Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Tuesday, February 2, 2010

Ramadhiraja : Raja Siam Pertama Beragama Islam?

Benarkah Raja-raja Siam dari Dinasti Ayuthhaya beragama Islam sebagaimana yang didakwa oleh blog sejarahnagarakedah? Jawapannya, tidak! Bahkan, Raja-raja Ayutthaya telah dicatatkan dalam sejarah banyak melakukan pelanggaran dan serangan terhadap Kerajaan-kerajaan Melayu-Muslim di segenting Kra dan Tanah Melayu. Namun begitu, riwayat tradisi Kelantan ada menyatakan bahawa terdapat seorang Raja Ayutthaya yang telah memeluk Islam.





Di antara Raja-raja Siam khususnya dari Dinasti Ayutthaya, Raja Rama atau Ramadhiraja (putera Ramesuan) tidak terdapat catitan yang merakamkan peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa pemerintahannya. W.A.R. Wood dan D.G.E. Hall menyatakan bahawa zaman pemerintahannya adalah satu zaman yang tidak tertulis dalam sejarah Siam.

Adalah satu yang membanggakan kerana riwayat tradisi Kelantan dapat membongkar apa yang sebenarnya berlaku di sebalik satu peristiwa penting yang cuba disembunyikan.

Mengambil kesempatan dari kelemahan empayar Majapahit di Jawa, Raja Rama (1395-1408) mengenakan tekanan yang lebih hebat lagi terhadap Empayar Chermin. Kerana inilah ia digelarkan (secara sinis) oleh orang-orang Kelantan zaman dahulu sebagai ‘Raja Ramo’ atau ‘Raja Kupu-kupu’ yang sikapnya suka hinggap ke sana ke mari.

Serangannya terhadap Ligor dan Singgora (dalam wilayah Empayar Chermin) mencapai kemenangan di mana Sultan Muhammad Tahir (Ligor) dan adindanya Sultan Baharun (Singgora) gugur di medan peperangan.

Wurawuri (Patani sekarang) yang merupakan pintu terakhir menuju ke wilayah pusat Empayar Chermin iaitu Kelantan dapat dipertahankan pada serangan kali pertama tetapi gagal pada serangan yang berikutnya. Raja Rama yang dikenali dengan gelaran Cau Sri Bangsa/Wangsa itu berikrar terhadap pencabarnya iaitu Sultan Sulaiman Syah (Raja Wurawuri) bahawa ia akan memeluk Islam kalau kemenangan berpihak kepadanya.

Walaupun pada mulanya ia tidak menepati janjinya itu (apabila terbunuhnya pencabarnya sewaktu berduet dengannya di atas gajah) tetapi melalui puterinya Dewi Nai Chu dan menantunya Sangesinga (putera kepada Sultan Sulaiman Syah) Raja Rama mula mengingati ikrarnya dahulu dan kembali memegang janjinya dengan menerima Islam sebagai agama anutannya.

Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Tun Seri Lanang bahawa Cau Sri Bangsa/Wangsa telah memeluk Islam. Dan diikuti oleh penulis-penulis sejarah yang kemudian dengan mengatakan raja-raja Patani adalah dari keturunannya

Rama Raja yang mula menjadi penganut agama Islam telah membuang lambang-lambang berhala dan menyediakan tempat untuk bersembahyang dalam kawasan istananya serta mengambil seorang alim yang berbangsa Melayu menjadi gurunya.

Menurut sejarah Siam, pada tahun 1408 ia digulingkan oleh pembesar-pembesarnya dalam satu pemberontakan yang diketuai oleh anak Boromoraja I (bekas pembesarnya) yang kemudian mengambil alih tempatnya dengan mengisytiharkan dirinya sebagai raja dengan gelaran Intharaja (1408-1424). Tetapi dalam riwayat tradisi Kelantan, ia telah dibunuh oleh puteranya sendiri sewaktu sedang bersolat.


Rujukan :

Haji Abdul Halim Bashah Bin Haji Ibrahim (ABHAR) (1994) “Raja Champa dan Dinasti Jembal dalam Patani BesarPustaka Reka, Kubang Krian