Sudah sekian lama
penulis tidak pulang berhari raya di Singapura, jadi dikesempatan Syawal pada
tahun ini, penulis memutuskan untuk ke Singapura. Terlalu banyak kenangan lama
di sini. Selain menziarah pusara ahli keluarga, antara kenangan manis semasa
zaman kanak-kanak sudah tentu hasil duit raya di sini agak lumayan, 2 Dolar
Singapura yang diperoleh di setiap rumah agak banyak nilainya apabila ditukar
ke Ringgit Malaysia. Dan kenangan melucukan adalah pernah satu ketika, seingat
penulis Singapura telah menyambut 1 Syawal sedangkan Johor diputuskan masih
lagi 30 Ramadhan. Tetapi pada hari ini, difahamkan tarikh perayaan antara
negara-negara di Asia Tenggara telah diselaraskan secara bersama.
Singapura masih lagi
sebuah ‘hutan batu’ yang bukanlah menjadi satu destinasi kegemaran penulis yang
lebih gemarkan suasana kampung dan semulajadi. Pada sesi lawatan ini, penulis
tergerak untuk melawat Stesen Keretapi Tanjong Pagar. Amat menyedihkan apabila
melihat suasananya yang kini sunyi sepi. Hanya terdapat satu papan tanda gerai
makanan yang masih wujud. Dan bangunan usang ini, yang menjadi saksi tanda
kewujudan nama ‘Tanah Melayu’ di Singapura menerusi perkhidmatan KTM, kini
hanya tinggal kenangan kerana perkhidmatan keretapi akan dipindahkan ke Woodlands,
selaras dengan persetujuan yang telah dicapai antara Singapura dan Malaysia.
Stesen Keretapi Tanjong Pagar
Penat berjalan,
penulis meninggalkan stesen keretapi berkenaan dan menuju ke Masjid Temenggong yang terletak bersebelahan
untuk bersolat. Masjid Temenggong ini amat istimewa, kerana terletak di Teluk
Belanga / Blangah, yang merupakan pusat pemerintahan Temenggung Johor, yang
juga melahirkan busana Johor jenis Teluk Belanga yang digunakan sehingga kini. Jika
dirujuk kepada Abdul Rahim Ramli (2011), kawasan Teluk Belanga (termasuk Masjid
Temenggong) di Singapura ini masih kekal menjadi wilayah jajahan Johor dengan bendera
Negeri Johor dikibarkan, malahan para kakitangan JAIJ ditempatkan di Masjid ini
dan doa untuk khutbah Jumaat juga didoakan kepada DYMM Sultan Johor. Di luat
masjid, terdapat kawasan makam yang menempatkan para kerabat Di Raja Temenggong
Johor. Berlainan dengan keadaan di Kampung Gelam termasuk tapak istananya yang merupakan
kawasan pemerintahan Sultan Singapura tetapi kini telah diambil alih sepenuhnya
oleh pemerintah Singapura.
Masjid Temenggong, Teluk Belanga
Berbual dengan rakyat
tempatan, mereka menyatakan betapa beruntungnya rakyat di Malaysia dalam hal
agama Islam. Ini kerana mereka menyatakan masjid-masjid di Singapura dibiayai
dengan wang saku para jemaah Muslim sendiri, kerana bantuan kewangan dari Pemerintah
dalam hal agama Islam hampir tiada. Setiap kali solat Jumaat, mereka sanggup
mengeluarkan derma kepada tabung Masjid dalam memastikan rumah-rumah Allah ini
dapat dibiayai perbelanjaan bulanannya. Satu perkara yang membuatkan penulis berasa
insaf.
Bertukar topik
berkenaan pilihanraya Presiden Singapura yang menyaksikan Pemerintah telah
membuat ketetapan untuk memberi keistimewaan untuk hanya etnik Melayu
bertanding bagi pemilihan kali ini, penulis bertanya siapa calon yang menjadi
pilihan komuniti Melayu-Islam Singapura? Adakah Speaker pilihan pemerintah
iaitu Halimah Yacob, atau mantan Speaker Abdullah Tarmugi yang berdarah kacukan
Melayu-Cina, para menteri seperti Masagos Zulkifli, Dr. Yaacob Ibrahim, Zainul
Abidin Rasheed, atau ahli korporat seperti Bahren Shaari, Poad
Shaik Abu Bakar Mattar, dan Salleh Marican?
Jawapan yang
diberikan, siapa pun Melayu yang terpilih, tidak akan banyak perubahan dijangka
berlaku kepada komuniti Melayu-Muslim. Ini kerana kuasa eksekutif berada di
tangan Perdana Menteri, bukannya Presiden. Apatah lagi komuniti pribumi Melayu-Islam
Singapura hanyalah minoriti di bumi sendiri. Cuma apa yang pasti, pemerintah
sudah pasti akan memastikan bakal Presiden kelak tidak selantang dan seberani
Ong Teng Cheong, yang merupakan Presiden Singapura pertama yang dipilih secara
langsung oleh rakyat menerusi undi popular. Presiden Singapura sebelumnya
dipilih oleh Parlimen.
Parlimen Singapura di Waktu Malam
Penulis meninggalkan
bumi Singapura hanya setelah malam menjelma. Tidak pasti bila lagi akan
berkesempatan untuk kembali ke negeri asal ini sedangkan ia hanya bersempadan dengan
Johor. Tetapi apa yang pasti, Singapura akan sentiasa amat-amat dekat di hati
ini.
Hmm says dh ckp ngan abang says yang berkerja di singapura isu penulis katakan itu
ReplyDeleteNice post thanks for sharinng
ReplyDelete