka berkahwin campur dengan penduduk tempatan dan mengamalkan adat budaya dan bahasa tempatan.

Kadang kala terfikir juga, bagaimana agaknya jika anak kepada saudara penulis yang lahir dan membesar di England dan kini merupakan rakyat Britain mempermain-mainkan sejarah negara itu. Mendakwa orang-orang Inggeris adalah pendatang di England, kerana suku Angles memang diketahui pendatang dari Jerman, dan mempermainkan sejarah Raja-raja England, dengan mengatakan King Athur itu adalah sepenuhnya mitos dan fantasi misalnya. Semata-mata mahukan kesaksamaan taraf kaum Melayu dengan kaum Inggeris di Britain. Mungkin dah lama Kerajaan Britain tarik balik taraf warganegaranya kot? Sekurang-kurangnya, seorang apek Ultra-Kiasu yang penakut gunakan pelbagai identiti macam Micheal Chick atau John Doe dan gemar memutarbelitkan sejarah Melayu dan negara perlu bersyukur sebab dilahirkan dan memegang kerakyatan Malaysia!