Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Monday, October 20, 2014

Orang Asal Hanya Orang Asli, Sabah & Sarawak?

 
 

“Sebenarnya, pilihanraya kecik punya time, I memang ada baca sejarah, OK. Baik orang Melayu, baik orang Cina, baik orang India, memang mereka itu datang dari merata. Cina dari China, Chinese dari China, memang tak boleh nafikan. India dari India. Tapi orang Melayu datang dari Indonesia dan segalanya. Itu memang. Jadi bila kita dah jadikan satu negara, bersama-sama dulu, jangan kita pertikaikan, u pendatang, apa yang u faedah dari cakap-cakap yang tak ye-ye. Tapi sejarah dah membuktikan, kita memang orang pendatang. Itu aje (ketawa). Yang betul-betul yang jadi asal orang kat sini ialah, macam katakan, orang Dayak, Senoi, Negritos, dan orang Sabah, Sarawak. Itulah betul-betul.”

 
Itulah petikan asal kenyataan Tan Lai Soon, perwakilan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) dari Johor yang disiarkan oleh KiniTV dan menjadi viral baru-baru ini. Sebelum ini, Ketua Wanita PGRM iaitu Tan Lian Hoe pada 6 tahun lepas pernah membuat kenyataan yang hampir sama. Disamping itu, Chong Eng, ahli Parlimen DAP juga pada 3 tahun yang lepas ada menyatakan Melayu adalah pendatang dari luar Malaysia dan orang asal hanyalah Orang Asli.
 
Sebelum itu, untuk berlaku adil, kenyataan yang dibuat oleh Tan Lai Soon dibuat berdasarkan temubual dia dengan wartawan KiniTV, bukannya semasa persidangan PGRM. Temubual berkenaan juga dibuat dalam nada yang santai dan bukannya dalam nada provokasi. Kesilapan dia adalah dengan membuat kenyataan yang tidak cerdik dan tidak betul mengenai fakta sejarah negara dalam memberi contoh berkenaan isu perpaduan kepada sebuah portal yang diketahui menentang parti pemerintah. Tetapi dimaklumkan dia telahpun memohon maaf mengenai perkara tersebut.
 
Sebagai sebuah portal yang mengaku kononnya berkecuali tetapi diketahui memang sering mencabar isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan Melayu dan Islam, KiniTV memang bijak mengambil kesempatan dengan menyebarkan isu ini untuk ditanamkan pada pemikiran anak muda kerana telah diketahui parti pemerintah tidak akan mengambil tindakan kerana perkara ini melibatkan ahli parti komponen mereka. Brilliant!

Mungkin boleh diulas sedikit mengenai pemahaman Tan Lai Soon yang tersasar jauh daripada fakta sejarah sebenar. Kerana bukan setakat anak-anak muda, malahan ramai politikus-politikus terutamanya bukan Melayu yang mempunyai anggapan yang sama.

Berkenaan dengan Orang Asli, mungkin masih ramai yang tidak mengetahui bahawa Orang Asli dikenali juga sebagai Proto-Malay. Nama 'Orang Asli' sendiri merupakan sebuah terma umum kerana ia sebenarnya merujuk kepada tiga (3) kelompok iaitu Semang (Negrito), Senoi dan Aborigine Malay. Di bawah 3 kelompok ini pula mereka terbahagi lagi kepada beberapa sub-etnik.

Contoh sub-etnik di bawah Aborigine Malay adalah Kuala, Kanak, Jakun dan Temuan. Aborigine Malay yang tinggal di persisiran pantai dan menjalankan aktiviti perdagangan dan pelayaran adalah lebih maju dan terdedah kepada hubungan antarabangsa. Mereka kemudian menjadi Deutro-Malay. Oleh itu, Orang Asli dan Melayu saling berkait dan mempunyai hubungan yang dekat.

Contoh paling dekat yang dapat dilihat adalah kewujudan Suku Biduanda di Negeri Sembilan. Suku Biduanda merupakan hasil perkahwinan campuran antara Orang Asli di negeri berkenaan dengan Suku Minangkabau yang berhijrah dari Pagaruyung di Sumatera (Rujuk A. Samad Idris (1990) "Payung Terkembang" Pustaka Budiman).

Berkenaan dengan isu Bumiputera Sabah dan sarawak, kita rujuk pula senarai etnik-etnik yang terdapat di kedua-dua negeri berkenaan berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan : 
 
 
Bumiputera Sabah
Bumiputera Sarawak
Kadazan-Dusun
Iban
Murut
Melayu
Bajau
Bidayuh
Melayu
Melanau
Lain-lain Bumiputera
Orang Ulu dan lain-lain Bumiputera

 
Nah, dapat dilihat bahawa Melayu juga membentuk sebahagian daripada bumiputera di Negeri Sabah dan Sarawak. Jadi bagaimana pula saudara-mara mereka di semenanjung boleh dituduh sebagai pendatang pula? Kaum Bidayuh yang terdapat di Kuching boleh juga ditemui di Sambas. Kaum Iban juga banyak terdapat di Kalimantan Barat. Begitu juga kaum Murut yang boleh di temui di Kalimantan Timur. Jadi adakah ini bermaksud selepas ini mereka boleh menuduh kaum Dayak juga adalah pendatang dari Indonesia pula? 
 
Sebagai sebuah parti yang mendakwa bukan berasaskan perkauman dan terbuka untuk semua seperti Gerakan dan DAP, bukankah lebih baik dalam persidangan tahunan parti, mereka membuktikan perkara tersebut daripada sibuk memutarbelitkan sejarah negara amnya dan Melayu khasnya? Masih tidak kedengaran dari mulut Gerakan mahupun DAP mengenai sokongan mereka terhadap usaha untuk memperkasakan Sekolah Kebangsaan biarpun mereka paling lantang mengaku sebagai "Malaysian First, Chinese Second". Mengapa pula mereka seringkali mendesak agar peruntukan untuk Sekolah Vernakular bagi kaum-kaum tertentu dinaikkan? Sedangkan kaum-kaum lain seperti Melayu, Orang Asli, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, Bajau, Bidayuh, Melanau, Bisaya, Kelabit, Kayan, Kenyah, Rungus, dan sebagainya semuanya pergi ke Sekolah Kebangsaan. Siapa yang sebenarnya Malaysian First??! 
 
Jika sebelum persidangan bermula, Presiden Gerakan iaitu Mah Siew Keong ada menyatakan yang ahli dan pemimpin parti Gerakan yang mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman akan dikenakan hukuman berat termasuk dipecat, serta mencadangkan agar parti-parti komponen pemerintah yang lain untuk turut mengambil tindakan serupa. Tetapi sehingga kini, masih belum keluar sebarang kenyataan mengenai tindakan yang akan diambil terhadap kenyataan yang telah diucapkan oleh Tan Lian Hoe dan Tan Lai Soon sebelum ini.
 
Penulis tidak berhasrat untuk mengulas panjang mengenai isu tuduhan Melayu berasal dari Indonesia, kerana perkara ini telah ditulis dan diulas panjang dalam buku "Membongkar Rahsia Dunia Melayu" yang akan diterbitkan kelak di bawah tajuk "Penghijrahan di Alam Melayu". Sebagai tambahan, dua artikel lama boleh juga dirujuk dan dibaca kerana turut berkaitan :
 
 
 

Tuesday, July 15, 2014

Punca 'Awek Muda' Sertai DAP

 
 
the Malays are the most easily tricked and manipulated and conned into believing.
Barking Magpie (blogger)


Bagi anak muda yang sememangnya diketahui berdarah panas, waktu muda merupakan tempoh masa yang amat mencabar kerana di ketika inilah, mereka tercari-cari identiti diri mereka. Sifat anak muda, mereka sentiasa inginkan perhatian dan suara hati mereka didengari. Mereka suka melawan arus perdana dan mencabar kewajaran atau kerelevenan sesuatu perkara yang dianggap sudah lapuk. Emosi hati kerap kali mengatasi kewarasan minda mereka.

Anak muda juga mudah tertarik kepada sesuatu yang mereka anggap sebagai ‘cool’ dan ‘trendy’. Dalam mencari-cari identiti diri, ramai yang memilih mengikut trend atau gaya yang dibawa oleh pemuzik tertentu seperti Metal, Hip Hop, atau yang terkini K-Pop. Ketika era  sewaktu penulis muda dahulu, ramai rakan-rakan yang tertarik dan mengikut 'perjuangan' Skinhead. Mereka sentiasa menyebut-nyebut mengenai anti-racism dan working class walaupun mereka sebenarnya sepatah haram pun tak faham tentang perkara yang selalu disebut-sebutkan itu. Mereka hanya seronok untuk menyertai 'perjuangan' yang mereka rasakan 'cool' dan bergaya kerana merasakan diri mereka mendapat perhatian oleh masyarakat awam.      

Dewasa ini, sering dihebahkan mengenai kemasukan golongan muda Melayu menyertai DAP. Maka sesetengah cendekiawan Melayu pun mula bersuara agar dibuat kajian mengapa golongan muda Melayu lebih tertarik menyertai DAP yang diketahui sebuah Parti Chauvinist.

Sebenarnya jawapan kepada persoalan tersebut adalah sangat mudah. Tak perlulah para Melayu-Melayu muda ini membuang masa kononnya “Kami sertai DAP kerana perjuangkan bla bla bla...”. Sebenarnya mereka hanyalah opportunis yang mahukan perhatian dan sambutan, itu sahaja. Cuba fikirkan sejenak, adakah cerita seorang perempuan muda bertudung bernama Shefura Othman atau nama manjanya Rara (yaks!) menyertai PAS akan menjadi tajuk yang dibincangkan secara meluas di blog-blog? Atau adakah cerita seorang perempuan freehair lulusan UiTM bernama Dyana Sofya menyertai UMNO akan menjadi tajuk-tajuk headlines di akhbar-akhbar perdana dan TV? Jawapannya sudah tentu TIDAK.

Walaupun ibu-ibu mereka adalah pejuang PAS dan UMNO yang merupakan dua parti Melayu-Islam yang dominan di negara kita, tetapi mereka sedar, penglibatan mereka di dalam parti-parti siasah berkenaan tidak akan sama dengan sambutan yang akan diterima sekiranya mereka menyertai DAP. Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak akan terhegeh-hegeh untuk turun hanya semata-mata hendak menerima sekeping borang permohonan keahlian PAS dari seorang perempuan muda bernama Shefura Othman yang tidak dikenali. Perdana Menteri Najib Razak tidak akan mengadakan satu majlis khas yang diliputi oleh media-media utama seperti RTM, TV3 atau Utusan Malaysia hanya kerana seorang perempuan bernama Dyana Sofya hendak menyertai UMNO.        

Tapi dengan menyertai DAP, para Melayu-Melayu ini diberikan sambutan luar biasa dan disertai dengan sesi perkenalan yang dihadiri oleh para pemimpin kanan parti chauvinist tersebut. Malahan menerima ucapan tahniah pula daripada para pemimpin parti chavinist tersebut di segenap peringkat walaupun sebenarnya tiada sebarang pencapaian pun yang mereka telah capai. Paling membanggakan diri mereka, mereka berpeluang untuk terus dicalonkan sebagai ADUN atau Ahli Parlimen walaupun tidak berkelayakan kerana masih 'mentah'. Sesuatu yang para opportunis muda ini tak akan capai sekiranya mereka menyertai Parti siasah Melayu-Islam kerana mereka hanya akan menjadi seorang ahli biasa yang tidak berpengaruh .

Adakah perkara ini menjadi bukti bahawa DAP benar-benar telah berubah menjadi parti pelbagai kaum? Tidak. Parti tersebut terpaksa melakukan semua ini untuk menutup wajah chauvinist yang telah dizahirkan menerusi pemilihan CEC mereka sebelum ini. Cubaan untuk menonjolkan Zairil Khir Johari yang berwajah Cina sebagai Melayu di dalam DAP sebelum ini ternyata gagal. Dengan keyakinan bahawa undi Cina adalah teguh dibelakang mereka, DAP memerlukan beberapa salesgirl Melayu untuk memecah dan menarik sebahagian daripada undi masyarakat Melayu yang merupakan kaum majoriti untuk mendapatkan kuasa penuh. Sebagaimana lembu, para Melayu-Melayu muda yang menyertai DAP buat masa ini akan diternak dengan cukup baik. Mereka akan dijaga rapi dan diberi makan lalang dan rumput dengan secukupnya agar sentiasa gemuk dan sihat. Tetapi apabila masanya sudah tiba dan mereka telah mendapat kuasa penuh, bersedialah untuk dikorbankan. Memang itulah nasib orang Melayu sebagaimana yang telah terjadi di Singapura dan selatan Thailand.

Jika dibicara soal perjuangan, sepatutnya akal waras para Melayu-Melayu muda ini belajar daripada sejarah dan memikirkan amaran yang telah diberikan oleh mantan Timbalan Pengerusi DAP iaitu Tunku Abdul Aziz Ibrahim yang telah merasai sendiri hipokrasi dan penipuan parti yang selama ini dipuja dan dipercayainya sebagai bersih dan amat demokratik (konon!). Mata mereka sepatutnya dibuka seluas-luasnya untuk melihat nasib Ahmad Ton yang setelah berdekad-dekad lamanya berjuang dan setia di dalam DAP, masih gagal dan akan terus gagal untuk menduduki kerusi CEC kerana beliau seorang Melayu berbanding dengan Cina yang baru setahun jagung menyertai politik tetapi terus diberi kepercayaan oleh DAP. Belum lagi kisah-kisah lain seperti nasib Mohamed Razali Abd Rahman yang telah dipecat serta merta dari DAP hanya kerana membuat laporan Polis mengenai perhimpunan yang dihadirinya mengandungi rancangan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian.      

Tetapi malangnya, para Melayu-Melayu muda ini lebih rela memilih untuk terus bersolek dan ber'posing' di bawah pancaran publisiti umpama seorang peserta Akademi Fantasia atau Dewi Remaja berbanding melihat dengan mata hati realiti perjuangan sebenar. Teruskanlah kalian tersenyum gembira dengan segala kehidupan glamour yang hanya sementara pada hari ini, tetapi jangan pula ditangisi nasib yang bakal menimpa apabila harinya telah tiba kelak. Kerana kesan buruknya bukan hanya kepada diri kalian sahaja, tetapi melibatkan untung nasib anak cucu kita semua juga nanti.
   

Monday, April 28, 2014

Dilema Uthaya Sankar Yang Keliru




Secara peribadi, penulis menghormatinya. Dia merupakan seorang penulis bukan Melayu yang menguasai Bahasa Melayu dengan baik sekali. Satu contoh yang perlu dijadikan ikutan khususnya kepada golongan yang beriya-iya mendakwa diri mereka ‘Malaysian First’ kononnya tetapi nak bercakap dalam Bahasa Kebangsaan sendiri tunggang-langgang! Namun begitu, apa yang penulis tidak bersetuju ialah apabila dia dengan mudah seringkali memesongkan sejarah Melayu yang bukan bidang dia dan dia sendiri tidak faham apabila menyentuh sesuatu perkara. Boleh rujuk terlebih dahulu artikel dia sebelum ini seperti di bawah ini :


serta jawapan yang telah diberikan di bawah tetapi masih belum diulas kembali olehnya :



Terbaru, sekali lagi dia cuba menimbulkan kekeliruan di dalam artikelnya seperti di bawah :

Dilema Melayu, Cina, India

Secara ringkas, penulis melihat isu utama yang cuba diutarakan olehnya adalah berkenaan dengan  kekeliruan istilah-istilah ‘Keturunan’, ‘Kaum’, ‘Etnik’, ‘Ras’ dan ‘Bangsa’ yang perlu diisi pada borang-borang rasmi. Namun begitu, daripada memfokuskan kepada topik perbincangan yang dia sendiri utarakan dan memberikan cadangan penyelesaian yang sewajarnya, dia menerawang dengan ‘menyerang’ sejarah dan kewujudan Bangsa Melayu hanya bersandarkan semata-mata kepada pendapat seorang penulis buku yang tidak dikenali.


Bagi meringkaskan cerita dan menjimatkan ruang, disini penulis memberi ulasan dan jawapan terhadap artikel tulisannya :

1. Pada pandangan penulis, istilah ‘Keturunan’, ‘Kaum’ dan ‘Etnik’ pada borang-borang rasmi perlu disatukan menjadi ‘Suku Kaum’ atau ‘Etnik’ sahaja bagi mengelakkan kekeliruan.  

2. Memandangkan istilah Bangsa mempunyai dua definisi yang berbeza, iaitu merujuk kepada ‘Kaum’ dan juga ‘Rakyat Bagi Sesebuah Negara’, maka boleh dicadangkan agar istilah ‘Bangsa’ pada borang rasmi diselaraskan merujuk kepada kaum sahaja.

3. Jika ‘Bangsa Melayu’ didakwa tidak wujud kerana tidak ada sebuah negara bernama ‘Melayu’ mengikut logik di dalam artikelnya, adakah boleh dikatakan (contoh sahaja) bahawa kaum Malayali (keturunan dia) juga sebenarnya tidak wujud kerana yang ada hanyalah Negeri Kerala di India, bukannya Negeri Malayalam?

4. Untuk makluman juga, sebelum Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak bergabung membentuk Malaysia, negara Malaya (dalam Bahasa Inggeris) dipanggil sebagai ‘Persekutuan Tanah Melayu’ dalam Bahasa Melayu!

5.  Jika dia mengimpikan utopia di mana rakyat Malaysia yang berbeza bahasa Ibunda, budaya serta agama tidak ditanya tentang kaum dan keturunan mereka, maka lebih baik dia memulakan kempen menyokong penggunaan satu bahasa tunggal bagi memulakan kelahiran tulen Bangsa Malaysia. Sebagai permulaan, dia boleh membuat penulisan mencadangkan kempen 1 Sekolah Kebangsaan untuk semua murid dan pelajar.

6. ‘Malay Race’ atau dalam Bahasa Melayunya ‘Ras Melayu’ adalah istilah yang dicipta oleh seorang saintis Jerman iaitu Johann Friedrich Blumenbach merujuk secara umum kepada kumpulan manusia berkulit coklat dan diberi nama berkenaan berdasarkan kepada kesamaan Bahasa Melayu yang digunakan. Bahasa Melayu adalah lingua franca di kepulauan Asia Tenggara dan berasal daripada bahasa yang dipertuturkan oleh Bangsa Melayu di semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dan Borneo. Oleh itu, jelas bahawa Melayu bukannya sekadar bahasa!

7. Menyanggah rujukannya terhadap pendapat penulis buku bernama AB Sulaiman, Bangsa Melayu sememangnya mementingkan aspek peraturan dan undang-undang. Jika tidak, bagaimana wujud peraturan sebagaimana di dalam Adat Perpatih dan Adat Temenggung yang diamalkan dan diwarisi turun temurun sejak ratusan tahun dahulu? Bagaimana Kerajaan dan Kesultanan Melayu menulis Hukum dan Undang-undang negeri mereka seperti Undang-undang Kedah jika mereka tidak mementingkan aspek peraturan?

8.  Jika Melayu dikatakan enggan menerima perubahan, bagaimana tulisan di dalam Bahasa Melayu boleh mengalami transformasi daripada tulisan Kawi ke tulisan Jawi dan kini dalam tulisan Rumi?

9. Jika Melayu dikatakan hanya berpusatkan kelompok sendiri, bagaimana pribumi Melayu di semenanjung sanggup menerima jutaan imigran dari China dan India sebagai rakyat dan saudara mereka di dalam Negara Malaya yang merdeka hinggakan demografi bangsa mereka sendiri jatuh mendadak hanya dalam satu malam sahaja?

10. Melayu telah wujud di semenanjung lebih awal dari kewujudan Kerajaan Langkasuka lagi. Justeru itu, memang benar ada orang Melayu di Malaysia yang nenek moyang mereka bukan dari wilayah kepulauan Nusantara (Indonesia) berbanding sesetengah Melayu Anak Dagang yang lain.

11. Penyempitan definisi ‘Melayu’ di dalam Perlembagaan Malaysia yang mengikat Melayu dengan agama Islam adalah keputusan politik tetapi tidak menafikan mengenai kewujudan Bangsa Melayu itu sendiri dari sudut sejarah. Malahan, bukannya paksaan jika terdapat Mualaf bukan Melayu yang baru memeluk Islam secara sukarela ingin mengamalkan adat budaya dan Bahasa Melayu sepenuhnya.

12.  Hang Tuah kononnya keturunan Cina hanyalah dakwaan tanpa bukti segelintir cybertroopers bukan Melayu, bukannya teori pun!

13. Berbalik kepada topik asal, jika istilah ‘India’ yang diisi pada borang rasmi dirasakan tidak tepat, maka boleh dicadangkan istilah lain, sebagai contoh ‘Dravidia’, untuk digunakan sebagai jalan penyelesaian. Habis cerita, tak perlu panjang lebar untuk putar belit tentang sejarah Melayu.

Sebagai penutup, sekali lagi penulis nyatakan, penulis amat-amat menghormati dia yang juga seorang penulis blog. Namun perlu ditegaskan, ini tidak bermakna penulis hanya akan mendiamkan diri apabila dia dengan mudah menyebarkan fakta yang tidak betul mengenai sejarah dan bangsa penulis. Kepada dia, jangan mudah melabel dan memperlekehkan pembaca yang berani menyanggah kenyataan anda! Orang Melayu tidak keliru pun dengan sejarah mereka. Yang ada dilema sebenarnya adalah anda sendiri! Jika di dalam penulisan blog anda, anda seringkali menyatakan bahawa anda anti golongan rasis, maka lebih baik anda benar-benar bersikap demikian dan jujur terhadap sejarah dan kewujudan Bangsa Melayu.

Para pembaca juga boleh merujuk kepada jawapan balas oleh Helmy Effendy (The Patriot) yang sehingga kini masih belum diulas kembali juga oleh dia.

Bangsa Melayu Itu Tidak Wujud - Uthaya Sankar SB  

 

Monday, March 10, 2014

10 Maklumat Ringkas Isu Tuntutan Kalimah Allah Oleh Bukan Islam

 
Even the former Pope, Pope Benedict XVI use the word  "Al-Rabb" to blessed Arabic speaker Christians in Arab world, not the word "Allah"
 
 
Artikel ini dikeluarkan buat renungan kepada umat Islam yang masih "keliru" berkenaan isu tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam atau yang masih meletakkan kepentingan politik melebihi kepentingan Islam keseluruhannya. SEBARKAN!
 

1.         Tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh sebahagian penganut Kristian di Malaysia bukannya berkaitan dengan isu halangan atau sekatan terhadap hak penganut Kristian untuk mengamalkan ajaran dan kepercayaan mereka yang dijamin di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Tetapi sebenarnya soal linguistik iaitu kesilapan terjemahan perkataan ‘God’ di dalam Bahasa Inggeris yang diterjemah sebagai ‘Allah’ di dalam Bible sedangkan terjemahan yang tepat di dalam Bahasa Melayu ialah ‘Tuhan’.
 
 
2.         ‘Allah’ merupakan Tuhan penganut Islam yang bersifat tunggal/esa selaras dengan Surah Al-Ikhlas di dalam Al-Quran yang bermaksud “'Dia-lah ALLAH, Yang Maha Esa. ALLAH, Tuhan tempat meminta segala makhluk. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang sekufu setara dengan Nya”.
 
 
3.         Nama ‘Allah’ tidak ada disebut langsung dalam kitab suci agama Kristian sama ada Old Testament mahupun New Testament. Nama Tuhan bagi umat Kristian ialah Yahweh atau YHWH (rujuk Lev 24:16), tetapi mereka dilarang menggunakan istilah tersebut. Manakala perkataan Tuhan (God) disebut dengan istilah Adonai, Eli, Eloi atau Elohim (rujuk Matthew 27:460). Penggunaan kalimah Allah tidak pernah dan bukan sebahagian daripada intipati integral kepercayaan dan perlaksanaan agama Kristian.
 
 
4.         Umat Kristian tidak dibenarkan untuk menggunakan nama Allah di dalam terjemahan kitab suci mereka kerana kerana mereka mahu memakainya dalam bentuk uluhiyyah, iaitu dalam bentuk i'tiqad atau aqidah yang bertentangan dengan ajaran Islam iaitu berdasarkan konsep triniti - kepercayaan kepada The Father, The Son and The Holy Spirit (Tuhan Bapak, Tuhan Anak dan Ruh Suci).
 
 
5.         Di Indonesia, tempat kitab Bible yang menggunakan nama Allah bagi menterjemah perkataan God yang kemudiannya digunakan di Kalimantan/Borneo, umat Kristian di sana sendiri kini mengakui bahawa kata ‘Allah’ merupakan nama khas Tuhan umat Islam. Antaranya Paderi Jahja Iskandar yang telah menerbitkan buku “Mengapa Nama YAHWEH Semakin Popular”. Menurut beliau, kata yang tepat bagi nama Tuhan sembahan orang Kristian berasaskan bahasa asli Perjanjian Lama, iaitu Ibrani ialah ‘Elohim’ (hlm. 144, 145). Jika diterjemah ke bahasa Arab, maka kata yang tepat bagi menggantikan ‘Elohim’ ialah ‘Ilah’ bukan ‘Allah’. Ini berasaskan terjemahan paling awal ke bahasa Arab, iaitu Inskripsi Zabad, tahun 512M (hlm. 127).
 
 
6.         Yayasan Lentera Bangsa (sebuah pertubuhan Kristian di Indonesia) telah menerbitkan Kitab Suci-Indonesia Literal Translation (KS-ILT). Terjemahan Bible ini tidak lagi tertera nama ‘Allah’ sebaliknya menggunakan ‘Elohim’ sebagai nama sembahan orang Kristian. Menurut Paderi Jahja Iskandar, penggunaan nama Allah dalam versi Terjemahan Baru Al Kitab (Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru) oleh Lembaga Al-Kitab Indonesia adalah bertentangan dengan ketetapan Konferensi Para Penterjemah Al Kitab Bahasa Indonesia pada tahun 1952 yang diadakan di Jakarta. Konferensi tersebut menetapkan bahawa Nama Huwa/Hoewa/Johoewa hendaklah digantikan dengan ‘Tuhan’.
 
 
7.         Nama ‘Allah’ telah digunakan oleh orang Arab sejak sebelum kedatangan Nabi Muhammad S.A.W. kerana syariat bagi menyembah Allah telah diwajibkan sejak penciptaan Nabi Adam A.S. dan Rasul-rasul yang seterusnya. Namun begitu, umat Arab yang beragama Kristian tidak memanggil nama tuhan mereka ‘Allah’ sebaliknya ‘Bismil-Ābi wal-Ibni war-Rūḥil-Qudus’ (In the name of The Father, The Son and The Holy Spirit) sementara Jesus (Nabi Isa) dipanggil sebagai ‘Al Masih’ atau Yasu’.
 
 
8.         Masyarakat Arab menggunakan nama allah ( الله) sebagai nama umum untuk terjemahan perkataan ‘God’. Nama Allah ( الله) dengan tulisan yang sama (Alif-Lam-Lam-Ha) turut digunakan untuk merujuk nama khas Tuhan bagi umat Islam. Ianya merupakan konsep ‘uruf al-balad – kefahaman setempat yang digunakan di Tanah Arab. Ianya sama seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu yang mempunyai Nama Khas (proper noun) dan nama am (common noun) tetapi tulisan Arab tidak membezakan nama am dan nama khas bagi ( الله). Sebagai contoh, bush sebagai nama am boleh diterjemah sebagai semak tetapi Mr. Bush sebagai nama khas tidak boleh diterjemah sebagai Encik Semak.
 
 
9.         Tujuan sesetengah pihak untuk tetap berkeras supaya kalimah Allah tetap digunakan di dalam terjemahan Bible di Malaysia boleh difahami dengan merujuk kepada petikan didalam majalah Christianity Today (dikeluarkan di Chicago, Amerika Syarikat terbitan bulan Julai 2009) yang dengan jelas menyatakan “penggunaan kalimah Allah (dalam terjemahan versi Melayu-Indonesia) adalah suatu usaha strategik kalau bertujuan untuk membuatkan mereka (umat Islam) memahami siapa Christ! Jika kalimah ALLAH tidak digunakan akan menyebabkan umat Islam tidak akan membaca Bible!”. (rujuk www.christianitytoday.com/ct/2009/august/14.15.html di mukasurat 2).
 
 
10.      Missionary Kristian seringkali menggunapakai nama Tuhan tempatan yang digunakan oleh penduduk di sesebuah kawasan sebagai salah satu strategi untuk menyebarkan dakyah mereka walaupun perkara berkenaan seringkali menimbulkan perselisihan faham dan kontroversi. Antaranya ‘Son of Ishvara’ di selatan India sebagai rujukan kepada Jesus, Danishi (bermaksud ‘matahari ulung’) sebagai nama tuhan Kristian di Jepun serta Appodius (nama tuhan suku kaum asli Quehua yang beragama Kristian di Peru).