Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Wednesday, November 18, 2009

Zainal Al-Johan Gigih Kumpul Artifak Melayu

Diolah semula daripada laporan asal oleh wartawan Mohd. Shukri Mohd. Ariff dalam Dewan Masyarakat keluaran November 2009

Tentu pelik pada zaman moden ini melihat seseorang berpakaian seperti pahlawan Melayu dahulukala. Siap dengan lilitan pontoh dan keris panjang tersisip di pinggang. Insan unik ini boleh dijumpai di Kampung Tanjung Sena Hulu, Rembau, Negeri Sembilan. Empunya diri bernama Zainal Al-Johan. Insan ini bukanlah calang-calang orang. Beliau merupakan cucu kepada Dato’ Putih Haji Mohd Yusof bin Abdul Hamid, pembantu khas Dato’ Abdullah Haji Dahan (Undang Luak Rembau). Beliau pernah menuntut di Akademi Marin di California, Amerika Syarikat dan pernah berkhidmat sebagai Komandan Kem Tentera di Kubang Pasu, ketika era Tun. Dr. Mahathir Mohamad masih menjadi Perdana Menteri.

Menariknya, Zainal ini sering membawa Keris Tempa Melaka yang pernah digunakan oleh Hang Tuah ke mana-mana sahaja. Keris Tempa Melaka ini merupakan keris kedua Hang Tuah selepas Keris Taming Sari. Keris ini dibuat daripada 21 jenis besi dan mempunyai 21 lok merupakan hadiah Sultan Melaka kepada Hang Tuah dan kini berusia hampir 600 tahun.

Zainal Al-Johan merupakan seorang pengumpul artifak Melayu. Minat tersebut mula timbul selepas bertemu dengan rakannya, Allahyarham Prof. Norhalim Haji Ibrahim, pengkaji sejarah, bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia dan bekas kurator Muzium Adat Negeri Sembilan yang mengeluh kerana hanya mampu menulis berkenaan dengan sejarah kegemilangan tamadun Melayu Melaka tanpa mempunyai artifak bagi membuktikan kebenaran faktanya.

Keluhan tersebut memberikan kesan yang mendalam kepada Zainal. Beliau mula berbincang dengan beberapa orang rakannya dan kemudiannya tertubuhlah Teraju Istiadat Sdn. Bhd. yang beribu pejabat di Rembau. Syarikat ini tidak bermotifkan keuntungan tetapi mengkhususkan kepada aktiviti carigali dan mengumpulkan artifak Melayu. Kos operasi bagi carigali yang menjangkau ratusan ribu ringgit diperuntukkan oleh Ahli Lembaga Pengarah Teraju Istiadat sendiri.
Teraju Istiadat mendapat kerjasama yang cukup baik daripada Muzium Adat Negeri Sembilan dan Muzium Negeri. Setiap aktiviti carigali yang dilaksanakan hanya dijalankan selepas mendapat kelulusan dan permit daripada pihak muzium. Dan setakat ini, Teraju Istiadat dibenarkan untuk menyimpan artifak yang dijumpai.


Usaha untuk mendapatkan artifak Melayu yang hampir pupus ini bukanlah mudah. Teraju Istiadat terpaksa melibatkan ramai tenaga pakar daripada pelbagai agensi dan melibatkan dua kaedah proses pencarian iaitu kaedah saintifik dan kaedah spiritual. Kebanyakan artifak yang ditemui berada di dasar laut dengan kedalaman melebihi 100 meter. Gabungan kaedah saintifik dan spiritual ini menghasilkan kejayaan hampir 100 peratus.

Maklumat mengenai sesuatu artifak biasanya disampaikan oleh informan di seluruh Malaysia dan akan diteliti dengan terperinci oleh pihak Teraju Istiadat sebelum memulakan kerja pencarian. Informan kemudian akan dibayar mengikut harga artifak yang ditemui. Semua artifak ini disimpan di rumah ibu Zainal di Rembau.






Teraju Istiadat kini sudah menyimpan hampir 200 buah artifak Melayu. Antaranya adalah sekeping dinar emas zaman Parameswara, yang harga pasaran semasanya 25 juta Euro (RM126 juta), dan cawan Puteri Hang Li Po yang dihadiahkan kepada Sultan Melaka, harga pasarannya tidak kurang 5 juta Euro (RM25 juta).




Banyak koleksi artifak yang ditemui menggambarkan tamadun Melayu pada masa dahulu, sama ada dari sudut teknologi, sistem pemerintahan, pembangunan bandar dan sebagainya. Namun, Zainal percaya artifak yang telah beliau temui hanya menggambarkan sebahagian kecil keagungan tamadun Melayu silam yang kebanyakannya masih belum ditemui.

Sebagai contoh, keris Tempa Melaka yang digunakan oleh Zainal. Menurut beliau, antara senjata tradisi dunia yang dianggap terhebat pernah dicipta ialah Pedang Samurai yang digunakan pada era kegemilangan Shogun Tokugawa di Jepun. Pedang Samurai terhebat pernah dicipta menggunakan 12 jenis besi. Tetapi, beberapa pengkaji Jepun yang meneliti keris Tempa Melaka yang dicipta oleh seorang Melayu bernama Sang Guna terperanjat apabila mendapati ia dicipta menggunakan lebih 21 jenis besi.


Begitu juga dengan manusia pertama yang belayar mengelilingi dunia iaitu Panglima Awang pada era 1400-1500. Beliau tidak menggunakan kompas sebaliknya menggunakan Cakera Alam yang menggunakan lima buah cakera yang bukan sahaja mampu memberikan petunjuk arah, malahan juga maklumat bintang, tiupan angin, pasang surut air, dan pelbagai lagi.

Selain, itu, kita pada hari ini kagum dengan penciptaan mancis oleh orang Eropah. Namun sebenarnya, sudah lebih 600 tahun orang Melayu mencipta pemetik api yang sistemnya hampir sama dengan pemetik api moden dari segi saiz dan kegunaan. Pemetik api purba ini dibuat daripada tanduk dan bahan bakarnya pula menggunakan ”selubuk”, sejenis serbuk berwarna putih yang diperolehi daripada pohon Enau. Selubuk ini bertindak seperti kerosin dan apabila dimasukkan ke dalam pemetik api dan diketuk, akan mengeluarkan api berwarna biru.

Zainal Al-Johan juga menunjukkan kunci mangga yang dicipta oleh orang Portugis kira-kira 600 tahun dahulu. Kunci mangga ini sama seperti kunci mangga pada masa sekarang. Tetapi Zainal turut menunjukkan kunci mangga yang dicipta orang Melayu kira-kira 2000 tahun dahulu, tiga kali ganda lebih tua daripada kunci mangga ciptaan orang Portugis. Kunci mangga ini seperti kunci mangga sekarang dan menggunakan besi tembaga. Uniknya, lubang kunci berbentuk ”I”, manakala keratan rentas anak kuncinya berbentuk ”T”. Mengikut logik akal, mustahil anak kunci ini boleh dimasukkan ke dalam lubang mangganya. Tetapi orang Melayu pada 2000 tahun dahulu sudah berfikir menggunakan hukum fizik bagi membolehkan kunci mangga ini dibuka dengan mudah.

Alatan muzik tradisional Melayu juga cukup mengagumkan. Misalnya, sebuah alat muzik yang dikenali sebagai ”Tangtuang” diperbuat daripada tanduk kerbau dan berbentuk seperti trompet digunakan untuk berburu dan memulakan peperangan. Yang menariknya, bahagian dalamnya kosong tanpa ada apa-apa elemen yang boleh membantunya mengeluarkan bunyi. Wartawan ini cuba meniupnya dan sehingga berubah muka menjadi merah pun, tiada bunyi yang terhasil. Zainal menjelaskan cara meniupnya menggunakan pengetahuan prinsip bunyi dalam sains iaitu getaran, dengungan dan ruang (rekabentuk). Apabila beliau menggunakan tiga elemen tersebut ketika meniupnya, Tangtuang mengeluarkan bunyi yang sangat kuat dan menggerunkan, sama seperti bunyi serombong kapal!


Rata-rata usia artifak yang disimpan oleh Zainal menjangkau usia ratusan tahun. Namun, kebijaksanaan dan pengetahuan orang Melayu yang menciptanya amat mengagumkan. Secara logik, amat mustahil satu bangsa yang dilabelkan oleh penjajah sebagai pemalas, tidak inovatif, dan kolot, mampu mencipta artifak sehebat itu.


Menurut Zainal, pihaknya berhasrat untuk mendirikan sebuah kompleks Melayu di Kompleks Kristal, Rembau, untuk mempamerkan artifak pupus yang telah dikumpulkan. Kompleks ini diterajui sendiri oleh Teraju Istiadat dan Persatuan Sejarah Malaysia (Kawasan Rembau) serta mendapat sokongan Yayasan Negeri Sembilan.

Tuesday, November 10, 2009

Cerita Lama : Filem Queen of Langkasuka dan Drama Raja Kuning dari Thailand

Queen of Langkasuka merupakan sebuah filem bajet tinggi dari Thailand yang telah ditayangkan pada tahun 2008. Filem ini asalnya berjudul Queen of Pattani, tetapi telah diubah judulnya akibat daripada kekacauan yang berlaku di kawasan selatan Thai (kebetulan merupakan bekas wilayah Kesultanan Patani) pada masa tersebut.



Filem ini menarik perhatian penonton di negara kita kerana ia memaparkan salah satu daripada lipatan penting dalam sejarah Melayu. Mengapakah pihak Thailand yang berbudaya Thai pula yang sibuk hendak menerbitkan filem mengenai sejarah Melayu? Inilah yang perlu kita renungkan bersama, kerana jawapannya ada pada kita.















Adegan perkahwinan Putera Pahang dengan Raja Ungu Patani






Selama ini, di sekolah, subjek Sejarah yang diajar hanya dalam ruang lingkup sempadan wilayah Malaysia yang ada pada hari ini. Justeru itu, kita hanya menumpukan kepada sejarah keagungan Kerajaan Melaka semata-mata dan tidak mengambil berat mengenai keagungan sejarah Kerajaan-kerajaan Melayu lainnya yang terlebih dahulu wujud kerana kebanyakannya kini terletak dalam sempadan wilayah negara Thailand. Justeru itu, tidak hairanlah tidak ramai yang mengambil tahu mengenai sejarah Patani kerana dianggap sebagai sejarah Thailand, walhal ianya adalah sebahagian daripada sejarah Melayu, sejarah kita! Maka jadilah filem Queen of Langkasuka ini filem berbudaya Melayu yang berbahasa Thai! Disebabkan terlalu fokus kepada sejarah Melaka lah, ramai orang Melayu tidak dapat menjawab apabila dituduh sebagai pendatang di Tanah Melayu, disebabkan versi sejarah penjajah menyatakan Parameswa Hindu datang dari Sumatera. Seolah-olah Tanah Melayu ini asalnya tidak berpenghuni dan hanya diduduki beramai-ramai selepas kedatangan Parameswara. Sedangkan realitinya, beratus-ratus atau mungkin ribuan tahun sebelumnya, telah wujud Kerajaan Melayu seperti Srivijaya dan Kedah Tua di tanah semenanjung.




Berbalik kepada filem Queen of Langkasuka, filem ini tidaklah boleh dijadikan sebagai rujukan utama sejarah kerana fakta yang dikemukakan bercampur baur dengan maklumat yang tidak diketahui (mungkin fantasi). Sebagai contoh, watak pahlawan seperti Lord Jarang dan Pari (diambil daripada nama ikan) tidak ada dinyatakan dalam hikayat sejarah kita. Malah, filem ini asalnya didasari daripada fakta mengenai penciptaan meriam gergasi oleh Raja Perempuan Patani dalam perang saudara dengan Kerajaan Siam yang berpusat di Ayuthia pada masa tersebut, tetapi diubah kepada Langkasuka menentang lanun-lanun yang bekerjasama dengan seorang putera yang memberontak. Sebabnya? Sudah tentu produser filem ini tidak mahu filemnya dilihat menjadi inspirasi kepada pejuang Melayu di kawasan selatan Siam untuk bangun menentang pemerintahan pusat di Bangkok.





Watak Sultan Sulaiman dari Singgora (kini Songkla) turut dipaparkan secara sepintas lalu. Sultan Sulaiman adalah Raja Bersiong.

Perkara lain yang turut menarik perhatian dalam filem ini adalah apabila ia menggambarkan kebesaran tamadun dan teknologi orang Melayu. Gambaran mengenai Kota Langkasuka, penggunaan senjata pistol oleh Putera Negeri Pahang, pemakaian baju besi serta penggunaan meriam ketika perang cukup menarik untuk difikirkan bersama. Menurut Prof Datuk Dr Siti Hawa Salleh dalam "Forum Sejarah Realiti Kedah" yang telah diadakan pada 13 September 2006 yang lalu, masih terdapat banyak lagi manuskrip bertulisan jawi tersimpan di dalam bilik kebal Raja Thailand hari ini, dan pembuat filem sejarah Thailand perlu merujuk kepada mereka terlebih dahulu supaya jalan cerita sejarah bersamaan dengan kehendak mereka. Adakah masyarakat Melayu pada masa dahulu telah mencapai tingkat teknologi yang tinggi tetapi tidak diketahui oleh kita kerana bahan-bahan sejarah telah disembunyikan dan digelapkan? Benarkah persepsi umum yang mengatakan tentera-tentera Kerajaan Melayu pada masa dulu hanya berkeris dan bertombak sahaja ketika berperang? Atau apakah yang dipaparkan dalam filem tersebut hanyalah semata-mata imaginasi pengarahnya? Terpulang kepada persepsi pembaca untuk menilainya.
















Apa pun, pembikinan cerita berbudaya Melayu di Thailand tidak terhenti selepas filem Queen of Langkasuka. Sebaliknya turut terbit drama mengenai Raja Kuning yang dilakonkan oleh Nikallaya Abdul Dulaya, seorang Melayu yang juga mantan Ratu Thailand/Dunia 2004 yang berasal dari wilayah Jala (Yala), selatan Siam. Walaubagaimanapun, drama ini tidak disiarkan di stesen televisyen negara kita. Adakah selepas ini, sejarah dan budaya Melayu Patani akan kekal dirampas dan menjadi milik Thailand?