Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Monday, March 28, 2011

Kerajaan & Kesultanan Melayu di Kalimantan Timur




Di Provinsi Kalimantan Timur, Indonesia, pernah berdiri beberapa buah negeri Melayu, yang terdiri daripada Kesultanan Bulungan, Kesultanan Berau (kemudian berpecah kepada dua iaitu Kesultanan Gunung Tabur dan Kesultanan Sambaliung), Kerajaan Kutai Kertanegara Ing Martadipura dan Kesultanan Pasir (nama lainnya Balengkong / Sadurangas). Daripada keseluruhan Kesultanan Melayu terbabit, terdapat dua buah Kesultanan yang paling menarik minat penulis, iaitu Kesultanan Kutai dan Kesultanan Bulungan.



Peta Kesultanan Melayu di Kalimantan Timur



Lambang dan bendera Kesultanan Melayu di Kalimantan Timur


Kesultanan Kutai dianggap oleh sejarahwan Indonesia sebagai Kerajaan (Kingdom) tertua yang pernah wujud di Indonesia. Perkara ini dibuktikan dengan penemuan Yupa / Prasasti yang dikatakan berasal dari abad ke-4 Masihi. Melalui Yupa tersebut, dapat diketahui bahawa Raja Kutai ketika itu bernama Mulawarman, yang merupakan anak kepada Aswawarman dan cucu kepada Kundungga. Jika nama Mulawarman dan Aswawarman mempunyai pengarah Bahasa Sanskrit, sejarahwan Indonesia menganggap nama Kundungga adalah nama asli tempatan. Dan Kundungga ini dikatakan datang dari Champa (Indochina). Nama Kutai juga ada disebut di dalam sastera kuno Jawa iaitu Negarakertagama. Sebelum abad ke-16, negeri ini terbahagi kepada dua iaitu Kutai Kertanegara dan Kutai Martadipura. Ia telah disatukan oleh Raja Aji Pangeran Sinum Panji Mendapa dari Kerajaan Kutai Kertanegara yang kemudiannya menamakan gabungan kedua-dua Kerajaan ini sebagai Kutai Kertanegara Ing Martadipura. Hanya pada abad ke-17, barulah Kerajaan ini menjadi sebuah Kesultanan Islam dan Raja-raja Kutai mulai memakai gelaran Sultan.



Yupa yang dijumpai di Kutai



Ketopong atau Mahkota Sultan Kutai yang bersalut emas


Bagi Kesultanan Bulungan pula, namanya bergema di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) apabila pihak Republik Indonesia menjadikannya sebagai hujah apabila mendakwa Pulau Sipadan dan Ligitan yang menjadi rebutan antara Malaysia dan Indonesia merupakan sebahagian daripada wilayah taklukan Kesultanan Bulungan, yang kini berstatus Kabupaten Bulungan di dalam Republik Indonesia. Ironinya, sewaktu era kemerdekaan Indonesia dahulu, tentera-tentera Indonesia jugalah yang telah menjarah dan membakar istana serta membunuh sebahagian kerabat Di Raja Bulungan pada 23-24 Julai 1964, dan seterusnya menghapuskan sama sekali kuasa dan kedaulatan Kesultanan Bulungan. Apa sebabnya? Sultan Bulungan dituduh mahu membawa keluar Negeri Bulungan dari Indonesia yang merupakan sebuah negara Republik dan menyertai Malaysia yang masih mengekalkan kuasa dan kedaulatan Raja-raja Melayu, biarpun tuduhan ini kemudiannya dinafikan oleh kerabat Kesultanan Bulungan. Sebagai buktinya, foto bersejarah di bawah ini memaparkan Sultan Bulungan memimpin perkibaran bendera Indonesia di hadapan Istana dalam sebuah upacara rasmi pada 17 Ogos 1949, yang merupakan tarikh pengisytiharan kemerdekaan Indonesia oleh Presiden Soekarno.





Apa pun, jika ditanya kepada rakyat Malaysia dan Indonesia, sudah tentu masing-masing akan mengeluarkan hujah bagi menyokong dakwaan bahawa Pulau Sipadan dan Ligitan adalah dibawah kedaulatan negara masing-masing. Bagi penulis pula, Kerajaan Malaysia dan Pemerintah Indonesia telah sama-sama telah bersetuju untuk membawa pertikaian ini ke ICJ dan kedua-dua belah pihak telah diberi peluang dan keadilan yang sama rata untuk mengemukakan hujah masing-masing. Dan ICJ telah memutuskan bahawa kedua-dua pulau terbabit adalah milik Malaysia. Keputusan yang sudah tentu pahit untuk diterima oleh Indonesia, sebagaimana peritnya Malaysia apabila ICJ memutuskan bahawa Pulau Batu Putih adalah milik Singapura. Apapun, keputusan ICJ ini perlu dihormati oleh semua pihak yang terlibat.

Sebagaimana di Kalimantan Barat, Kesultanan-kesultanan Melayu di Kalimantan Timur juga telah bergabung selepas pasca Perang Dunia ke-2 untuk membentuk Federasi Kalimantan Timur, sebagai salah satu komponen dalam Republik Indonesia Serikat. Walaubagaimanapun, pada awal tahun 1960, akhirnya kedaulatan kesemua Kesultanan Melayu di Kalimantan Timur ini dihapuskan dan para Raja dan Kerabatnya kemudian menjalani kehidupan sebagai rakyat biasa. Walaubagaimanapun, sebagaimana pewaris Raja-raja Melayu di Sumatera Timur dan Kalimantan Barat, pewaris Raja-raja Melayu di Kalimantan Timur juga pada hari ini telah kembali melestarikan takhta dan budaya Kesultanan masing-masing, walaupun pada sesetengah Kesultanan seperti Bulungan dan Pasir, masih terdapat pertikaian tentang siapa yang paling berhak untuk ditabalkan sebagai Sultan yang akan berperanan menjadi pemangku Adat.



Datu Maulana Mamun ibni almarhum Sultan Maulana Muhammad Djalaluddin, antara kerabat kanan Kesultanan Bulungan bersama isteri-isterinya



Sultan Haji Aji Muhammad Salehuddin II, Raja Kutai



Datu Fachruddin ibni almarhum Sultan Mohammad Aminuddin, Raja Sambaliung, bersama ahli keluarganya



Raja Muda H. Aji Bahrul Hadi, Pemangku-Raja Gunung Tabur


Nota :

Terdapat sesetengah Kerabat Di Raja di Kalimantan Timur seperti kerabat Kutai dan Pasir menggunapakai gelaran Aji (kadang kala dieja juga sebagai Adji, Adjie dan sebagainya). Ia merupakan gelaran kehormat Di Raja sebagaimana gelaran Tengku, Pangeran, Gusti dan sebagainya. Ia tidak sama dengan gelaran ‘Haji’ yang digunakan apabila seseorang individu telah sempurna menunaikan rukun fardhu Haji di Mekah.

Wednesday, March 9, 2011

Tamatnya Pewaris Terakhir Dinasti Brooke di Sarawak

Mungkin ramai yang tidak maklum, Rajah Muda Sarawak, Anthony Walter Dayrell Brooke, baru-baru ini telah pun meninggal dunia di Rumah Brooke, Wanganui, New Zealand pada 2 Mac 2011 yang lalu. Beliau berusia 98 tahun. Biarpun hanyalah Rajah Muda (setaraf dengan Tengku Mahkota), beliau sebenarnya pernah mentadbir Sarawak hampir setahun lamanya iaitu pada tahun 1939-1940 bagi memangku jawatan pakciknya, Rajah Charles Vyner Brooke yang juga Raja Sarawak terakhir ketika ketiadaannya.





Keunikan mengenai kisah seorang pedagang British yang akhirnya menjadi Raja di sebuah pulau di nusantara sememangnya amat menarik untuk diteliti. Penulis kadang kala terfikir bagaimana James Brooke boleh berjaya memperdaya dan meyakinkan Sultan Brunei untuk melantiknya sebagai pentadbir dan kemudiannya sebagai Raja di Sarawak (asalnya hanya seluas Bahagian Kuching sahaja). Sarawak asalnya diperintah oleh seorang Sultan Melayu Islam iaitu Sultan Tengah, tetapi selepas kemangkatannya, anak cucunya menjadi Sultan Sambas yang kini terletak di Kalimantan Barat sementara Sarawak kemudiannya ditadbir kembali oleh seorang Gabenor yang dilantik oleh Sultan Brunei. Sebelum digelar Bumi Kenyalang, negeri ini dikenali juga dengan gelaran Sarawak Darul Hana.



Lambang dan bendera Sarawak semasa era Dinasti Brooke


Apa yang menariknya, walaupun Sarawak ditadbir oleh ‘Orang Putih’, tetapi mereka turut mengadaptasi dan menggunapakai budaya dan adat istiadat Di Raja Melayu. Sebagai contoh, gelaran penuh untuk Rajah Brooke adalah dalam Bahasa Melayu iaitu Sri Paduka Duli Yang Maha Mulia Rajah Brooke Sarawak, sementara permaisurinya menggunakan gelaran Ranee. Pewaris takhta pula menggunakan gelaran Rajah Muda dan pasangannya Ranee Muda. Gelaran kebesaran untuk kerabat yang lain adalah Tuan Muda/Dayang Muda dan Tuan Bongsu/Dayang Bongsu. Anak perempuan Rajah Brooke kesemuanya memakai gelaran Dayang, sebagaimana gelaran anak perempuan golongan bangsawan Melayu Perabangan di negeri tersebut. Di dalam majlis-majlis rasmi di Eropah, permaisuri Rajah Brooke juga dengan bangganya memakai pakaian dan busana Melayu berbanding dengan pakaian Di Raja Eropah.



Dayang Muda Gladys Brooke @ Khairunnisa' binti Abdullah


Berbalik kepada kisah Rajah Muda Sarawak terakhir ini, jarang sekali buku-buku sejarah khususnya yang diterbitkan oleh pihak Barat memaparkan fakta bahawa ibu kepada Rajah Muda Anthony Brooke ini adalah seorang Muslimah. Ayah kepada Anthony Brooke, Tuan Muda Bertram Willes Dayrell Brooke merupakan adik kepada Rajah Charles Vyner Brooke, sementara isterinya pula (juga ibu kepada Anthony Brooke) bernama Gladys Palmer atau gelaran rasminya Dayang Muda Gladys Brooke. Dayang Muda Gladys Brooke ini kemudiannya telah memeluk Islam di sebuah masjid di Kotaraya Paris, Perancis, pada tahun 1939 dan kemudiannya turut menggunapakai nama Islamnya iaitu Khairunnisa’ binti Abdullah.

Rajah Charles Vyner Brooke mempunyai tiga anak perempuan dan berdasarkan tradisi Di Raja Melayu, takhta hanya boleh diwariskan kepada waris lelaki. Justeru itu, anak saudaranya iaitu Anthony Brooke yang merupakan Rajah Muda adalah pewaris kepada Kerajaan (Kingdom) Sarawak. Buku-buku sejarah di sekolah sering menyatakan bahawa Rajah Charles Vyner Brooke tidak mahu anak saudaranya, Anthony Brooke, mewarisi takhta Sarawak tanpa sebab yang jelas.



Rajah Charles Vyner Brooke bersama keluarga


Disinilah kadang kala penulis terfikir, adakah Rajah Sarawak khuatir jika satu-satunya Dinasti Eropah di bumi Nusantara ini akan menjadi sebuah Kesultanan Islam? Pada pandangan penulis, tidak mustahil jika ibu kepada Anthony Brooke ini boleh mempengaruhi anaknya untuk turut memeluk agama Islam, termasuk atas sebab pertimbangan politik, memandangkan kedudukan negeri Sarawak yang terletak di tengah-tengah Nusantara dan dikelilingi oleh berpuluh-puluh Kesultanan Melayu-Islam yang sedang dalam proses menuntut kemerdekaan. Mungkin ‘pengIslaman’ keluarga Di Raja Sarawak ini akan menjadi satu ‘penghinaan’ kepada pandangan sesetengah kerabat yang kuat dengan sentimen ‘White Man’s Burden’, iaitu apabila mereka memeluk agama yang menjadi pegangan sebahagian daripada rakyat yang dijajahnya.

Apa pun, andaian tetap satu andaian, yang tidak boleh diterima sebagai satu fakta, memandangkan penulis sendiri pun tidak pernah berbual atau berbincang dengan Rajah Muda Anthony Brooke mengenai perkara ini semasa hayatnya. Dan jelas bahawa beliau adalah seorang Kristian hingga ke akhir hayatnya. Pemerintahan Dinasti Brooke ini telah mewujudkan Negeri Sarawak yang luasnya sebagaimana yang kita lihat pada hari ini, sementara Bahasa Inggeris masih menjadi salah satu bahasa utama yang digunapakai terutamanya dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.





Untuk artikel lain, lihat juga http://ibnurusydi.blogspot.com/2009/09/sultan-sarawak.html


Rujukan :

1) Jeffrey Finestone (2001) "Royal Families of South-East Asia" Shahindera Sdn Bhd

2) Bob Recce (2004) "The White Rajahs of Sarawak : A Borneo Dynasty" Archipelago Press