Featured Post

Kenapa Singapura Lebih Maju?

Sudah beberapa hari berlalu sejak negara jiran kita iaitu Singapura menyambut Hari Kemerdekaannya yang ke-50 pada 9 Ogos yang lalu. Nam...

Wednesday, September 4, 2013

Perjuangan Sistem Republik Berpresiden?



Masyarakat Melayu-Islam di negara kita sememangnya bertuah kerana dikurniakan pelbagai nikmat yang jarang diperoleh atau tak mungkin dirasai oleh saudara-mara kita di negara lain. Tidak seperti pemuda Melayu di Vietnam dan Kemboja yang hanya mampu memandang sayu peta di pusat pelancongan yang menunjukkan satu masa dahulu mereka mempunyai sebuah negara sendiri bernama Champa di sepanjang pantai timur Indochina. Tidak seperti pakcik di selatan Thai yang terpaksa menggunakan nama Saibuding Doaloh agar berbau Thai walaupun nama Melayu sebenarnya adalah Saifuddin Abdullah. Tidak seperti tentera berketurunan Melayu dalam Angkatan Tentera Singapura (SAF) yang sampai mati pun tidak mungkin berpeluang merasa pangkat General berserta kuasa yang sebenarnya walaupun mereka lebih berkelayakan. Ataupun Melayu di Sumatera Utara yang kadangkala terasa dihimpit oleh suku Bumiputera yang lain terutamanya dalam bidang politik.

Malangnya, disebabkan berasa dalam zon selesalah menyebabkan kadang kala sebahagian daripada kita berasa leka dan terlupa bahawa semua nikmat yang diperolehi pada hari ini sebenarnya boleh hilang pada bila-bila masa. Mereka ini, yang berpelajaran dan berpendidikan tinggi termasuklah dalam bidang agama, kadang-kala bertindak memperjuangkan sesuatu yang sebenarnya boleh memberi kesan buruk kepada agama, bangsa dan negara mereka sendiri. Demi ego dengan merasakan diri sendiri kononnya seorang pejuang, mereka sanggup menggadaikan perkara-perkara yang menjadi tunjang kekuatan umat Islam di negara kita.

Ambil contoh pemuda bernama Wan Ji di atas yang dikatakan sebagai seorang ‘Ustaz’. Dia bercita-cita hendak menghapuskan institusi Sultan dan menggantikannya dengan Presiden iaitu apabila Malaysia menjadi sebuah Republik. Tak tahulah sama ada dia sedar atau tidak dengan apa yang diperkatakan dan dicita-citakannya itu. Benar, pada hari ini, kebanyakan masyarakat Melayu-Islam di negara kita tidak lagi melihat peranan Sultan sebagaimana di awal zaman pengembangan Islam. Tetapi adakah itu bermakna kita perlu menghapuskan terus institusi Sultan di negara kita? Mana-mana individu yang menjawat apa-apa jawatan sekalipun terdedah kepada kelemahan. Tidak kira lah Sultan, Perdana Menteri atau Menteri Besar. Jika seseorang individu yang memegang jawatan Mufti mempunyai kelemahan dan korup, adakah kita perlu bertindak menghapuskan terus jawatan Mufti atau institusi Jabatan Agama Islam di negara kita?

Kita boleh mengkritik individu terbabit, tetapi institusi Beraja di negara kita perlu terus dipertahankan kerana ianya adalah salah satu tonggak kekuatan Melayu iaitu selain daripada Bahasa Melayu dan hak keistimewaan Melayu. Tegaknya pemerintahan sesebuah negeri Melayu pada masa dahulu kerana adanya Raja yang memerintah. Disebabkan itulah, sehingga kini, perkataan ke-Raja-an terus digunakan sebagai terjemahan kepada ‘Government’ dan tidak terhad hanya kepada ‘Kingdom’.



Benarkah tanpa Raja Melayu sebagai simbol perpaduan, Bangsa Melayu tetap akan terus kekal bersatu? Well, lihatlah kepada perjuangan kemerdekaan oleh para pejuang Melayu di selatan Thai. Sampai sekarang masih gagal dan akan terus gagal kerana mereka berpecah belah sesama sendiri kepada PULO, PULO (Baru), BRN, BRN-Coordinate, Barisan Islam Pembangunan Pattani, Gerakan Mujahidin Pattani dan entah berapa puluh lagi kumpulan yang ada tanpa ada satu pun elemen atau tokoh yang dapat menyatukan mereka. Di selatan Mindanao pula, tumbangnya Kesultanan Maguindanao dan Kesultanan Sulu menyebabkan suku-suku Islam Moro berebut kuasa sesama mereka menerusi MNLF dan MILF. Jika penulis adalah seorang perisik asing yang berhasrat untuk meruntuhkan kekuatan Melayu Islam di negara kita, sudah pasti gerakan untuk menghapuskan institusi Beraja akan dijadikan agenda dan keutamaan. Kerana dengan hancurnya institusi Beraja di Malaysia, bermakna hancur jugalah sebahagian daripada kekuatan Melayu-Islam dan semakin mudahlah musuh untuk menguasai kita.

Jika Wan Ji diatas benar-benar seorang Ustaz, alangkah elok sekiranya beliau bercita-cita supaya institusi Sultan diperkukuhkan dengan melantik individu yang benar-benar berkelayakan dan memahami betapa beratnya amanah dan tanggungjawab jawatan tersebut di akhirat kelak, agar kemudian sistem Khilafah yang menyatukan pelbagai pemerintahan negeri-negeri Islam dapat diwujudkan kembali. Ini tidak, yang diperjuangkan adalah agar Malaysia menjadi negara Republik dengan sistem berPresiden, yang kedua-duanya adalah sebahagian daripada sistem demokrasi ciptaan dan rekaan Barat.

Adakah dengan tumbangnya institusi Sultan dan Malaysia menjadi sebuah negara Republik yang diketuai oleh Presiden, negara kita akan menjadi lebih baik? Syiar Islam akan lebih berkembang dan terpelihara? Lihat apa yang telah terjadi kepada Turki. Jatuhnya Sultan Abdul Hamid II bermakna jatuhnya juga sistem Khilafah yang terakhir di dunia. Dan kewujudan Republik Turki menyebabkan syiar Islam semakin tertindas dan bukannnya semakin berkembang terutamanya sewaktu era Kamal Ataturk. Itu pun nasib baiklah 75 peratus daripada penduduk Turki terdiri daripada Bangsa Turk dan Islam meliputi hampir 90 peratus penduduknya. Bandingkan dengan negara kita yang Melayu dan Bumiputera hanyalah berjumlah 60 peratus sementara Islam sekitar 55 peratus lebih sahaja. Bayangkan sekiranya dalam pilihanraya Presiden, kaum bukan Melayu-Islam bersatu untuk menyokong Presiden daripada golongan mereka sementara orang Melayu-Islam, ditolak golongan Mat Rempit, Mat Ganja, Bohsia, kaki disko, kaki enjoy dan lain-lain individu yang tidak ambil peduli dan tidak mendaftar sebagai pengundi, undi mereka berpecah pula kepada dua calon Presiden Melayu yang bertanding, seorang berpendidikan Barat sementara seorang lagi berpendidikan Timur Tengah. Maka atas dasar kesamarataan dan kesaksamaan sebagaimana sistem Republik berpresiden, jawatan Presiden pun jatuh ke tangan bukan Melayu-Islam iaitu berasaskan undi majoriti.

Maka ketika itu, mungkin ‘Ustaz’ Wan Ji akan terlonjak-lonjak keriangan kerana perjuangan Republik dan Presiden-nya telah tercapai dan berjaya.

15 comments:

  1. Amba setuju 400% dengan pendapat tuan, memang itu pendapat amba selama ini.

    Dangkal, dan pandangan mereka tersekat setakat amalan politik bawah tempurung Malaysia sahaja.

    Seperti komen hamba dalam FB Merah Silu hari ini, kelemahan raja itu individu. Institusinya yang kita cinta dan pertahankan sebagai kubu terakhir petahanan Melayu Islam. Allahu Akbar!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas sokongan Tuan. Semoga yang baik dpt djadikn panduan bersama..

      Delete
  2. Saya ada baca artikel ni teringat saya akan satu artikel tentang kisah Hang Tuan dan Hang Jebat. Perbuatan keduanya mempunyai sebab2 yang tersendiri. Dari sudut Hang Tuah mungkin beliau berpendapat bukan Sultan yang dipertahankan tetapi Institusi Sultan tersebut. Buruk padahnya jika Institusi itu tidak lagi dihormati. Bagi Hang Jebat pula hanya kerana ingin menuntut keadilan semata2. Wallahua`lam.

    -Azrul-

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya, apa yang Hang Tuah lakukan adalah kerana sayangnya dia kpd Negeri Melaka.

      Tapi ada juga versi lain yg mengatakan Hang Tuah sbnrnya tak bunuh pun Hang Jebat. 'Jasad' yang diangkat & ditanam itu sbnrnya hanyalah batang kayu. Hang Tuah melindungi saudaranya itu.

      Salam hormat

      IBNU RUSYDI

      Delete
  3. Salam tuan...

    Wah lama tuan tak update blog ye....
    Tuan ada hal penting ke?

    Apa apa pun,tahniah dan syabas tuan saya ucapkan
    Berkenaan si Wan Ji,dia dah ditahan oleh polis....

    Raja Ariff

    ReplyDelete
    Replies
    1. W'slm YM Raja Ariff,

      Ya, saya agak sibuk sblm ini. Terima kasih atas sokongan tuan.

      Salam hormat

      Delete
  4. Institusi Kesultanan mempunyai kuasa sepenuhnya terhadap kedaulatan agama Islam.Setakat menjadi benteng tidak memadai. Para Sultan seharusnya turun tangan dengan serius untuk memartabatkan agama Islam bukan sekadar menyerahkan hal ehwal agama kepada majlis agama semata-mata.Sultanlah sepatutnya menjadi peneraju, penentu atau pengadil.

    Kesultanan Melayu bebas daripada politik dan boleh menjadi penggerak utama dalam memajukan sistem Islam di Malaysia tanpa mengganggu pentadbiran kerajaan yang sedia ada. Malah boleh menjadi pemangkin kepada usaha-usaha yang dibuat oleh kerajaan tanpa prejudis. Sultan boleh mempersatukan tokoh-tokoh ulama dan pemimpin-pemimpin Islam dalam satu majlis tanpa mengira latarbelakang mereka, malah mengetuai sebarang majlis muzakarah yang dianjurkan oleh pihak istana.


    Badan Islam atau Jemaah Islam tidak rasmi boleh bernaung terus dibawah Kesultanan dan diberi ruang untuk menghadap Sultan.Jadi sama-sama boleh berbincang, mengemukakan pendapat, memberi penerangan, penjelasan , cadangan dan idea untuk melaksanakan usaha-usaha mereka ke arah memajukan umat Islam dalam segala aspek kehidupan demi kepentingan umat Islam.

    Insyaallah Institusi Kesultanan itu sendiri akan semakin kukuh bilamana Islam didaulatkan oleh mereka. Para Sultan adalah pembela agama Islam. Allah membela sesiapa yang membela agamaNya.

    ReplyDelete
  5. Salam Admin, apa jadi kat komen saya sebelum ni?

    Apa-apa pun Barat sangat mempertahankan institusi Diraja mereka.cth Britain. Tetapi menjadi dalang di sebalik keruntuhan sistem beraja di negara lain terutama di negara Islam.Hanya alam Melayu yang masih mempertahankan kesultanannya. Apa yang berlaku di negara lain, institusi diraja diruntuhkan dari dalam dan oleh bangsa itu sendiri.

    Kesultanan Melayu bukan sahaja menjadi benteng agama Islam ASWJ di rantau ini bahkan di seluruh dunia.

    ReplyDelete
  6. setuju tuan. Satu2 perkara orang Melayu-Islam diasak. Yang terkini adalah berkenaan Syiah.

    Salam hormat

    ReplyDelete
  7. [salam]. Pada "pandangan" sy cukuplah kita orang MELAYU menyebut dan menulis nama MELAYU sahaja tanpa perlu nama islam itu. Bukan ke MELAYU itu islam dan islam itu MELAYU? Cukuplah kita orang MELAYU mempertahankan segala yg berkaitan dgn MELAYU atas nama MELAYU semata semuanya. Bila kita mencampur adukkan nama MELAYU dgn nama islam itu, ianya menjadi sebab orang MELAYU hari ini terkeliru di dalam perjuangan mereka lalu berpecah belah seperti sekarang! Sebagai contoh yg berlaku sekarang ini,di mana orang MELAYU sendiri memperkatakan dengan yakinnya bahawa apa guna kita orang MELAYU memperjuangkan bangsa dan nama MELAYU, lebih baik kita memperjuangkan agama islam sahaja! Bukan ke keyakinan sebegitu amat merbahaya kpd kelangsungan bangsa dan nama MELAYU itu di dalam negerinya sendiri? Seolah olah orang MELAYU hari ini meyakini bahawa tanpa bangsa dan nama MELAYU itu,mereka boleh memperjuangkan agama islam! Orang MELAYU hari ini sudah tidak tahu dan keliru di antara bangsa MELAYU dan agama islam itu, yg mana satu patut di utamakan dan di dahulukan di dalam perjuangan mereka di negeri MELAYU ini. Musuh MELAYU amat suka dengan perkembangan pemikiran dan kepercayaan orang MELAYU seperti ini! Kerana merekalah yg selama ini merancang perkara ini berlaku,dgn matlamat agar orang MELAYU hilang jati diri MELAYUnya, seterusnya hilang segala yg menjadi benteng kekuatan kelangsungan bangsa dan nama MELAYU di dalam negeri MELAYU kita ini! Perlu kita ingat di sini bahawa di dalam agama islam itu terkandung pelbagai bangsa selain orang MELAYU. Dan mereka bangsa lainnya itu tidak sesekali akan mengaku diri mereka sebagai orang MELAYU di dalam negeri MELAYU kita ini! INGATLAH ! bahawasanya MELAYU itu ialah RAJA, dan RAJA itu ialah MELAYU!!! Sekian dan Terima kasih...[ADDP]

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas maklumbalas tuan.

      Setuju dgn pandangam tuan. Cuma saya guna Melayu-Islam sbb ada juga komuniti Islam di negara kita yg bukan Melayu. Ada juga Cina, Kadazan, India dan Iban yg beragama Islam.

      Salam hormat,

      Delete
  8. Bolehkah dikatakan mereka yang menyanggah/membuang/ tak mengaku bangsa Melayu sebagai mereka yang kufur? Dalam al Quran sendiri menjelaskan yang Allah menjadikan manusia itu berbangsa-bangsa walaupun tak disebut bangsa Melayu.

    Bagi saya, merujuk kepada ayat itu sahaja (tak ingat ayat dan surah mana), orang yang membuang Melayu secara tak sedar telah kufur kepada ayat ini dan kita semua tahu hukumnya menyanggah dalil naqli.

    ReplyDelete
  9. Saya setuju kalau Malaysia tetap menjadi kerajaan seperti saat ini. Jangan terlalu berharap banyak dengan republik seperti yang dianut di Indonesia. Semua coba-coba saja, tak ada pembangunan yg berkelanjutan.karena penguasa hanya memikirkan kepentingannya dalam 5 tahun. Sehingga selama pegang kuasa babat habis hutan dan sumberdaya alam.moral dan sopan santun rusak tak ada sultan.presiden pun dihina bagai lembu.justru di berbagai daerah di Indonesia mulai digalakkan kembali kesultanan untuk menjaga budi pekerti dan sopan santun. Lihat kesultanan Langkat, Banjar, Kutai dlsb. Muak saya dengan sistem republik yang vulgar.

    ReplyDelete
  10. Banyak orang Jawa yang sudah menjadi orang Malaysia yang memuja setinggi langit raja melayu Johor Selangor atau manapun perihal kesempatan yang besar untuk Melayu Jawa untuk berbisnis di sana. Yang terjadi di Sumatra Timur-Langkat di masa lampau adalah orang Jawa kasta rendah (meski sudah Islam tapi budaya Hindu peninggalan Mataram dan Majapahit masih menempel di jidat mereka) yg dijadikan buruh kelapa sawit oleh Belanda dan diperlakukan tidak manusiawi oleh Belanda sementara di depan matanya keluarga Kesultanan Langkat yang bersekutu dengan Belanda berfoya foya dan berpesta pora menikmati hasil minyak bumi di Pangkalan Brandan yg berlimpah.Saat penyiksa mereka-Belanda tewas ditangan Jepang,mereka dilatih Jepang. Begitu merdeka, terjadi euforia dan menganggap kesultanan di sumatra timur sebagai antek Belanda ikut di kejar. Intinya di kesejahteraan. Orang Jawa menganggap dia besar karena pernah menaklukkan seluruh Nusantara termasuk semenanjung Malaya, Madagaskar, Philipina dan Thailand Selatan melalui Majapahit.Makanya Soekarno pernah melakukan konfrontasi untuk merebut semenanjung Malaya dan mungkin mengira rakyat Melayu menderita.Sebenarnya sesudah bersentuhan dengan Islam yang dibawa pedagang Melayu yang kemudian dengan adanya pesantren dan madrasah-madrasah, budaya Melayu juga terserap sampai ke pelosok kampung/desa. Sehingga dari 100 % Hindu Budha, akhirnya kini 97%orang Jawa menjadi Islam meski bersamaan dijajah Belanda 350 tahun lamanya. Banyak kesamaan Jawa dengan Melayu sehingga tak berlebihan jika ada istilah Melayu Jawa. Tak ada alasan bermusuhan karena sejatinya saudara serumpun yang banyak kesamaan daripada perbezaan.Kalau umroh dan haji pun kita juga dikelompokkan menjadi Melayu. Kesejahteraan kemakmuran yang berkeadilan dalam naungan Islam adalah sebuah idaman.

    ReplyDelete