Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Wednesday, November 27, 2013

Tuntut Kembali Batu Puteh


Isu Batu Puteh kembali hangat baru-baru ini apabila mantan Pengarah Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim mendedahkan wujud sogokan wang yang menyebabkan kekalahan tuntutan negara kita kepada Singapura pada tahun 2007 yang lalu. Pendedahan ini bukanlah bukanlah satu dakwaan kosong kerana ianya dibuat dalam bentuk Akuan Bersumpah (SD) setebal 31 muka surat dan turut dihantar ke Pejabat Perdana Menteri dan beberapa pemimpin kanan negara.

Akuan Bersumpah berkenaan telah mendedahkan salah laku individu yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kes berkenaan bagi pihak negara kita. Turut dinyatakan maklumat bahawa terdapat wang dalam amaun yang besar telah bertukar tangan dan dipindahkan ke dalam sebuah akaun di Hong Kong.

Penulis memohon supaya pihak-pihak berwajib yang mempunyai kuasa dan masih mempunyai perasaan cinta kepada negara agar membuat siasatan segera dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Perkara ini melibatkan maruah negara dan sekiranya benar dakwaan berkenaan, pengkhianat yang telah menjual kedaulatan negara perlu dihadapkan ke Mahkamah dan dikenakan hukuman yang paling berat. Untuk makluman, cerita mengenai tindakan sabotaj dalaman yang dilakukan oleh agent-agent negara jiran di kalangan rakyat tempatan dalam kes tuntutan Batu Puteh bukanlah perkara baru. Penulis memetik kembali kenyataan Datuk Ruhanie Ahmad di dalam blognya Kuda Kepang pada tahun 2008 yang lalu :

“sebelum menghadiri sessi akhir ICJ mengenai Pulau Batu Puteh di The Hague, Belanda, pertengahan Mei 2008 lalu, saya difahamkan bahawa Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, dipercayai telah menerima daripada Sultan Johor satu scroll dan dokumen sejarah yang sangat penting mengenai pulau tersebut.

Dokumen dan scroll ini dikatakan akan digunakan sebagai “senjata terakhir” dalam perbicaraan ICJ bagi menjamin serta mempertahankan kedaulatan Pulau Puteh terus kekal dimiliki oleh Malaysia.

Berasaskan scroll serta dokumen tersebut, Rais dikatakan telah memberitahu Sultan Johor bahawa kemungkinan besar keputusan ICJ mengenai Pulau Batu Puteh akan memihak kepada Malaysia.

Persoalannya di sini, adakah scroll dan dokumen penting ini telah benar-benar digunakan sebagai “senjata terakhir” Malaysia dalam perbicaraan ICJ? Jika tidak, mengapakah jadi begitu? Kemanakah perginya scroll dan dokumen ini sekarang?”

Sebelum ini, Singapura sentiasa berdolak dalik untuk membawa kes Batu Puteh ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Adalah jelas bahawa Batu Puteh adalah lebih dekat dengan Negeri Johor iaitu hanya 7.7 batu nautikal berbanding dengan jarak dari Singapura yang sejauh 25 batu nautikal. Walaupun negara kita telah mengemukakan tujuh (7) dokumen bertulis bersejarah yang membuktikan pemilikan Negeri Johor ke atas Batu Puteh, ICJ akhirnya memutuskan Batu Puteh menjadi milik Singapura hanya kerana sekeping surat yang dikirimkan oleh pemangku Setiausaha Kerajaan Johor (bukan Setiausaha Kerajaan Johor sendiri!) kepada Setiausaha Koloni British di Singapura (bukan kepada Republik Singapura!) pada 21 September 1953. Batuan Tengah pula disahkan milik negara sementara status Tubir Selatan masih tidak jelas, tidak pula diketahui keputusan akhir Jawatankuasa Teknikal Bersama yang ditubuhkan Malaysia dan Singapura.



Tiada rakyat Malaysia terutamanya Bangsa Johor yang menerima kenyataan bahawa keputusan ICJ tersebut adalah win-win situation. Malahan Almarhum Sultan Iskandar semasa merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor pada 19 Jun 2008 dengan tegas telah bertitah :

"Suka beta ingatkan bahawa beta tidak lupa pada Pulau Batu Puteh. Pulau Batu Puteh bukan hak Singapura tetapi hak milik Johor. Sampai bila pun beta akan cari ikhtiar untuk mendapatkan semula pulau milik Johor itu,"

Namun begitu, malang sekali negara ketika itu dipimpin oleh regim yang dikuasai oleh anak menantu langsung tidak ada usaha untuk menyokong titah almarhum Sultan Iskandar untuk terus menuntut Batu Puteh. Sama sahaja seperti sikap mereka sebelum itu yang sesuka hati menyalahkan rakyat Johor untuk membatalkan pembinaan jambatan bengkok atas alasan tidak masuk akal bahawa rakyat Johor tidak bersetuju dengan pertukaran untuk menjual pasir ke Singapura dan kebenaran pesawat SAF untuk memasuki ruang udara negara.

Negara kita hanya mempunyai tempoh lebih kurang empat (4) tahun sahaja lagi untuk mengemukakan rayuan kepada ICJ berhubung keputusan ke atas Pulau Batu Puteh. Bukti yang wajib untuk dicarigali dengan bersungguh-sungguh oleh Arkib Negara, Jabatan Warisan, Muzium Diraja atau mana-mana sahaja agensi yang berkaitan adalah surat tahun 1844 yang telah dikirimkan oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, William John Butterworth, kepada Sultan Johor (Sultan Ali, Sultan Johor terakhir dari keturunan Bendahara yang akhirnya hanya memerintah Muar) dan Temenggong Johor (Temenggong Abdul Rahman Tun Abdul Jamil, datuk kepada almarhum Sultan Abu Bakar, Sultan Johor). Kandungan surat berkenaan adalah mengenai permohonan British untuk meminta izin daripada pihak Kesultanan Johor untuk membina sebuah rumah api di atas pulau tersebut, seterusnya membuktikan bahawa pulau tersebut sememangnya milik sah Negeri Johor. Surat berkenaan tidak dapat dijumpai di dalam arkib negara, tetapi dipercayai masih berada dalam simpanan arkib negara jiran.

Friday, November 1, 2013

Prestij Darjah Kebesaran Dato’ Johor

Darjah Dato' Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ)


Ketika penulis bersembang dengan beberapa orang rakan baru-baru ini, seorang rakan telah menimbulkan isu berkenaan dengan penganugerahan terlalu banyak Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato’/Datuk kepada terlalu ramai orang pada masa ini. Penulis dimaklumkan, kesan penganugerahan yang terlalu banyak ini telah menyebabkan masyarakat umum memandang sinis kepada penerima anugerah berkenaan, dengan tempiasnya turut terkena kepada penerima yang benar-benar telah banyak menyumbangkan jasa kepada masyarakat dan negara.

Penulis memberitahu kepada rakan berkenaan, penganugerahan Darjah Kebesaran termasuk yang membawa gelaran Dato’/Datuk adalah hak pemerintah setiap Negeri atas pertimbangan terhadap jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh setiap penerimanya. Justeru itu, penulis tidak berhasrat untuk mengulas panjang mengenai isu berkenaan. Jika dilihat dari sudut sejarah, penggunaan gelaran kebesaran ‘Datuk’ ini telah wujud sejak zaman Kerajaan Srivijaya lagi. Namun begitu, kewujudan Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato’ telah dimulakan oleh Kesultanan Johor Moden iaitu bermula pada era pemerintahan almarhum Sultan Abu Bakar.

Seperti yang diketahui, almarhum Sultan Abu Bakar bercita-cita untuk memodenkan sistem pentadbiran Negeri Johor Darul Takzim. Justeru itu, baginda banyak mengadakan lawatan ke negara-negara asing. Di dalam lawatan berkenaan, baginda telah menerima banyak anugerah kebesaran dari Ketua-ketua Negara Asing yang dilawatinya. Justeru itu, salah satu sebab mengapa baginda memperkenalkan Darjah Kebesaran di Johor adalah bertujuan untuk membalas pemberian anugerah kebesaran yang telah diterima kepada Ketua-ketua Negara Asing.

Darjah Dato' Paduka Mahkota Johor (DPMJ)

Sehingga kini, anugerah Darjah Kebesaran Negeri Johor telah diiktiraf sebagai anugerah yang tertua dan memiliki prestijnya yang tersendiri. Tidak seperti di Negeri lain, pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Johor yang membawa gelaran Dato’ adalah hak mutlak DYMM Sultan Johor dan secara puratanya, hanya dua atau tiga individu sahaja yang akan dikurniakan Darjah Kebesaran tersebut sewaktu Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda. Walau bagaimanapun, Darjah Kebesaran ini juga turut boleh dikurniakan pada bila-bila masa mengikut perkenan baginda. Pencalonan untuk penerima Darjah Kebesaran ini melalui proses yang amat ketat dan dikurniakan dalam jumlah yang amat terhad. Berikut merupakan maklumat lain yang berkaitan :

1) Darjah Kebesaran Negeri Johor iaitu Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati dan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia telah diperkenalkan pada tahun 1886. Disebabkan itulah, Darjah Kebesaran Negeri ini dianggap paling kanan dan tertua sekali di negara kita. Hanya selepas 30 tahun, barulah Negeri-negeri lain mengikut jejak langkah Negeri Johor dengan memperkenalkan Darjah Kebesaran Negeri masing-masing.

2) Mengikut artikel yang ditulis oleh Allahyarham Hakim Tan Sri Harun Hashim di akhbar New Straits Times pada 24 Ogos 2003, Darjah Kebesaran Dato’ Johor adalah salah satu daripada dua Darjah Kebesaran Dato’ di negara kita (selain Kelantan) yang diiktiraf oleh Court of St. James di England dan setaraf dengan British Knighthood.

3) Rekabentuk Darjah Kebesaran Negeri Johor pada asalnya ditempah daripada Syarikat J.W. Benson, London, pada tahun 1885 sebelum bertukar pula kepada Syarikat Garrard of London pada tahun 1960 sebelum diambil alih sebuah syarikat tempatan. Dan sehingga kini, reka bentuk, ukuran dan warnanya kekal tidak berubah sebagaimana Darjah Kebesaran yang mula ditempah pada tahun 1885 dahulu. Begitu juga dengan reka bentuk dan kandungan surat Watikah yang akan disertakan bersama-sama dengan Darjah Kebesaran yang masih sama sejak tahun 1886.

4) Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia mempunyai tiga pangkat iaitu Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ), Dato’ Paduka Mahkota Johor (DPMJ) dan Setia Mahkota Johor (SMJ). Walau bagaimanapun, hanya penerima pangkat pertama dan kedua sahaja yang berhak memakai gelaran Dato’. Pada asalnya, gelaran Dato’ Sri digunapakai kepada penerima SPMJ pada tahun 1886. Tetapi gelaran ini kemudian tidak lagi digunakan dan hanya dikekalkan gelaran Dato’ kerana almarhum Sultan Abu Bakar tidak mahu membeza-bezakan antara ahli pangkat pertama dan kedua.

5) Hanya penerima Dato’ Johor sahaja satu-satunya di negara kita yang perlu didahului dengan panggilan Yang Berhormat, tidak seperti penerima anugerah Dato’ lain yang didahului dengan panggilan Yang Berbahagia atau Yang Hormat (bagi Negeri Pahang). Panggilan Yang Berhormat Dato’ ini perlu disebut sepenuhnya di dalam majlis rasmi dan tidak boleh disingkatkan menjadi YB bagi membezakannya dengan panggilan Yang Berhormat (YB) bagi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

6) Mulai 30 Mac 1986, ahli-ahli wanita yang menerima SPMJ dan DPMJ akan memakai gelaran Datin Paduka dan tidak lagi gelaran Dato’. Perkara ini adalah selari dengan protokol di Britain yang mana wanita yang menerima Darjah Kebesaran tidak memakai gelaran ‘Sir’ tetapi bergelar ‘Dame’. Negeri Selangor juga mempunyai protokol yang sama iaitu penerima Darjah Bergelar bagi wanita memakai gelaran Datin Paduka dan bukannya Dato’.

7) Di Negeri Johor, isteri kepada suami yang bergelar Dato’ tidak boleh mamakai gelaran Datin dihadapan namanya kerana mengikut protokol di Johor, hanya suaminya sahaja yang menerima Darjah Kebesaran dan gelaran tersebut. Isteri seorang Dato’ di Johor perlu dipanggil dengan gelaran Datin Dato’ ...(nama suaminya)....

8) Menurut maklumat yang diterima penulis, selain daripada Kerabat Diraja Johor, hanya individu yang berumur lebih daripada 40 tahun dan ke atas sahaja boleh dipertimbangkan untuk menerima Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato’. Sekiranya individu tersebut berumur di bawah 40 tahun, beliau hanya boleh dikurniakan SMJ.


Setia Mahkota Johor (SMJ)

 
9) Sekiranya bakal penerima Darjah Kebesaran di Johor merupakan seorang yang beragama Islam, beliau dikehendaki menyempurnakan solat sunat dua rakaat dan mengangkat sumpah Syarie di hadapan Mufti dan disaksikan oleh dua orang Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja. Sumpah Syarie yang dilafazkan mengandungi ikrar taat setia kepada perintah-perintah Allah SWT dan taat setia kepada Raja dan kerajaan.

10) Mengikut Fasal 13 Undang-undang dan Peraturan Darjah, DYMM Sultan Johor berhak memecat Ahli Darjah (Dato’) sekiranya didapati menderhaka atau membuat kesalahan yang mendatangkan sifat kehinaan kepada orang baik-baik. Mereka yang ditarik balik gelaran perlu memulangkan semula bintang kebesaran serta surat watikah dan pembatalan mereka sebagai Ahli Darjah akan turut diwartakan. Chua Jui Meng, mantan Menteri Kesihatan adalah antara Ahli Darjah yang telah ditarik balik gelaran Dato’ oleh DYMM Sultan Johor.

Sejak 1886 hingga 2011, jumlah individu yang bergelar Dato’ Johor adalah terlalu kecil iaitu hanya 763 orang. Berbalik kepada isu penganugerahan terlalu banyak Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato’/Datuk kepada terlalu ramai orang pada masa ini, mungkin wasiat daripada almarhum Sultan Abu Bakar, Raja Melayu pertama yang memperkenalkan Darjah Kebesaran Moden, dan amanat ini turut dicatat di dalam Fasal 53 Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Negeri Johor, boleh dijadikan panduan dan renungan bersama :

“Janganlah diperbuat, dijadi dan diadakan sesuatu Darjah lain dengan sebab semata-mata hendak membanyakkan dan menambahkan bilangan darjah sahaja dengan tidak difikirkan dengan cermat dan baik adakah berguna dan berkehendak dijadikan yang baru kerana banyak bilangan dan terlalu banyak kelihatan dalam Negeri akan menjadikan kurang mutu dan kurang harga semuanya.”