Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Thursday, December 20, 2012

Laut atau Semut?



Kerajaan Samudra, atau dikenali juga dengan nama Samudra-Pasai, yang terletak di utara Acheh, merupakan sebuah Kesultanan yang ‘besar’ terutamanya jika kita mengkaji dan menghayati sejarah penyebaran Islam di Nusantara. Walau bagaimanapun, kerap kali juga sejarahnya dipandang sepi kerana di negara kita, sejarah kerajaan tersebut dianggap sebagai sebahagian daripada sejarah Indonesia, sementara di negara seberang pula, mereka lebih mengagungkan kebesaran sejarah Kerajaan Majapahit terutamanya oleh majoriti penduduk Jawa di sana.

Apa yang istimewanya tentang kerajaan Samudra ini? Tidak lain dan tidak bukan kerana di dalam Hikayat Raja-raja Pasai ada menyebutkan tentang kewujudan wasiat Rasulullah S.A.W. yang berbunyi seperti berikut :

“Sepeninggal aku telah wafat kelak,
akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya.”
“Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu,
serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu,
serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat.
Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan menjadi wali Allah.”
“Tetapi semasa kamu hendak pergi ke negeri itu,
hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Mengiri,
bawalah fakir itu bersama-sama belayar ke negeri Samudera itu.”

- Sabda Rasulullah SAW dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai



Bagaimana pula boleh muncul sebuah negeri bernama Samudera? Ianya bermula dengan kisah seorang raja tempatan di pulau Sumatera bernama Merah Silu pergi keluar memburu bersama orang-orangnya membawa seekor anjing pemburunya yang bernama si Pasai. Sampai ke satu tempat, baginda menitahkan supaya anjing itu dilepaskan. Seketika kemudian anjing buruan tersebut menyalak pada satu tanah tinggi apabila ia ternampak seekor semut sebesar saiz seekor kucing.

Baginda kemudian menyuruh orang-orangnya menangkap semut itu lalu dibawa pulang ke istana sebelum semut itu dimakan oleh baginda. Kemudian baginda menyuruh orang-orangnya supaya menebas dan menerangkan tempat tadi untuk dibangunkan sebuah negeri. Baginda pun membina sebuah istana yang cukup lengkap dengan kota dan paritnya serta sebuah penempatan.Selepas segalanya sempurna, Merah Silu dan orang-orangnya pun berpindah ke negeri baru ini yang dinamakan sebagai ‘Samudera’, yang bermaksud semut besar.


Amat menarik sekali apabila seorang ilmuan tempatan, iaitu Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas di dalam bukunya yang bertajuk Historical Fact and Fiction telah mencabar sejarah arus perdana dengan menyatakan nama asal kerajaan tersebut adalah ‘Semut Raya’ (Besar), dan bukannya ‘Samudera’ iaitu perkataan Sanskrit yang digunapakai di dalam Bahasa Melayu bermaksud lautan. Bagi mengukuhkan dakwaannya, Syed Naquib Al-Attas telah menjelaskan kitab-kitab yang ditulis oleh penjelajah Arab pada kurun ke-13, 14 dan 15 telah menulis nama Kerajaan tersebut dengan huruf ‘Ta’( ت), dan bukannya huruf ‘Dal’ (د), contohnya Samatar (al-Dimashqi), Samutra (Ibn Battutah), dan Sumutra (Ibn Majid).


Bagi yang mencebik muka dan menyatakan kisah keberadaan negeri bernama Menggiri dan kisah kewujudan seekor semut sebesar kucing semata-mata hanyalah khayalan dan mitos yang ditokok tambah oleh penulis-penulis hikayat Melayu untuk menyedapkan cerita, Syed Naquib Al-Attas telah membawakan laporan kitab ‘Aja’ib al-Hind oleh Buzurg ibn Shahriyar, yang telah disusun pada akhir kurun ke-10 daripada sumber-sumber terdahulu. Di dalam kitab tersebut ditemui laporan Muhammad ibn Basishad yang melaporkan di utara pulau Sumatera terdapat semut yang amat besar terutamanya di Lamri, tempat yang sama dipercayai Merah Silu menjumpai semut yang bersaiz besar berkenaan.


Berkenaan dengan Negeri Menggiri pula, Syed Naquib Al-Attas telah memetik tulisan al-Mas’udi tentang penjelajahannya ke tanah Hindi. Di dalam peta India pada akhir kurun ke-9, terdapat wilayah bernama Monghyr yang terletak di timur laut India yang pada kurun ke -13 menjadi sempadan antara barat laut Bengal dan selatan Bihar. Al-Mas’udi melaporkan di sini terdapat lebih 10,000 orang Arab yang mempunyai darah Quraish tulen keturunan langsung daripada Rasulullah S.A.W. yang memerintah kawasan tersebut. Raja di wilayah Monghyr ini menggunapakai gelaran Balhara dan bertentangan dengan pandangan ahli sejarah, Monghyr ini bukanlah hanyalah sebuah pekan atau bandar tetapi sebuah wilayah yang luas! Hikayat Raja-raja Pasai telah mencatatkan Raja Menggiri yang bernama Muhammad kemudian telah sanggup turun daripada tahkta dan menjadi seorang fakir semata-mata untuk mengikuti rombongan Syeikh Ismail yang telah diutuskan oleh Syarif Mekah untuk mengIslamkan negeri Samudera untuk menyempurnakan amanat yang telah disampaikan oleh Junjungan Besar kita.


Wasiat Rasulullah S.A.W. menjadi kenyataan apabila sememangnya wilayah negeri Samudra-Pasai yang pada hari ini membentuk Acheh sememangnya telah melahirkan ramai alim ulama’ dan pendakwah yang gigih menyebarkan agama Islam yang suci di seluruh Nusantara termasuklah Wali Tujuh dan Wali Songo yang kisahnya amat terkenal di alam Melayu. Malahan pada zaman keagungan Kesultanan Melayu Melaka, Samudra-Pasai telah dijadikan sebagai tempat rujukan dalam hal ehwal agama Islam. Sehingga ke hari ini pun bumi Acheh terkenal dengan panggilan ‘Serambi Mekah’. Walaupun jangka hayat Kerajaan Samuda-Pasai ini tidaklah panjang dan sejarahnya kerap disepikan, namun kuasa Allah juga telah mentakdirkan bahawa seluruh pulau di barat Indonesia telah dinamakan sebagai Sumatera, bersempena dengan nama Kerajaan Samudra ini yang pernah berkuasa di utara pulau tersebut.


Wednesday, August 1, 2012

Mitos Kesamarataan Hak di Singapura


Allahyarham Pak Zubir Said, pencipta lagu rasmi 'Majulah Singapura'. Pada tahun 90-an, terdapat desakan agar lirik lagu ini diubah daripada Bahasa Melayu ke bahasa rasmi yang lain


Tanggal 9 Ogos merupakan Hari Nasional yang akan disambut setiap tahun di Singapura. Pada tarikh tersebut 47 tahun dahulu, Republik tersebut telah ditendang keluar dari negara kita setelah mereka memainkan sentimen perkauman yang hampir memusnahkan negara kita yang ketika itu hanya berusia 2 tahun. Mungkin ramai yang menyalahkan tindakan almarhum Tunku Abdul Rahman, tetapi mungkin ramai juga yang tidak sedar bahawa sejak awal lagi, Tunku keberatan untuk menerima Singapura ke dalam Malaysia disebabkan nisbah komposisi kaum penduduk pulau itu serta sosio-politiknya yang berbeza dengan semenanjung Tanah Melayu.


Salah seorang individu yang paling beriya-iya untuk menyertai Malaysia adalah Lee Kuan Yew yang juga pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura. Tindakan tersebut dibuat bagi menyelamatkan kerjaya politiknya yang ketika itu sedang menghadapi tentangan hebat daripada Barisan Sosialis. Walau bagaimanapun, setelah diterima menyertai Malaysia, Lee, yang digambarkan oleh Said Zahari yang telah ditahan ISA selama 17 tahun oleh regim PAP, sebagai mempunyai nafsu dan cita-cita yang besar, cuba menjadi hero masyarakat bukan Melayu di Malaysia, terutamanya kaum Cina, dengan menganjurkan konsep Malaysian Malaysia yang kabur tetapi kelihatan cantik pada luarannya. Lee memainkan polemik kononnya berlaku ketidakadilan dan ketiadaan hak sama rata di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.


Sebelum menyertai Malaysia, Lee sebenarnya sedar akan kewujudan hak istimewa orang Melayu dan beliau tidak pernah mempertikaikannya semasa rundingan pembentukan Malaysia. Malahan dalam kenyataan-kenyataan umum yang dibuat sebelum penyertaan Singapura ke dalam Malaysia, Lee malah menegaskan pendiriannya bahawa Pemerintah PAP Singapura yang dipimpinnya bukan sahaja akan patuh tetapi akan mempertahankan Perlembagaan tersebut. Walaubagaimanapun, keadaan sebaliknya berlaku setelah Singapura diterima menyertai Malaysia.


Sepanjang tempoh kekecohan penyatuan Singapura ke dalam Malaysia, Lee telah beberapa kali mencabar kedudukan dan membesar-besarkan soal hak istimewa orang Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Lee mengaitkan masyarakat Melayu tempatan yang sebahagiannya mempunyai hubungan darah dengan kepulauan lain di nusantara yang kini membentuk Indonesia sebagai pendatang yang setaraf dengan kaum-kaum imigran lain. Di dalam buku Tunku berjudul ‘Looking Back’, Tunku telah memetik beberapa kenyataan dan ucapan Lee yang jelas anti-Melayu. Antaranya ialah ‘tiada satu pun antara tiga kaum utama –Cina, Melayu dan India, yang berhak menuntut adalah lebih pribumi kepada Malaysia berbanding yang lain, kerana menurutnya, semua nenek moyang mereka datang ke Malaysia tidak lebih daripada 1000 tahun’. Ikrar dan janji-janji inilah yang telah dimungkiri oleh Lee yang disifatkan oleh almarhum Tunku sebagai “orang yang tidak boleh dipercayai” dan kemudiannya mengambil keputusan muktamad untuk menyingkirkan Singapura demi menyelamatkan keutuhan Persekutuan Malaysia daripada terjebak ke dalam konflik perkauman.


Selepas Singapura disingkirkan dari Malaysia, peluang kini terbentang luas kepada para pemimpin PAP Singapura untuk membuktikan dan mengimplementasikan dasar ‘Singaporean Singapore’ kepada rakyat mereka berdasarkan falsafah keadilan dan hak sama rata kepada semua terutamanya kepada kaum minoriti sebagaimana yang diperjuangkan semasa mereka masih menyertai Malaysia. Tetapi adakah perkara tersebut benar-benar berlaku? Realitinya setelah mendapat kuasa, Pemerintah Singapura telah menjilat kembali ludah mereka dan secara konsisten menindas hak kaum minoriti Melayu yang juga merupakan pribumi asal Pulau Singapura. Beberapa contoh yang dapat dilihat adalah seperti berikut :


1) Ketenteraan : Masyarakat Melayu Singapura selama hampir 20 tahun secara sengaja telah disisihkan daripada menjalani latihan wajib Khidmat Negara yang bertujuan untuk memberikan latihan ketenteraan kepada belia negara tersebut. Pada awal tahun 1970-an, apabila angkatan tentera British berundur dari Singapura, ramai bekas pekerja Melayu yang berkhidmat dengan angkatan tentera British sukar untuk diterima bekerja di dalam Angkatan Tentera Singapura (SAF). Bagi orang Melayu yang dibenarkan menyertai SAF, menjadi satu rahsia yang diketahui umum bahawa mereka dinafikan hak daripada menyertai ‘Unit Sensitif’ di dalam SAF walaupun mereka memiliki kelayakan tinggi. Malahan Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura pada hari ini, di dalam akhbar Straits Times bertarikh 20 Julai 1987 telah mengesahkan bahawa jawatan tertentu di dalam SAF telah ditutup kepada orang Melayu atas alasan ‘keselamatan negara’ kerana kesetiaan mereka terhadap negara sentiasa diragui oleh Pemerintah Singapura.


Seorang tentera Singapura secara terbuka menyokong Israel di Facebook-nya



2) Kerjaya : Golongan berpendidikan tinggi dan profesional dari etnik minoriti sukar mendapatkan kerja berjawatan tinggi dan kenaikan pangkat walaupun mempunyai kelayakan akademik. Kesukaran yang dihadapi oleh profesional Melayu di Singapura terutamanya ketika mencari kerja di firma Cina tempatan menjadi punca ramai diantara mereka lebih memilih untuk bekerja di dalam syarikat Multinasional Barat. Kajian yang dibuat oleh Dr. Lily Zubaidah Ibrahim telah mendedahkan ramai profesional dari kumpulan minoriti mula mempersoalkan dengan serius tentang apa sebenarnya yang diamalkan dalam konsep berbilang kaum dan meritokrasi yang ideal dalam bidang pekerjaan sebagaimana yang diwar-warkan oleh Pemerintah Singapura.


3) Pendidikan : Sebagaimana kuota penduduk etnik di kawasan perumahan, pelajar Melayu di setiap sekolah sejak tahun 1988 dicadangkan supaya tidak melebihi 25% daripada bilangan pelajar kaum lain bertujuan untuk mengurangkan bilangan pelajar Melayu di sekolah tertentu atas alasan menghina iaitu untuk meningkatkan prestasi akademik pelajar dan sekolah walaupun tida kajian ilmiah yang terperinci dibuat untuk mewajarkan pelaksanaan dasar kuota tersebut.


Seorang ahli PAP, Jason Neo, memuat naik gambar kanak-kanak tadika Melayu-Islam di Facebook-nya dengan ayat "Bus filled with young ter**rist trainees"



4) Politik : Walaupun hampir 14% penduduk Singapura terdiri daripada masyarakat Melayu dan merupakan kaum kedua terbesar, tetapi jumlah perwakilan masyarakat Melayu di Parlimen Singapura telah menjunam teruk hingga ke tahap 9.8% sahaja pada tahun 1991. Pernah dalam satu masa iaitu dari Bulan Disember 1980 hingga Januari 1985, tidak ada seorang pun Melayu dilantik sebagai Menteri Kabinet, hanya ada seorang Melayu iaitu Dr. Mattar berkhidmat itu pun hanya sebagai pemangku Menteri. Menjelang tahun 1990-an, hanya ada seorang wakil Melayu yang dilantik sebagai Menteri Kabinet Singapura. Sebagaimana di dalam tentera, Menteri Kabinet Melayu juga disisihkan daripada memegang portfolio penting disebalik alasan menghina kononnya mereka kurang berkelayakan. Walaupun Kabinet Singapura mempunyai dua orang Timbalan Perdana Menteri, jawatan tersebut hanya diisi oleh kaum Cina dan India sahaja dan tidak pernah diisi oleh kaum Melayu. (Bayangkan tuntutan Ultra-Kiasu yang mahukan negara kita mempunyai dua jawatan TPM. Siapakah yang mereka mahukan untuk mengisi jawatan TPM-2 itu?).


Di sebalik semua penindasan dan diskriminasi yang telah dilakukan oleh Pemerintah PAP Singapura terhadap masyarakat Melayu tempatan disebabkan tanggapan negatif mengenai tahap kesetiaan mereka terhadap negara, kajian yang dibuat oleh Chew Sock Foon (1987) telah membuktikan sebaliknya iaitu orang Melayu Singapura yang juga Bumiputera di pulau tersebut adalah masyarakat yang paling patriotik jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain di Singapura. Hasil kajiannya di dalam “Ethnicity and Nationality in Singapore” terbitan Centre for International Studies, Ohio University, mendapati orang Melayu mempunyai tahap jati diri kebangsaan tertinggi (86-98%) berbanding India (85-90%) dan Cina (69-95%), sementara orang Melayu Singapura yang berbangga menjadi rakyat Singapura adalah pada tahap 69-95%, berbanding dengan 54-74% bagi masyarakat Cina.



Fandi Ahmad, pemain lagenda Bola sepak Singapura menjulang Piala Malaysia pada tahun 1994



Apa yang menyedihkan, di negara kita pada hari ini, laungan kesamarataan hak kembali didendangkan oleh para chauvinist yang berselindung di sebalik topeng perjuangan hak asasi manusia. Maka timbullah slogan-slogan dan ideologi seperti ‘Malaysian First, Malay Second’, ‘Middle Malaysia’, ‘Saya Anak Bangsa Malaysia’ dan sebagainya yang kononnya mempelopori gerakan supaya diutamakan kepentingan nasional sementara hak Bumiputera dan Islam perlu diletakkan pada tangga kedua. Anehnya, apabila timbul isu yang menyentuh kepentingan kaum mereka seperti cadangan pengwujudan satu sistem sekolah tunggal bagi menggantikan Sekolah Jenis Kebangsaan, mereka bermatian-matian pula mempertahankan apa yang dipanggil hak kaum mereka dan keperluan untuk menghormati kepelbagaian budaya di Malaysia. Anak-anak muda Melayu yang baru menggenggam ijazah dari Universiti yang diperjuangkan oleh nenek moyang mereka merasakan mereka sudah menjadi terlalu bijak pandai lalu menyertai parti Ultra-Kiasu kononnya kerana tidak mahu dicop sebagai Rasis. Seorang apek yang dahulunya mempersendakan kalimah azan dan meminta orang Melayu pulang ke hutan dan hidup seperti orang Sakai tersengih lebar apabila filem terbaru terbitannya dijayakan oleh puluhan bintang filem Melayu. ‘Peduli apa Islam dihina, janji duit masuk’, mungkin itulah yang ada difikiran para pelakon Melayu ini. Maka tanpa ada rasa bersalah, para pelakon Melayu-Islam ini bersungguh-sungguh membantu mempromosikan filem terbaru apek Rasis tersebut agar orang Melayu menyedekahkan duit demi menjayakan filem tersebut dan menyuruh orang Melayu-Islam supaya berbondong-bondong untuk membuang masa dengan menonton filem tersebut yang akan dilancarkan pada pertengahan bulan Ramadhan yang mulia ini. Maka janganlah ditangisi sekiranya apa yang telah berlaku di Singapura 47 tahun dahulu berulang semula di negara kita.


Lihat juga catatan lama :

Pilihanraya Singapura : Kuasa Politik Pribumi dan Isu Pendatang