Featured Post

Kenapa Singapura Lebih Maju?

Sudah beberapa hari berlalu sejak negara jiran kita iaitu Singapura menyambut Hari Kemerdekaannya yang ke-50 pada 9 Ogos yang lalu. Nam...

Friday, May 27, 2011

Jejak Warisan Siam

Nota : Seorang pengunjung blog ini, Asri Al-Baker, telah tampil menjelaskan dakwaan yang dibuat oleh blogger TheMalayPress semasa pelancaran ekspedisi Jejak Warisan Jawi 2 di dalam blognya. Encik Asri juga telah memaklumkan bahawa “Majma Budaya dan Warisan Jawi” dan ekspedisi "Jejak Warisan Jawi 2" ini tiada kaitan dengan dakwaan yang dibuat oleh anai-anai. Penulis ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih atas penjelasan beliau dan dengan penuh rendah diri memohon maaf kepada “Majma Budaya dan Warisan Jawi” dan peserta ekspedisi "Jejak Warisan Jawi 2". Penulis harapkan kedua-dua gerakan ini akan terus maju demi memartabatkan agama, bangsa dan negara kita.


Segala-galanya bermula dengan keinginan untuk menuntut takhta dan mengangkat prestij keluarga sendiri. Takhta atau kuasa bisa membuatkan mata dan hati seseorang menjadi ‘buta’. Penulis yang banyak mengkaji mengenai kewujudan sejarah kerajaan di seluruh Nusantara khususnya Kerajaan-kerajaan Melayu sudah lali dengan kes individu tertentu menuntut takhta. Pada pandangan penulis, tak ada banyak beza pun golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Anai-anai’ (sejenis serangga perosak) ini dengan individu yang mengangkat diri mereka sendiri sebagai Sultan Melaka lah, Sultan Sulu lah, siap ada yang tergamak beri gelaran ‘Datuk’ kepada orang lain lagi!

Kewujudan blog sejarahnagarakedah pada awalnya dilihat seolah-olah ikhlas untuk membongkar sejarah negara. Perkara pokok yang penulis bersetuju dengan para penulis blog tersebut adalah banyaknya sejarah negara yang cuba diselindungkan terutamanya sejarah kedatangan Islam ke Nusantara. Itu penulis memang setuju. Nama tokoh besar Islam seperti Syeikh Hussain Jamadil Kubra dan keturunannya yang gigih menyebarkan Islam dan menjadi raja di merata tempat di Nusantara memang tidak dinyatakan langsung dalam buku teks sejarah di sekolah. Sejarahwan negara juga nampaknya sukar untuk menerima fakta bahawa empayar Sriwijaya Mala bermula di tanah semenanjung dan kewujudan Majapahit Barat yang pernah berpusat di pantai timur semenanjung. Mereka lebih senang melihat Sriwijaya dan Majapahit sebagai sejarah Indonesia semata-mata. Malangnya, blog sejarahnagarakedah akhirnya telah tenggelam ke dalam dunia fantasi Siam ciptaan sendiri akibat daripada keghairahan untuk menuntut takhta.

Apa yang dinyatakan oleh blog tersebut hanyalah dakwaan, tidak layak lagi untuk dipanggil sebagai teori pun, apatahlagi fakta. Agak malang pula apabila sebilangan pembaca menganggap apa yang dinyatakan oleh blog tersebut sebagai fakta. Setelah penipuan blog tersebut dibongkar oleh beberapa blogger lain seperti Yadeh (sejarahnagarakedag), Al-Semantani (Melayu Nusantara) dan Srikandi (Mistisfiles), blog tersebut nampaknya tidak lagi ‘laku’. Tetapi para pengikut tegarnya, yang bukanlah berlatarbelakangkan bidang sejarah, terus fanatik untuk memperjuangkan keagungan ‘Siam-Kedah’ yang dicipta oleh blog tersebut. Antaranya, penerbitan digest bulanan ‘Realiti’ (bukan Fantasi?) yang melambakkan kembali dakwaan-dakwaan basi blog sejarahnagarakedah. Biasalah, majalah digest, nak tulis atau dakwa apa pun boleh. Masa pertengahan tahun 90-an dulu, berlambak-lambak majalah digest Melayu ala-ala Mastika diterbitkan, walaupun kebanyakan isi kandungannya sampah semata-mata. Orang yang dakwa datuk dia Hang Tuah pun boleh keluar cerita sampai tiga empat muka surat.

Kini, terdapat pula gerakan bernama “Majma Budaya dan Warisan Jawi” yang melancarkan Ekspedisi Jejak Warisan Jawi 2 secara besar-besaran pada kali ini. (Mungkin malu nak guna nama ‘Melayu’ sebab dulu mereka kata ‘Melayu’ ini ciptaan penjajah British). Maaf, dari awal ekspedisi pertama pun penulis tak berapa ghairah sangat dengan ‘tujuan’ ekspedisi ini yang kononnya hendak membongkar sejarah realiti negara. Melihat kepada senarai destinasi pun dah jelas ianya sangat terpengaruh dengan dakwaan golongan anai-anai ini. Kata empayar Siam-Kedah ini luas, pemimpinnya tahap Maharaja, siap pakai gelaran khalifah, kekuasaan sampai ke Australia lah, Albania lah. Tapi kenapa setiap artikel balik-balik pusing kat area Kedah, Perak, dan selatan segenting Kra sahaja? Kenapa tak ada pun cerita yang menyentuh tentang Kerajaan Ternate (Maluku), Goa (Sulawesi), Banjar (Kalimantan) atau Banten (pulau Jawa) misalnya. Kata empayar Siam-Kedah itu mencakupi seluruh Nusantara?

Lagi satu, seorang lagi blogger yang sentiasa sakit hati kalau komentar blog orang lain lebih banyak dari blog dia. Dah tahu macam itu, kenapa takut hendak open comment blog sendiri? Sebab takut nak berhujah? Salah satu ciri-ciri blog pengikut tegar fahaman sejarah Siam-Kedah seperti theSiampress (melawak aje, theMalaypress) dan kedahcybersyburi adalah mereka akan block atau delete terus komen-komen yang tidak menyenangkan mereka. Mari kita lihat apa komen Megat apabila membaca blog sejarah fantasi ciptaan orang lain yang mencerminkan dirinya sendiri.





Megat Al-Jefri baca blog Asreemoro rasa loya. Orang lain baca blog Megat termuntah terus! Megat nak kutuk penulis? No hal buddy, silakan (^_^) Nak terbitkan satu artikel khas untuk caci maki blog Ibnurusydi pun boleh. Tarak hal punya.





Ini pula kenyataan terbaru dari blog theSiampress bertajuk Ayuthia Adalah Kerajaan Islam Melayu :





Untuk Herman Abdullah, tak ada pun akhbar Utusan Malaysia keluarkan tajuk dan kenyataan macam di atas tu? “Fikir dengan kritis”? Soalan lama penulis pun masih masih tak berjawab-jawab lagi, nak kritis macam mana tu? Pengkaji mana pula yang ‘segan’ nak paparkan namanya sendiri? Pengkaji dalam bidang seni universiti tempatan ka? Kalau betul dakwaan pengkaji bergelar Dr. itu, penulis tak ada masalah. Boleh berikan nama dan nombor telefon pengkaji tersebut kepada penulis, dan penulis sendiri akan menghubunginya untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang dakwaannya tentang ‘fakta terbaru’ itu!





Akhir kata, untuk Herman Abdullah dan Megat Al-Jefri, sila tatap screen di bawah :





Aisehmen, anai-anai tok guru korang yang korang selalu kutip dakwaan fantasi dia tu pun follow blog aku daa.... Nak menyombong lagi ke?

Tuesday, May 10, 2011

Kutaringin : Satu-satunya Kerajaan Melayu di Kalimantan Tengah

Sebelum ini, penulis telah paparkan artikel mengenai 12 buah Kerajaan Melayu yang terdapat di Kalimantan Barat, 5 buah Kerajaan Melayu yang ada di Kalimantan Timur, serta sebuah Kerajaan Banjar yang wujud di Kalimantan Selatan. Maka kali kini, artikel kedua terakhir mengenai negeri-negeri Melayu di luar Malaysia akan diteruskan dengan menyusuri ke wilayah Kalimantan Tengah pula.



Lambang dan bendera Kerajaan Kutaringin


Di Propinsi Kalimantan Tengah, Indonesia, pernah berdiri sebuah Kerajaan Melayu yang bernama Kutaringin. Kadang kala, nama negeri ini juga dieja sebagai Kota Waringin. Kerajaan ini merupakan satu satu Kerajaan Melayu yang bertahan agak lama di Indonesia, iaitu sejak abad ke-16 hinggalah abad ke-19, dengan 14 orang Sultan kesemuanya yang pernah memerintah. Walaubagaimanapun, nama Kutaringin ini sebenarnya telah disebut lebih awal, iaitu dalam kitab ‘Negarakertagama’, iaitu apabila Negeri Kutaringin dinyatakan sebagai sebahagian daripada wilayah Tanjung Nagara yang tunduk kepada empayar Majapahit.



Peta wilayah Kerajaan Kutaringin berwarna kuning


Pada asalnya, wilayah Kutaringin ini adalah di bawah pengaruh Kerajaan Banjar yang berpusat di Kalimantan Selatan. Sebelum wujudnya Sultan yang memerintah kawasan tersebut, Raja-raja Kerajaan Banjar yang menguasai kawasan pantai selatan dan tenggara pulau Borneo telah mengirimkan wakil-wakilnya untuk mengutip cukai termasuklah di wilayah Kutaringin. Bahkan, para Sultan Kutaringin sebenarnya adalah berketurunan dari Dinasti Banjar. Raja pertamanya, iaitu Pangeran Dipati Anta-Kasuma merupakan anak keempat kepada Sultan Banjar ke-4, iaitu Sultan Mustain Billlah. Pangeran Dipati Anta-Kasuma telah menggantikan bapa mertuanya, Dipati Ngganding yang sebelum itu merupakan Adipati (lebih kurang seperti Gabenor) untuk menjadi penguasa Negeri Kutaringin tetapi masih di bawah pengaruh Kerajaan Banjar. Disebabkan itulah, Raja-raja Negeri Kutaringin kebiasaannya memakai gelar Pangeran jika berada di Negeri Banjar, tetapi menggunakan gelaran Sultan di negerinya sendiri. Kerajaan Kutaringin ini mencapai zaman kemuncaknya ketika era pemerintahan rajanya yang ke-7 iaitu Pangeran Ratu Bengawan sekitar kurun ke-18.

Semasa fasa awal pasca kemerdekaan Indonesia, iaitu pada awal Januari 1946, Negeri Kutaringin telah diduduki oleh Belanda dan kemudiannya dimasukkan sebagai sebahagian daripada wilayah Negara Dayak Besar, sebuah negara yang disokong oleh penjajah Belanda bagi memecahbelahkan republik tersebut. Walaubagaimanapun, Negeri Kutaringin secara rasminya telah bergabung semula di dalam kesatuan Republik Indonesia pada 1 Mei 1950 dan negeri ini ditukar statusnya menjadi sebuah Kabupaten (seperti Bahagian di Sabah dan Sarawak) di dalam Propinsi Kalimantan Tengah.



Istana Kuning, lambang Kerajaan Kutaringin


Dengan berakhirnya kedaulatan Kerajaan Kutaringin, maka para bangsawan dan kerabat Di Raja Kutaringin tidak lagi memegang jawatan-jawatan dalam pemerintahan. Hanya beberapa keturunan Sultan dan bangsawan sahaja yang sebelum itu sudah bekerja sebagai pegawai pemerintahan tetap memegang jawatan di dalam pemerintahan Indonesia yang merupakan sebuah negara bercorak Republik.

Pada hari ini, sebagaimana yang berlaku di wilayah lain di Indonesia, para waris Kerajaan Kutaringin telah sepakat untuk mengangkat salah seorang zuriat kerabat mereka untuk bertindak sebagai Sultan Kutaringin yang baru bagi tujuan melestarikan budaya tempatan dan sebagai penjaga kepada pusaka Kerajaan Kutaringin, termasuklah adat istiadat dan peninggalan leluhur mereka. Pangeran Alidin Sukma Alamsyah, zuriat kanan kesultanan tersebut telah terpilih dan telah ditabalkan secara rasminya sebagai Sultan Kutaringin ke-15 dengan gelaran Sultan Alidin Sukma Alamsyah pada 16 Mei 2010 yang lalu.



Sultan Alidin Sukma Alamsyah, Raja Kutaringin ke-15 bersama keluarganya


Nota : Sebuah lagi negeri Melayu yang terdapat di Pulau Borneo adalah Negara Brunei Darussalam. Walaubagaimanapun, memandangkan semua orang telah maklum tentang negeri ini dan maklumat mengenainya juga mudah diperolehi di internet, maka rasanya tidak perlu untuk dikeluarkan artikel mengenai Brunei.