Featured Post

Kenapa Singapura Lebih Maju?

Sudah beberapa hari berlalu sejak negara jiran kita iaitu Singapura menyambut Hari Kemerdekaannya yang ke-50 pada 9 Ogos yang lalu. Nam...

Monday, August 29, 2016

Perdana Menteri Bukan Melayu?







Sebuah akhbar atas talian iaitu Malaymail Online sebelum ini dengan ghairah telah menyiarkan berita mengenai ucapan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang dipetik sebagai berkata Republik berkenaan akan meminda perlembagaannya bagi memastikan Presiden Singapura yang akan datang dapat dilantik dikalangan etnik minoriti. Artikel tersebut kemudian terus memfokuskan kepada persoalan sama ada Malaysia telah bersedia untuk menerima Perdana Menteri (PM) bukan Melayu.

Sama ada penulisnya memang jahil atau pura-pura tidak tahu, membandingkan jawatan Presiden Singapura dengan PM Malaysia adalah tidak tepat. Jawatan Presiden Singapura merupakan ketua negara yang tidak mempunyai kuasa eksekutif sebagaimana PM Singapura. Dan bagi yang memiliki ilmu sejarah, tiada apa-apa yang baru dan menarik pun mengenai pengumuman tersebut. Ini kerana daripada tujuh (7) orang Presiden Singapura, empat (4) presiden terdahulu sememangnya daripada etnik minoriti iaitu seorang Melayu, seorang Serani dan dua (2) India. Selepas Singapura keluar dari Malaysia, tiada lagi Melayu selain Yusuf Ishak (Presiden pertama ketika Singapura masih dalam Malaysia) yang berpeluang menjadi Presiden Singapura sehingga kini walaupun etnik Melayu merupakan etnik minoriti terbesar di Singapura.         

Sekiranya penulisnya jujur ingin bertanya sama ada Malaysia bersedia menerima PM bukan Melayu, dia sepatutnya memeriksa sama ada Singapura telah bersedia menerima PM bukan Cina. Ini barulah perbandingan epal dengan epal. Sejak kemerdekaannya, Singapura telah mempunyai tiga (3) orang PM yang kesemuanya daripada etnik Cina. Dan jika diteliti rekod ucapan Lee Hsien Loong sendiri, arkib berita pada tahun 2008 ada menyatakan bahawa beliau memaklumkan Singapura tidak bersedia untuk menerima PM bukan Cina.


Apa yang gagal difahami oleh wartawan Malaymail Online adalah secara tersiratnya, pengumuman PM Singapura agar jawatan Presiden Singapura pada masa akan datang dapat diisi oleh kaum minoriti menunjukkan peluang kaum-kaum minoriti di republik berkenaan untuk memegang jawatan kanan pentadbiran negara seperti Presiden (yang perlu dimenangi menerusi undi popular di dalam Pilihanraya Presiden) menjadi semakin sukar disebabkan oleh kaum majoritinya yang terlalu dominan. Justeru itu, demi memelihara wajah 'pelbagai kaum' Singapura supaya terus kekal, jawatan Presiden yang tidak memiliki kuasa eksekutif ditawarkan kepada kaum-kaum minoriti.

Artikel Malaymail Online tersebut juga kemudian menyerang parti-parti berasaskan kaum di Malaysia terutamanya UMNO dan PAS yang dinyatakan menghadkan keahlian berdasarkan etnik. Mungkin sekali lagi penulisnya tidak sedar bahawa selaras dengan perkembangan zaman, parti-parti berasaskan Melayu seperti UMNO dan PAS telah lama membuka keahlian yang tidak lagi terhad kepada kaum Melayu semata-mata. UMNO yang kini melebarkan sayap ke Sabah telah lama membuka pintu keahliannya kepada etnik-etnik pribumi termasuk yang bukan Islam di Negeri tersebut, hinggakan beberapa orang Ahli Parlimen parti berkenaan dari Negeri Sabah bukanlah daripada etnik Melayu. Sementara PAS pula telah lama mewujudkan sayap bukan Islam di dalam parti berkenaan.

Walaupun hampir separuh parti-parti di dalam Barisan Nasional (BN) adalah berasaskan kaum, namun peluang etnik minoriti untuk memegang jawatan Ketua Eksekutif dalam pentadbiran Kerajaan Negeri adalah jauh lebih terbukti berbanding dengan parti DAP. Sebagai contoh, di Negeri Sarawak, dua (2) daripada lima (5) Ketua Menterinya merupakan etnik Melanau serta memegang rekod paling lama menjadi Ketua Menteri. Etnik Melanau hanya meliputi kira-kira hanya 5% sahaja daripada keseluruhan penduduk Sarawak dan merupakan minoriti dalam minoriti. Tetapi pernahkan perkara ini diberikan pujian oleh DAP? Sementara PAS telah lama melantik ahlinya yang berketurunan Cina sebagai salah seorang EXCO dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan. Jauh lebih terkehadapan berbanding dengan parti DAP yang langsung tidak ada melantik ahli Bumiputeranya sebagai EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Lihat juga pemilihan DAP Selangor seperti rajah di atas. Gobind Singh mendapat undi yang tertinggi, tetapi Tony Pua yang menduduki tangga ke-8 yang dilantik sebagai Pengerusi DAP Selangor. Tidak dilupakan juga seorang perwakilan DAP iaitu Shamsher Singh Thind pernah mempersoalkan kenapa Pengerusi DAP Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP menggunakan Bahasa Mandarin dan bukannya Bahasa Melayu dalam Persidangan DAP sedangkan bukan semua rakyat Malaysia memahami Bahasa Mandarin. Jadi apalah gunanya sebuah parti membuka pintu keahliannya kepada semua etnik tetapi dalam polisi pentadbirannya hanya mengutamakan satu kaum sahaja? Apa gunanya sebuah parti mengaku sebagai 'Malaysian First' tetapi di dalamnya masih tebal dengan sikap ethno-centric dan chauvinist yang lebih mengutamakan etnik daripada kepentingan negara sendiri?        





Mendiang Karpal Singh semasa hayatnya dilaporkan pernah menyatakan hasratnya akan terus berjuang untuk seorang Perdana Menteri bukan Melayu. Tetapi amat malang baru memerintah sebuah negeri pun, partinya yang mengaku sebagai mengutamakan meritokrasi dan buta warna kulit ini telah gagal memberikan peluang yang sewajarnya kepada salah seorang Timbalan Ketua Menteri (TKM) Pulau Pinang dari etnik minoriti yang telah dua penggal menjadi TKM untuk dipertimbangkan sebagai pilihan utama untuk menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang yang seterusnya. 

Mengapakah Chow Kon Yeow pula yang tiba-tiba dinamakan sebagai bakal Ketua Menteri Pulau Pinang yang seterusnya? Jika Dato' Mohd Rashid Hasnon tidak terpilih, perkara tersebut masih boleh diterima kerana walaupun beliau Timbalan Ketua Menteri, tetapi beliau bukanlah daripada parti DAP yang merupakan parti majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang. Tetapi bagaimana pula dengan Dr. P. Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri sedia ada dari DAP? Bukankah dari segi senioriti dan pengalaman, beliau jauh lebih berkelayakan? Mengapakah tiba-tiba prinsip mengutamakan meritokrasi dan buta warna kulit (colour blind) yang selama ini sibuk dilaungkan oleh DAP boleh hilang sekelip mata?        

Jadi sebelum sibuk mempersoalkan sama ada 'Is Malaysia Ready For Non-Malay PM?', mungkin lebih sesuai Malaymail Online menyiarkan artikel 'Is Penang Ready For Non-Chinese CM?'. Ada berani?



Thursday, August 11, 2016

Ulasan Buku : Gajah Putih di Bumi Geroda

 
 

 
Pada awal bulan ini, penulis telah menerima senaskah buku baru berjudul Gajah Putih di Bumi Geroda (Perang Melayu-Siam 1767-1842) dari seorang pengkaji sejarah Indie yang semakin meningkat naik. Sebuah buku menarik dengan metafora Gajah Putih (Thai) yang berusaha untuk menguasai negeri-negeri Melayu di utara semenanjung. Mengapa ‘Geroda’ yang dipilih sebagai perlambangan kepada negeri-negeri Melayu? Mungkin kerana burung Garuda identik dengan Srivijaya (empayar Melayu) yang mana Kedah dikatakan sebagai salah satu kota pelabuhannya. Sesuai dengan kandungan buku tersebut yang lebih banyak memfokuskan penceritaannya berkenaan dengan Negeri Kedah.

Kekuatan penulisan buku ini dilihat terletak kepada latar belakang penulisnya iaitu Mohd. Herman bin Roslan yang juga merupakan pelajar jurusan sejarah di Universiti Sains Malaysia (USM). Dengan dibantu oleh Fareq Rizal, saudara Herman berusaha sedaya mungkin untuk menyelongkar bahan-bahan rujukan yang sukar untuk diperoleh bagi disusun, diolah dan kemudiannya dipersembahkan kembali di dalam buku tersebut. Dengan memfokuskan tajuk berkenaan dengan perang antara dua bangsa yang berbeza ras dan agama tetapi saling merebutkan tanah semenanjung yang bertuah ini sejak zaman berzaman, antara faktor ‘Wow’ di dalam buku tersebut yang perlu dibaca adalah :


 
i.      Perbezaan antara ‘Thai’ dengan ‘Siam’, tanpa ada kena mengena dengan dakwaan mengarut sebuah blog yang pernah popular satu ketika dahulu;

ii.     Bentuk penyeksaan yang di luar kewarasan manusia terhadap orang-orang Melayu yang ditawan oleh pihak Thai, seolah-olah menerangkan mengapa sehingga ke hari ini mereka masih sanggup memperlakukan masyarakat awam Melayu Patani seperti haiwan;
 
iii.    Kisah mengenai Negara Sri Dharmaraja atau Tambralingga yang jarang dijumpai dalam buku-buku sejarah berbahasa Melayu, termasuk gambar-gambar khas tembok kota Ligor yang diambil sendiri di Nakhon Si Tammarat, Thailand; dan
 
iv.    Perbincangan mengenai keluasan sebenar wilayah Negeri Kedah pada satu masa dahulu.


Biarpun buku tersebut ditulis dalam bentuk format akademik agar boleh dijadikan rujukan bagi penulisan ilmiah lain yang akan datang, namun penulisannya adalah dalam gaya bahasa umum yang mudah untuk difahami. Justeru itu, buku ini harus dibeli, dibaca dan disimpan di dalam rak-rak rumah anda untuk tatapan kepada anak cucu anda kelak. Khususnya jika anda sendiri merupakan penduduk Melayu di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Setul (Satun), Kelantan dan Patani!