Thursday, December 20, 2012

Laut atau Semut?



Kerajaan Samudra, atau dikenali juga dengan nama Samudra-Pasai, yang terletak di utara Acheh, merupakan sebuah Kesultanan yang ‘besar’ terutamanya jika kita mengkaji dan menghayati sejarah penyebaran Islam di Nusantara. Walau bagaimanapun, kerap kali juga sejarahnya dipandang sepi kerana di negara kita, sejarah kerajaan tersebut dianggap sebagai sebahagian daripada sejarah Indonesia, sementara di negara seberang pula, mereka lebih mengagungkan kebesaran sejarah Kerajaan Majapahit terutamanya oleh majoriti penduduk Jawa di sana.

Apa yang istimewanya tentang kerajaan Samudra ini? Tidak lain dan tidak bukan kerana di dalam Hikayat Raja-raja Pasai ada menyebutkan tentang kewujudan wasiat Rasulullah S.A.W. yang berbunyi seperti berikut :

“Sepeninggal aku telah wafat kelak,
akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya.”
“Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu,
serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu,
serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat.
Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan menjadi wali Allah.”
“Tetapi semasa kamu hendak pergi ke negeri itu,
hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Mengiri,
bawalah fakir itu bersama-sama belayar ke negeri Samudera itu.”

- Sabda Rasulullah SAW dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai



Bagaimana pula boleh muncul sebuah negeri bernama Samudera? Ianya bermula dengan kisah seorang raja tempatan di pulau Sumatera bernama Merah Silu pergi keluar memburu bersama orang-orangnya membawa seekor anjing pemburunya yang bernama si Pasai. Sampai ke satu tempat, baginda menitahkan supaya anjing itu dilepaskan. Seketika kemudian anjing buruan tersebut menyalak pada satu tanah tinggi apabila ia ternampak seekor semut sebesar saiz seekor kucing.

Baginda kemudian menyuruh orang-orangnya menangkap semut itu lalu dibawa pulang ke istana sebelum semut itu dimakan oleh baginda. Kemudian baginda menyuruh orang-orangnya supaya menebas dan menerangkan tempat tadi untuk dibangunkan sebuah negeri. Baginda pun membina sebuah istana yang cukup lengkap dengan kota dan paritnya serta sebuah penempatan.Selepas segalanya sempurna, Merah Silu dan orang-orangnya pun berpindah ke negeri baru ini yang dinamakan sebagai ‘Samudera’, yang bermaksud semut besar.


Amat menarik sekali apabila seorang ilmuan tempatan, iaitu Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas di dalam bukunya yang bertajuk Historical Fact and Fiction telah mencabar sejarah arus perdana dengan menyatakan nama asal kerajaan tersebut adalah ‘Semut Raya’ (Besar), dan bukannya ‘Samudera’ iaitu perkataan Sanskrit yang digunapakai di dalam Bahasa Melayu bermaksud lautan. Bagi mengukuhkan dakwaannya, Syed Naquib Al-Attas telah menjelaskan kitab-kitab yang ditulis oleh penjelajah Arab pada kurun ke-13, 14 dan 15 telah menulis nama Kerajaan tersebut dengan huruf ‘Ta’( ت), dan bukannya huruf ‘Dal’ (د), contohnya Samatar (al-Dimashqi), Samutra (Ibn Battutah), dan Sumutra (Ibn Majid).


Bagi yang mencebik muka dan menyatakan kisah keberadaan negeri bernama Menggiri dan kisah kewujudan seekor semut sebesar kucing semata-mata hanyalah khayalan dan mitos yang ditokok tambah oleh penulis-penulis hikayat Melayu untuk menyedapkan cerita, Syed Naquib Al-Attas telah membawakan laporan kitab ‘Aja’ib al-Hind oleh Buzurg ibn Shahriyar, yang telah disusun pada akhir kurun ke-10 daripada sumber-sumber terdahulu. Di dalam kitab tersebut ditemui laporan Muhammad ibn Basishad yang melaporkan di utara pulau Sumatera terdapat semut yang amat besar terutamanya di Lamri, tempat yang sama dipercayai Merah Silu menjumpai semut yang bersaiz besar berkenaan.


Berkenaan dengan Negeri Menggiri pula, Syed Naquib Al-Attas telah memetik tulisan al-Mas’udi tentang penjelajahannya ke tanah Hindi. Di dalam peta India pada akhir kurun ke-9, terdapat wilayah bernama Monghyr yang terletak di timur laut India yang pada kurun ke -13 menjadi sempadan antara barat laut Bengal dan selatan Bihar. Al-Mas’udi melaporkan di sini terdapat lebih 10,000 orang Arab yang mempunyai darah Quraish tulen keturunan langsung daripada Rasulullah S.A.W. yang memerintah kawasan tersebut. Raja di wilayah Monghyr ini menggunapakai gelaran Balhara dan bertentangan dengan pandangan ahli sejarah, Monghyr ini bukanlah hanyalah sebuah pekan atau bandar tetapi sebuah wilayah yang luas! Hikayat Raja-raja Pasai telah mencatatkan Raja Menggiri yang bernama Muhammad kemudian telah sanggup turun daripada tahkta dan menjadi seorang fakir semata-mata untuk mengikuti rombongan Syeikh Ismail yang telah diutuskan oleh Syarif Mekah untuk mengIslamkan negeri Samudera untuk menyempurnakan amanat yang telah disampaikan oleh Junjungan Besar kita.


Wasiat Rasulullah S.A.W. menjadi kenyataan apabila sememangnya wilayah negeri Samudra-Pasai yang pada hari ini membentuk Acheh sememangnya telah melahirkan ramai alim ulama’ dan pendakwah yang gigih menyebarkan agama Islam yang suci di seluruh Nusantara termasuklah Wali Tujuh dan Wali Songo yang kisahnya amat terkenal di alam Melayu. Malahan pada zaman keagungan Kesultanan Melayu Melaka, Samudra-Pasai telah dijadikan sebagai tempat rujukan dalam hal ehwal agama Islam. Sehingga ke hari ini pun bumi Acheh terkenal dengan panggilan ‘Serambi Mekah’. Walaupun jangka hayat Kerajaan Samuda-Pasai ini tidaklah panjang dan sejarahnya kerap disepikan, namun kuasa Allah juga telah mentakdirkan bahawa seluruh pulau di barat Indonesia telah dinamakan sebagai Sumatera, bersempena dengan nama Kerajaan Samudra ini yang pernah berkuasa di utara pulau tersebut.


8 comments:

  1. Terima kasih atas artikel,nanti saya emel pasal yg saudara nak tu ek.

    ~Srikandi

    ReplyDelete
  2. Saya ada terbaca sebuah buku yang menkritik wasiat Nabi tersebut kerana kononnya tidak terdapat dalam mana-mana kitab hadith.

    ReplyDelete
  3. ya, saya maklum tentang perkara tersebut. Tapi memandangkan bidang hadith adalah diluar bidang saya, maka rasanya lebih baik kita serahkan pada yang ahli.

    Cuma apa yang saya nak tekankan dalam artikel di atas adalah mengenai maklumat2 dalam hikayat Melayu lama yang kita rasa macam dongeng sebenarnya adalah fakta jika kita mengkaji dengan lebih lanjut.

    tentang hal sabda Nabi di dalam Hikayat Raja-raja Pasai, mungkin saya boleh petik pandangan saudara Radzi Sapiee dalam bukunya Berpetualang ke Aceh yang menyatakan perkara di atas adalah wasiat. Justeru itu, mungkin disebabkan itu ianya tidak disampaikan secara terbuka dan hanya diwarisi dan diturunkan oleh kaum keluarga sahaja.

    Tambahan lagi, Acheh adalah bumi serambi Mekah di Nusantara. Apakah alim ulama sejak berzaman dahulu tidak menegur kandungan wasiat Nabi di dalam Hikayat tersebut sekiranya ianya tidak benar?

    Namun apapun, seperti yang saya katakan, lebih elok diserahkan hal ini kepada ahli hadith. saya hanya sampaikan maklumat dari segi sejarah sahaja.

    Salam hormat,

    ReplyDelete
  4. Asalamualaikum tuan.Boleh tolong tulis mengenai sejarah Kesultanan Perlak?Adakah Perlak merupakan kerajaan Islam pertama di Alam Melayu?

    Terimakasih.

    ReplyDelete
  5. Wa'alaikumussalam,

    Insya Allah, jika ada maklumat menarik tentang Kesultanan Perlak yang jarang diketengahkan, akan saya paparkan di dalam blog ini.

    Salam hormat,

    ReplyDelete
  6. perlak adalah kerajaan islam syiah pertama di indonesia mungkin juga bumi melayu.

    kemudian dihanjurkan oleh muslim aceh/melayu dengan meminta bantuan dari khalifah turki usmani..

    Tolong bagikan bila ada artikel yg membahas perlis ini bang..

    ReplyDelete