Featured Post

Kenapa Singapura Lebih Maju?

Sudah beberapa hari berlalu sejak negara jiran kita iaitu Singapura menyambut Hari Kemerdekaannya yang ke-50 pada 9 Ogos yang lalu. Nam...

Monday, October 20, 2014

Orang Asal Hanya Orang Asli, Sabah & Sarawak?

 
 

“Sebenarnya, pilihanraya kecik punya time, I memang ada baca sejarah, OK. Baik orang Melayu, baik orang Cina, baik orang India, memang mereka itu datang dari merata. Cina dari China, Chinese dari China, memang tak boleh nafikan. India dari India. Tapi orang Melayu datang dari Indonesia dan segalanya. Itu memang. Jadi bila kita dah jadikan satu negara, bersama-sama dulu, jangan kita pertikaikan, u pendatang, apa yang u faedah dari cakap-cakap yang tak ye-ye. Tapi sejarah dah membuktikan, kita memang orang pendatang. Itu aje (ketawa). Yang betul-betul yang jadi asal orang kat sini ialah, macam katakan, orang Dayak, Senoi, Negritos, dan orang Sabah, Sarawak. Itulah betul-betul.”

 
Itulah petikan asal kenyataan Tan Lai Soon, perwakilan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) dari Johor yang disiarkan oleh KiniTV dan menjadi viral baru-baru ini. Sebelum ini, Ketua Wanita PGRM iaitu Tan Lian Hoe pada 6 tahun lepas pernah membuat kenyataan yang hampir sama. Disamping itu, Chong Eng, ahli Parlimen DAP juga pada 3 tahun yang lepas ada menyatakan Melayu adalah pendatang dari luar Malaysia dan orang asal hanyalah Orang Asli.
 
Sebelum itu, untuk berlaku adil, kenyataan yang dibuat oleh Tan Lai Soon dibuat berdasarkan temubual dia dengan wartawan KiniTV, bukannya semasa persidangan PGRM. Temubual berkenaan juga dibuat dalam nada yang santai dan bukannya dalam nada provokasi. Kesilapan dia adalah dengan membuat kenyataan yang tidak cerdik dan tidak betul mengenai fakta sejarah negara dalam memberi contoh berkenaan isu perpaduan kepada sebuah portal yang diketahui menentang parti pemerintah. Tetapi dimaklumkan dia telahpun memohon maaf mengenai perkara tersebut.
 
Sebagai sebuah portal yang mengaku kononnya berkecuali tetapi diketahui memang sering mencabar isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan Melayu dan Islam, KiniTV memang bijak mengambil kesempatan dengan menyebarkan isu ini untuk ditanamkan pada pemikiran anak muda kerana telah diketahui parti pemerintah tidak akan mengambil tindakan kerana perkara ini melibatkan ahli parti komponen mereka. Brilliant!

Mungkin boleh diulas sedikit mengenai pemahaman Tan Lai Soon yang tersasar jauh daripada fakta sejarah sebenar. Kerana bukan setakat anak-anak muda, malahan ramai politikus-politikus terutamanya bukan Melayu yang mempunyai anggapan yang sama.

Berkenaan dengan Orang Asli, mungkin masih ramai yang tidak mengetahui bahawa Orang Asli dikenali juga sebagai Proto-Malay. Nama 'Orang Asli' sendiri merupakan sebuah terma umum kerana ia sebenarnya merujuk kepada tiga (3) kelompok iaitu Semang (Negrito), Senoi dan Aborigine Malay. Di bawah 3 kelompok ini pula mereka terbahagi lagi kepada beberapa sub-etnik.

Contoh sub-etnik di bawah Aborigine Malay adalah Kuala, Kanak, Jakun dan Temuan. Aborigine Malay yang tinggal di persisiran pantai dan menjalankan aktiviti perdagangan dan pelayaran adalah lebih maju dan terdedah kepada hubungan antarabangsa. Mereka kemudian menjadi Deutro-Malay. Oleh itu, Orang Asli dan Melayu saling berkait dan mempunyai hubungan yang dekat.

Contoh paling dekat yang dapat dilihat adalah kewujudan Suku Biduanda di Negeri Sembilan. Suku Biduanda merupakan hasil perkahwinan campuran antara Orang Asli di negeri berkenaan dengan Suku Minangkabau yang berhijrah dari Pagaruyung di Sumatera (Rujuk A. Samad Idris (1990) "Payung Terkembang" Pustaka Budiman).

Berkenaan dengan isu Bumiputera Sabah dan sarawak, kita rujuk pula senarai etnik-etnik yang terdapat di kedua-dua negeri berkenaan berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan : 
 
 
Bumiputera Sabah
Bumiputera Sarawak
Kadazan-Dusun
Iban
Murut
Melayu
Bajau
Bidayuh
Melayu
Melanau
Lain-lain Bumiputera
Orang Ulu dan lain-lain Bumiputera

 
Nah, dapat dilihat bahawa Melayu juga membentuk sebahagian daripada bumiputera di Negeri Sabah dan Sarawak. Jadi bagaimana pula saudara-mara mereka di semenanjung boleh dituduh sebagai pendatang pula? Kaum Bidayuh yang terdapat di Kuching boleh juga ditemui di Sambas. Kaum Iban juga banyak terdapat di Kalimantan Barat. Begitu juga kaum Murut yang boleh di temui di Kalimantan Timur. Jadi adakah ini bermaksud selepas ini mereka boleh menuduh kaum Dayak juga adalah pendatang dari Indonesia pula? 
 
Sebagai sebuah parti yang mendakwa bukan berasaskan perkauman dan terbuka untuk semua seperti Gerakan dan DAP, bukankah lebih baik dalam persidangan tahunan parti, mereka membuktikan perkara tersebut daripada sibuk memutarbelitkan sejarah negara amnya dan Melayu khasnya? Masih tidak kedengaran dari mulut Gerakan mahupun DAP mengenai sokongan mereka terhadap usaha untuk memperkasakan Sekolah Kebangsaan biarpun mereka paling lantang mengaku sebagai "Malaysian First, Chinese Second". Mengapa pula mereka seringkali mendesak agar peruntukan untuk Sekolah Vernakular bagi kaum-kaum tertentu dinaikkan? Sedangkan kaum-kaum lain seperti Melayu, Orang Asli, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, Bajau, Bidayuh, Melanau, Bisaya, Kelabit, Kayan, Kenyah, Rungus, dan sebagainya semuanya pergi ke Sekolah Kebangsaan. Siapa yang sebenarnya Malaysian First??! 
 
Jika sebelum persidangan bermula, Presiden Gerakan iaitu Mah Siew Keong ada menyatakan yang ahli dan pemimpin parti Gerakan yang mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman akan dikenakan hukuman berat termasuk dipecat, serta mencadangkan agar parti-parti komponen pemerintah yang lain untuk turut mengambil tindakan serupa. Tetapi sehingga kini, masih belum keluar sebarang kenyataan mengenai tindakan yang akan diambil terhadap kenyataan yang telah diucapkan oleh Tan Lian Hoe dan Tan Lai Soon sebelum ini.
 
Penulis tidak berhasrat untuk mengulas panjang mengenai isu tuduhan Melayu berasal dari Indonesia, kerana perkara ini telah ditulis dan diulas panjang dalam buku "Membongkar Rahsia Dunia Melayu" yang akan diterbitkan kelak di bawah tajuk "Penghijrahan di Alam Melayu". Sebagai tambahan, dua artikel lama boleh juga dirujuk dan dibaca kerana turut berkaitan :
 
 
 

Sunday, October 12, 2014

Akan Terbit! Buku Melayu : Pribumi Asia Tenggara

 
 

 
 

Melihat kepada tindakan sesetengah pihak yang secara terus menerus mempertikaikan dan menyelewengkan sejarah Bangsa Melayu bagi mencabar hak keistimewaan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama rasmi menyebabkan saya dan rakan blogger iaitu Srikandi dan Al-Semantani mengambil inisiatif tambahan untuk mengumpulkan serta menjawab topik-topik yang sering diputarbelitkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
 
Topik-topik yang diputarbelitkan ini sering kali disebarkan secara meluas khususnya di alam maya serta laman-laman sosial yang menyebabkan anak-anak Melayu menjadi keliru untuk menjawab kembali dakwaan dangkal yang diutarakan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini secara ilmiah dan berfakta.
 
Justeru itu, hasil kerjasama dengan Penerbit buku iaitu Hijjaz Record Publishing (HRP), sebuah buku yang menghimpunkan beberapa buah artikel akan diterbitkan khusus sebagai rujukan sampingan dan panduan ringkas terutamanya kepada generasi muda agar lebih celik tentang sejarah bangsa dan tidak mudah termakan dengan dakyah negatif yang bertujuan untuk melemahkan kedudukan Bumiputera dan agama Islam di negara ini.
 
Jika tiada halangan, Insya Allah buku ini akan berada di pasaran pada penghujung tahun ini. Buku ini boleh dibeli di kedai-kedai buku berhampiran atau terus memesan dengan penerbit di http://www.hijjaz.my/store/
 
Berikut dipaparkan sedikit petikan daripada salah satu artikel di dalam buku berkenaan yang menjawab dakwaan bahawa Parameswara yang mengasaskan Kesultanan Melaka adalah pendatang dari Indonesia di bawah topik ‘Penghijrahan di Alam Melayu’ :
 
Adalah satu kesilapan besar jika kisah mengenai penghijrahan Parameswara ini ditafsirkan berdasarkan kepada sempadan moden yang wujud pada hari ini. Parameswara yang mengasaskan Kesultanan Melayu Melaka bukanlah pendatang dari Republik Indonesia, apatah lagi untuk mengatakan bahawa baginda adalah pendatang dari Republik Singapura iaitu berdasarkan sempadan moden yang wujud pada hari ini.
 
Sejarah hidup Parameswara yang berasal dari Sumatera dan kisah perjuangannya dari Jawa ke Singapura dan seterusnya menuju ke semenanjung Tanah Melayu bukanlah satu perkara yang menghairankan. Ini kerana baginda sebenarnya hanyalah berhijrah di lingkungan kawasan yang sama iaitu alam Melayu. Justeru itu, tidak menghairankan apabila baginda dengan mudah diterima oleh penduduk setempat di wilayah yang didudukinya kerana baginda dan para pengikutnya adalah serumpun dengan penduduk tempatan berkenaan.
 
Kisah mengenai penubuhan sesebuah Kerajaan yang diasaskan oleh tokoh dari wilayah yang berlainan tetapi masih berada di lingkungan alam Melayu juga sebenarnya turut berlaku kepada Kerajaan dan Kesultanan lain yang wujud di Nusantara. Sebagai contoh, Kesultanan Mempawah yang terletak di barat Kalimantan (Borneo) diasaskan oleh Opu Daeng Menambun yang merupakan Bangsawan yang berasal dari Luwu, Sulawesi. Sementara Kesultanan Palembang yang terletak di Sumatera pula diasaskan oleh Susuhunan Sri Abdurrahman dari Jawa. Contoh lain adalah seperti Kerajaan Todo yang terletak di Manggarai, Nusa Tenggara Timur, diasaskan oleh Dato’ Mashur yang berasal dari Sumatera.
 
Perbezaan contoh yang diberikan di atas berbanding dengan kisah pengasasan Kesultanan Melayu Melaka hanyalah wilayah Kerajaan dan Kesultanan tersebut pada hari ini masih berada di dalam wilayah lingkungan sempadan politik negara moden yang sama iaitu Indonesia.
 
Tindakan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang terlalu menggembar-gemburkan kisah bahawa Parameswara berasal dari Palembang mungkin tidak menyedari bahawa terdapat juga Kerajaan atau Kesultanan yang kini termasuk di dalam wilayah di luar sempadan Malaysia pada hari ini yang diasaskan oleh tokoh dari semenanjung Tanah Melayu, bahkan Kerajaan atau Kesultanan tersebut diasaskan lebih awal daripada tarikh pengasasan Kesultanan Melayu Melaka oleh Parameswara. Contoh-contohnya adalah seperti berikut :
 
 
SILA DAPATKAN JAWAPANNYA DI DALAM BUKU INI NANTI