Featured Post

Kenapa Singapura Lebih Maju?

Sudah beberapa hari berlalu sejak negara jiran kita iaitu Singapura menyambut Hari Kemerdekaannya yang ke-50 pada 9 Ogos yang lalu. Nam...

Monday, April 25, 2011

Pilihanraya Singapura : Kuasa Politik Pribumi & Isu Pendatang

Sejarah Melayu telah mencatatkan bahawa Singapura diasaskan oleh Sang Nila Utama yang juga anak Raja Melayu Palembang. Umum juga mengetahui bahawa nama asal pulau tersebut adalah Temasek sebelum ditukarkan kepada Singapura yang bermaksud ‘Kota Singa’. Walaubagaimanapun, jika kita merujuk kepada maklumat arus perdana pada hari ini, Stanford Raffles lebih ditonjolkan sebagai Bapa Singapura sementara Lee Kuan Yew dipaparkan sebagai Bapa Singapura Moden. Hakikat bahawa sejarah silam Singapura adalah sejarah Melayu cuba digelapkan. Seboleh mungkin Pemerintah Singapura cuba menggambarkan bahawa semua rakyat Singapura pada hari ini merupakan keturunan pendatang yang datang sama ada dari tanah besar China, India mahupun dari Indonesia dan Malaysia. Malahan, penulis dapat mengesan terdapat usaha untuk menggambarkan seolah-olah Sang Nila Utama merupakan pendatang dari Indonesia yang cuba merampas Temasek yang merupakan wilayah Ayuthia milik Siam, bukannya milik orang Melayu. Namun begitu, sejarahwan muda seperti Srikandi telah menyanggah maklumat tersebut dengan menegaskan ‘Siam’ yang dimaksudkan pernah berkuasa di seluruh tanah semenanjung termasuklah di Singapura bukanlah Ayuthia, tetapi Negara Sri Dharmaraja, yang juga merupakan sebuah Kerajaan Melayu!



Gambaran Sang Nila Utama, pengasas sebenar pulau Singapura


Semasa Singapura masih di dalam Malaysia, Perdana Menterinya, Lee Kuan Yew, sebagaimana yang dicatatkan di dalam akhbar Strait Times bertarikh 5 Mei 1965, telah mencabar kedudukan dan hak istimewa orang Melayu di Malaysia sebagaimana yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan dengan mengatakan bahawa taraf pribumi orang Melayu tidak ada lebihnya jika dibandingkan dengan orang Cina, India dan masyarakat pendatang yang lain. Di dorong sama ada oleh agenda politik yang menjurus untuk memajukan kepentingan politik Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura ataupun kerana memang betul-betul jahil tentang sejarah, budaya, dan penduduk pribumi di rantau ini, Lee mengaitkan orang Melayu Malaysia dari keturunan Indonesia sebagai pendatang yang sepatutnya setaraf dengan masyarakat pendatang yang lain. Kesimpulan serupa yang meragui kepribumian orang Melayu terus dilakukan oleh orang bukan Melayu di Singapura dan sesetengah ahli politik bukan Melayu di Malaysia, sama ada oleh pihak pembangkang mahupun parti pemerintah. Perkara ini dapat dilihat melalui contoh kenyataan yang diberikan oleh Tan Lian Hoe (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) ataupun Chong Eng (DAP).

Selepas Singapura ditendang keluar dari Malaysia, Pemerintah Singapura telah menjalankan pelbagai usaha untuk melemahkan kuasa politik Melayu yang merupakan kaum asal di negeri ini. Antara usaha yang dilakukan adalah mengekalkan taraf minoriti penduduk Melayu di Republik tersebut. Dalam akhbar Straits Times bertarikh 15 Disember 1986, Lee Kuan Yew dalam forum di Universiti Nasional Singapura telah mendedahkan niat Pemerintah Singapura untuk mengekalkan dominasi penduduk Cina Singapura kerana bimbang dengan kemerosotan kadar kelahiran penduduk keturunan Cina. Isu ini telah dinyatakan sebagai salah satu masalah negara di dalam Hari Kebangsaan 1988 dan Lee Kuan Yew mendedahkan Pemerintah Singapura akan meningkatkan bilangan penduduk Cina dengan membawa masuk orang Cina dari luar negara terutamanya Hong Kong. Etnik minoriti terutamanya Melayu sedar dasar ‘Mengekalkan Imbangan Kaum’ di Singapura sebenarnya lebih kepada mengekalkan Ketuanan Cina.

Tindakan kedua yang dilakukan adalah dengan menghapuskan kawasan kubu majoriti Melayu terutamanya kampung-kampung menerusi program mega penempatan semula bandar dan Dasar Perumahan Awam dengan menempatkan masyarakat Melayu ke merata kawasan perumahan baru. Perkara ini telah diakui oleh James Fu dalam kenyataan di akhbar Straits Times bertarikh 4 Mac 1988. Tindakan ini telah menjejaskan undi kolektif masyarakat Melayu dan menghalang mereka untuk bertindak sebagai gerakan penting dalam menentukan keputusan pilihanraya.



Kenangan kampung di Singapura sekitar tahun 1960-an


Tidak cukup dengan itu, Pemerintah Singapura telah memperkenalkan pula sistem Kuota Kediaman Etnik pada tahun 1989 untuk kawasan perumahan awam bagi memastikan jumlah orang Melayu tidak melebihi 20% daripada jumlah penduduk di mana-mana kawasan pilihanraya dan tidak melebihi 22% daripada penduduk blok perumahan awam, kerana dikatakan menjadi tumpuan perkauman. Sedangkan yang peliknya, bagi masyarakat Cina, kuota mereka dibiarkan sehingga melebihi 80% di kawasan pilihanraya dan 87% di blok perumahan awam, atas alasan untuk memastikan ‘percampuran kaum yang seimbang’.

Bagi melemahkan lagi kuasa politik masyarakat Melayu terutamanya Parti Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS), sistem Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) telah diperkenalkan. Melalui sistem ini, sesebuah kawasan / wad akan dipertandingan secara berkumpulan, bukannya secara individu. Sistem ini telah melemahkan mana-mana calon etnik minoriti termasuk Melayu daripada menyuarakan sebarang isu sensitif yang menjurus kepada etniknya kerana akan dituduh sebagai perkauman dan seterusnya melemahkan sokongan etnik dominan untuk pasukan GRCnya.



Peta pembahagian kawasan Pilihanraya di Singapura


Mungkin kerana hukum karma sudah tiba, kini masyarakat Cina dan India di Singapura pula yang mempersoalkan kebanjiran begitu banyak pendatang seperti dari China, Hong Kong, India dan sebagainya. Mereka mendakwa para pendatang ini telah diberikan terlalu banyak keistimewaan oleh Pemerintah Singapura dan mendakwa hak mereka seperti untuk penempatan kediaman dan peluang pekerjaan telah banyak dirampas oleh golongan pendatang ini. Mereka bertambah marah apabila golongan pendatang ini mula membuat tuntutan tambahan seperti menuntut agar bahasa mereka turut diajar di sekolah sedangkan bilangan mereka adalah minoriti. Ironinya, pertentangan antara kaum dominan di Singapura dengan golongan pendatang ini melibatkan kaum yang sebangsa! Bayangkan betapa bertoleransinya masyarakat Bumiputera di Malaysia kepada kaum keturunan pendatang. Tetapi bagi sebuah negara Kapitalis dengan hati komunis seperti Singapura, ketidakpuasan hati mereka hanya dapat diluahkan dalam laman sesawang seperti The Citizen Online dan Temasek Review. Satu lagi perkara yang patut ‘disyukuri’ oleh golongan Ultra-Kiasu di Malaysia kerana mereka boleh menghentam Kerajaan dan masyarakat Bumiputera/Islam di negara kita secara bebas dan terang-terangan!

Nota : Sebagaimana segelintir rakyat Melayu yang lain di negara kita, Singapura adalah jauh di mata, tetapi amat dekat di hati penulis. Kerana Singapura adalah tempat asal keluarga penulis sebelah bapa (OK, selepas ini para Ultra-Kiasu dan para pengampunya dari kalangan Meleiz sendiri boleh berkokok penulis adalah pendatang dari luar, ye, pendatang dari Singapura). Jika ada yang menuduh blog ini adalah anti mana-mana kaum, penulis ingin tegaskan bahawa penulis hanya menghentam golongan Ultra-Kiasu, berdasarkan pengalaman lampau nasib yang menimpa keluarga dan masyarakat penulis di Singapura. Kalau nak kenal betul-betul sikap dan perangai golongan ini, jangan hanya selesa duduk di negeri yang ramai orang Melayu. Dipersilakan dan dicabar kalian untuk tinggal dan bekerja di Singapura!


Rujukan : Dr. Lily Zubaidah Ibrahim (2004) “The Singapore Dilemma : The Educational and Political Marginality of the Malay Community” Oxford University Press

Monday, April 18, 2011

Bermula Dengan Isu Songkok...




Bilakah orang Melayu mula bersongkok? Agak sukar juga untuk penulis memberikan jawapan. Walaubagaimanapun, berdasarkan penelitian penulis, orang Melayu mula bersongkok mungkin mulai abad ke-19. Dari mana pula asal-usul songkok? Ini adalah satu lagi persoalan yang timbul apabila membicarakan asal usul pemakaian songkok oleh orang Melayu. Terdapat pelbagai pendapat dan pandangan diberikan mengenai asal kehadiran songkok di alam Melayu ini. Ada yang mendakwa, ia berasal dari Turki. Ada yang mengatakan ia berasal dari Parsi (Iran). Ada juga mengatakan ia mungkin berasal dari benua Hindi (India). Apa yang menarik juga untuk diperhatikan, menjelang awal abad ke-20, terdapat ramai Raja-raja Melayu dirakamkan tidak memakai tengkolok, tetapi memakai perhiasan kepala seakan-akan songkok.





Adakah songkok melambangkan Islam? Tidak juga. Jika para pembaca pernah ke Indonesia, ada juga penduduk beragama Kristian yang memakai songkok (juga dipanggil Peci di sana) untuk ke Gereja pada hari Ahad. Songkok kini dianggap sebagai lambang Nasional di Malaysia, Republik Indonesia dan Negara Brunei Darussalam serta dipakai oleh Raja-raja Melayu, kerabat serta pembesar negara semasa majlis-majlis rasmi. Di negara kita, songkok merupakan sebahagian daripada pakaian kebangsaan (Baju Melayu) serta turut menjadi sebahagian daripada pakaian rasmi bagi Ahli Parlimen / Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN).



Sultan Brunei (kiri) bersama Yang Dipertuan Agong Malaysia (kanan)


Apa yang peliknya, semasa era tahun 1990-an dahulu, sudah kedengaran suara-suara sumbang daripada puak-puak Ultra-Kiasu yang menentang ‘pemaksaan’ pemakaian songkok kepada mereka yang terpilih untuk ke Parlimen mahupun DUN. Pemakaian songkok seolah-olah memaksa simbol Islam dikenakan kepada diri mereka. Yang sebenarnya adalah Melayu itu sinonim dengan Islam, dan masyarakat Melayu di Malaysia amnya dan di semenanjung khususnya memakai songkok untuk bersembahyang di masjid dan bagi menghadiri majlis-majlis bercorak keagamaan. Secara tidak langsung, puak-puak Ultra-Kiasu ini melihat songkok itu seolah-olah merupakan sebahagian lambang agama Islam.

Kemuncaknya adalah apabila puak-puak Ultra-Kiasu ini memenangi kerusi dalam jumlah yang besar pada Pilihanraya Umum dan Negeri yang lalu. Daripada isu tidak mahu memakai songkok, mereka mula menunjukkan belang yang sebenar dengan tidak mahu langsung memakai pakaian istiadat di DUN terutamanya semasa majlis pembukaan oleh Raja/Yang Dipertua Negeri. Paling jelas dilihat adalah semasa pembukaan DUN Pulau Pinang yang telah dikuasai oleh puak-puak Ultra-kiasu ini. Malahan Tuan Speaker dan para Melayu dari pakatan yang sama juga langsung tidak berani menegur perbuatan rakan-rakan mereka. Alasan yang remeh serta kelakar dinyatakan, bahawa pakaian yang mereka pakai juga kemas dan tidak melanggar peraturan dewan.

Penulis memuji ketegasan DUN Johor yang menghalau keluar Gwee Tong Hiang yang enggan memakai pakaian rasmi DUN Johor pada tahun 2008 yang lalu. Malahan dalam satu majlis pada tahun yang sama, Almarhum Sultan Johor dengan tegas juga secara terus terang mengkritik sikap ADUN tersebut. Malangnya pada tahun ini, perkara remeh ini kembali berulang. Sidang DUN Perak pada bulan ini menyaksikan Nga Kor Ming bukan sahaja tidak memakai pakaian istiadat, malahan memakai suit berwarna kelabu sedangkan yang dibenarkan adalah suit berwarna hitam. Speaker Perak yang dilantik kelihatan begitu lembik sekali dengan provokasi yang sengaja dibuat oleh Ultra-Kiasu ini. Mungkin kerana takut dikutuk oleh Speaker terdahulu yang turut berada di dalam DUN tersebut, atau parti pemerintah takut kehilangan undi Cina kerana takut dilabel sebagai perkauman. Melihat ‘kejayaan’ rakan mereka di Perak, perkara ini diulangi oleh rakan mereka di Pahang apabila dua Ultra-Kiasu di DUN Pahang, Leong Ngah Ngah dan Choong Siew Onn turut tidak memakai pakaian istiadat tersebut.








Bagi kebanyakan orang termasuk sesetengah orang Melayu, isu ini adalah isu remeh kerana menurut mereka, yang paling penting ialah para ADUN tersebut menyampaikan suara hati rakyat di DUN. Bagi penulis pula, perkara ini adalah berkaitan dengan disiplin, adab sopan, common-sense, prinsip menghormati majlis dan pemerintah, serta menyerlahkan sifat sebenar seseorang itu termasuklah sifat sombong dan bongkak. Tidakkah mereka terfikir secara halusnya, mereka ini telah berjaya menunjukkan penentangan terhadap kedaulatan Raja-raja Melayu sebagai pelindung agama Islam serta budaya Melayu yang menjadi teras kepada budaya Malaysia? Memandangkan perbuatan para Ultra-Kiasu ini tidak berani ditegur dan dikritik secara lantang oleh Speaker mahupun ADUN yang lain, maka penulis memberi jaminan perkara ini akan berulang di sidang DUN Negeri lain (kecuali Johor), termasuklah mungkin di Sarawak, dimana 15 kerusi DUN baru-baru ini telah berjaya dirampas oleh pihak pembangkang.

Apa pun, para Ultra-Kiasu ini telah memberi contoh yang cukup 'baik' kepada para anak bangsa kita agar berani melanggar peraturan. Selepas ini, adik-adik Melayu mahupun Cina sendiri yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina tidaklah perlu memakai pakaian seragam sekolah ataupun pakaian sukan yang telah ditetapkan. Pakai sahaja apa pun pakaian yang dimahukan, asalkan kemas. Kerana yang penting, kita datang sekolah untuk menuntut ilmu duniawi sahaja, bukannya untuk belajar adab sopan dan mematuhi peraturan sebagaimana yang dianuti oleh puak Ultra-Kiasu ini.


Nota : Penulis ada juga berjumpa segelintir Melayu pada hari ini yang berfikiran politik sempit enggan memakai songkok kerana dikatakan melambangkan parti keris. Apa pun, perkara ini juga bukanlah satu kesalahan yang mendatangkan dosa. Tidak kira songkok, kopiah atau ketayap, semoga kita mendapat pahala kerana mengamalkan sunnah. Cuma diharapkan janganlah disempitkan pemikiran semata-mata kerana politik.

Friday, April 15, 2011

Kamek Sayang Sarawak

“Apakah persamaan dan perbezaan Negeri Sarawak dan Pulau Pinang?” Tanya seorang rakan kepada saya. Jawapannya? “Melayu-Islam sama-sama minoriti di Negeri Sarawak dan Pulau Pinang. Bezanya, di Sarawak, jawatan Ketua Menteri disandang oleh minoriti Muslim.” Perbualan bersama seorang rakan kira-kira 3 tahun lalu kembali terimbas tatkala membaca betapa ligatnya para pemimpin sebuah parti Ultra-Kiasu yang datang dari Pulau Pinang begitu agresif sekali berkempen untuk Pilihanraya Negeri Sarawak ke-10 yang akan diadakan pada esok hari.





Untuk makluman, senario di Sabah dan Sarawak, walaupun bersama-sama dalam Malaysia, adalah amat berbeza dengan semenanjung. Sama ada dari segi bahasa, budaya, komposisi kaum mahupun politik. Penulis masih ingat ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang ini, seorang rakan mengusik dengan bertanya “Kitak asal sine?”. Penulis sangkakan ia bertanya dalam Bahasa Iban, rupa-rupanya itulah Bahasa Melayu Sarawak yang bermaksud “Awak asal mana?”. Berbanding dengan Bahasa Melayu Sabah yang lebih mudah difahami kerana hanya berbeza dari segi sebutannya yang lebih baku, Bahasa Melayu Sarawak bukanlah satu dialek, tetapi Bahasa Melayu tersendiri yang mempunyai pengaruh Bahasa Dayak yang kuat.

Bercanggah juga dengan persepsi umum terutama dari semenanjung, Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, bukanlah seorang Melayu, tetapi berbangsa Melanau. Kaum Melanau ini hanya berjumlah 5% sahaja daripada keseluruhan penduduk Sarawak yang berjumlah kira-kira 2.07 juta orang. Biarpun budayanya hampir sama dengan kaum Melayu Sarawak, tetapi bezanya terdapat juga kaum Melanau yang beragama Kristian dan ada yang masih mengamalkan fahaman lama tempatan. Bersama-sama kaum Melayu Sarawak yang hanya berjumlah kira-kira 22%, kedua-dua kaum ini dianggap mewakili kumpulan Bumiputera Islam.



Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berpakaian tradisi Melanau merayakan Pesta Kaul, perayaan Kaum Melanau di Bahagian Mukah


Bumiputera bukan Islam pula terdiri daripada kaum Iban (29%), Bidayuh (8%) serta minoriti Dayak lain seperti Kayan, Kenyah, Kelabit, Penan dan Lun Bawang yang dikategorikan secara bersama sebagai Orang Ulu sebanyak 6%. Kaum Cina yang bukan Bumiputera merupakan kaum kedua terbesar di Sarawak selepas Iban iaitu sebanyak 26% daripada populasi keseluruhan penduduk Sarawak.

Realiti inilah yang sering mendatangkan dilema kepada pengundi Bumiputera Islam yang tidak menyokong parti pemerintah di Sarawak. Apatahlagi Ketua Menteri sendiri telah memberi jaminan bahawa beliau akan berundur selepas Pilihanraya Negeri ini. Cakap-cakap politik mengatakan, terdapat tiga tokoh pemimpin Melayu-Islam yang akan menggantikan beliau. Namun begitu, jika Parti Pemerintah kalah dan jatuh di Sarawak, jawatan Ketua Menteri Sarawak sudah pasti akan kembali disandang oleh bukan Islam.





Tidak hairanlah jika ramai rakan-rakan penulis di Sarawak yang memberikan pandangan penglibatan sebuah parti bernamakan Islam dalam Pilihanraya di Negeri ini hanya tidak lebih sebagai pencacai sahaja kepada parti-parti pembangkang lain yang lebih dominan. Dengan hanya bertanding lima buah kerusi dan mengharapkan tuah menang sebuah kerusi, kedudukan parti ini mungkin akan sama seperti apa yang terjadi di Pulau Pinang, mengharapkan ehsan parti-parti lain untuk mendapat jawatan politik seperti Menteri atau Menteri Muda yang belum tentu pun diperolehi. Memandangkan di Pulau Pinang sendiri, Ultra-Kiasu langsung tidak memberi walau sebuah pun jawatan EXCO kepada parti tersebut.

Apa pun, kepada rakan-rakan di Sarawak, penulis mengucapkan selamat mengundi dan jangan lupa menunaikan hak masing-masing. Di sudut hati ini terfikir juga, mampukah Melayu-Islam sebagai Bumiputera akan menjadi Ketua Menteri di Pulau Pinang pada masa akan datang?

Wednesday, April 13, 2011

Hubungan Kekerabatan dan Persaudaraan di Kepulauan Nusantara


“Ia menggambarkan bahawa orang Cina, orang India adalah pendatang. Dan orang Melayu adalah tuan tanah di dalam err... err... Malaysia ini. Kerana sebenarnya, ramainya err... er... Melayu pun adalah datang dari err... luar Malaysia. Yang betul-betul orang asal di sini ialah Orang Asli”

Itulah yang diungkapkan oleh Ahli Parlimen Ultra-Kiasu dari Bukit Mertajam pada 24 Mac 2011 yang lalu semasa dia mengulas mengenai isu novel Interlok. Sama ada dia ini memang buta sejarah dan geografi, atau memang sengaja membutakan mata dan hatinya tentang hakikat wilayah Nusantara ini yang serumpun. Sudahlah nak bercakap bahasa Kebangsaan pun dengan gagap dan tunggang-langgangnya (diingatkan semula si Ultra-Kiasu ini bertaraf Ahli Parlimen!). Penulis tidak berhasrat untuk mengulas panjang tentang apa yang telah diutarakan oleh si Ultra-Kiasu ini. Rasanya artikel terdahulu http://ibnurusydi.blogspot.com/2011/02/melayu-dituduh-pendatang.html telah cukup untuk menghuraikan mengenai perkara tersebut.


Apa yang ingin dikongsikan di sini adalah hakikat mengenai hubungan kekerabatan dan persaudaraan yang telah lama terjalin antara penduduk di wilayah Nusantara ini. Sudah tentu beberapa contoh yang dipaparkan ini adalah sejarah Raja-raja di Nusantara ini, memandangkan golongan Ultra-Kiasu sering memomokkan bahawa Parameswara dan orang Melayu yang mengasaskan Kesultanan Melaka adalah ‘pendatang yang datang dari Indonesia’.




1. Di Acheh, selepas kemangkatan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam pada tahun 1637, yang menggantikan baginda sebagai Sultan Acheh adalah menantu baginda iaitu Sultan Iskandar Tsani. Apa yang menariknya, Sultan Iskandar Tsani ini berasal dari semenanjung Tanah Melayu kerana baginda adalah putera Sultan Pahang. Pernah ditanya kepada Sultan Iskandar Tsani ini lebih kurang begini, "Kamu ini orang Pahang atau orang Acheh". Apa jawapan baginda? "Aku orang Melayu". Agak-agaklah kan, boleh tak seorang Ultra-Kiasu berketurunan Sino-Tibetan bukan Islam yang datang dari tanah besar China tiba-tiba diangkat menjadi Sultan di Acheh ini?




2. Di Kalimantan Barat, Kesultanan Sambas didirikan oleh Sultan Muhammad Shafiuddin I yang merupakan anak Sultan Sarawak iaitu Sultan Tengah pada sekitar tahun 1675 Masihi. Sultan Sarawak ini pula adalah anak kepada Sultan Brunei. Mesti pening kepala si Ultra-Kiasu bagaimana pendatang dari Negara Brunei boleh menjadi Raja di Malaysia (Sarawak), dan kemudiannya keturunan pendatang dari Malaysia ini menjadi Raja pula di Indonesia (Sambas).




3. Di selatan pulau Mindanao, Kesultanan Sulu diasaskan oleh seorang ulama Melayu-Arab yang datang dari Negeri Johor iaitu Shari'ful Hashem Syed Abu Bakar pada tahun 1457, sementara Kesultanan Maguindanao juga diasaskan oleh seorang Melayu dari Johor iaitu Shariff Mohammed Kabungsuwan sekitar tahun 1203 hingga 1205. Ye Ultra-Kiasu, ada juga pendatang dari Malaysia yang menjadi Raja di Republik Filipina.




4. Di Sumatera, Sultan Indragiri yang pertama iaitu Raja Kecik Mambang @ Raja Merlang I yang memerintah sekitar tahun 1298 – 1337 merupakan anak kepada Sultan Melaka yang berpusat di semenanjung Tanah Melayu. Pelikkan Ultra-Kiasu, macam mana anak rakyat Malaysia boleh menjadi Raja di Indonesia pula?




5. Di selatan segenting Kra, bermula pada sekitar tahun 1688, Kesultanan Patani telah diperintah oleh Dinasti Raja-raja yang berasal dari Kelantan. Ha, jangan main-main ye Ultra-Kiasu, ada juga pendatang dari Malaysia yang menjadi Raja di Provinsi Pattani, Thailand.




6. Di Sulawesi Tenggara, Negeri Buton telah didirikan oleh oleh empat orang bangsawan yang disebut sebagai Mia Patamiana yang datang dari semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-13 Masihi. Menurut sumber sejarah lisan Buton, nama keempat-empat individu terbabit ialah Sipanjonga, Simalui, Sitamanajo dan Sijawangkati. Keempat-empat individu ini berserta para pengikutnya telah meninggalkan tanah asal di semenanjung Tanah Melayu menuju ke kawasan timur dengan menggunakan sebuah perahu palolang pada bulan Syaban 634 Hijriyah (1236 M) dan akhirnya sampai di Buton. Kemudian mereka mengibarkan bendera Kerajaan Melayu yang disebut sebagai bendera Longa-Longa. Ketika Kerajaan Buton didirikan, bendera Longa-Longa ini dipakai sebagai bendera rasmi kerajaan Buton. Ya Ultra-Kiasu, pendatang dari Malaysia ini telah belayar hingga sejauh penghujung pulau Sulawesi dan yang peliknya, diangkat pula menjadi Raja di Indonesia.


Apa yang dipaparkan di atas ini hanyalah sebahagian contoh kecil mengenai hubungan yang terjalin antara penduduk di seluruh Nusantara ini biarpun dipisahkan oleh beberapa pulau besar dan beribu-ribu lagi kepulauan kecil. Bagaimanakah para ‘pendatang’ dari semenanjung Malaysia ini boleh menjadi Raja dengan mudah di Indonesia, Thailand dan Filipina ye Ultra-Kiasu? Jawapannya mudah, mereka bukannya pendatang! Mereka adalah saudara serumpun dan kebanyakannya seagama. Para bangsawan mahupun rakyat biasa bebas untuk berhijrah dan menetap di mana-mana kawasan pun di dalam lingkungan alam Nusantara ini yang terbentang dari Acheh di barat hinggalah Maluku dan Papua di timur, dari selatan pulau Singapura hinggalah Champa di utara Indochina. Justeru itu, janganlah dihairankan jika terdapat juga anak cucu orang Melayu di Malaysia pada hari ini yang ayah atau datuk mereka berasal dari Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, dan hatta sejauh Vietnam dan Kemboja sekalipun. Kerana pada masa dahulu, nenek moyang mereka sendiri mungkin berasal dari Tanah Melayu dan mereka bebas 'berkeliaran’ dan menjelajah di seluruh Nusantara untuk mendirikan Kerajaan/Negeri baru. Dan perlu diingat, pada masa tersebut, tidak wujud sempadan politik sebagaimana yang ada pada hari ini.

Sebelum tamat, penulis ingin bertanya dua soalan kepada Y.B. (Yang Bongok) Chong Eng sebagai Ahli Parlimen yang bertanggungjawab untuk berdebat dalam menggubal undang-undang negara kita di Parlimen, “Bila Malaysia ditubuhkan?” dan “bila orang Melayu mula datang ke semenanjung tanah Melayu?”