Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Saturday, October 22, 2016

Catatan Perjalanan : Republik Korea

Dihadapan tugu King Sejong The Great

Penulis baru sahaja menamatkan lawatan ke Republik Korea pada minggu lepas. Republic of Korea sebenarnya merupakan nama rasmi bagi negara Korea Selatan. Sementara nama rasmi bagi negara saudara jiran mereka di utara ialah Democratic People’s Republic of Korea. Ya, walaupun jiran mereka di utara sebenarnya berfahaman Komunis dan diperintah secara autokratik oleh satu keluarga sahaja secara turun temurun, namun mereka tanpa rasa bersalah meletakkan perkataan ‘Democratic’ pada negara mereka. Mengingatkan penulis kepada sebuah parti politik chauvinist di negara kita.

Minat untuk melawat Korea sebenarnya bermula selepas mendengar satu ceramah setahun yang lalu mengenai kemampuan Korea yang merupakan satu-satunya negara Asia yang berupaya untuk menandingi kemajuan negara Jepun. Dalam ceramah berkenaan, ada diceritakan mengenai usaha Korea menjemput jurutera-jurutera pakar dari Jepun dengan upah yang amat tinggi pada penghujung tahun 90-an untuk melatih dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta teknologi mereka. Jika negara kita pernah mengadakan ‘Dasar Pandang ke Timur’ dengan menjadikan negara Jepun sebagai model contoh, Korea juga mempunyai dasar yang seakan-akan sama, tetapi mereka tidak sekadar memandang kepada Jepun, tetapi berpegang kepada prinsip ‘Do Better Than Japan’.

 

Republik Korea mempunyai penduduk melebihi 50 juta orang, iaitu lebih ramai berbanding penduduk Malaysia. Tetapi keluasan negara mereka adalah lebih kecil daripada semenanjung Malaysia. Sepanjang pengembaraan di Korea, penulis dapat melihat betapa kecilnya keluasan kedai-kedai dan kediaman mereka berbanding dengan negara kita. Memandangkan keadaan geografi Korea adalah berbukit bukau tetapi kepadatan penduduknya amat tinggi, kebanyakan bangunan termasuk kediaman terpaksa dibina meninggi ke atas. Masyarakat Korea suka memakan sayur-sayuran yang dijeruk seperti Kimchi bersama-sama nasi, dan mereka hanya meminum air masak yang disejukkan sewaktu makan.
 
 

 
Pada pengamatan penulis, masyarakat Korea mempunyai jati diri kebangsaan yang amat tinggi. Mungkin juga secara kebetulan pada hujung minggu berkenaan beberapa festival diadakan, di kiri dan kanan jalanraya dipenuhi oleh orang awam yang berpakaian tradisional Hanbok. Paling menarik, mereka menggunakan faktor sejarah untuk menaikkan jati diri masyarakat mereka. Pemandu Pelancong di Istana Gyeongbok tidak henti-henti menceritakan sejarah survival perjuangan bangsa Korea menentang bangsa Jepun yang cuba menjajah mereka, serta peperangan dengan jiran komunis mereka di utara yang secara teknikalnya masih berlangsung sehingga ke hari ini.
 
Bersama Pengawal Istana Gyeongbok

 
Bersebelahan di luar Istana Gyeongbok, berdiri megah dua tugu tokoh Korea yang dijadikan sebagai simbol kebangkitan bangsa Korea iaitu Raja Sejong Yang Agung (Sejong The Great) dan Laksamana (Admiral) Yi Sunshin. Raja Sejong merupakan Raja Korea yang bertanggungjawab mencipta tulisan Korea iaitu Hangul yang menjadi pemangkin kepada pembangunan bangsa Korea, sementara Laksamana Yi Sunshin pula tidak pernah tewas dalam pertempuran dan bertanggungjawab mengalahkan angkatan tentera Jepun yang cuba menawan negara mereka walaupun bilangan tentera Jepun adalah jauh lebih besar berbanding dengan tentera Korea.

 
Tugu Admiral Yi Sunshin

 
Namun begitu, masyarakat Korea tidak ‘merindui’ sistem monarki mereka. Mereka tidak mengambil peduli pun dimana waris raja terakhir mereka berada dan tidak berhasrat untuk mengembalikan sistem monarki sebagaimana negara Jepun. Apabila perkara ini ditanyakan kepada Pemandu Pelancong, beliau menyatakan bahawa sistem monarki sudah tidak lagi relevan di Korea memandangkan rakyatnya telah selesa dengan sistem Republik yang mengandungi Presiden dan Perdana Menteri. Apatah lagi pengaruh Amerika Syarikat yang masih lagi kuat di negara berkenaan sudah pasti tidak bersetuju sistem beraja dikembalikan di Korea. Secara berjenaka, pemandu pelancong berkenaan menyatakan sekiranya mahu melihat Raja Korea pada hari ini, bolehlah melihat kepada saudara mereka di utara yang telah pun mempunyai dinasti ‘Beraja’ mutlak dalam bentuk baru.
 
 
Singgahsana Raja Korea di dalam Istana Gyeongbok

 
Berdasarkan kepada maklumat yang disampaikan juga, Republik Korea mulai bangkit ketika di bawah pemerintahan Presiden yang ketiga iaitu Park Chung-Hee. Mungkin hampir sama dengan bentuk pentadbiran Lee Kuan Yew dalam memajukan Singapura, pentadbiran Park Chung-Hee telah dikritik sebagai berbentuk diktator. Tambahan lagi beliau memerintah sehingga selama lima penggal sebelum mati dibunuh. Tetapi tempoh pemerintahan beliau telah digunakan sepenuhnya untuk memajukan Republik Korea. Antara jasa terawal beliau untuk memajukan Republik Korea dimulakan dengan membina infrastruktur jalan raya yang menghubungkan seluruh negara berkenaan.
 
Kawalan keselamatan di sini amat-amat ketat. Teka sendiri ini bangunan apa.

Penulis meninggalkan kawasan Gwanghwamun Square dengan sedikit perasaan hampa kerana tidak berjaya menjumpai sebarang barang atau kesan peninggalan alam Melayu di Istana Gyeongbok mahupun di Muzium Sejong. Menurut pemandu pelancong, Dinasti Joseon tidak mempunyai banyak hubungan dengan alam Melayu. Perjalanan diteruskan ke Masjid Itaewon untuk Solat Jama’. Di sini, barulah penulis mendapat satu maklumat yang menarik. Menurut seorang rakyat Malaysia yang menginap di Korea, tapak bagi Masjid Itaewon telah diwakafkan oleh Perdana Menteri pertama kita iaitu almarhum Tunku Abdul Rahman. Bagaimana pula beliau boleh mempunyai tanah di Korea? Menurutnya, Malaysia pada awal zaman kemerdekaannya banyak membantu Korea yang ketika itu amat daif dan ketinggalan kesan daripada peperangan dengan saudara komunis mereka di utara. Atas jasa itulah, Kerajaan Korea kemudian telah mengurniakan sebidang tanah kepada almarhum Tunku yang kemudiannya bertindak mewakafkan pula tapak berkenaan bagi pembangunan sebuah Masjid.

Masjid Itaewon

 
Terdapat banyak perkara positif yang boleh dipelajari oleh kita untuk menjadi maju seperti Republik Korea yang satu ketika dahulu berada jauh di belakang negara kita. Melalui penelitian penulis, beberapa faktor yang membantu Republik Korea untuk bangkit menjadi sebuah negara maju adalah seperti berikut :

i)         Hampir 99 peratus Rakyat Republik Korea adalah homogenous, iaitu sama keturunan serta sama bahasa, warna kulit dan budaya. Justeru itu memudahkan sebarang polisi pembangunan yang ingin dilaksanakan oleh Pemerintahnya;
 
ii)           Republik Korea mewajibkan kerahan tenaga kepada semua warga lelakinya selama dua (2) tahun. Kerahan tenaga ini merupakan latihan ketenteraan sebenar dan pelatihnya boleh bertindak sebagai askar sekiranya peperangan benar-benar meletus, bukannya latihan ala-ala PLKN. Tindakan ini telah melahirkan warganya yang berdisiplin tinggi dan berani;
 
iii)            Republik Korea menggunakan faktor sejarah secara positif untuk memotivasikan rakyatnya untuk berjaya. Sehingga kini, faktor serangan dan penjajahan Jepun serta kesengsaraan peperangan dengan saudara Komunis mereka di utara digunakan sepenuhnya untuk mendidik rakyatnya agar lebih tekun berusaha;

iv)       Republik Korea meletakkan wanita pada kedudukan yang tinggi. Wang not Korea yang terbesar iaitu 50,000 Won mengabadikan wajah Shin Saimdong, iaitu ibu kepada tokoh Konfusius Korea, Yi I. Malah, Presiden Republik Korea pada hari ini adalah seorang wanita iaitu Park Geun-Hye, yang merupakan anak kepada tokoh pembangunan Korea yang juga mantan Presiden Korea iaitu Park Chung-Hee. 

Monday, August 29, 2016

Perdana Menteri Bukan Melayu?







Sebuah akhbar atas talian iaitu Malaymail Online sebelum ini dengan ghairah telah menyiarkan berita mengenai ucapan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang dipetik sebagai berkata Republik berkenaan akan meminda perlembagaannya bagi memastikan Presiden Singapura yang akan datang dapat dilantik dikalangan etnik minoriti. Artikel tersebut kemudian terus memfokuskan kepada persoalan sama ada Malaysia telah bersedia untuk menerima Perdana Menteri (PM) bukan Melayu.

Sama ada penulisnya memang jahil atau pura-pura tidak tahu, membandingkan jawatan Presiden Singapura dengan PM Malaysia adalah tidak tepat. Jawatan Presiden Singapura merupakan ketua negara yang tidak mempunyai kuasa eksekutif sebagaimana PM Singapura. Dan bagi yang memiliki ilmu sejarah, tiada apa-apa yang baru dan menarik pun mengenai pengumuman tersebut. Ini kerana daripada tujuh (7) orang Presiden Singapura, empat (4) presiden terdahulu sememangnya daripada etnik minoriti iaitu seorang Melayu, seorang Serani dan dua (2) India. Selepas Singapura keluar dari Malaysia, tiada lagi Melayu selain Yusuf Ishak (Presiden pertama ketika Singapura masih dalam Malaysia) yang berpeluang menjadi Presiden Singapura sehingga kini walaupun etnik Melayu merupakan etnik minoriti terbesar di Singapura.         

Sekiranya penulisnya jujur ingin bertanya sama ada Malaysia bersedia menerima PM bukan Melayu, dia sepatutnya memeriksa sama ada Singapura telah bersedia menerima PM bukan Cina. Ini barulah perbandingan epal dengan epal. Sejak kemerdekaannya, Singapura telah mempunyai tiga (3) orang PM yang kesemuanya daripada etnik Cina. Dan jika diteliti rekod ucapan Lee Hsien Loong sendiri, arkib berita pada tahun 2008 ada menyatakan bahawa beliau memaklumkan Singapura tidak bersedia untuk menerima PM bukan Cina.


Apa yang gagal difahami oleh wartawan Malaymail Online adalah secara tersiratnya, pengumuman PM Singapura agar jawatan Presiden Singapura pada masa akan datang dapat diisi oleh kaum minoriti menunjukkan peluang kaum-kaum minoriti di republik berkenaan untuk memegang jawatan kanan pentadbiran negara seperti Presiden (yang perlu dimenangi menerusi undi popular di dalam Pilihanraya Presiden) menjadi semakin sukar disebabkan oleh kaum majoritinya yang terlalu dominan. Justeru itu, demi memelihara wajah 'pelbagai kaum' Singapura supaya terus kekal, jawatan Presiden yang tidak memiliki kuasa eksekutif ditawarkan kepada kaum-kaum minoriti.

Artikel Malaymail Online tersebut juga kemudian menyerang parti-parti berasaskan kaum di Malaysia terutamanya UMNO dan PAS yang dinyatakan menghadkan keahlian berdasarkan etnik. Mungkin sekali lagi penulisnya tidak sedar bahawa selaras dengan perkembangan zaman, parti-parti berasaskan Melayu seperti UMNO dan PAS telah lama membuka keahlian yang tidak lagi terhad kepada kaum Melayu semata-mata. UMNO yang kini melebarkan sayap ke Sabah telah lama membuka pintu keahliannya kepada etnik-etnik pribumi termasuk yang bukan Islam di Negeri tersebut, hinggakan beberapa orang Ahli Parlimen parti berkenaan dari Negeri Sabah bukanlah daripada etnik Melayu. Sementara PAS pula telah lama mewujudkan sayap bukan Islam di dalam parti berkenaan.

Walaupun hampir separuh parti-parti di dalam Barisan Nasional (BN) adalah berasaskan kaum, namun peluang etnik minoriti untuk memegang jawatan Ketua Eksekutif dalam pentadbiran Kerajaan Negeri adalah jauh lebih terbukti berbanding dengan parti DAP. Sebagai contoh, di Negeri Sarawak, dua (2) daripada lima (5) Ketua Menterinya merupakan etnik Melanau serta memegang rekod paling lama menjadi Ketua Menteri. Etnik Melanau hanya meliputi kira-kira hanya 5% sahaja daripada keseluruhan penduduk Sarawak dan merupakan minoriti dalam minoriti. Tetapi pernahkan perkara ini diberikan pujian oleh DAP? Sementara PAS telah lama melantik ahlinya yang berketurunan Cina sebagai salah seorang EXCO dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan. Jauh lebih terkehadapan berbanding dengan parti DAP yang langsung tidak ada melantik ahli Bumiputeranya sebagai EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Lihat juga pemilihan DAP Selangor seperti rajah di atas. Gobind Singh mendapat undi yang tertinggi, tetapi Tony Pua yang menduduki tangga ke-8 yang dilantik sebagai Pengerusi DAP Selangor. Tidak dilupakan juga seorang perwakilan DAP iaitu Shamsher Singh Thind pernah mempersoalkan kenapa Pengerusi DAP Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP menggunakan Bahasa Mandarin dan bukannya Bahasa Melayu dalam Persidangan DAP sedangkan bukan semua rakyat Malaysia memahami Bahasa Mandarin. Jadi apalah gunanya sebuah parti membuka pintu keahliannya kepada semua etnik tetapi dalam polisi pentadbirannya hanya mengutamakan satu kaum sahaja? Apa gunanya sebuah parti mengaku sebagai 'Malaysian First' tetapi di dalamnya masih tebal dengan sikap ethno-centric dan chauvinist yang lebih mengutamakan etnik daripada kepentingan negara sendiri?        





Mendiang Karpal Singh semasa hayatnya dilaporkan pernah menyatakan hasratnya akan terus berjuang untuk seorang Perdana Menteri bukan Melayu. Tetapi amat malang baru memerintah sebuah negeri pun, partinya yang mengaku sebagai mengutamakan meritokrasi dan buta warna kulit ini telah gagal memberikan peluang yang sewajarnya kepada salah seorang Timbalan Ketua Menteri (TKM) Pulau Pinang dari etnik minoriti yang telah dua penggal menjadi TKM untuk dipertimbangkan sebagai pilihan utama untuk menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang yang seterusnya. 

Mengapakah Chow Kon Yeow pula yang tiba-tiba dinamakan sebagai bakal Ketua Menteri Pulau Pinang yang seterusnya? Jika Dato' Mohd Rashid Hasnon tidak terpilih, perkara tersebut masih boleh diterima kerana walaupun beliau Timbalan Ketua Menteri, tetapi beliau bukanlah daripada parti DAP yang merupakan parti majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang. Tetapi bagaimana pula dengan Dr. P. Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri sedia ada dari DAP? Bukankah dari segi senioriti dan pengalaman, beliau jauh lebih berkelayakan? Mengapakah tiba-tiba prinsip mengutamakan meritokrasi dan buta warna kulit (colour blind) yang selama ini sibuk dilaungkan oleh DAP boleh hilang sekelip mata?        

Jadi sebelum sibuk mempersoalkan sama ada 'Is Malaysia Ready For Non-Malay PM?', mungkin lebih sesuai Malaymail Online menyiarkan artikel 'Is Penang Ready For Non-Chinese CM?'. Ada berani?



Thursday, March 24, 2016

Melayu Sebenarnya Suku Bangsa ke-3 Terbesar di Indonesia




Seperti yang pernah ditulis sebelum ini, definisi ‘Melayu’ di negara kita adalah berbeza dengan negara jiran kita iaitu Indonesia. Di negara kita, ‘Melayu’ dirujuk sebagai satu rumpun atau ras yang menghimpunkan secara bersama Melayu Jati/anak negeri (Melayu Kelantan, Melayu Kedah dan sebagainya), Melayu anak dagang (Melayu-Jawa, Melayu-Bugis dan sebagainya) serta Melayu Peranakan/kacukan (Melayu-Arab, Melayu-Mamak dan sebagainya) serta didefinisikan dengan jelas di bawah Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya di Indonesia yang dihuni oleh ratusan kumpulan etnik (atau ‘suku bangsa’ dalam Bahasa Indonesia), Melayu merupakan salah satu daripada kaum minoriti yang wujud. Jika dirujuk kepada maklumat bancian rasmi yang terdapat di dalam Sensus Penduduk Indonesia Tahun 2010, suku bangsa Melayu merupakan yang ke-10 terbesar iaitu sebagaimana yang ditunjukkan di dalam Jadual di bawah ini:


Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang menghairankan penulis apabila meneliti laporan berkenaan beberapa tahun dahulu. Perkara pertama, Melayu Palembang dan Melayu Jambi tidak lagi dikategorikan di bawah suku bangsa Melayu sebagaimana di dalam sensus tahun 2000 sebaliknya hanya disebut sebagai ‘Palembang’ dan ‘Jambi’ sahaja dan masing-masing diletakkan di bawah kumpulan ‘Suku Asal Sumatera Selatan’ dan ‘Suku Asal Jambi’ bersama-sama etnik minoriti lain yang terdapat di kedua-dua provinsi berkenaan.


Begitu jugal halnya kepada Melayu Musi Sekayu, Melayu Bangka, Melayu Belitong, Melayu Enim dan Melayu Pegagan yang sebelum ini ada disebut di dalam Sensus Tahun 2000 tetapi tidak lagi dinyatakan sebagai Melayu di dalam Sensus Tahun 2010.

Perkara yang paling melucukan adalah apabila Melayu Kalimantan/Borneo diletakkan di bawah kumpulan Dayak dan bukannya Melayu. Dapat dilihat di bawah ini apabila Melayu Pontianak dan Melayu Sambas dinyatakan sebagai ‘Dayak Melayu Pontianak’ dan ‘Dayak Melayu Sambas’ bersama-sama dengan ratusan sub-etnik Dayak yang lain walaupun mereka bukannya kaum Dayak.   

 
Walau bagaimanapun, penulis akhirnya berjaya menemui kajian yang telah dibuat oleh sarjana-sarjana Indonesia sendiri yang telah meneliti laporan Sensus Penduduk Indonesia bagi tahun 2000 dan 2010. Berdasarkan kepada analisis data yang telah dibuat, mereka menyimpulkan bahawa etnik Melayu yang termasuk juga sub-etnik di bawahnya sebenarnya merupakan suku bangsa ketiga terbesar di Indonesia iaitu selepas kaum Jawa dan kaum Sunda.


Jika etnik Minangkabau diasingkan daripada etnik Melayu di dalam sensus berkenaan, perkara tersebut masih boleh difahami walaupun Minangkabau juga sebenarnya merupakan salah satu sub-etnik Melayu. Tetapi rasanya tidak sesuai pula apabila sub-etnik Melayu yang lain seperti Melayu Palembang, Melayu Jambi, Melayu Pontianak dan sebagainya dikeluarkan daripada kategori Melayu. Adalah menjadi satu kebiasaan untuk orang Melayu memperkenalkan diri mengikut nama negerinya. Sebagai contoh, ‘saya orang Kelantan’, ‘saya orang Terengganu’, dan sebagainya. Pengenalan ini walau bagaimanapun lebih sesuai dirujuk sebagai sub-etnik kerana mereka masih lagi berbangsa Melayu.      
 
Selain daripada itu, etnik-etnik pribumi beragama Islam di Sumatera dan Kalimantan yang bertutur dalam Bahasa Melayu mengikut dialek daerah/wilayah masing-masing juga masih boleh dikategorikan sebagai ‘Melayu’. Contohnya, Melayu Sanggau, Melayu Berau, dan sebagainya. Bukankah beragama Islam dan bertutur dalam Bahasa Melayu merupakan dua petunjuk utama kepada identiti bangsa Melayu?


Jika suku bangsa Batak yang meliputi kesemua lapan (8) sub-etnik boleh diletakkan di bawah satu kategori kumpulan yang sama iaitu ‘Batak’ hingga dinyatakan sebagai suku bangsa ke-3 terbesar dalam laporan rasmi Sensus Penduduk Indonesia 2010, mengapa pula suku bangsa Melayu tidak boleh diletakkan sekelompok secara bersama? Mungkin boleh dipertimbangkan agar bagi sensus yang akan datang, dua (2) kumpulan utama suku bangsa Melayu di Indonesia diletakkan di dalam sensus berkenaan iaitu Melayu Pesisir (coastal Malay) bagi etnik-etnik Melayu yang terdapat di Sumatera dan Melayu Kalimantan (Bornean Malay) bagi etnik-etnik Melayu yang terdapat di Kalimantan. Kedua-dua istilah ini adalah lebih tepat dan sesuai untuk digunakan.


Bibliografi :

1.         Sensus Penduduk Indonesia Tahun 2010

2.      Aris Ananta, Evi Nurvidya Arifin, M Sairi Hasbullah, Nur Budi Handayani, Agus Pramono (2015) Demography of Indonesia's Ethnicity, ISEAS

3.     Leo Suryadinata, Evi Nurvidya Arifin, Aris Ananta (2003) Indonesia's Population: Ethnicity and Religion in a Changing Political Landscape, ISEAS