Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Thursday, December 31, 2009

Melayu, Bangsa Paling Bertolak Ansur di Dunia

Mungkin tajuk di atas dianggap agak melampau oleh sesetengah pihak. Tetapi itulah hakikatnya. Dengan mengambil kira situasi di mana puak-puak chauvinist tak henti-henti mempertikaikan hak keistimewaan Bumiputera di bumi Malaysia ini, penulis memutuskan untuk menyiarkan semula jawapan hampir 40 tahun dahulu daripada dua orang mantan pemimpin komuniti Cina dan India di negara kita yang bersikap rasional mengenai sejarah dan realiti masyarakat di Malaysia.





Mantan Presiden MCA, Tun Tan Siew Sin, pada 30 April 1969 dilaporkan dalam akhbar tempatan bertajuk ‘Tun Tan Answers Critics On Special Previleges’, berkata :

”The Malays, through UMNO, were generous enough to relax the citizenship laws of this country to such extent that within 12 months of independence, 90 percent were still non-citizens after nearly 100 years of colonial rule in the Malay States. In return for this major concession. the MCA and the MIC agreed to continue the policy of preserving the special position of the Malays while at the same time upholding the legitimate interest of other communities."

Alih bahasa :

”Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu telah menjadi warganegara. Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah. Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain.”







Mantan Presiden MIC, merangkap mantan Menteri Kerja Raya, Pos dan Telekom, Tun V.T. Sambanthan pula telah menyatakan di Dewan Rakyat pada 1 Jun 1965 :


"Now, in 1955 we won the elections with a great majority. Then we obtained freedom in two years time. During this period, we had to discuss citizenship and various other things. Now what did the Malays do - since we are speaking on racial lines - what did the Malay leadership do? The had 88 percent of the electorate still with them. What did they do with citizenship? If we look around in Asia and East Asia, particularly, you will find that my race the Indian race, is not welcomed in Ceylon, is not welcomed in Burma. Look at my brother Chinese race, it is not welcomed in Thailand, in Vietnam, in Cambodia, in all the other areas. What help do they get for citizenship in all these territories? In Burma, as we know, Indian have been send packing, in Ceylon they refused them citizenship and in Burma it is likewise. I know it, you know it.


And yet in Malaya what happened? Here we found that the Malay leadership said, "We shall take them unto ourselves as brothers, we shall give them full opportunity to live in this country, we shall give them every opportunity to become citizens." And so, in 1957, for the whole year, we waived language qualifications, and tens of thousand of Indians, Chinese, Ceylonese and others became citizens.As I said, it has been my great good fortune to have born in this country. Where else can you find a more charitable, a more polite, a more decent race than Malay race? Where else can you get such politically decent treatment for any immigrant race? Where else in the history of the world? I ask you. These are the facts. Who are you to safeguards us? I am 10 percent minority race here. But I am happy here."

Alih bahasa :

“Pada tahun 1955 kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi, selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian. Dalam jangka masa itu kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan. Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh Orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman? Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu? Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka. Apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan? Jika kita lihat di serata negara Asia dan Asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan juga tidak diterima di Burma. Dam lihat saudara kita kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain. Dan apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka perolehi di semua wilayah tersebut? Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon mereka tidak diberikan taraf warganegara seperti juga di Burma. saya tahu dan anda juga tahu.


Dan dalam pada itu apa yang sedang berlaku di Malaya? Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata, "Kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan lehidupan di negara ini, kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warganegara." Dan seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu) ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warganegara. Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan-santun dan tertib selain dari Bangsa Melayu. Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami? Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira di sini."

Sumber : Tan Sri Khalid Awang Osman, Malaysia - An Anthology, Vantage Press, New York, hal. 60


Adakah kedua-dua pernyataan di atas hanyalah mereka-reka fakta? Tidak mahu terima? Lihatlah apa yang terjadi di Sri Lanka. Peperangan selama puluhan tahun akibat permusuhan antara etnik Sinhala dan Tamil baru sahaja tamat baru-baru ini. Penduduk berketurunan Rohingya (India) pula sampai ke hari ini menjadi manusia tanpa negara gara-gara tidak diiktiraf oleh Pemerintah Myanmar. Jika kita lihat di Thailand dan Indonesia pula, rakyat mereka yang berketurunan Cina telah dipaksa berasimilasi menjadi penduduk tempatan. Disebabkan itulah, nama dan bahasa mereka berubah sama sekali menjadi sama seperti penduduk tempatan. Sebagai contoh, Sondhi Limthongkul di Thailand atau Alan Budikusuma dan Ardi Wiranata di Indonesia. Pernahkah kaum Cina dan India di negara kita dipaksa menukar nama kepada yang berunsur keMelayuan atau keMalaysiaan? Atau dipaksa bertutur dalam Bahasa Melayu semata-mata. Sebaliknya, Sekolah Jenis Kebangsaan yang jelas berunsur perkauman dan menyukarkan kepada integrasi nasional itulah yang sibuk dipertahankannya.









Kita bandingkan pula bagaimana keadaannya di Republik Rakyat China. Bukan kaum pendatang sahaja, tetapi pribumi asal pun seolah-olah merempat di bumi sendiri. Bukan pribumi yang beragama Islam seperti Uighur sahaja yang ditindas, pribumi Buddha seperti Tibet pun tidak terlepas. Kita lihat pula bagaimana sebuah parti yang dahulunya sibuk memperjuangkan kesaksamaan dan kesamarataan kerana mendakwa orang lain sebagai penindas dan tidak adil, kini telah mendapat sebuah negara dan memerintah secara kuku besi. Kita lihat senarai Kabinet Republik Singapura, Presidennya berketurunan India, Perdana Menterinya berketurunan Cina, Menteri Pembimbing (Mentor) berketurunan Cina, 2 Menteri Kanan berketurunan Cina dan India, 2 Timbalan Perdana Menteri kedua-duanya berketurunan Cina. Dan daripada keseluruhan 15 orang Menteri, hanya seorang sahaja berketurunan Melayu (buat cukup syarat, nanti nampak tak adil dan perkauman pula. Diberikan portfolio yang tak berapa penting).







Sekadar renungan, cuba fikirkan sebaliknya jika ianya berlaku di Malaysia dan melibatkan masyarakat Melayu...

Wednesday, November 18, 2009

Zainal Al-Johan Gigih Kumpul Artifak Melayu

Diolah semula daripada laporan asal oleh wartawan Mohd. Shukri Mohd. Ariff dalam Dewan Masyarakat keluaran November 2009

Tentu pelik pada zaman moden ini melihat seseorang berpakaian seperti pahlawan Melayu dahulukala. Siap dengan lilitan pontoh dan keris panjang tersisip di pinggang. Insan unik ini boleh dijumpai di Kampung Tanjung Sena Hulu, Rembau, Negeri Sembilan. Empunya diri bernama Zainal Al-Johan. Insan ini bukanlah calang-calang orang. Beliau merupakan cucu kepada Dato’ Putih Haji Mohd Yusof bin Abdul Hamid, pembantu khas Dato’ Abdullah Haji Dahan (Undang Luak Rembau). Beliau pernah menuntut di Akademi Marin di California, Amerika Syarikat dan pernah berkhidmat sebagai Komandan Kem Tentera di Kubang Pasu, ketika era Tun. Dr. Mahathir Mohamad masih menjadi Perdana Menteri.

Menariknya, Zainal ini sering membawa Keris Tempa Melaka yang pernah digunakan oleh Hang Tuah ke mana-mana sahaja. Keris Tempa Melaka ini merupakan keris kedua Hang Tuah selepas Keris Taming Sari. Keris ini dibuat daripada 21 jenis besi dan mempunyai 21 lok merupakan hadiah Sultan Melaka kepada Hang Tuah dan kini berusia hampir 600 tahun.

Zainal Al-Johan merupakan seorang pengumpul artifak Melayu. Minat tersebut mula timbul selepas bertemu dengan rakannya, Allahyarham Prof. Norhalim Haji Ibrahim, pengkaji sejarah, bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia dan bekas kurator Muzium Adat Negeri Sembilan yang mengeluh kerana hanya mampu menulis berkenaan dengan sejarah kegemilangan tamadun Melayu Melaka tanpa mempunyai artifak bagi membuktikan kebenaran faktanya.

Keluhan tersebut memberikan kesan yang mendalam kepada Zainal. Beliau mula berbincang dengan beberapa orang rakannya dan kemudiannya tertubuhlah Teraju Istiadat Sdn. Bhd. yang beribu pejabat di Rembau. Syarikat ini tidak bermotifkan keuntungan tetapi mengkhususkan kepada aktiviti carigali dan mengumpulkan artifak Melayu. Kos operasi bagi carigali yang menjangkau ratusan ribu ringgit diperuntukkan oleh Ahli Lembaga Pengarah Teraju Istiadat sendiri.
Teraju Istiadat mendapat kerjasama yang cukup baik daripada Muzium Adat Negeri Sembilan dan Muzium Negeri. Setiap aktiviti carigali yang dilaksanakan hanya dijalankan selepas mendapat kelulusan dan permit daripada pihak muzium. Dan setakat ini, Teraju Istiadat dibenarkan untuk menyimpan artifak yang dijumpai.


Usaha untuk mendapatkan artifak Melayu yang hampir pupus ini bukanlah mudah. Teraju Istiadat terpaksa melibatkan ramai tenaga pakar daripada pelbagai agensi dan melibatkan dua kaedah proses pencarian iaitu kaedah saintifik dan kaedah spiritual. Kebanyakan artifak yang ditemui berada di dasar laut dengan kedalaman melebihi 100 meter. Gabungan kaedah saintifik dan spiritual ini menghasilkan kejayaan hampir 100 peratus.

Maklumat mengenai sesuatu artifak biasanya disampaikan oleh informan di seluruh Malaysia dan akan diteliti dengan terperinci oleh pihak Teraju Istiadat sebelum memulakan kerja pencarian. Informan kemudian akan dibayar mengikut harga artifak yang ditemui. Semua artifak ini disimpan di rumah ibu Zainal di Rembau.






Teraju Istiadat kini sudah menyimpan hampir 200 buah artifak Melayu. Antaranya adalah sekeping dinar emas zaman Parameswara, yang harga pasaran semasanya 25 juta Euro (RM126 juta), dan cawan Puteri Hang Li Po yang dihadiahkan kepada Sultan Melaka, harga pasarannya tidak kurang 5 juta Euro (RM25 juta).




Banyak koleksi artifak yang ditemui menggambarkan tamadun Melayu pada masa dahulu, sama ada dari sudut teknologi, sistem pemerintahan, pembangunan bandar dan sebagainya. Namun, Zainal percaya artifak yang telah beliau temui hanya menggambarkan sebahagian kecil keagungan tamadun Melayu silam yang kebanyakannya masih belum ditemui.

Sebagai contoh, keris Tempa Melaka yang digunakan oleh Zainal. Menurut beliau, antara senjata tradisi dunia yang dianggap terhebat pernah dicipta ialah Pedang Samurai yang digunakan pada era kegemilangan Shogun Tokugawa di Jepun. Pedang Samurai terhebat pernah dicipta menggunakan 12 jenis besi. Tetapi, beberapa pengkaji Jepun yang meneliti keris Tempa Melaka yang dicipta oleh seorang Melayu bernama Sang Guna terperanjat apabila mendapati ia dicipta menggunakan lebih 21 jenis besi.


Begitu juga dengan manusia pertama yang belayar mengelilingi dunia iaitu Panglima Awang pada era 1400-1500. Beliau tidak menggunakan kompas sebaliknya menggunakan Cakera Alam yang menggunakan lima buah cakera yang bukan sahaja mampu memberikan petunjuk arah, malahan juga maklumat bintang, tiupan angin, pasang surut air, dan pelbagai lagi.

Selain, itu, kita pada hari ini kagum dengan penciptaan mancis oleh orang Eropah. Namun sebenarnya, sudah lebih 600 tahun orang Melayu mencipta pemetik api yang sistemnya hampir sama dengan pemetik api moden dari segi saiz dan kegunaan. Pemetik api purba ini dibuat daripada tanduk dan bahan bakarnya pula menggunakan ”selubuk”, sejenis serbuk berwarna putih yang diperolehi daripada pohon Enau. Selubuk ini bertindak seperti kerosin dan apabila dimasukkan ke dalam pemetik api dan diketuk, akan mengeluarkan api berwarna biru.

Zainal Al-Johan juga menunjukkan kunci mangga yang dicipta oleh orang Portugis kira-kira 600 tahun dahulu. Kunci mangga ini sama seperti kunci mangga pada masa sekarang. Tetapi Zainal turut menunjukkan kunci mangga yang dicipta orang Melayu kira-kira 2000 tahun dahulu, tiga kali ganda lebih tua daripada kunci mangga ciptaan orang Portugis. Kunci mangga ini seperti kunci mangga sekarang dan menggunakan besi tembaga. Uniknya, lubang kunci berbentuk ”I”, manakala keratan rentas anak kuncinya berbentuk ”T”. Mengikut logik akal, mustahil anak kunci ini boleh dimasukkan ke dalam lubang mangganya. Tetapi orang Melayu pada 2000 tahun dahulu sudah berfikir menggunakan hukum fizik bagi membolehkan kunci mangga ini dibuka dengan mudah.

Alatan muzik tradisional Melayu juga cukup mengagumkan. Misalnya, sebuah alat muzik yang dikenali sebagai ”Tangtuang” diperbuat daripada tanduk kerbau dan berbentuk seperti trompet digunakan untuk berburu dan memulakan peperangan. Yang menariknya, bahagian dalamnya kosong tanpa ada apa-apa elemen yang boleh membantunya mengeluarkan bunyi. Wartawan ini cuba meniupnya dan sehingga berubah muka menjadi merah pun, tiada bunyi yang terhasil. Zainal menjelaskan cara meniupnya menggunakan pengetahuan prinsip bunyi dalam sains iaitu getaran, dengungan dan ruang (rekabentuk). Apabila beliau menggunakan tiga elemen tersebut ketika meniupnya, Tangtuang mengeluarkan bunyi yang sangat kuat dan menggerunkan, sama seperti bunyi serombong kapal!


Rata-rata usia artifak yang disimpan oleh Zainal menjangkau usia ratusan tahun. Namun, kebijaksanaan dan pengetahuan orang Melayu yang menciptanya amat mengagumkan. Secara logik, amat mustahil satu bangsa yang dilabelkan oleh penjajah sebagai pemalas, tidak inovatif, dan kolot, mampu mencipta artifak sehebat itu.


Menurut Zainal, pihaknya berhasrat untuk mendirikan sebuah kompleks Melayu di Kompleks Kristal, Rembau, untuk mempamerkan artifak pupus yang telah dikumpulkan. Kompleks ini diterajui sendiri oleh Teraju Istiadat dan Persatuan Sejarah Malaysia (Kawasan Rembau) serta mendapat sokongan Yayasan Negeri Sembilan.

Tuesday, November 10, 2009

Cerita Lama : Filem Queen of Langkasuka dan Drama Raja Kuning dari Thailand

Queen of Langkasuka merupakan sebuah filem bajet tinggi dari Thailand yang telah ditayangkan pada tahun 2008. Filem ini asalnya berjudul Queen of Pattani, tetapi telah diubah judulnya akibat daripada kekacauan yang berlaku di kawasan selatan Thai (kebetulan merupakan bekas wilayah Kesultanan Patani) pada masa tersebut.



Filem ini menarik perhatian penonton di negara kita kerana ia memaparkan salah satu daripada lipatan penting dalam sejarah Melayu. Mengapakah pihak Thailand yang berbudaya Thai pula yang sibuk hendak menerbitkan filem mengenai sejarah Melayu? Inilah yang perlu kita renungkan bersama, kerana jawapannya ada pada kita.















Adegan perkahwinan Putera Pahang dengan Raja Ungu Patani






Selama ini, di sekolah, subjek Sejarah yang diajar hanya dalam ruang lingkup sempadan wilayah Malaysia yang ada pada hari ini. Justeru itu, kita hanya menumpukan kepada sejarah keagungan Kerajaan Melaka semata-mata dan tidak mengambil berat mengenai keagungan sejarah Kerajaan-kerajaan Melayu lainnya yang terlebih dahulu wujud kerana kebanyakannya kini terletak dalam sempadan wilayah negara Thailand. Justeru itu, tidak hairanlah tidak ramai yang mengambil tahu mengenai sejarah Patani kerana dianggap sebagai sejarah Thailand, walhal ianya adalah sebahagian daripada sejarah Melayu, sejarah kita! Maka jadilah filem Queen of Langkasuka ini filem berbudaya Melayu yang berbahasa Thai! Disebabkan terlalu fokus kepada sejarah Melaka lah, ramai orang Melayu tidak dapat menjawab apabila dituduh sebagai pendatang di Tanah Melayu, disebabkan versi sejarah penjajah menyatakan Parameswa Hindu datang dari Sumatera. Seolah-olah Tanah Melayu ini asalnya tidak berpenghuni dan hanya diduduki beramai-ramai selepas kedatangan Parameswara. Sedangkan realitinya, beratus-ratus atau mungkin ribuan tahun sebelumnya, telah wujud Kerajaan Melayu seperti Srivijaya dan Kedah Tua di tanah semenanjung.




Berbalik kepada filem Queen of Langkasuka, filem ini tidaklah boleh dijadikan sebagai rujukan utama sejarah kerana fakta yang dikemukakan bercampur baur dengan maklumat yang tidak diketahui (mungkin fantasi). Sebagai contoh, watak pahlawan seperti Lord Jarang dan Pari (diambil daripada nama ikan) tidak ada dinyatakan dalam hikayat sejarah kita. Malah, filem ini asalnya didasari daripada fakta mengenai penciptaan meriam gergasi oleh Raja Perempuan Patani dalam perang saudara dengan Kerajaan Siam yang berpusat di Ayuthia pada masa tersebut, tetapi diubah kepada Langkasuka menentang lanun-lanun yang bekerjasama dengan seorang putera yang memberontak. Sebabnya? Sudah tentu produser filem ini tidak mahu filemnya dilihat menjadi inspirasi kepada pejuang Melayu di kawasan selatan Siam untuk bangun menentang pemerintahan pusat di Bangkok.





Watak Sultan Sulaiman dari Singgora (kini Songkla) turut dipaparkan secara sepintas lalu. Sultan Sulaiman adalah Raja Bersiong.

Perkara lain yang turut menarik perhatian dalam filem ini adalah apabila ia menggambarkan kebesaran tamadun dan teknologi orang Melayu. Gambaran mengenai Kota Langkasuka, penggunaan senjata pistol oleh Putera Negeri Pahang, pemakaian baju besi serta penggunaan meriam ketika perang cukup menarik untuk difikirkan bersama. Menurut Prof Datuk Dr Siti Hawa Salleh dalam "Forum Sejarah Realiti Kedah" yang telah diadakan pada 13 September 2006 yang lalu, masih terdapat banyak lagi manuskrip bertulisan jawi tersimpan di dalam bilik kebal Raja Thailand hari ini, dan pembuat filem sejarah Thailand perlu merujuk kepada mereka terlebih dahulu supaya jalan cerita sejarah bersamaan dengan kehendak mereka. Adakah masyarakat Melayu pada masa dahulu telah mencapai tingkat teknologi yang tinggi tetapi tidak diketahui oleh kita kerana bahan-bahan sejarah telah disembunyikan dan digelapkan? Benarkah persepsi umum yang mengatakan tentera-tentera Kerajaan Melayu pada masa dulu hanya berkeris dan bertombak sahaja ketika berperang? Atau apakah yang dipaparkan dalam filem tersebut hanyalah semata-mata imaginasi pengarahnya? Terpulang kepada persepsi pembaca untuk menilainya.
















Apa pun, pembikinan cerita berbudaya Melayu di Thailand tidak terhenti selepas filem Queen of Langkasuka. Sebaliknya turut terbit drama mengenai Raja Kuning yang dilakonkan oleh Nikallaya Abdul Dulaya, seorang Melayu yang juga mantan Ratu Thailand/Dunia 2004 yang berasal dari wilayah Jala (Yala), selatan Siam. Walaubagaimanapun, drama ini tidak disiarkan di stesen televisyen negara kita. Adakah selepas ini, sejarah dan budaya Melayu Patani akan kekal dirampas dan menjadi milik Thailand?




Friday, October 30, 2009

Siapa Sebenarnya Yang Mula-mula Menduduki Pulau Pinang? -Siri 1-

Mutakhir ini, terdapat usaha untuk menidakkan fakta sejarah bahawa Pulau Pinang atau nama asalnya Pulau Kesatu bukanlah pulau kosong semasa 'dijumpai' oleh Francis Light, sebaliknya telah lama didiami oleh orang-orang Melayu sebelum itu. Fakta palsu yang mengatakan bahawa penempatan asal di Pulau Pinang terdiri daripada orang-orang British serta pendatang dari tanah Besar China amat-amat disokong khususnya oleh para chauvinist bagi meneruskan 'Ketuanan Cina' di pulau tersebut, terutamanya setelah timbul cadangan supaya jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang digilirkan antara kaum-kaum tempatan. Idea untuk menunjukkan bahawa sesebuah kawasan di semenanjung dijumpai oleh British dan kaum-kaum lain termasuk Melayu sebagai pendatang sebenarnya berasal daripada Pemerintah Moden Singapura. Dilema Singapura yang merupakan 'sebuah pulau cina ditengah-tengah kepulauan Melayu' sebagaimana diakui oleh Lee Kuan Yew telah memaksa mereka merombak (atau mengubah?) pelajaran sejarah Singapura di sekolah-sekolah dengan mengatakan bahawa Singapura dijumpai dan dibuka oleh pihak British melalui Stamford Raffless, sementara kaum Cina, Melayu dan India di pulau tersebut semuanya adalah pendatang dari tanah besar masing-masing.

Walaubagaimanapun, penulisan ini bukannya mahu menceritakan mengenai Singapura (mungkin di lain waktu), sebaliknya mengenai pembukaan Pulau Pinang menerusi 2 sumber, yang mungkin tidak akan dipaparkan di media-media massa atas sebab-sebab tertentu. Maklumat alternatif ini tidak boleh dibiarkan untuk disimpan begitu sahaja, sebaliknya perlu dikemukakan supaya masyarakat umum dapat berfikir dan membuat kajian serta penyelidikan sendiri untuk mengesahkan kesahihan fakta-fakta ini yang mungkin telah digelapkan dengan sengaja oleh pihak-pihak yang berkepentingan.




1) Pembukaan Oleh Pembesar Dari Sumatera

Penulisan bagi siri pertama ini akan memfokuskan terlebih dahulu kepada beberapa sumber yang menyatakan bahawa Pulau Pinang telah dibuka oleh beberapa pembesar yang berhijrah dari Sumatera.

Daripada catatan seorang pengembara Inggeris, James Lancaster, menyatakan Pulau Pinang sebelum tahun 1591 didapati tidak berpenghuni, dipenuhi pokok Pinang dan hanya sesekali sahaja dikunjungi anak raja dari Kedah untuk berkelah dan bermain.

Menurut Profesor Dr. Ahmad Murad Merican, seorang pensyarah dari Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Petronas, yang telah mengkaji sejarah pembukaan Pulau Pinang sejak akhir tahun 1990-an lagi, berkata seawal abad ke-18 beberapa kawasan di Pulau Pinang, termasuk Batu Uban dan Gelugor sudah diduduki orang Melayu. Katanya, pada awal 1700, Batu Uban dibuka sekumpulan orang Melayu berasal dari Pagar Ruyong, Sumatera diketuai Mohamad Salleh atau lebih dikenali sebagai Nakhoda Intan, manakala di Gelugor pula kawasan seluas kira-kira 40 hektar diterokai Dato’ Jenatun ibni Raja Labu serta pengikutnya yang juga berasal dari Pagar Ruyong sejak tahun 1749. Beliau berkata, tanah seluas kira-kira 40 hektar yang diterokai Dato’ Janatun di Gelugor itu adalah pemberian Sultan Kedah ketika itu, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Shah ll. Bagi menghargai kurniaan Sultan Kedah itu, Dato’ Janatun menghadiahkan pula kepada baginda 10 buah naskah al-Quran bertulisan tangan yang dibawa dari Pagar Ruyong.

Dalam Journal Malayan Branch Royal Asiatic Society (Jambras) Jilid 7 keluaran 1929, ada catatan mengenai orang Melayu yang sudah membuka ribuan hektar tanah di Jelutong, Batu Lancang, Sungai Gelugor, Batu Uban, Sungai Dua dan Sungai Nibong sebagai tempat kediaman serta kawasan pertanian lama sebelum Francis Light tiba.Daripada hasil kajiannya, orang Melayu yang tinggal di Pulau Pinang sebelum tahun 1786 sudah membentuk institusi sosial yang lengkap dan mempunyai ketua serta golongan ulama yang bertindak sebagai pemimpin agama serta kerohanian yang berpusat di masjid.

Dengan bukti-bukti sejarah seperti buku, artikel dan salasilah, Ahmad Murad memberitahu, Dato’ Jenaton berasal dari Pagar Ruyung di Sumatera, Indonesia, sebelum beliau berpindah pula ke Batu Bara yang juga terletak di Sumatera. Menurutnya, pasangan Dato’ Jenaton dengan isteri pertamanya, Ambun Suri dari Pagar Ruyung tidak dikurniakan anak. Apabila beliau berhijrah ke Baru Bara, Dato’ Jenaton berkahwin pula dengan Tuan Gadih atau Cik Puang, anak pembesar di sana dan dikurniakan seorang anak. Selepas berhijrah dan membuka Pulau Pinang pada tahun 1749, Dato' Jenaton melalui perkahwinan ketiganya dengan seorang wanita berketurunan Arab-China, dikurniakan dengan empat orang cahaya mata.Namun, satu perkara yang dikesalkan Ahmad Murad dan seorang lagi pengkaji sejarah Pulau Pinang serta salasilah Dato’ Jenaton, Fazil Shuhaimi Talib, nama isteri ketiga individu yang membuka Pulau Pinang seperti didakwa mereka itu sehingga kini masih belum ditemui. Namun beliau akan terus mengkaji dan mendapatkan nama isteri ketiga Dato Jenaton itu kerana beliau merupakan asal-usul keturunan Dato’ Jenaton di Malaysia, termasuklah Ahmad Murad dan Fazil sendiri yang merupakan sepupu merangkap waris generasi ke enam Dato' Jenaton.

Pada tahun 2002, sebuah persatuan tidak berdaftar yang dinamakan Jawatankuasa Keluarga Dato' Jenaton telah ditubuhkan. Salasilah keluarga ini juga mencatat beberapa nama besar waris Dato’ Jenaton seperti Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique; Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail; dan Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh. Rozali merupakan pengerusi jawatankuasa keluarga itu, sementara presidennya pula ialah Rahmah Abdul Aziz. Ahmad Murad serta Fazil merupakan Ahli Jawatankuasa persatuan berkenaan.

Pada bulan November 2008 yang lalu, seramai 30 orang daripada kira-kira 500 ahli persatuan itu di Malaysia telah ke Batu Bara untuk berjumpa dan bermesra dengan waris Dato’ Jenaton di sana. Waris-waris Dato’ Jenaton dari Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur itu juga berkesempatan melawat pusara, bangunan serta tinggalan yang mempunyai kaitan dengan individu itu atau warisnya. Di sana, perancangan perjalanan program lawatan mendapat kerjasama sepenuhnya dengan wakil keluarga Dato’ Jenaton sebelah Indonesia, iaitu Bapak M. Yusuf Morna atau dikenali dengan panggilan Buyung. Fazil dan Buyung bertemu di Kampung Medan, Petaling Jaya, Selangor secara serius pada tahun 2005 selepas Fazil beberapa kali melawat Sumatera untuk mencari waris Dato’ Jenaton di sana.“Setelah kami diperkenalkan melalui seorang kawan, saya dengan Fazil pada awalnya bertengkar membincangkan identiti Dato’ Jenaton. Ini kerana kajian kami (waris Jenaton di Indonesia) mendapati individu yang dimaksudkan bernama Jenan dan bukannya Jenaton seperti didakwa Fazil. Namun kami akhirnya sepakat bahawa individu yang dicari adalah orang yang sama,” jelas Buyung.

Sewaktu rombongan keluarga Dato' Jenaton dari Malaysia melawat ke Batu Bara, Medan, Indonesia, kumpulan ini turut disambut serta dipertemukan dengan Bupati (Pegawai Daerah) Batu Bara, Orang Kaya Arya Zulkarnain dan Ahli Parlimennya, Drs. Syarkowi Hamid. Menariknya, kedua-dua pembesar daerah yang terletak kira-kira 150 kilometer dari ibu negeri Sumatera Utara, Medan itu juga mendakwa mereka merupakan keturunan Dato' Jenaton di Indonesia."Berdasarkan salasilah, catatan dan bukti lain yang dikemukakan, saya isytihar dan akui keluarga Dato' Jenaton dari Indonesia dan Malaysia adalah daripada 'moyang' yang sama. Saya juga percaya melalui perbualan dengan Prof. Murad, Jenaton yang dahulu tiba dan membuka Pulau Pinang," ujar Arya. Menurutnya lagi, penemuan bukti sejarah itu diharap dapat mengeratkan hubungan Malaysia dan Indonesia amnya.

Bagi Ahmad Murad dan Fazil serta seluruh waris Jenaton di sini, sejarah Pulau Pinang yang menyebut ia dibuka oleh Francis Light adalah tidak benar serta memperkecilkan peranan kaum Melayu Nusantara dalam pemerintahan kerajaan tradisional dan moden. Justeru itu, Ahmad Murad meminta kerajaan membantu menyediakan dana untuk kerja-kerja mengumpulkan bukti serta hal berkaitan. Katanya, bukti kukuh mengenai pembukaan Pulau Pinang oleh Dato' Jenaton ialah pusara individu tersebut bersama adiknya, Setia yang terletak di Persiaran Minden 1, Pulau Pinang iaitu di belakang premis Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau mendakwa, kubur luas itu menandakan Dato' Jenaton sebagai seorang pembesar di situ pada masa lalu serta disemadikan di tanah yang dianugerahkan kepadanya oleh Sultan Kedah dahulu."Kini, sejarah pembukaan Pulau Pinang perlu diubah dengan menyebut pembuka asal pulau iaitu Dato' Jenaton sebelum kedatangan Light. Ini penting kerana kebelakangan ini beberapa pihak yang tidak memahami dan malas mengkaji sejarah mengatakan orang Melayu juga adalah pendatang di negara ini. Ini yang perlu diperbetul," katanya. Ketibaan Francis Light sendiri yang mendarat di Tanjung Penaga (sekarang Kota Cornwallis) pada 11 Ogos 1786 telah disambut oleh pengikut Datuk Jannaton. Buktinya, sebelum Francis Light sampai, telah terdapat petempatan Melayu dan kubur lama di sekitar Batu Uban.






Bagaimanapun, menurut seorang pensyarah lain dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mahani Musa, yang telah menjalankan kajian sejarah Pulau Pinang sejak tiga tahun lalu menemui satu jurnal karangan seorang pengkaji Inggeris yang ditulis pada tahun 1795, Menurut catatan jurnal tersebut, Pulau Pinang telah dibuka olah seorang ilmuan Islam dari Acheh bergelar Dato' Keramat pada 1705 dan membuka perkampungan Melayu di Datuk Keramat yang diambil sempena nama ilmuan Aceh tersebut. Malah catatan Francis Light sendiri menyatakan bahawa selepas empat hari beliau mendarat di Pulau Pinang, terdapat 30 penduduk Melayu yang memanggil tempat ini sebagai Tanjung Penaga. Menurut Dr. Mahani, kajian secara terperinci perlu dilakukan bagi memperbetulkan tanggapan umum setelah ada penyelidik sejarah berjaya membuktikan bahawa Pulau Pinang sudah pun diterokai oleh orang Melayu sebelum kedatangan Francis Light.

Kesimpulan

Penerangan daripada kedua-dua sumber tersebut jelas menunjukkan bahawa orang Melayu memang telah lama membuka dan menduduki Pulau Pinang sebelum kehadiran Francis Light. Adalah satu penghinaan apabila mengatakan Pulau Pinang dibuka oleh pihak British seolah-olah orang Melayu di tanah besar Semenanjung tidak menyedari kewujudan pulau tersebut, sedangkan sejak zaman Srivijaya lagi, pelaut Melayu telah belayar hingga ke pantai timur Afrika dan menjumpai Pulau Madagaskar (hingga kini keturunan mereka masih ada di sana dan dikenali sebagai orang Merina), tetapi logikkah sebuah pulau yang terbentang di hadapan mata tidak disedari atau diterokai?

Selepas kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957, Pulau Pinang sebagai salah satu wilayah Negeri Selat, tidak seperti Dinding yang dipulangkan semula kepada Negeri Perak, diberikan status sebagai sebuah negeri tersendiri, biarpun masyarakat Melayu tidak lagi menjadi kaum majoriti di pulau tersebut. Ada pendapat yang mengatakan Pulau Pinang dibiarkan menjadi sebuah negeri yang tersendiri atas pertimbangan Perdana Menteri ketika itu, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, atas sebab komposisi penduduk Pulau Pinang yang lebih ramai bukan Bumiputera, dibimbangi akan menjejaskan keseimbangan penduduk di Negeri Kedah. Adakah Pulau Pinang akan dipulangkan kembali menjadi sebahagian daripada wilayah Negeri Kedah Darul Aman pada masa hadapan? Hanya masa sahaja yang akan menentukannya.




Sumber :

1) Berita Harian, 8 Ogos 2007
2) Utusan Malaysia, 26 Disember 2008

Monday, October 26, 2009

Sokong Kemerdekaan / Autonomi Kepada Patani Darul Makrif

Sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-15 yang diadakan di Hua Hin, Thailand, pada 26 Oktober 2009, Perdana Menteri kita, Y.A.B. Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak ketika ditemuramah oleh akhbar berbahasa Inggeris, Nation dan Bangkok Post, menyatakan tuntutan kemerdekaan oleh kumpulan pemisah di kawasan selatan Thailand adalah tidak wajar. Namun begitu, Thailand seharusnya menawarkan tahap tertentu autonomi kepada wilayah yang majoritinya didiami oleh orang Islam. Perdana Menteri berkata, tuntutan bagi mendapatkan kemerdekaan atau pemisahan tidak boleh diterima sama sekali.

Perdana Menteri berkata, beberapa bentuk autonomi tertentu boleh menjadi penyelesaian bagi menamatkan keganasan dan kerajaan Thailand boleh menawarkan kebebasan tertentu bagi penduduk di kawasan itu yang dirasakan amat penting buat penduduk tempatan, umpamanya pemilihan pemimpin tempatan, pekerjaan, agama dan pendidikan.
Penulis memahami kewajaran kenyataan tersebut dibuat memandangkan sebagai rakan dalam ASEAN, prinsip “tidak campur tangan” dalam urusan negara tetangga perlu sentiasa dipegang oleh pemerintah negara kita. Tetapi pada masa yang sama, kita juga merasa simpati di atas penindasan serta diskriminasi yang telah dialami oleh saudara mara kita yang sama-sama beragama Islam serta berketurunan Melayu di kawasan tersebut.

Walaubagaimanapun, penulis merasa sangsi sama ada pihak pemerintah Thailand bersedia untuk memberikan status autonomi kepada wilayah di selatan Thai ini, khususnya bagi kawasan yang merangkumi wilayah asal Kesultanan Melayu Patani. Malahan, keganasan dikawasan tersebut yang didakwa didalangi oleh kumpulan pemisah sebenarnya juga boleh dipertikaikan. Secara ringkasnya, kaum Melayu di selatan Thai menjadi mangsa permainan politik kumpulan-kumpulan di Thailand, terutamanya kumpulan Merah (pro-Thaksin) serta kumpulan kuning (pro-Abhisit). Kekalutan yang berlaku turut diambil kesempatan oleh golongan lain seperti pengedar dadah, tentera, politikus tempatan dan sebagainya demi kepentingan sendiri dengan menjadikan ‘kumpulan pemisah’ yang entah wujud atau tidak sebagai kambing hitam atas setiap insiden yang terjadi. Salah satu blog masyarakat Thai-Buddha di negara kita turut menyokong kemerdekaan wilayah selatan Thai jika itulah jalan terbaik untuk menamatkan tragedi kemanusiaan yang telah lama berlaku tanpa pembelaan sewajarnya. Sila layari http://sejarahnagarakedag.blogspot.com/2009/06/krisis-selatan-thailand-penyelesaiannya.html untuk bacaan lanjut.






Isu di selatan Thai sebenarnya tidak akan selesai jika pihak pemerintah Thailand masih berkeras dengan dasarnya selama ini. Pihak Thailand berpegang kepada dasar asimilasi daripada integrasi. Semenjak Kerajaan Sukhotai menyerang pusat pentadbiran Siam-Islam di Ayuthia dan menawan negeri-negeri Melayu di segenting Kra, dasar asimilasi telah dilaksanakan dengan menghakis identiti kemelayuan penduduk tempatan. Tindakan ini diperhebatkan lagi semasa era Phibun Songkram yang memperkenalkan Dasar Rattaniyom yang bertujuan untuk meng’Thai’kan semua suku kaum di sana, termasuklah Kaum Melayu yang ditukar menjadi ‘Thai Muslim’. Oleh yang demikian, janganlah dihairankan apabila kebanyakan kaum Melayu di segenting Kra (kecuali di wilayah Patani, Yala dan Narathiwat) pada hari ini kebanyakannya mempunyai nama berunsur Thai dan tidak lagi mampu bertutur dalam Bahasa Melayu. Hanya agama Islam sahaja yang menjadi petunjuk bahawa mereka mempunyai darah berketurunan Melayu. Penduduk Melayu di wilayah Bukit (Phuket), Phattalung (Bedelong), Satun (Setul), Songhkla (Singgora), Krabi (Ghraibi), Trang (Terang), Ranong (Rundung), Surattani/Chaiya (Cahaya) dan Ligor/Nakorn Sithammarat (Negara Sri Dharmaraja) kebanyakannya berasimilasi menjadi “Orang Thai yang beragama Islam”, sedangkan penduduk di wilayah Patani masih kuat dengan bahasa dan budaya Melayu mereka dan menolak proses asimilasi yang berbaur Thai.

Walaubagaimanapun, penulis tetap optimis pemerintah Thailand di bawah pentadbiran Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva akan memberi ruang dan kelonggaran terhadap cadangan yang diutarakan oleh Y.A.B. Perdana Menteri kita. Pihak Thailand boleh menjadikan Wilayah Autonomi Muslim Mindanau (ARMM) yang telah dibentuk oleh pemerintah Filipina hasil kerjasama dengan pejuang di wilayah terbabit untuk dijadikan contoh. Sebagai jalan penyelesaian, pemerintah Thailand boleh mencadangkan penubuhan sebuah Wilayah Autonomi Patani Darussalam yang merangkumi wilayah Satun (Setul), Patani, Yala (Jala), Narathiwat (Menara) serta empat buah daerah dalam wilayah Songkhla (Singgora) iaitu Thepha (Tiba), Chenak, Saba Yoi (Sebayu) dan Na Thawi (Nawi), yang merupakan wilayah yang dihuni majoriti masyarakat Melayu-Islam untuk disatukan dibawah satu bumbung. Berhubung dengan perkara pokok yang perlu diutamakan bagi penubuhan wilayah autonomi ini, tuntutan bekas pejuang Patani iaitu Allahyarham Haji Sulong Abdul Kadir (Nama Thai : Sulong Tohmeena) bolehlah kembali dijadikan rujukan iaitu :

i) Perlantikan seorang anak Melayu-Islam tempatan melalui pemilihan umum yang akan mengetuai keseluruhan empat wilayah di selatan Thai ini.
ii) 80% penjawat awam di wilayah ini mestilah dikalangan Melayu-Islam, sesuai dengan demografi kawasan ini.
iii) Bahasa Melayu dan Bahasa Thai sama-sama digunakan dan dijadikan bahasa rasmi.
iv) Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di sekolah-sekolah.
v) Semua hasil dan pendapatan yang diperolehi daripada wilayah ini perlu dibelanjakan bagi pembangunan wilayah ini sendiri.
vi) Pemerintah pusat perlu membenarkan penubuhan Majlis Agama Islam bagi menguatkuasakan undang-undang berdasarkan adat dan budaya tempatan dengan persetujuan pihak berkuasa.
vii) Pemerintah perlu mengasingkan Mahkamah Syariah daripada Mahkamah Sivil bagi membicarakan kes-kes yang berkaitan.


Sumber : http://patanibook.blogspot.com/
Buku Patani : Behind The Accidental Border, tulisan saudara Kijangmas Perkasa