Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Friday, March 10, 2017

Dapatkah Dua Korea Yang Terpisah Bersatu Semula?


Masih hangat di media massa dan media maya bercerita mengenai Korea Utara. Bermula dengan pembunuhan seorang rakyat Korea Utara yang berprofil tinggi di lapangan terbang di dalam negara kita, kes semakin berlarutan apabila petugas kedutaan kita di negara Komunis berkenaan termasuk keluarga mereka dihalang pula daripada pulang ke tanah air. Wilayah Korea merupakan satu-satunya wilayah pasca perang dunia kedua yang masih terpisah hingga ke hari ini warisan daripada pertembungan antara blok Barat dan blok Komunis yang ditaja oleh Soviet Union.

Dalam sejarah moden, terdapat empat buah negara yang pernah terpisah disebabkan oleh pertembungan antara kuasa Barat dan Komunis iaitu Vietnam, German, Yemen, dan Korea. Apa yang menarik, negara-negara sosialis/komunis di keempat-empat wilayah berkenaan meletakkan perkataan Demokratik pada nama rasmi negara masing-masing. Sehingga kadang kala ada yang terkeliru dan tidak mengetahui bahawa Republik Demokratik Rakyat Korea sebenarnya merujuk kepada Korea Utara, bukannya Korea Selatan. Tiga daripada negara berkenaan sudah pun bersatu semula pada hari ini, iaitu Vietnam menerusi kemenangan pihak komunis di bahagian utara menawan wilayah selatannya. Sementara German dan Yemen pula bersatu menerusi perundingan dan persetujuan di antara pemimpin dan rakyatnya di kedua-dua belah lebih kurang setahun sebelum kejatuhan total Soviet Union.

Vietnam, German, Yemen dan Korea yang terpisah dua


Ketika penulis melawat Korea Selatan lebih kurang seminggu pada tahun lepas, salah satu perkara yang ingin didengari sendiri daripada penduduknya adalah mengenai kemungkinan Korea akan bersatu semula pada masa hadapan. Terdapat negara di dunia ini yang terpisah disebabkan oleh perbezaan agama dan amat mustahil untuk bersatu semula. Antaranya ialah seperti Republik Ireland (Katolik) dengan Ireland Utara (Protestan), atau Sudan (Islam) dengan Sudan Selatan (Kristian). Namun begitu, Korea berpecah bukan disebabkan perbezaan agama, tetapi ideologi. Korea Selatan mengamalkan fahaman liberal demokratik sementara Korea Utara pula berfahaman autokratik yang tertumpu kepada kuasa keluarga Kim.

Berdasarkan pemerhatian dan pertanyaan yang dibuat, semangat untuk penyatuan semula utara dan selatan Korea masih kuat di kalangan generasi tua, khususnya bagi mereka yang masih mempunyai tali persaudaraan yang terpisah dengan saudara mara mereka di utara. Namun begitu, di kalangan generasi muda, telah mulai timbul sedikit sentimen untuk mengekalkan sahaja sempadan yang sedia ada dan dua buah negara Korea boleh terus wujud sebelah menyebelah bagi mengelakkan sebarang konflik. Keadaan ini boleh disamakan dengan generasi muda di Republik China (Taiwan) yang inginkan sebuah negara Taiwan yang merdeka dengan identiti sendiri dan terpisah dari Republik Rakyat China.

Penulis dimaklumkan terdapat dikalangan generasi muda Korea pada hari ini yang enggan untuk turut serta dalam sesi pertemuan keluarga yang terpisah yang dianjurkan oleh Pemerintah kedua-dua negara kerana tidak mahu nama mereka direkod mempunyai kaitan keluarga dengan pihak utara. Penulis dimaklumkan dalam aspek keselamatan, sentimen anti-utara masih kuat hinggakan di kalangan ejen-ejen keselamatan yang bertugas untuk mengawal Blue House (kediaman rasmi Presiden Republik Korea), mereka disaring dengan amat ketat hinggakan latar belakang mereka diperiksa hingga beberapa generasi ke atas untuk dipastikan langsung tidak mempunyai sebarang tali persaudaraan keluarga di sebelah utara semenanjung Korea.  

Antara gambar yang sempat diambil sendiri di Korea 


Korea kini telah melewati dua generasi selepas perang, dan pada pandangan penulis, tidak mustahil dua buah negara Korea yang berasingan ini akan terus wujud pada masa hadapan. Ini kerana tempoh terpisah yang terlalu lama antara penduduk sesebuah negara yang bersebelahan akan menyukarkan mereka untuk bersatu semula dalam sebuah negara biarpun mereka sebangsa. Sebagai contoh, German tidak mungkin akan bergabung dengan Austria, Moldova menolak untuk bersatu dengan Romania, Montenegro berusaha mencipta identiti sendiri yang berbeza dengan Serbia, sementara tidak timbul permintaan untuk Kosovo bergabung dengan Albania. Hanya dalam kes-kes tertentu sahaja seperti wilayah Crimea yang telalu kecil untuk berdiri sebagai sebuah negara merdeka menyokong penuh penyertaan ke dalam Russia.      

Lihat juga catatan lama mengenai Korea pada tahun lepas