Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Tuesday, July 11, 2017

Catatan Perjalanan : Syawal di Republik Singapura



Sudah sekian lama penulis tidak pulang berhari raya di Singapura, jadi dikesempatan Syawal pada tahun ini, penulis memutuskan untuk ke Singapura. Terlalu banyak kenangan lama di sini. Selain menziarah pusara ahli keluarga, antara kenangan manis semasa zaman kanak-kanak sudah tentu hasil duit raya di sini agak lumayan, 2 Dolar Singapura yang diperoleh di setiap rumah agak banyak nilainya apabila ditukar ke Ringgit Malaysia. Dan kenangan melucukan adalah pernah satu ketika, seingat penulis Singapura telah menyambut 1 Syawal sedangkan Johor diputuskan masih lagi 30 Ramadhan. Tetapi pada hari ini, difahamkan tarikh perayaan antara negara-negara di Asia Tenggara telah diselaraskan secara bersama.

Singapura masih lagi sebuah ‘hutan batu’ yang bukanlah menjadi satu destinasi kegemaran penulis yang lebih gemarkan suasana kampung dan semulajadi. Pada sesi lawatan ini, penulis tergerak untuk melawat Stesen Keretapi Tanjong Pagar. Amat menyedihkan apabila melihat suasananya yang kini sunyi sepi. Hanya terdapat satu papan tanda gerai makanan yang masih wujud. Dan bangunan usang ini, yang menjadi saksi tanda kewujudan nama ‘Tanah Melayu’ di Singapura menerusi perkhidmatan KTM, kini hanya tinggal kenangan kerana perkhidmatan keretapi akan dipindahkan ke Woodlands, selaras dengan persetujuan yang telah dicapai antara Singapura dan Malaysia.  


Stesen Keretapi Tanjong Pagar


Penat berjalan, penulis meninggalkan stesen keretapi berkenaan dan menuju ke  Masjid Temenggong yang terletak bersebelahan untuk bersolat. Masjid Temenggong ini amat istimewa, kerana terletak di Teluk Belanga / Blangah, yang merupakan pusat pemerintahan Temenggung Johor, yang juga melahirkan busana Johor jenis Teluk Belanga yang digunakan sehingga kini. Jika dirujuk kepada Abdul Rahim Ramli (2011), kawasan Teluk Belanga (termasuk Masjid Temenggong) di Singapura ini masih kekal menjadi wilayah jajahan Johor dengan bendera Negeri Johor dikibarkan, malahan para kakitangan JAIJ ditempatkan di Masjid ini dan doa untuk khutbah Jumaat juga didoakan kepada DYMM Sultan Johor. Di luat masjid, terdapat kawasan makam yang menempatkan para kerabat Di Raja Temenggong Johor. Berlainan dengan keadaan di Kampung Gelam termasuk tapak istananya yang merupakan kawasan pemerintahan Sultan Singapura tetapi kini telah diambil alih sepenuhnya oleh pemerintah Singapura.


Masjid Temenggong, Teluk Belanga


Berbual dengan rakyat tempatan, mereka menyatakan betapa beruntungnya rakyat di Malaysia dalam hal agama Islam. Ini kerana mereka menyatakan masjid-masjid di Singapura dibiayai dengan wang saku para jemaah Muslim sendiri, kerana bantuan kewangan dari Pemerintah dalam hal agama Islam hampir tiada. Setiap kali solat Jumaat, mereka sanggup mengeluarkan derma kepada tabung Masjid dalam memastikan rumah-rumah Allah ini dapat dibiayai perbelanjaan bulanannya. Satu perkara yang membuatkan penulis berasa insaf.

Bertukar topik berkenaan pilihanraya Presiden Singapura yang menyaksikan Pemerintah telah membuat ketetapan untuk memberi keistimewaan untuk hanya etnik Melayu bertanding bagi pemilihan kali ini, penulis bertanya siapa calon yang menjadi pilihan komuniti Melayu-Islam Singapura? Adakah Speaker pilihan pemerintah iaitu Halimah Yacob, atau mantan Speaker Abdullah Tarmugi yang berdarah kacukan Melayu-Cina, para menteri seperti Masagos Zulkifli, Dr. Yaacob Ibrahim, Zainul Abidin Rasheed, atau ahli korporat seperti Bahren Shaari, Poad Shaik Abu Bakar Mattar, dan Salleh Marican?    

Jawapan yang diberikan, siapa pun Melayu yang terpilih, tidak akan banyak perubahan dijangka berlaku kepada komuniti Melayu-Muslim. Ini kerana kuasa eksekutif berada di tangan Perdana Menteri, bukannya Presiden. Apatah lagi komuniti pribumi Melayu-Islam Singapura hanyalah minoriti di bumi sendiri. Cuma apa yang pasti, pemerintah sudah pasti akan memastikan bakal Presiden kelak tidak selantang dan seberani Ong Teng Cheong, yang merupakan Presiden Singapura pertama yang dipilih secara langsung oleh rakyat menerusi undi popular. Presiden Singapura sebelumnya dipilih oleh Parlimen.

Parlimen Singapura di Waktu Malam



Penulis meninggalkan bumi Singapura hanya setelah malam menjelma. Tidak pasti bila lagi akan berkesempatan untuk kembali ke negeri asal ini sedangkan ia hanya bersempadan dengan Johor. Tetapi apa yang pasti, Singapura akan sentiasa amat-amat dekat di hati ini. 

No comments:

Post a Comment