Sebatang jalan yang menghubungkan Kota
Makassar dengan Kabupaten Gowa di Sulawesi Selatan mengabadikan nama Tun Abdul
Razak. Papan tandanya turut ditulis dalam ejaan Lontara
Jika ditanya pada kelompok generasi emas di negara
kita berkenaan dengan mantan Perdana Menteri yang ke-2, majoriti daripada
mereka akan menyanjung tinggi kepimpinan Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin
Dato’ Hussein. Allahyarham Tun Abdul Razak dikenali sebagai seorang pemimpin
yang sangat teliti dan cermat dalam membelanjakan peruntukan Kerajaan semasa
menjadi Perdana Menteri. Selain daripada itu, beliau juga dihormati di kalangan
penjawat awam kerana tidak akan sewenang-wenangnya menyalahkan mana-mana pihak sebagai
‘kambing hitam’ sekiranya berlaku sebarang kelemahan dalam urus tadbir negara.
Sifat tegas tetapi mesra dan down to
earth beliau dalam berurusan dengan rakyat jelata inilah yang menyebabkan
beliau mendapat sokongan meluas sehingga digelar sebagai Bapa Pembangunan.
Sikap prihatin Allahyarham Tun Abdul Razak
terhadap situasi sebenar kesusahan rakyat sewaktu negara masih diperingkat awal
kemerdekaan dahulu sebenarnya telah dibentuk sejak beliau kecil lagi. Dikhabarkan
sewaktu masih bersekolah, beliau sanggup berkaki ayam daripada berkasut agar
rakan-rakannya yang rata-ratanya datang daripada kalangan keluarga miskin dan berkaki ayam ke sekolah tidak
berasa terasing dengannya. Walaupun sebenarnya allahyarham Tun Abdul Razak
berkemampuan kerana merupakan anak kepada Orang Kaya Indera Shahbandar ke-9
iaitu Allahyarham Dato’ Hussein bin Muhammad Taib.
Gelaran Orang Kaya Indera Shahbandar
merupakan satu gelaran bangsawan di Negeri Pahang yang boleh dilantik secara
turun temurun kepada pewarisnya. Selain itu, allahyarham Tun Abdul Razak juga
dikatakan waris keturunan Raja Gowa ke-19 iaitu I Mappadulu Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone Sultan
Abdul Jalil Tuminanga ri Lakiyung,
yang
memerintah Kerajaan yang berlokasi di Sulawesi Selatan pada tahun 1677-1709.
Berhubung status beliau yang berketurunan
daripada Raja Gowa inilah yang menyebabkan penulis ingin memberikan pandangan
berbeza bahawa Allahyarham Tun Abdul Razak sebenarnya berdarah campuran Makassar, dan bukannya
Bugis. Ini kerana Kerajaan Gowa merupakan salah sebuah Kerajaan etnik (atau
suku dalam Bahasa Indonesia) Makassar. Di Sulawesi Selatan, Kerajaan suku
Makasar adalah Gowa dan Tallo, sementara Kerajaan-kerajaan suku Bugis yang
pernah wujud pula adalah seperti Bone, Soppeng, Wajo dan Luwu. Di negara kita,
masyarakat secara umumnya memang akan melabel semua keturunan Melayu Anak
Dagang yang mempunyai darah campuran dari Sulawesi sebagai Bugis. Namun begitu,
di Indonesia, Bugis dan Makassar merupakan dua kelompok etnik yang berbeza.
Rujukan ini juga boleh dibuat dalam buku Ensiklopedi Suku Bangsa di Indonesia
susunan Zulyani Hidayah (1997) terbitan LP3ES.
Sensus (Bancian) Republik Indonesia
Tahun 2010 yang mengasingkan suku Bugis dengan suku Makassar sebagai dua etnik
yang berbeza
Sedikit kisah menarik berkenaan dengan
sejarah Raja-raja Gowa. Dalam senarai Raja-raja Gowa, terdapat seorang rajanya
yang pernah dipaksa untuk turun daripada takhta akibat desakan rakyatnya iaitu
I Tepu Karaeng Daeng Parabbung. Raja ini menaiki takhta Kerajaan dalam usia
yang amat muda. Baginda memerintah sesuka hati dengan tindakannya banyak
mendatangkan kesusahan kepada rakyat serta memberikan kerugian kepada
negerinya. Tindakan demi tindakan Raja Gowa berkenaan yang tidak lagi mampu diterima
oleh rakyatnya menyebabkan mereka akhirnya bangun untuk melakukan
pemberontakan. I Tepu Karaeng bukan sahaja terpaksa turun daripada takhtanya,
malahan lebih malang turut dibuang negeri ke Luwu hingga baginda digelar
sebagai Karaeng Tunipasulu yang bermaksud ‘Raja yang diusir dari negerinya’. Sementara
Raja Gowa yang terkenal pula tidak lain dan tidak bukan adalah Sultan Hasanudin
yang masyhur dengan keberaniannya menentang penjajah Belanda.
Oleh yang demikian, sekiranya terdapat waris Allahyarham
Tun Abdul Razak yang kurang arif mengenai sejarah dan berbangga mengatakan
dirinya sebagai berdarah Bugis, mungkin kita boleh menegur dan memaklumkan kepadanya
bahawa keturunan Raja Gowa sebenarnya adalah dari suku (etnik) Makassar!