Malaysia selalu
dinyatakan sebagai sebuah negara yang berbilang kaum. Namun begitu, kerap kali
istilah ‘berbilang kaum’ ini terperangkap dalam ruang lingkup sempit iaitu
hanya meliputi kaum Melayu, Cina dan India semata-mata. Sebagai contoh, gambar
perpaduan pelbagai kaum seperti yang disiarkan oleh akhbar The Star di atas.
Malahan nama ‘Malaysia’ juga cuba ditafsir semula dengan hanya meliputi kaum
Melayu, Cina dan India sahaja dengan meminggirkan kaum-kaum utama yang lain
terutamanya dari Sabah dan Sarawak. Sudah sekian lama gambaran perpaduan kaum dengan
meminggirkan kaum-kaum dari Sabah dan Sarawak ini berlaku dan perkara ini tidak
elok untuk integrasi nasional, malahan tidak mencerminkan semangat yang
terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan!
Menurut Datuk Mohd
Noor Abdullah, mantan Hakim Mahkamah Rayuan, jika dirujuk kepada Perlembagaan
Persekutuan yang menjadi asas kepada pembentukan negara kita, kaum-kaum yang
ada disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah Melayu dan Orang Asli,
Bumiputera Sabah, Bumiputera Sarawak serta kaum-kaum lain.
Di semenanjung, ‘Orang
Asli’ merupakan terma umum yang merujuk kepada tiga (3) kelompok pribumi iaitu Semang (Negrito), Senoi (Semai, Temiar, Jah Hut, Che Wong, Mah Meri) dan Melayu Asli / Aborigine Malay (Kuala, Kanaq, Jakun dan Temuan). Sementara ‘Melayu’
di semenanjung merujuk kepada Melayu
Anak Negeri (Melayu Kelantan, Melayu Kedah dsb) serta Melayu Anak Dagang iaitu Melayu yang mempunyai campuran darah
dengan kaum atau etnik Austronesia yang lain (Melayu-Jawa, Melayu-Bugis dsb).
‘Bumiputera Sarawak’
pula terdiri daripada Iban, Bidayuh, Melayu Sarawak, Melanau dan Orang Ulu
(Kayan, Kenyah, Kelabit, Penan dsb). Sementara ‘Bumiputera Sabah’ terdiri
daripada Kadazan-Dusun-Murut (KDM – termasuk etnik-etnik kecil yang lain
seperti Rungus dsb) dan Bumiputera Islam seperti Bajau, Melayu Brunei, Bugis, Suluk
dsb. ‘Kaum-kaum lain’ yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan merujuk
kepada kelompok bukan Bumiputera seperti Cina, India, Sikh, Ceylonese dan sebagainya.
Mungkin ramai yang
masih tidak menyedari pada 30 – 31 Mei dan 1 - 2 Jun setiap tahun, rakan-rakan
dan saudara kita di Sabah menyambut Tadau Kaamatan sementara rakan-rakan dan
saudara kita di Sarawak menyambut Hari Gawai. Namun begitu, berbanding dengan
Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina ataupun Deepavali, boleh dikatakan tidak
ada atau amat jarang sekali iklan-iklan komersial perayaan yang berkaitan dengan
Hari Gawai atau Pesta Kaamatan disiarkan di kaca televisyen. Jika ada pun,
rasanya hanya sekali sahaja, iaitu Maybank pernah menyiarkan iklan seorang anak
Sarawak di luar negara berbahasa Iban dengan ibunya yang berada di
kampung.
Oleh yang demikian,
sudah tiba masanya iklan-iklan perpaduan yang ingin memaparkan perpaduan kaum seharusnya
memaparkan realiti kaum dari tiga wilayah yang membentuk Malaysia iaitu semenanjung
Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Gambaran iklan seperti ‘Malaysia Truly Asia’ yang memaparkan kaum Melayu, Bumiputera Sabah,
Bumiputera Sarawak dan kaum-kaum lain adalah lebih bertepatan dan selari dengan
apa yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana disebabkan
jasa dan pengorbanan pemimpin serta masyarakat dari Sabah dan Sarawak-lah sebenarnya
yang membolehkan perpaduan negara kita kekal bertahan sehingga ke hari ini.
Saya orang semenanjung tetapi sudah lama bekerja di Sarawak. Memang ada juga rungutan daripada orang-orang di sini, biasanya yang pernah ke semenanjung mengenai betapa butanya pengetahuan sesetengah masyarakat di semenanjung mengenai budaya dan masyarakat Sarawak.
ReplyDeleteAok lah Tuan,
DeleteSebab mmg amat jarang media massa paparkn maklumat berkaitan budaya & masyarakat Sabah & Sarawak.
Sebab tu Datuk Mohd Nor dlm artikel ni cadangkn supaya di sebut Melayu & Orang Asli, Bumiputera Sabah & Sarawak serta kaum-kaum lain untuk merujuk kepelbagaian kaum di negara kita.
Terma tu lebih tepat menurut Perlembagaan Persekutuan