Featured Post

Kenapa Singapura Lebih Maju?

Sudah beberapa hari berlalu sejak negara jiran kita iaitu Singapura menyambut Hari Kemerdekaannya yang ke-50 pada 9 Ogos yang lalu. Nam...

Thursday, August 11, 2016

Ulasan Buku : Gajah Putih di Bumi Geroda

 
 

 
Pada awal bulan ini, penulis telah menerima senaskah buku baru berjudul Gajah Putih di Bumi Geroda (Perang Melayu-Siam 1767-1842) dari seorang pengkaji sejarah Indie yang semakin meningkat naik. Sebuah buku menarik dengan metafora Gajah Putih (Thai) yang berusaha untuk menguasai negeri-negeri Melayu di utara semenanjung. Mengapa ‘Geroda’ yang dipilih sebagai perlambangan kepada negeri-negeri Melayu? Mungkin kerana burung Garuda identik dengan Srivijaya (empayar Melayu) yang mana Kedah dikatakan sebagai salah satu kota pelabuhannya. Sesuai dengan kandungan buku tersebut yang lebih banyak memfokuskan penceritaannya berkenaan dengan Negeri Kedah.

Kekuatan penulisan buku ini dilihat terletak kepada latar belakang penulisnya iaitu Mohd. Herman bin Roslan yang juga merupakan pelajar jurusan sejarah di Universiti Sains Malaysia (USM). Dengan dibantu oleh Fareq Rizal, saudara Herman berusaha sedaya mungkin untuk menyelongkar bahan-bahan rujukan yang sukar untuk diperoleh bagi disusun, diolah dan kemudiannya dipersembahkan kembali di dalam buku tersebut. Dengan memfokuskan tajuk berkenaan dengan perang antara dua bangsa yang berbeza ras dan agama tetapi saling merebutkan tanah semenanjung yang bertuah ini sejak zaman berzaman, antara faktor ‘Wow’ di dalam buku tersebut yang perlu dibaca adalah :


 
i.      Perbezaan antara ‘Thai’ dengan ‘Siam’, tanpa ada kena mengena dengan dakwaan mengarut sebuah blog yang pernah popular satu ketika dahulu;

ii.     Bentuk penyeksaan yang di luar kewarasan manusia terhadap orang-orang Melayu yang ditawan oleh pihak Thai, seolah-olah menerangkan mengapa sehingga ke hari ini mereka masih sanggup memperlakukan masyarakat awam Melayu Patani seperti haiwan;
 
iii.    Kisah mengenai Negara Sri Dharmaraja atau Tambralingga yang jarang dijumpai dalam buku-buku sejarah berbahasa Melayu, termasuk gambar-gambar khas tembok kota Ligor yang diambil sendiri di Nakhon Si Tammarat, Thailand; dan
 
iv.    Perbincangan mengenai keluasan sebenar wilayah Negeri Kedah pada satu masa dahulu.


Biarpun buku tersebut ditulis dalam bentuk format akademik agar boleh dijadikan rujukan bagi penulisan ilmiah lain yang akan datang, namun penulisannya adalah dalam gaya bahasa umum yang mudah untuk difahami. Justeru itu, buku ini harus dibeli, dibaca dan disimpan di dalam rak-rak rumah anda untuk tatapan kepada anak cucu anda kelak. Khususnya jika anda sendiri merupakan penduduk Melayu di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Setul (Satun), Kelantan dan Patani!  
 
 

No comments:

Post a Comment