Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Thursday, March 24, 2016

Melayu Sebenarnya Suku Bangsa ke-3 Terbesar di Indonesia




Seperti yang pernah ditulis sebelum ini, definisi ‘Melayu’ di negara kita adalah berbeza dengan negara jiran kita iaitu Indonesia. Di negara kita, ‘Melayu’ dirujuk sebagai satu rumpun atau ras yang menghimpunkan secara bersama Melayu Jati/anak negeri (Melayu Kelantan, Melayu Kedah dan sebagainya), Melayu anak dagang (Melayu-Jawa, Melayu-Bugis dan sebagainya) serta Melayu Peranakan/kacukan (Melayu-Arab, Melayu-Mamak dan sebagainya) serta didefinisikan dengan jelas di bawah Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya di Indonesia yang dihuni oleh ratusan kumpulan etnik (atau ‘suku bangsa’ dalam Bahasa Indonesia), Melayu merupakan salah satu daripada kaum minoriti yang wujud. Jika dirujuk kepada maklumat bancian rasmi yang terdapat di dalam Sensus Penduduk Indonesia Tahun 2010, suku bangsa Melayu merupakan yang ke-10 terbesar iaitu sebagaimana yang ditunjukkan di dalam Jadual di bawah ini:


Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang menghairankan penulis apabila meneliti laporan berkenaan beberapa tahun dahulu. Perkara pertama, Melayu Palembang dan Melayu Jambi tidak lagi dikategorikan di bawah suku bangsa Melayu sebagaimana di dalam sensus tahun 2000 sebaliknya hanya disebut sebagai ‘Palembang’ dan ‘Jambi’ sahaja dan masing-masing diletakkan di bawah kumpulan ‘Suku Asal Sumatera Selatan’ dan ‘Suku Asal Jambi’ bersama-sama etnik minoriti lain yang terdapat di kedua-dua provinsi berkenaan.


Begitu jugal halnya kepada Melayu Musi Sekayu, Melayu Bangka, Melayu Belitong, Melayu Enim dan Melayu Pegagan yang sebelum ini ada disebut di dalam Sensus Tahun 2000 tetapi tidak lagi dinyatakan sebagai Melayu di dalam Sensus Tahun 2010.

Perkara yang paling melucukan adalah apabila Melayu Kalimantan/Borneo diletakkan di bawah kumpulan Dayak dan bukannya Melayu. Dapat dilihat di bawah ini apabila Melayu Pontianak dan Melayu Sambas dinyatakan sebagai ‘Dayak Melayu Pontianak’ dan ‘Dayak Melayu Sambas’ bersama-sama dengan ratusan sub-etnik Dayak yang lain walaupun mereka bukannya kaum Dayak.   

 
Walau bagaimanapun, penulis akhirnya berjaya menemui kajian yang telah dibuat oleh sarjana-sarjana Indonesia sendiri yang telah meneliti laporan Sensus Penduduk Indonesia bagi tahun 2000 dan 2010. Berdasarkan kepada analisis data yang telah dibuat, mereka menyimpulkan bahawa etnik Melayu yang termasuk juga sub-etnik di bawahnya sebenarnya merupakan suku bangsa ketiga terbesar di Indonesia iaitu selepas kaum Jawa dan kaum Sunda.


Jika etnik Minangkabau diasingkan daripada etnik Melayu di dalam sensus berkenaan, perkara tersebut masih boleh difahami walaupun Minangkabau juga sebenarnya merupakan salah satu sub-etnik Melayu. Tetapi rasanya tidak sesuai pula apabila sub-etnik Melayu yang lain seperti Melayu Palembang, Melayu Jambi, Melayu Pontianak dan sebagainya dikeluarkan daripada kategori Melayu. Adalah menjadi satu kebiasaan untuk orang Melayu memperkenalkan diri mengikut nama negerinya. Sebagai contoh, ‘saya orang Kelantan’, ‘saya orang Terengganu’, dan sebagainya. Pengenalan ini walau bagaimanapun lebih sesuai dirujuk sebagai sub-etnik kerana mereka masih lagi berbangsa Melayu.      
 
Selain daripada itu, etnik-etnik pribumi beragama Islam di Sumatera dan Kalimantan yang bertutur dalam Bahasa Melayu mengikut dialek daerah/wilayah masing-masing juga masih boleh dikategorikan sebagai ‘Melayu’. Contohnya, Melayu Sanggau, Melayu Berau, dan sebagainya. Bukankah beragama Islam dan bertutur dalam Bahasa Melayu merupakan dua petunjuk utama kepada identiti bangsa Melayu?


Jika suku bangsa Batak yang meliputi kesemua lapan (8) sub-etnik boleh diletakkan di bawah satu kategori kumpulan yang sama iaitu ‘Batak’ hingga dinyatakan sebagai suku bangsa ke-3 terbesar dalam laporan rasmi Sensus Penduduk Indonesia 2010, mengapa pula suku bangsa Melayu tidak boleh diletakkan sekelompok secara bersama? Mungkin boleh dipertimbangkan agar bagi sensus yang akan datang, dua (2) kumpulan utama suku bangsa Melayu di Indonesia diletakkan di dalam sensus berkenaan iaitu Melayu Pesisir (coastal Malay) bagi etnik-etnik Melayu yang terdapat di Sumatera dan Melayu Kalimantan (Bornean Malay) bagi etnik-etnik Melayu yang terdapat di Kalimantan. Kedua-dua istilah ini adalah lebih tepat dan sesuai untuk digunakan.


Bibliografi :

1.         Sensus Penduduk Indonesia Tahun 2010

2.      Aris Ananta, Evi Nurvidya Arifin, M Sairi Hasbullah, Nur Budi Handayani, Agus Pramono (2015) Demography of Indonesia's Ethnicity, ISEAS

3.     Leo Suryadinata, Evi Nurvidya Arifin, Aris Ananta (2003) Indonesia's Population: Ethnicity and Religion in a Changing Political Landscape, ISEAS

Tuesday, March 15, 2016

Perbezaan Gelaran Tun, Tan Sri dan Datuk @ Dato’


Kepada page-page sampah macam BeautifulBloodyfoolNara & OhMyMoronMedia  yang sesuka hati copy paste artikel-artikel tulisan aku tanpa langsung minta izin, sila pergi jahanam!




Baru-baru ini, penulis ada terbaca sebuah post yang dikongsikan bertajuk “Perbezaan Pangkat Dato, Dato Seri, Tan Sri, Tun dan Sebagainya” di sebuah blog. Sedikit pembetulan kepada penulisnya, ianya adalah gelaran dan bukannya pangkat. Sebahagian besar kandungan artikel tersebut pula hanya copy paste senarai Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Persekutuan semata-mata tanpa ada penerangan dengan lebih lanjut.

Jadi penulis merasakan, sebahagian besar pembaca mungkin masih kurang arif mengenai maklumat dan protokol berkaitan gelaran kehormat yang digunapakai di negara kita. Jadi di sini penulis kongsikan sedikit pengetahuan yang ada secara ringkas kepada pembaca. Mungkin bermanfaat sebagai pengetahuan am dan info tambahan.


1.         Mana Satu Ejaan Yang Betul? Datuk atau Dato’?

Persoalan ini sangat popular. Sebenarnya kedua-dua ejaan tersebut betul iaitu bergantung kepada Darjah Kebesaran yang dianugerahkan. Bagi Darjah Kebesaran yang dikurniakan oleh Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan Melaka, ejaan gelarannya adalah Datuk. Sementara penerima Darjah Kebesaran selain daripada 5 negeri/wilayah di atas, ejaan gelarannya adalah Dato’.

Walau bagaimanapun, bagi tujuan penyelarasan dan memudahkan pembacaan, kebiasaannya di media massa seperti akhbar dan televisyen, ejaan ‘Datuk’ digunakan secara umum.    

Info tambahan : pada hari ini, Kerajaan Negeri Sarawak telah memperkenalkan tambahan Darjah Kebesaran Negeri yang baharu dan ejaan gelarannya adalah Dato tanpa tanda ( ' ) dihujungnya.


2.         Gelaran “Tun” dan “Tan Sri” Hanya Dari Persekutuan

Gelaran “Tun” dan “Tan Sri” merupakan Darjah Kebesaran Persekutuan yang hanya dikurniakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. “Tun” merupakan anugerah bergelar tertinggi negara dan lazimnya dikurniakan kepada Yang Dipertua Negeri, Ketua Hakim Negara, dan mantan Perdana Menteri. Isteri kepada "Tun" akan bergelar "Toh Puan". Panggilan hormat bagi penerima anugerah ini dan pasangannya adalah Yang Amat Berbahagia (YABhg).  Bagi “Tan Sri” pula, ia merupakan gelaran kedua tertinggi dan panggilan hormat bagi anugerah ini sama seperti “Datuk” iaitu Yang Berbahagia (YBhg.). Isteri kepada "Tan Sri" akan bergelar "Puan Sri".


3.         Panggilan Hormat Bagi Darjah Kebesaran “Datuk” atau “Dato’” Kurniaan  Negeri

Secara umumnya, panggilan hormat bagi semua penerima Datuk atau Dato’ dari Persekutuan mahupun Negeri adalah sama iaitu Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk / Dato' kecuali di dua buah negeri iaitu Johor dan Pahang.

Johor : Di Johor, bagi penerima Darjah Kebesaran Negeri Johor yang membawa gelaran Dato’, panggilan hormatnya ialah Yang Berhormat (YB) Dato' iaitu seperti panggilan hormat yang digunakan oleh Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh negara.

Pahang : Di Pahang, bagi para penerima Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang membawa gelaran Dato' Sri atau Dato’, panggilan hormatnya ialah Yang Hormat (YH) Dato' Sri / YH Dato'.


4.         Gelaran Dato’ Hanya Untuk Penerima Lelaki, Bukan Wanita

Benar. Tetapi hanya di Negeri Johor dan Selangor sahaja. Di kedua-dua negeri ini, gelaran Dato’ hanya digunakan oleh penerima lelaki. Sekiranya yang menerima Darjah Kebesaran tersebut merupakan seorang wanita, gelaran yang digunakan adalah Datin Paduka (termasuk juga Datin Paduka Seri dan Datin Paduka Setia di Selangor). Oleh yang demikian, di Johor dan Selangor, wanita yang bergelar Datin Paduka merupakan individu yang menerima sendiri Darjah Kebesaran tersebut dan bukannya bermaksud pasangan mereka mempunyai gelaran Dato’ Paduka.


5.         Tiada ‘Datin’ Untuk Isteri Dato’ di Terengganu

Secara lazimnya, isteri kepada individu yang bergelar Datuk atau Dato’ akan memakai gelaran Datin. Namun begitu, bagi penerima Darjah Kebesaran Negeri Terengganu, isteri kepada Dato’ akan memakai gelaran To’ Puan (jangan keliru dengan gelaran ‘Toh Puan’ yang digunakan oleh isteri kepada suami yang bergelar ‘Tun’).

Info tambahan : Di Negeri Johor, gelaran rasmi bagi isteri yang suaminya bergelar Dato’ adalah Datin Dato’ (nama suaminya) dan bukannya menggunakan namanya sendiri.  


6.         Sarawak Antara Negeri Yang Banyak Gelaran Kebesaran Berbeza

Di Negeri Johor, bagi penerima Darjah Kebesaran Kelas Pertama mahupun Kelas Kedua, kedua-duanya membawa gelaran yang sama iaitu YB Dato’. Begitu juga dengan Negeri Kelantan yang menggunakan satu sahaja gelaran iaitu YBhg. Dato'. Tetapi di Negeri Sarawak, terdapat tujuh (7) Darjah Kebesaran yang membawa gelaran yang berbeza-beza iaitu Pehin Sri, Datuk Patinggi, Datuk Amar, Dato Sri, Datuk, Dato dan Datu ('Datu' di Sarawak merupakan gelaran kehormat dan berbeza dengan penggunaan nama Datu yang diwarisi secara turun temurun oleh sesetengah keluarga di Sabah).

Antara gelaran yang digunakan di negeri-negeri lain adalah seperti berikut :

Kedah : Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri Diraja, Dato’ Seri Wira, Dato’ Seri, Dato’ Paduka, Dato’ Diraja, Dato’ Wira, Dato’
Selangor : Dato' Seri, Dato' Setia, Dato’
Perak : Dato’ Sri Diraja, Dato’ Seri Panglima, Dato’ Seri, Dato’ Pahlawan, Dato’
Pahang : Dato’ Sri Diraja, Dato’ Sri, Dato’
Negeri Sembilan : Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri, Dato’
Perlis : Dato' Seri Diraja, Dato' Seri Setia Diraja, Dato' Seri, Dato' Paduka, Dato' Wira, Dato' Pahlawan, Dato’
Pulau Pinang : Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri, Dato’
Sabah : Datuk Seri Panglima, Datuk
Melaka : Datuk Seri Utama, Datuk Seri, Datuk Wira, Datuk
Wilayah Persekutuan : Datuk Seri Utama, Datuk Seri, Datuk


7.         Hanya Dato’ Brunei Gelaran Dari Luar Negara Yang Diiktiraf Kerajaan

Darjah Kebesaran yang diiktiraf oleh Kerajaan adalah yang dikurniakan oleh Ketua-ketua Negara Asing yang berdaulat, sembilan (9) DYMM Raja-raja Melayu serta empat (4) Yang Dipertua Negeri sahaja. Oleh yang demikian, hanya Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato’ yang dikurniakan oleh Sultan Brunei sahaja merupakan satu-satunya dari luar negara yang diiktiraf oleh Kerajaan.

Oleh itu, gelaran Dato’ yang dikurniakan oleh individu yang mengaku dirinya sebagai waris keturunan Maharaja Nusantara, Raja Majapahit, Sultan Negeri Pasir Berdengung, Raja Negeri Isketambola dan sebagainya merupakan satu penipuan dan pemberi serta penerima yang menyalahgunakan gelaran kebesaran tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.