Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Sunday, October 4, 2015

Kenapa Iklan Perpaduan Hanya Papar Melayu, Cina & India?




Malaysia selalu dinyatakan sebagai sebuah negara yang berbilang kaum. Namun begitu, kerap kali istilah ‘berbilang kaum’ ini terperangkap dalam ruang lingkup sempit iaitu hanya meliputi kaum Melayu, Cina dan India semata-mata. Sebagai contoh, gambar perpaduan pelbagai kaum seperti yang disiarkan oleh akhbar The Star di atas. Malahan nama ‘Malaysia’ juga cuba ditafsir semula dengan hanya meliputi kaum Melayu, Cina dan India sahaja dengan meminggirkan kaum-kaum utama yang lain terutamanya dari Sabah dan Sarawak. Sudah sekian lama gambaran perpaduan kaum dengan meminggirkan kaum-kaum dari Sabah dan Sarawak ini berlaku dan perkara ini tidak elok untuk integrasi nasional, malahan tidak mencerminkan semangat yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan!   





Menurut Datuk Mohd Noor Abdullah, mantan Hakim Mahkamah Rayuan, jika dirujuk kepada Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada pembentukan negara kita, kaum-kaum yang ada disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah Melayu dan Orang Asli, Bumiputera Sabah, Bumiputera Sarawak serta kaum-kaum lain.

Di semenanjung, ‘Orang Asli’ merupakan terma umum yang merujuk kepada tiga (3) kelompok pribumi iaitu Semang (Negrito), Senoi (Semai, Temiar, Jah Hut, Che Wong, Mah Meri) dan Melayu Asli / Aborigine Malay (Kuala, Kanaq, Jakun dan Temuan). Sementara ‘Melayu’ di semenanjung merujuk kepada Melayu Anak Negeri (Melayu Kelantan, Melayu Kedah dsb) serta Melayu Anak Dagang iaitu Melayu yang mempunyai campuran darah dengan kaum atau etnik Austronesia yang lain (Melayu-Jawa, Melayu-Bugis dsb).

‘Bumiputera Sarawak’ pula terdiri daripada Iban, Bidayuh, Melayu Sarawak, Melanau dan Orang Ulu (Kayan, Kenyah, Kelabit, Penan dsb). Sementara ‘Bumiputera Sabah’ terdiri daripada Kadazan-Dusun-Murut (KDM – termasuk etnik-etnik kecil yang lain seperti Rungus dsb) dan Bumiputera Islam seperti Bajau, Melayu Brunei, Bugis, Suluk dsb. ‘Kaum-kaum lain’ yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada kelompok bukan Bumiputera seperti Cina, India, Sikh, Ceylonese dan sebagainya.

Mungkin ramai yang masih tidak menyedari pada 30 – 31 Mei dan 1 - 2 Jun setiap tahun, rakan-rakan dan saudara kita di Sabah menyambut Tadau Kaamatan sementara rakan-rakan dan saudara kita di Sarawak menyambut Hari Gawai. Namun begitu, berbanding dengan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina ataupun Deepavali, boleh dikatakan tidak ada atau amat jarang sekali iklan-iklan komersial perayaan yang berkaitan dengan Hari Gawai atau Pesta Kaamatan disiarkan di kaca televisyen. Jika ada pun, rasanya hanya sekali sahaja, iaitu Maybank pernah menyiarkan iklan seorang anak Sarawak di luar negara berbahasa Iban dengan ibunya yang berada di kampung. 

Oleh yang demikian, sudah tiba masanya iklan-iklan perpaduan yang ingin memaparkan perpaduan kaum seharusnya memaparkan realiti kaum dari tiga wilayah yang membentuk Malaysia iaitu semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Gambaran iklan seperti ‘Malaysia Truly Asia’ yang memaparkan kaum Melayu, Bumiputera Sabah, Bumiputera Sarawak dan kaum-kaum lain adalah lebih bertepatan dan selari dengan apa yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana disebabkan jasa dan pengorbanan pemimpin serta masyarakat dari Sabah dan Sarawak-lah sebenarnya yang membolehkan perpaduan negara kita kekal bertahan sehingga ke hari ini.




Thursday, August 13, 2015

Kenapa Singapura Lebih Maju?



Sudah beberapa hari berlalu sejak negara jiran kita iaitu Singapura menyambut Hari Kemerdekaannya yang ke-50 pada 9 Ogos yang lalu. Namun begitu, masih kedengaran kata-kata segelintir rakyat kita yang mempersoalkan mengapa negara kita masih ketinggalan berbanding negara-kota tersebut. Hujah yang biasa dimainkan pada setiap tahun, Singapura tidak mempunyai sumber asli tetapi mampu lebih maju berbanding negara kita. 



Membandingkan Malaysia dengan Singapura adalah tidak adil kerana ianya bukanlah perbandingan epal dengan epal. Benar, Singapura tidak mempunyai sumber asli. Tetapi Republik berkenaan juga bukanlah wujud mulai tahun 1965 dengan hanya mempunyai perkampungan nelayan yang dihuni bot-bot tunda dan ditumbuhi pokok-pokok kelapa semata-mata. Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura sejak merdeka sebenarnya telah mewarisi sebuah koloni jajahan Mahkota British yang telah ditadbir dan dijaga rapi oleh penjajah British. Selain menjadi pusat pentadbiran iaitu bagi negeri-negeri Selat (Straits Settlement) serta pangkalan tentera laut British bagi wilayah Asia timur, Singapura juga merupakan pusat pentadbiran ‘de facto’ British bagi jajahannya di semenanjung Tanah Melayu dan Borneo. Disebabkan lokasinya yang strategik, Singapura telah berfungsi sebagai pusat pentadbiran, pusat perdagangan dan juga pusat kewangan lebih awal sebelum kemerdekaannya. Ketika Singapura mendapat taraf pemerintahan sendiri, menyertai Malaysia dan kemudian disingkir keluar, Singapura memang telah sedia maju berbanding Malaya.


Kredit : Al-Makhzin.com

Segelintir rakyat negara kita yang suka membuat perbandingan juga gemar meminta agar kita mencontohi Singapura yang berjaya mewujudkan rakyat yang bersatu berlandaskan prinsip meritokrasi untuk berjaya. Tetapi bagi penulis, mereka ini (rakyat kita yang gemar membuat perbandingan) sebenarnya hipokrit kerana tidak pula meng’highlight’kan bagaimana kaedah yang digunakan Singapura untuk mewujudkan perpaduan dan kestabilan politik kerana sedar perkara tersebut akan ‘backfire’ mereka kembali. Sekiranya benar mereka ikhlas meminta negara kita untuk mencontohi Singapura agar lebih maju, terlebih dahulu mereka harus meneliti beberapa perkara berikut :


1. Mewujudkan Sekolah Satu Aliran

Walaupun kaum majoriti di Singapura adalah Cina, tetapi pemimpin agung mereka iaitu Lee Kuan Yew dengan tegas telah bertindak menutup Sekolah-sekolah Vernakular Cina hinggalah kepada Institusi Pengajian Tinggi Cina yang wujud seperti Universiti Nanyang. Namun begitu, perkara inilah yang sering cuba ditutup oleh para pemuja Lee Kuan Yew di negara kita. Dengan hanya mempunyai sekolah satu aliran, republik berkenaan telah berjaya memupuk perpaduan rakyatnya sejak di bangku sekolah lagi agar berfikir dan bersatu sebagai rakyat Singapura.

Tetapi di negara kita, mempersoalkan kewujudan sekolah vernakular sahaja sudah boleh menyebabkan risiko seseorang politikus kehilangan undi. Sedangkan jika dirujuk keputusan kes PP v Mark Koding, mahkamah telah memutuskan bahawa ‘there is nothing in proviso (a) to Article 152(1) (of the Federal Constitution) to justify the extension of the protection to the operation of schools where the medium of instruction is Chinese, Tamil, Arabic or English’ dan ‘accused is not guilty of sedition when he advocates for the closure of Tamil or Chinese schools’.

Jadi bagaimanakah negara kita mampu mencontohi Singapura untuk mewujudkan rakyat kita yang berfikir dan bersatu padu sebagai rakyat Malaysia sekiranya sejak dibangku sekolah lagi kita telah dididik dan dibesarkan dalam suasana dan pembelajaran yang berbeza-beza?


2. Ketiadaan Pembangkang Yang Kuat

Sejak Singapura disingkirkan dari Malaysia pada tahun 1965, tidak ada seorang pun daripada kalangan parti pembangkang yang berjaya memenangi kerusi di Parlimen Singapura. Oleh yang demikian, pemerintah PAP Singapura dapat memberi tumpuan penuh kepada aspek membangunkan negara tersebut tanpa perlu membazirkan banyak masa melayan karenah politik pembangkang. Hanya sehingga tahun 1981, barulah seorang tokoh pembangkang iaitu J.B. Jeyaratnam mencipta sejarah sebagai pembangkang pertama yang dipilih ke Parlimen Singapura. Namun begitu, menjadi rahsia umum bahawa tokoh-tokoh pembangkang di Singapura tidak memiliki kebebasan mutlak sebagaimana di negara kita dan setiasa berhadapan dengan ancaman saman daripada pemerintah. Agak melucukan apabila republik berkenaan kemudian terpaksa menggubal dasar untuk ‘melantik’ anggota pembangkang menerusi Non-constituency Members of Parliament (NCMPs) pada tahun 1984 dalam memastikan sekurang-kurangnya terdapat 9 anggota pembangkang di Parlimen.

Bandingkan dengan negara kita, berapa banyak masa telah terbuang hanya untuk menjawab persoalan pembangunan sebuah kilang Nadir Bumi yang telah diputarbelitkan kononnya sebuah reaktor nukleur oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab? Begitu juga dengan pembinaan sebuah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baru, lapangan terbang antarabangsa baru, litar perlumbaan antarabangsa dan sebagainya ketika cuba dilaksanakan oleh Kerajaan khususnya di era Tun Dr. Mahathir dahulu. Hari ini, pihak yang dahulunya menentang keras pembinaan Jambatan untuk menghubungkan Pulau Pinang dengan Seberang Perai dengan mendakwa ianya sebagai pembaziran, bukan sahaja merasakan dua jambatan sedia ada tidak cukup, bahkan ingin menambah lagi sebuah terowong apabila mendapat kuasa! Jadi tolong berhenti bertanya sebab mengapa negara kita lambat membangun berbanding Singapura!


3. Kaum Majoriti Yang Dominan

Di Singapura, kaum majoritinya iaitu kaum Cina membentuk hampir 75% daripada keseluruhan penduduknya dengan kaum majoriti yang sama ini juga telah menguasai hampir keseluruhan bidang pentadbiran negara, politik serta ekonomi sejak sebelum kemerdekaannya lagi. Oleh yang demikian, Singapura bukanlah sebuah negara ‘berbilang-kaum’ dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Kaum minoriti pribumi seperti Melayu pula telah dilemahkan kuasa politiknya. Menerusi penguatkuasaan sistem Kuota Etnik Kediaman mulai tahun 1989, semua kawasan perumahan awam dipastikan tidak mempunyai penduduk Melayu melebihi 20%, seterusnya menyebabkan tiada satu kawasan Parlimen pun di Singapura yang majoriti pengundinya adalah kaum minoriti. Jangan dilupakan juga bahawa bukan semua rakyat Singapura adalah penduduk asal sebagaimana sewaktu kemerdekaannya. Ini kerana bagi memastikan kaum Cina kekal sebagai majoriti, Singapura sentiasa mengimport ‘bakat’ (talent) yang majoritinya datang dari Hong Kong, Taiwan, Macao dan Republik Rakyat China sendiri atas alasan menjaga ‘keseimbangan’ rakyat republik berkenaan.

Bandingkan dengan keadaan negara kita. Negara kita merupakan sebuah negara yang benar-benar pelbagai kaum kerana jumlah kaum Bumiputera dengan bukan Bumiputera adalah hampir seimbang. Namun begitu, antara Bumiputera dan bukan Bumiputera ini sendiri kita terdiri daripada pelbagai kaum yang sama sekali berbeza bahasa, budaya dan agama antara satu sama lain seperti Melayu, Orang Asli, Dayak Sarawak, Melanau, Kadazan-Dusun-Murut, Bajau, Cina, India dan lain-lain. Namun begitu, pemilikan dan agihan kekayaan penduduknya adalah tidak setara antara kaum. Justeru itu, tidak seperti Singapura, setiap dasar dan polisi pembangunan yang diambil oleh Kerajaan negara kita perlu dilaksanakan dengan cukup berhati-hati dengan mengambil kira sensitiviti semua penduduknya khususnya daripada kumpulan kaum minoriti.



Kesimpulannya, memajukan sebuah bandaraya yang telah sedia membangun tidak boleh disamakan dengan cabaran membangunkan sebuah negara yang benar-benar multi-etnik dan secara geografinya terpisah pula oleh oleh Laut China Selatan. Sekiranya benar kita ingin mencontohi Singapura untuk maju, adakah golongan yang mengaku Malaysian First ini akan menyokong pembentukan Sekolah Satu Aliran? Rasanya mereka sendiri sedar bukan semua acuan pembangunan mengikut model Singapura bersesuaian untuk dilaksanakan di negara kita.

Namun begitu, tidak dinafikan terdapat beberapa aspek yang boleh dipelajari daripada republik berkenaan. Antaranya adalah mewajibkan program kerahan tenaga/khidmat negara bagi melahirkan rakyat yang berdisiplin, dasar dan usaha membasmi amalan rasuah, tegas terhadap institusi yang memanipulasi agama, pembangunan bandar dan perumahan yang terancang dan sebagainya. Namun begitu, dalam memandang kepada kemajuan negara luar, janganlah kita bertindak sehingga ke tahap memburukkan dan menjatuhkan maruah tanahair sendiri.





Baca juga artikel-artikel lama berkaitan Singapura :







Friday, July 3, 2015

Pulau Timor dan Kaitannya Dengan Melaka





Mungkin ramai yang tidak maklum, di sebuah wilayah kecil yang terdapat di pulau Timor Barat, Nusa Tenggara Timur, Indonesia, yang bersempadan dengan negara Timor Leste, terdapat sebuah Kabupaten yang bernama Malaka. Mendengar namanya sahaja sudah seakan-akan nama Negeri Melaka. Apa yang menarik adalah nama Kabupaten Malaka dipulau Timor ini memang berkait dengan Negeri Melaka iaitu berdasarkan lagenda sejarah penduduknya.

Di wilayah Kabupaten ini, kebanyakan penduduknya adalah etnik/suku Tetun. Tradisi lagenda yang dipegang oleh masyarakat di sini adalah mereka merupakan waris keturunan daripada ‘Sinan Mutin Melaka’, iaitu pedagang berkulit cerah yang datang dari Melaka. Sekumpulan pedagang ini dikatakan belayar dari Melaka bagi mencari penghidupan baru. Dengan membawa pelbagai barangan suci dan berharga dari tanahair mereka, kapal mereka akhirnya sampai ke selatan Belu. Pendatang ini kemudian mengalahkan penduduk asli yang dikenali sebagai Ema Melus sebelum meluaskan pengaruh mereka di sana.

Para pendatang dari Melaka ini kemudian telah menubuhkan Kerajaan Wehali, Wewiku dan Haitimuk. Kerajaan Wehali, dikenali juga dengan nama Wewiku-Wehali atau Wesei Wehali, diketuai oleh pemerintah yang bergelar ‘Maromak Oan’. Anak kepada kerabat Wehali ini kemudian turut menubuhkan sebuah lagi kerajaan di Fatuaruin dengan pemerintahnya bergelai ‘Liurai’. ‘Maromak Oan’ lebih berperanan sebagai simbol spiritual sementara ‘Liurai’ melaksanakan urusan pemerintahan.

Penulis pernah bertanya kepada Dr. Hans Hägerdal, seorang Profesor Madya dalam bidang sejarah dari School of Cultural Sciences, Linnaeus University, Växjö, Sweden, yang juga penulis buku 'Lords of the Land, Lords of the Sea' yang banyak menghuraikan sejarah berkaitan Pulau Timor. Persoalan penulis adalah, disebabkan ‘Sinan Mutin Melaka’ ini dikatakan sebagai datang dari Melaka, adakah terdapat kemungkinan Kerajaan-kerajaan yang ditubuhkan di pulau Timor ini merupakan kalangan kerabat Kesultanan Melaka yang terpaksa mengundurkan diri akibat serangan Portugis? Walau bagaimanapun, beliau menafikan pandangan penulis.

Beliau menjelaskan lagenda masyarakat di sana tidak ada menyatakan bahawa kedatangan pedagang dari Melaka ini disebabkan oleh serangan Portugis. Selain itu, terdapat juga kisah lain yang menyatakan bahawa masyarakat Belu sebenarnya merupakan keturunan dari Jailolo, kepulauan Maluku. Berkemungkinan lagenda yang menyatakan bahawa nenek moyang mereka datang dari Melaka adalah disebabkan status Melaka yang amat tinggi di Asia Tenggara pada zaman silam berbanding dengan sejarah realiti sebenar. Jika ada pun penghijrah dari Melaka, berkemungkinan hanya dalam jumlah yang kecil sahaja memandangkan Bahasa Melayu dan Bahasa Tetun juga tidak berkait rapat.

Tetapi beliau juga ada memberikan satu maklumat menarik bahawa seorang penulis Belanda yang bernama H.J. Grijzen pada tahun 1904 mendapati bahawa adat orang-orang Melaka dan penduduk selatan Belu adalah sama di antara satu sama lain. H.J. Grijzen merupakan penulis buku 'Mededeelingen omtrent Beloe of Midden-Timor'.

Pada tahun 1916, para pemerintah Wehali, Wewiku, Haitimuk, Fatuaruin, Lalekun, Dirma dan Mandeu telah sepakat untuk menyatukan wilayah-wilayah mereka dalam suatu Swapraja (Kerajaan). Nama yang dipilih bagi Swapraja mereka adalah Malaka! Pada 7 Januari 1916, Residen Timor mengajukan surat usulan pembentukan Swapraja Malaka. Walau bagaimanapun, pada tahun 1924, penjajah Belanda telah menghapuskan Swapraja Malaka yang hanya sempat diperintah oleh dua orang Raja dan seterusnya menggabungkannya dengan Swapraja Belu Tasifeto membentuk Swapraja Belu.

Setelah Indonesia mencapai kemerdekaan, kesemua Kerajaan dan Kesultanan yang ada (kecuali Kasultanan Yogyakarta di pulau Jawa) telah dihapuskan memandangkan Indonesia telah memilih untuk menjadi sebuah republik. Oleh yang demikian, status Swapraja Belu kemudian telah diubah menjadi Kabupaten Belu.

Walau bagaimanapun, pada penghujung tahun 2012 dan awal tahun 2013 yang lalu, Kabupaten Belu telah dipecahkan dan nama Malaka sebagai sebuah Kabupaten di pulau Timor kembali timbul dalam peta Indonesia pada hari ini.


Swapraja : Wilayah jajahan Belanda di Hindia Timur yang berbentuk monarki dan diperintah oleh Raja-raja tempatan.

Kabupaten : Seperti Residensi/Bahagian di Negeri Sabah dan Sarawak. Diperintah oleh seorang Bupati.

Tuesday, May 26, 2015

Keturunan Makassar, Bukan Bugis

Sebatang jalan yang menghubungkan Kota Makassar dengan Kabupaten Gowa di Sulawesi Selatan mengabadikan nama Tun Abdul Razak. Papan tandanya turut ditulis dalam ejaan Lontara




Jika ditanya pada kelompok generasi emas di negara kita berkenaan dengan mantan Perdana Menteri yang ke-2, majoriti daripada mereka akan menyanjung tinggi kepimpinan Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Allahyarham Tun Abdul Razak dikenali sebagai seorang pemimpin yang sangat teliti dan cermat dalam membelanjakan peruntukan Kerajaan semasa menjadi Perdana Menteri. Selain daripada itu, beliau juga dihormati di kalangan penjawat awam kerana tidak akan sewenang-wenangnya menyalahkan mana-mana pihak sebagai ‘kambing hitam’ sekiranya berlaku sebarang kelemahan dalam urus tadbir negara. Sifat tegas tetapi mesra dan down to earth beliau dalam berurusan dengan rakyat jelata inilah yang menyebabkan beliau mendapat sokongan meluas sehingga digelar sebagai Bapa Pembangunan. 
 
Sikap prihatin Allahyarham Tun Abdul Razak terhadap situasi sebenar kesusahan rakyat sewaktu negara masih diperingkat awal kemerdekaan dahulu sebenarnya telah dibentuk sejak beliau kecil lagi. Dikhabarkan sewaktu masih bersekolah, beliau sanggup berkaki ayam daripada berkasut agar rakan-rakannya yang rata-ratanya datang daripada kalangan keluarga miskin dan berkaki ayam ke sekolah tidak berasa terasing dengannya. Walaupun sebenarnya allahyarham Tun Abdul Razak berkemampuan kerana merupakan anak kepada Orang Kaya Indera Shahbandar ke-9 iaitu Allahyarham Dato’ Hussein bin Muhammad Taib. 
 
Gelaran Orang Kaya Indera Shahbandar merupakan satu gelaran bangsawan di Negeri Pahang yang boleh dilantik secara turun temurun kepada pewarisnya. Selain itu, allahyarham Tun Abdul Razak juga dikatakan waris keturunan Raja Gowa ke-19 iaitu I Mappadulu Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone Sultan Abdul Jalil Tuminanga ri Lakiyung, yang memerintah Kerajaan yang berlokasi di Sulawesi Selatan pada tahun 1677-1709.  
 
Berhubung status beliau yang berketurunan daripada Raja Gowa inilah yang menyebabkan penulis ingin memberikan pandangan berbeza bahawa Allahyarham Tun Abdul Razak sebenarnya berdarah campuran Makassar, dan bukannya Bugis. Ini kerana Kerajaan Gowa merupakan salah sebuah Kerajaan etnik (atau suku dalam Bahasa Indonesia) Makassar. Di Sulawesi Selatan, Kerajaan suku Makasar adalah Gowa dan Tallo, sementara Kerajaan-kerajaan suku Bugis yang pernah wujud pula adalah seperti Bone, Soppeng, Wajo dan Luwu. Di negara kita, masyarakat secara umumnya memang akan melabel semua keturunan Melayu Anak Dagang yang mempunyai darah campuran dari Sulawesi sebagai Bugis. Namun begitu, di Indonesia, Bugis dan Makassar merupakan dua kelompok etnik yang berbeza. Rujukan ini juga boleh dibuat dalam buku Ensiklopedi Suku Bangsa di Indonesia susunan Zulyani Hidayah (1997) terbitan LP3ES.

Sensus (Bancian) Republik Indonesia Tahun 2010 yang mengasingkan suku Bugis dengan suku Makassar sebagai dua etnik yang berbeza

 



Sedikit kisah menarik berkenaan dengan sejarah Raja-raja Gowa. Dalam senarai Raja-raja Gowa, terdapat seorang rajanya yang pernah dipaksa untuk turun daripada takhta akibat desakan rakyatnya iaitu I Tepu Karaeng Daeng Parabbung. Raja ini menaiki takhta Kerajaan dalam usia yang amat muda. Baginda memerintah sesuka hati dengan tindakannya banyak mendatangkan kesusahan kepada rakyat serta memberikan kerugian kepada negerinya. Tindakan demi tindakan Raja Gowa berkenaan yang tidak lagi mampu diterima oleh rakyatnya menyebabkan mereka akhirnya bangun untuk melakukan pemberontakan. I Tepu Karaeng bukan sahaja terpaksa turun daripada takhtanya, malahan lebih malang turut dibuang negeri ke Luwu hingga baginda digelar sebagai Karaeng Tunipasulu yang bermaksud ‘Raja yang diusir dari negerinya’. Sementara Raja Gowa yang terkenal pula tidak lain dan tidak bukan adalah Sultan Hasanudin yang masyhur dengan keberaniannya menentang penjajah Belanda.


 

 


Oleh yang demikian, sekiranya terdapat waris Allahyarham Tun Abdul Razak yang kurang arif mengenai sejarah dan berbangga mengatakan dirinya sebagai berdarah Bugis, mungkin kita boleh menegur dan memaklumkan kepadanya bahawa keturunan Raja Gowa sebenarnya adalah dari suku (etnik) Makassar!

Wednesday, May 20, 2015

Penyelesaian Isu Rohingya : Contohi Formula Malaysia




Jika ditanya kaum manakah yang paling malang di dunia ketika ini, sudah pasti jawapannya adalah Rohingya. Mereka inilah sebenar-benarnya contoh warganegara yang dilayan sebagai kelas kedua oleh Kerajaan negara mereka. Malahan lebih teruk lagi, tidak diiktiraf langsung sebagai warganegara oleh Junta tentera Myanmar. Penderitaan mereka kalaupun tidak setara, mungkin lebih teruk daripada nasib penduduk asal yang dijajah seperti Palestin, Melayu-Patani dan sebagainya.    
 
Jika ditelusuri sejarah kewujudan kaum Rohingya di Myanmar, mungkin terdapat sedikit persamaan dengan sejarah kewujudan negara kita. Secara ringkasnya dapat diterangkan, pada era zaman penjajahan dahulu, Myanmar (atau Burma) adalah sebahagian daripada empayar British-India. Justeru itu, tidak menghairankan sekiranya wujud kaum Rohingya yang lahir dan membesar di wilayah Arakan/Rakhine, Burma, yang terletak bersempadan dengan wilayah Bengal (Bangladesh dan East Bengal) tetapi mereka berketurunan Benggali. Bahasa dan budaya kaum Rohingya adalah lebih hampir dengan Benggali berbanding Burma. Namun begitu, untuk mendakwa bahawa kesemua Rohingya adalah Benggali dan hanya wujud mulai era penjajahan British di India dan Myanmar adalah tidak tepat kerana terdapat rekod yang menunjukkan kewujudan mereka lebih awal sebelum itu di Arakan. Maklumat lanjut boleh dirujuk pada buku Air Mata Kesengsaraan Rohingya (seperti dia atas) tulisan Azharudin Mohamed Dali dan Azalinariah Abdullah terbitan Inteam Publishing yang menerangkan perkara ini dengan lebih terperinci.
 
 


Sama seperti negara kita yang pernah dijajah British satu ketika dahulu, penjajah British telah membawa masuk ramai imigran dari tanah jajahannya di India serta selatan China untuk bekerja sebagai buruh di Tanah Melayu. Namun begitu, untuk mengatakan bahawa kaum Cina dan India hanya mula wujud di Tanah Melayu ketika era penjajahan British juga adalah tidak tepat kerana kewujudan kaum Cina dan India telah dapat dikesan sejak era Kesultanan Melayu Melaka lagi. Bezanya adalah kehadiran awal kaum Cina dan India di Tanah Melayu, mereka telah berasimilasi dengan penduduk setempat hingga melahirkan kaum peranakan seperti Baba-Nyonya, Chettiar, dan sebagainya berbanding dengan gelombang kedua kehadiran kaum Cina dan India yang tidak berasimilasi dengan budaya tempatan.      
 
Ketika negara kita ingin mencapai kemerdekaan, salah satu isu yang timbul adalah berkenaan dengan nasib, kebajikan serta masa depan imigran dari China dan India di Tanah Melayu. Namun begitu, atas dasar budi bicara dan tolak ansur oleh Kerajaan yang diterajui oleh bumiputera tempatan, mereka telah sanggup berkorban dengan menerima kaum Cina dan India yang berbeza sama sekali bahasa, budaya dan agama sebagai saudara mereka di dalam negara Malaya yang merdeka. Biarpun tindakan tersebut telah mengakibatkan demografi mereka sebagai kaum majoriti turun mendadak dalam masa semalaman sahaja. Lebih luar biasa, kaum-kaum imigran ini tidak dipaksa untuk berasimilasi dengan budaya tempatan. Tidak perlu menukar nama Liem Siow Liong menjadi Sudomo Salim sebagaimana di Indonesia, tidak perlu meminda nama Lin Minda menjadi Sondhi Limthongkul sebagaimana di Thailand. Hanya diminta agar kaum-kaum imigran ini dapat berintegrasi dan menghormati bumiputera tempatan serta menumpahkan taat setia mereka kepada negara ini sebagai tanah tumpah darah mereka. Tidak ada pun orang Melayu yang bising dan sibuk meminta supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat pemberian kad pengenalan IC secara besar-besaran kepada kaum-kaum imigran ketika kemerdekaan. Tetapi sebagai galang gantinya, kaum Melayu diberikan hak keistimewaan di dalam beberapa perkara untuk melindungi kebajikan dan kepentingan mereka sebagai pribumi asal.   
 


Berbeza dengan negara Burma yang merdeka pada 04 Januari 1948 dan kemudiannya menukar nama negara mereka kepada Myanmar. Mereka enggan mengiktiraf kewujudan Rohingya yang dianggap sebagai kaum pendatang dari Bangladesh, sedangkan kaum Rohingya ini lahir dan tinggal di wilayah Arakan. Salah satu faktor adalah disebabkan perbezaan bahasa, budaya serta agama kaum Rohingya selain daripada jumlah kaum mereka yang ramai dibimbangi akan menjejaskan demografi Myanmar. Keadaan ini telah menyebabkan kaum Rohingya menjadi rakyat tanpa warganegara yang terpaksa menagih simpati negara-negara berjiran untuk mengelakkan diskriminasi oleh penduduk Myanmar. Ini kerana berikutan status mereka yang tidak diiktiraf sebagai warganegara di negara sendiri, mereka telah ditindas dengan begitu teruk, dirogol dan dibunuh  sesuka hati tanpa sebarang pembelaan.

Memandangkan negara kita secara kebetulan telah dilantik sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, sewajarnya negara kita bertegas supaya Myanmar menyelesaikan isu pelarian Rohingya ini dengan tegas dan bukannya melepaskan tanggungjawab berkenaan kepada negara lain seperti Bangladesh, Malaysia atau Indonesia untuk menerima dan menjaga kebajikan rakyat mereka. Aung San Suu Kyi yang selama ini berbangga sebagai penerima Anugerah Nobel Keamanan perlu didesak agar menyatakan pendirian berhubung status rakyat Myanmar ini yang dinafikan hak kewarganegaraan hanya kerana perbezaan warna kulit, bahasa dan agama. Jalan penyelesaiannya? Apa kata diikuti contoh formula Malaysia.

Berikan status kewarganegaraan Myanmar kepada penduduk Rohingya ini. Tetapi pada masa yang sama, kaum Burma diberikan kelebihan hak keistimewaan untuk melindungi kepentingan mereka sebagai kaum majoriti berbanding kaum Rohingya. Pemberian hak keistimewaan kepada sesuatu sesuatu kaum ini walaubagaimanapun bukanlah bermaksud kaum yang lain boleh ditindas dengan sewenang-wenangnya. Ini kerana di negara kita, walaupun kaum Bumiputera seperti Melayu, Orang Asli, Dayak Sarawak, Kadazan-Dusun-Murut dan sebagainya diberikan hak keistimewaan dan kelebihan berbanding kaum-kaum lain, namun hak kaum-kaum bukan bumiputera tetap dihormati dan dilindungi. Sebagai contoh, sehingga kini Kerajaan Pusat masih bertegas mempertahankan kewujudan sekolah vernakular bersama-sama akhbar bukan berbahasa Melayu dan persatuan-persatuan suku kaum Cina bagi menghormati hasrat kaum minoriti keturunan imigran yang masih kental ingin mempertahankan warisan budaya dan bahasa asal nenek moyang mereka.


 

Oleh itu, kepada pihak-pihak yang seringkali gemar mengapi-apikan isu perkauman dengan mendakwa mereka warganegara kelas kedualah, ketigalah, dan sebagainya, ingatlah bahawa negara Malaysia yang tercinta ini ditubuhkan dan dibangunkan atas dasar semangat persaudaraan, perjanjian persefahaman dan tolak ansur antara kaum. Sekiranya benar mereka dilayan sebagai warganegara kelas kedua selama ini, sudah tentu mereka senasib dengan kaum Rohingya yang terapung-apung di lautan menanti ehsan negara-negara asing yang sudi menerima kehadiran mereka. Sedangkan realitinya di Malaysia, jika dilihat pada senarai bilionair di negara ini, majoritinya adalah terdiri daripada kaum bukan Bumiputera!

Walau apa pun, penyelesaian yang dicadangkan dalam artikel ini bagi mengatasi isu masalah pelarian Rohingya ini tetap akan tinggal cadangan sahaja, kerana seperti kata mendiang Tun V.T. Sambathan, tiada bangsa lain di dunia ini yang bertoleransi seperti bangsa Melayu di Malaysia yang sanggup menerima jutaan rakyat imigran yang berbeza bangsa, bahasa dan agama sebagai rakyat negara mereka dan hidup bersama secara perkongsian kuasa.