Berdasarkan
kepada Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara yang telah diadakan di Putrajaya
pada hujung minggu lalu, salah satu isu yang dibincangkan adalah betapa Bahasa
Kebangsaan kita telah gagal untuk menjadi medium perpaduan masyarakat pelbagai
kaum di negara kita. Menurut Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong, bukti kegagalan itu
ialah polarisasi kaum masih wujud secara nyata. Katanya, rata-rata pelajar di
SJKC hanya fasih berbahasa Mandarin berbanding dengan Bahasa Melayu dan Bahasa
Inggeris. Jelas beliau lagi, pemerhatian mendapati negara yang membenarkan
penggunaan satu bahasa sahaja sebagai bahasa utamanya lebih mudah mengurus
perpaduan rakyatnya.
Penulis
bersetuju penuh dengan apa yang dinyatakan oleh beliau. Tidak perlu untuk pergi
jauh, lihat sahaja di seberang negara kita iaitu Indonesia. Indonesia mempunyai
kepelbagaian kaum yang berkali-kali ganda berbanding dengan jumlah etnik yang
ada di negara kita. Namun begitu, dalam hal perpaduan bangsa, terbukti
Indonesia sepuluh langkah lebih maju berbanding negara kita apabila berjaya
menjadikan Bahasa Indonesia sebagai elemen untuk mewujudkan dan menyatukan
Bangsa Indonesia. Walaupun Bahasa Indonesia secara dasarnya merupakan bahasa
suku minoriti Melayu di Sumatera, tetapi ia telah dipilih sebagai Bahasa
Indonesia berdasarkan status bahasa berkenaan yang merupakan lingua-franca yang
telah digunakan secara zaman berzaman dari Acheh hinggalah ke Maluku.
Walaupun
dari segi pelaksanaan bahasa nasionalnya, Indonesia sering dikritik kerana
dasar kerasnya yang mengharamkan penggunaan bahasa Mandarin terutamanya ketika
era Orde Baru (di bawah mantan Presiden Soeharto), namun sekiranya diteliti
kembali, bahasa Mandarin bukanlah bahasa ibunda (mother tongue) bagi majoriti etnik-etnik Cina di Asia Tenggara. Ini
kerana etnik-etnik Cina di Asia Tenggara berasal dari wilayah-wilayah selatan
tanah besar Cina seperti Fujian dan Guangdong yang bertutur dalam bahasa-bahasa
mereka sendiri seperti Hokkien, Hakka, Teochew, Kantonis dan sebagainya. Bahkan
tokoh agung Singapura, mendiang Lee Kuan Yew sendiri di dalam memoirnya
mengakui bahawa bahasa Mandarin adalah terlalu asing bagi dirinya.
Bahasa
Mandarin hanya menjadi bahasa rasmi bagi Republik Rakyat China dan Republik
China (Taiwan) dan digunakan secara meluas di tanah besar China mulai awal abad
ke-20 dan dipilih berdasarkan kepada dialek Beijing yang terletak di bahagian
utara China. Berdasarkan sejarah pula, etnik-etnik Cina di wilayah selatan
sukar untuk menumpahkan taat setia mereka kepada Maharaja China kerana
pemerintah Dinasti Qing yang memerintah di bahagian utara adalah berketurunan
Manchu (Jurchen) iaitu berbeza dengan mereka. Maka bukankah janggal apabila
diaspora Cina di Malaysia pada hari ini tiba-tiba bersungguh-sungguh pula untuk mempelajari
dan menguasai bahasa rasmi sebuah negara asing seperti Bahasa Mandarin yang
bukan pun bahasa ibunda mereka tetapi pada masa yang sama mengabaikan dan tidak
mampu untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan?
Bandingkan
pula dengan situasi di Argentina sebagai contoh. Walaupun Argentina merupakan bekas
tanah jajahan Sepanyol, tetapi hampir separuh daripada penduduknya mempunya
darah keturunan Itali. Namun begitu, Bahasa Itali tidak pernah menjadi bahasa
rasmi atau menggantikan kedudukan bahasa Sepanyol sebagai bahasa rasmi di
Argentina. Ini kerana imigran-imigran Itali di Argentina datang dari pelbagai
wilayah di Itali, dan mereka mempunyai bahasa-bahasa ibunda mereka yang tersendiri.
Bahasa Itali standard pula hanya bermula selepas penyatuan Itali pada 1871 dan
dipilih berdasarkan bahasa dialek Tuscan yang dituturkan di wilayah Florence.
Bukan semula imigran di Itali di Argentina berasal dari Florence dan dialek
Tuscan tidak semestinya bahasa ibunda mereka. Justeru itu, walaupun dialek
Tuscan-Florentine telah diangkat menjadi bahasa Itali standard selepas
penyatuan negara Itali, namun imigran Itali di Argentina telah memilih bahasa kebangsaan
negara tersebut iaitu bahasa Sepanyol sebagai bahasa utama mereka. Sehingga
kini, mereka tidak melihat sebarang keperluan pun untuk menjadikan bahasa Itali
sebagai bahasa rasmi Argentina biarpun mereka sendiri berketurunan Itali!
Justeru
itu, bukankah Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan yang sewajarnya dimartabatkan
sebagai bahasa pemersatu untuk semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum dan
asal usul mereka?
Untuk
yang berminat untuk mengikuti maklumat-maklumat ringkas di FB, boleh like dan
follow page rasmi Ibnu Rusydi di bawah :
nasi sudah menjadi bubur
ReplyDelete