Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Thursday, December 28, 2017

Catatan Perjalanan : Thailand

 Di hadapan Royal Mausoleum di tengah-tengah kota Bangkok

Ketika kecil, lagu ‘Made in Thailand’ yang menjadi lagu latar sebuah filem tahun 80-an iaitu Keluarga 99 iaitu dalam babak melancong ke kota Bangkok menjadi pengenalan kepada penulis mengenali negara Thai. Ketika di bangku persekolahan, penulis pernah salah faham dengan menyangka nama ibu negara Thai diambil dari perkataan Melayu iaitu ‘bengkok’. Ketika di Sekolah Menengah, baru penulis sedar bahawa pernah wujud sebuah negeri Melayu-Islam di luar sempadan semenanjung Malaysia iaitu Negeri Patani Darussalam. Dan minat untuk menyelami sejarah Thailand semakin memuncak apabila mengetahui sejarah Chaiya (Jaya / Cahaya) dan Nakhon Si Thammarat (Negara Sri Dharmaraja / Tambralinga / Ligor) berkait dengan sejarah Melayu. 

Namun rezeki untuk ke Thailand hanya dapat direalisasikan baru-baru ini apabila penulis mempunyai urusan di Chulalongkorn University (CU), universiti tertua dan terbaik di Thailand. Usai tugas, penulis mengambil kesempatan untuk menjelajah kesan-kesan sejarah di dua (2) buah kota bersejarah yang penting di Thailand iaitu Bangkok dan Ayutthaya.

Bergambar di atas sebuah candi di Ayutthaya

Thailand baru sahaja mengadakan majlis pembakaran mayat mendiang Raja mereka iaitu mendiang Raja Bhumiphon Adulyadej. Di tengah-tengah bandar Bangkok, iaitu berhampiran dengan Grand Palace dan National Museum of Bangkok, didirikan satu binaan yang pada pandangan penulis amat gah bagi tujuan upacara tersebut, yang dapat menggambarkan betapa hormatnya rakyat Thai yang amat-amat memuliakan raja mereka.

Tentera Thai berpakaian seragam bermain peralatan muzik seakan-akan gamelan di perkarangan kawasan Royal Mausoleum

Thailand mempunyai undang-undang yang amat ketat terhadap mana-mana individu yang didapati menghina Raja Thai atau kerabatnya menerusi undang-undang yang dikenali sebagai Lese-majeste. Perkara ini memang diketahui umum. Namun ketika kunjungan penulis ke sana, penulis dapat menemui sisi lain mengapa rakyat Thai amat-amat menghormati raja mereka, lebih spesifik lagi, Raja Bhumiphon Adulyadej.

Mendiang Raja Bhumiphon Adulyadej rupa-rupanya amat-amat mengambil berat hal berkaitan pertanian, yang merupakan sektor utama penduduk Thai khususnya di kawasan luar bandar. Perkara ini berkait rapat dengan wasiat ibunya, yang diterjemah dalam bahasa Inggeris sebagai “Actually, your name is Bhumiphon, which means ‘strength of the land’. I would like you to stay grounded”. Kata-kata inilah yang menjadi pegangan mendiang Raja Thai agar sentiasa merendah diri dan bekerja keras untuk rakyatnya. Beliau dilihat kerap turun padang untuk meninjau sendiri kesusahan dan keadaan pembangunan sektor pertanian yang diusahakan oleh rakyatnya dan perkara ini amat-amat disanjungi oleh rakyat Thai.

Thailand juga mempunyai populasi masyarakat Cina yang agak besar. Tetapi sukar untuk mengenalpasti dan membezakan mereka daripada masyarakat Thai. Menurut Mohamed Mustafa Ishak (2014), masyarakat Cina mudah untuk berasimilasi menjadi masyarakat Thai sepenuhnya kerana mereka mempunyai persamaan agama dengan masyarakat Thai, iaitu agama Buddha. Disebabkan itu jugalah, amat-amat mustahil untuk menemui lagi ‘Isthmian Malay’ yang beragama Buddha di kawasan segenting Kra/selatan Siam. Berdasarkan pengamatan penulis, benarlah apa yang di baca sebelum ini bahawa agama Buddha amat penting kepada masyarakat Thai sebagaimana agama Islam amat penting kepada masyarakat Melayu.

Bergambar dalam kawasan Wat Arun

Kota Bangkok juga mempunyai masyarakat Melayu, yang telah di bawa ke sana secara berperingkat sejak awal zaman Dinasti Chakri lagi. Pada awalnya, mereka di bawa sebagai tawanan perang yang berperanan sebagai buruh paksa, disamping untuk menambahkan populasi penduduk. Kebanyakan daripada masyarakat Melayu di sini berasal dari Patani. Apabila menemui wanita Thai berwajah Melayu yang bertudung terutama di kedai makan, sengaja penulis bertutur dalam bahasa Melayu. Kebanyakan yang masih boleh bertutur dalam Bahasa Melayu merupakan masyarakat Patani yang baru sahaja berhijrah ke kota ini. Sementara ada juga yang penulis temui, langsung tidak lagi boleh berbicara dalam bahasa Melayu. Mungkin mereka merupakan generasi ke-2 atau ke-3 masyarakat Melayu yang telah lama mendidiami kota ini.

Majoriti masyarakat Melayu yang penulis temui di kota ini terlibat dalam sektor sajian iaitu restoren bagi memenuhi keperluan makanan halal khususnya oleh para pelancong dari negara-negara Islam. Tetapi penulis rasakan masyarakat Melayu di Thailand boleh meneroka sektor pelancongan dengan menawarkan pakej-pakej pelancongan halal yang bersesuaian khususnya bagi memenuhi keperluan pelancong dari Malaysia dan Indonesia yang mempunyai persamaan bahasa.

Terdapat banyak kedai makan Melayu-Islam di sepanjang jalan Masjid Darul Aman ini

Ini kerana bahasa merupakan masalah utama di Thailand. Berdasarkan pengalaman penulis, majoriti rakyatnya tidak begitu fasih dalam bahasa Inggeris, bahkan untuk membaca dalam tulisan rumi juga mereka agak sukar. Sedikit tips kepada mereka yang berhasrat untuk melawat Thailand, kebiasaannya di hotel-hotel, disediakan satu kad dalam bahasa Thai bagi meminta pemandu teksi dan sebagainya untuk menghantar anda kembali ke hotel berkenaan. Pastikan anda menyimpan kad ini kerana kebiasaannya sebutan Inggeris untuk hotel tersebut berbeza dengan sebutan dalam Thai, dan kadangkala pemandu juga hanya boleh membaca dalam tulisan Thai.        
  
Boleh faham apa yang dinyatakan dalam bahasa Melayu ini?
   

Untuk catatan bergambar lain, sila rujuk ke link di FB :

1.    Siapa Sebenarnya Watak Dalam Gambar Siam Berkeris?

2.    Dua (2) Artifak Penting Melayu di Kota Bangkok

3.    Penduduk Melayu di dalam Kerajaan Ayutthaya

4.    Makassar Revolt 1686

5.    Artifak Warisan Srivijaya di National Museum, Bangkok

6.    Dua (2) Mantan Menteri Berketurunan Melayu Dalam Kabinet Thai


Monday, December 4, 2017

Catatan Perjalanan : France

Menara Eiffel Tower, Paris

Setelah sehari di Belgium, keesokan harinya penulis bertolak ke Paris, France, juga menerusi perkhidmatan Thalys Train dari Brussels, Belgium. Paris seperti diketahui amat terkenal sebagai sebuah ibukota romantis menerusi simbolnya yang terkenal di serata dunia iaitu Eiffel Tower. Ketibaan penulis tiba France bermula di Stesen Gare Du Nord. Agak mengejutkan apabila melihat wajah pelbagai bangsa di stesen berkenaan, terutamanya masyarakat berkulit hitam yang agak ramai di sana.

Salah satu perkara yang perlu diberikan perhatian di kota ini adalah hal keselamatan, khususnya jika anda hadir berseorangan. Selalunya anda akan menjadi sasaran dengan ditegur oleh seseorang dengan sapaan “excuse me” atau “Hello, English sir?”, seolah-olah ingin bertanyakan sesuatu atau untuk mengisi kertas oleh seseorang yang tidak dikenali. Jika dilayan, dalam sekelip mata tiba-tiba anda akan dikerumuni oleh sekumpulan orang dan tanpa disedari, beg atau barang-barang berharga anda boleh hilang dalam sekelip mata tanpa anda mampu mengenalpasti siapa yang mengambilnya.

Berdasarkan wajah mereka yang tidak terlalu Caucasian, penulis merasakan golongan ini mungkin merupakan pendatang tanpa izin yang berada di kota ini tetapi terpaksa melakukan jenayah tersebut demi kelansungan hidup. Seperti di Britain, isu kedatangan pendatang yang tidak terkawal hingga mengubah landskap wajah Paris dan France menjadi negatif ini merupakan salah satu hujah yang digunakan oleh pihak-pihak tertentu yang menginginkan agar France menuruti jejak langkah Britain dengan keluar dari Kesatuan Eropah (EU).

Arc De Triomphe

Selain masalah jenayah seperti di atas, satu lagi masalah yang dihadapi oleh penulis adalah untuk berkomunikasi dengan masyarakatnya. Sesetengah masyarakatnya mempunyai persepsi yang tinggi terhadap bahasa ibunda mereka (Bahasa Perancis) dan tidak akan melayan sekiranya anda bertutur dalam bahasa Inggeris. Jadi apa yang harus dilakukan sekiranya mengalami situasi seperti ini? Maka bercakaplah dalam bahasa ibunda anda sendiri. Jika Melayu, ucapkan ‘Bonjour!’ terlebih dahulu dan kemudian bertanyalah dalam Bahasa Melayu, jika pandai ngomong Jawa, maka bercakaplah bahasa Jawa. Kebiasaannya, selepas itu baru mereka akan membalas dan bertanya kembali dalam bahasa Inggeris kepada anda.



Bercerita mengenai bahasa, walaupun France tidak pernah menjajah negara kita, namun mereka tetap terkait dengan sejarah di semenanjung yang mungkin tidak diketahui umum. Menurut Claude Guillot, sewaktu Phya Thaksin merampas kuasa di Siam pada tahun 1799, sekumpulan missionari Kristian berbangsa Perancis terpaksa melarikan diri ke semenanjung dan mereka kemudian telah dijemput oleh Francis Light untuk tinggal di Pulau Pinang, sebuah pulau yang dirampas dari Kesultanan Kedah secara tipu muslihat. Di sana, mereka memulakan perancangan untuk menyebarkan dakyah Kristian di kalangan masyarakat tempatan. Salah satu usaha yang cuba dilakukan adalah dengan menerbitkan bahan-bahan bacaan Kristian dalam bahasa Melayu.

Kumpulan missionari Kristian berbangsa Perancis ini telah berusaha untuk mempelajari Bahasa Melayu serta menerbitkan kamus bagi memudahkan dakyah mereka. Apa yang menarik, menerusi kajian surat-menyurat yang dikirimkan ke Paris, para missionari ini mengakui kelebihan dan kepentingan bahasa Melayu sebagai lingua-franca di rantau Nusantara serta mudah untuk dipelajari berbanding dengan bahasa Latin. Kamus Melayu-Perancis yang bermutu akhirnya dapat juga dihasilkan tetapi agak lewat iaitu pada tahun 1875 oleh Pierre Favre, seorang Profesor yang juga bekas missionari Kristian.

Louvre Museum

Misi utama penulis di kota Paris ini pada asalnya adalah untuk meninjau artifak-artifak dari Nusantara yang mungkin tersimpan di Louvre Museum, muzium yang terkenal kerana menempatkan lukisan Monalisa serta antara yang terbesar. Namun atas sebab-sebab tertentu, hasrat tersebut terpaksa dibatalkan dan penulis kemudian mengubah haluan menuju ke Grand Mosque Paris.

France merupakan negara terakhir di Eropah dalam rangka lawatan penulis pada kali ini. Penulis kemudian menaiki Eurostar Train untuk kembali ke London untuk pulang semula ke tanahair menerusi penerbangan MAS di Lapangan Terbang Heathrow. Sesungguhnya benua Eropah ini sebenarnya menyimpan banyak bahan-bahan khazanah sejarah negara dan Nusantara yang masih boleh digali dengan mendalam. Namun kekangan masa dan kos banyak membantutkan hasrat penulis.  


Untuk catatan bergambar di Masjid Agung Paris, sila rujuk pautan di FB :

Grand Mosque of Paris


Akan datang, Catatan Perjalanan : Thailand 


Saturday, December 2, 2017

Catatan Perjalanan : Belgium

Setelah meluangkan masa hampir seminggu di Netherlands, penulis meneruskan perjalanan dengan menaiki Thalys Train untuk ke Brussels, Belgium, sebuah negara berjiran yang terletak bersebelahan dengan Netherlands. Belgium berkait rapat dan berkongsi hubungan sejarah yang cukup panjang dengan Netherlands. Kedua-dua negara ini pernah bersatu di bawah United Kingdom of the Netherlands tetapi tidak bertahan lama.

Bergambar di dalam kawasan Royal Palace of Brussels

Secara umum, Belgium terbahagi kepada dua, iaitu Flanders di bahagian utara dan bersempadan dengan Netherlands, penduduknya berbahasa Dutch. Sementara Wallonia di bahagian selatan dan bersempadan dengan France, penduduknya berbahasa France. Terdapat juga sebahagian kecil masyarakat yang berbahasa German di bahagian timur Wallonia dan bersempadan dengan German. Walaupun mempunyai warna kulit dan agama yang sama, tetapi sejak sekian lama, hubungan antara kedua-dua komuniti yang bebeza bahasa di Belgium ini sentiasa mengalami pasang surutnya.

Semasa Belgium mencapai kemerdekaannya dari Netherlands, masyarakatnya telah memilih sistem monarki berperlembagaan untuk menyatukan negara Belgium. Pada asalnya, salah seorang anak Raja Perancis telah dipilih untuk merajai Negara Belgium. Namun akhirnya, takhta Belgium telah dipegang oleh seorang kerabat German dari keluarga Saxe-Coburg and Gotha iaitu Leopold I.


Jadi apa kaitan antara monarki Belgium dan United Kingdom? Nama keluarga Saxe-Coburg and Gotha sudah cukup untuk memberikan penjelasan. Leopold I telah berkahwin dengan Charlotte, puteri King George IV, Raja Britain. Sementara keluarga Diraja British pada hari ini sendiri juga berasal dari kerabat Saxe-Coburg and Gotha dari German iaitu bermula dari Prince Albert yang merupakan suami kepada Queen Victoria. Namun ketika Perang Dunia ke-2, disebabkan sentiment anti-German yang cukup kuat, nama Saxe-Coburg and Gotha yang berbaur German telah digantikan dengan nama Windsor. Selain Britain dan Belgium, kerabat Saxe-Coburg and Gotha dari German ini juga pernah menjadi Raja di negara Portugal dan Bulgaria, namun pada hari ini kedua-dua negara tersebut telah menjadi Republik.

Ramai yang menjangkakan masa depan negara Belgium ini akan berakhir sebagaimana negara Czechoslovakia, sebuah negara Eropah yang penduduknya terdiri dari dua etnik utama yang berbeza dan akhirnya berpecah menjadi dua buah negara berdaulat iaitu Republik Czech dan Slovakia. Kewujudan monarki yang sepatutnya menjadi simbol perpaduan masyarakat Belgian nampaknya juga tidak terlalu menjadi sebagaimana yang dihasratkan oleh nenek moyang mereka. Jadi apa yang dapat menyatukan masyarakat Belgium?

Ketika perkara ini ditanya kepada beberapa orang tempatan (berkulit hitam, bukan kulit putih), mereka tersenyum dan tanpa ragu-ragu menjawab, “Football maybe?”. Ya, sukan bola sepak yang dapat menyatukan masyarakat mereka, buat masa sekarang. Pasukan bola sepak Belgium pernah menduduki ranking pertama FIFA sekitar awal tahun 2016, dan masih kekal dalam Top 10 serta layak ke Piala Dunia yang akan datang. Kewujudan para pemain berdarah campuran (kulit hitam dan Arab) dalam pasukan kebangsaan Belgium serta menjadi pemain harapan telah mencerminkan sendiri kepelbagaian wajah negara tersebut.


Selain itu, tidak dilupakan bahawa ibukota negara Belgium iaitu Brussels juga dianggap sebagai ibukota de facto untuk Kesatuan Eropah (EU) kerana banyak bangunan agensi-agensi di bawah EU berpusat di Brussels. Tidak seperti di wilayah Flanders atau Wallonia, penduduk di Brussels adalah pelbagai, termasuk juga pendatang kulit hitam yang boleh ditemui dengan mudah. Selain itu, terdapat juga pendatang (termasuk Muslim kerana bertudung) yang mungkin melarikan diri dari kawasan konflik asal mereka dan kemudian merempat di ibukota ini. Kadang kala penulis berasa kasihan juga melihat mereka meminta-minta sedekah dan wang dihulurkan sekadar yang termampu.


Walaupun kewujudan negara Belgium agak lewat, namun mereka masih mampu meluaskan kuasa hingga menguasai kawasan sebesar Congo di Afrika. Namun tidak seperti jiran mereka iaitu Netherlands, Belgium tidak mempunyai hubungan sejarah dengan Nusantara. Jadi hasrat untuk mencari sebarang kesan peninggalan sejarah dari Nusantara tidak berjaya di capai sepanjang penulis berada di negara berkenaan.     


Untuk catatan bergambar di Istana Brussels, sila rujuk pautan di FB :

Royal Palace of Brussels, Belgium


Akan datang, Catatan Perjalanan : France 


Friday, December 1, 2017

Catatan Perjalanan : Netherland

Selesai urusan di UK, penulis kemudian menaiki feri untuk ke Netherland. Perjalanan menerusi feri ini akan melalui Harwich di sebelah UK dan menyeberang selat Inggeris sebelum tiba di Rotterdam di sebelah Netherland. Rotterdam merupakan antara kota pelabuhan yang terbesar di Eropah. Perjalanan menaiki feri ini mengambil masa yang panjang iaitu hampir 8 jam dan tidak disyorkan untuk pengembara yang mempunyai kekangan masa.

Di atas feri menuju ke Rotterdam, Netherland 

Netherland lebih dikenali dengan nama Belanda di Nusantara. Kadang kala juga disebut juga sebagai Holland. Tetapi mana satu nama yang tepat, Netherland atau Holland? Penulis dimaklumkan Holland sebenarnya merujuk kepada 2 buah wilayah yang terdapat di dalam negara Netherland iaitu North Holland dan South Holland. Sebelum tertubuhnya United Kingdom of Netherlands sekitar tahun 1815, Napoleon Boneparte, Maharaja Perancis telah menubuhkan Kingdom of Holland, sebuah kerajaan boneka yang diperintah oleh adiknya iaitu Louis Boneparte. Nama kerajaan tersebut diambil dari nama wilayah utama kaum Belanda iaitu Holland. Namun pada hari ini, nama negara yang tepat yang sepatutnya digunakan adalah Netherland.

Replika kapal Belanda di Amsterdam

Penulis turut dimaklumkan bahawa muka bumi Netherland sebenarnya adalah rendah dengan sebahagian wilayahnya berada di bawah permukaan laut. Terdapat nama-nama bandar yang diasaskan berdasarkan nama empangan sungai seperti Rotterdam (Rotte river+Dam) dan Amsterdam (Amstel river+dam). Walaupun mempunyai kekurangan dari segi bentuk muka bumi, tetapi mereka bijak memanfaatkan sumber tenaga semula jadi murah yang dapat dijana menerusi windmill (kincir angin). Dengan menggunakan kepakaran mereka sebagai pelayar dan pembuat peta, bangsa Dutch mula membuat sendiri hubungan dagang dengan timur jauh menerusi penubuhan Dutch East India Company, memonopoli perdagangan rempah yang amat menguntungkan yang diperoleh dari wilayah Nusantara hingga mereka mampu mencapai satu era emas yang dikenali sebagai ‘Dutch Golden Age’.      

Windmill (Kincir Angin) yang terdapat di Zaanse Schaan)

Walaupun membina sebuah empayar besar dengan memiliki tanah jajahannya sendiri  di Amerika Selatan, Afrika dan Asia, namun mereka juga pernah melalui zaman gelap terutamanya sewaktu Perang Dunia ke-2. Ketika di Rotterdam, penulis dimaklumkan bandar tersebut pernah hampir musnah diratakan keseluruhannya akibat di bom oleh tentera Nazi German. Namun perkara yang perlu dipelajari adalah disiplin dan motivasi tinggi masyarakatnya yang mampu untuk membina semula negara mereka. Hari ini, bandar Rotterdam kembali pesat membangun.

Setelah hampir 3 hari di Rotterdam, termasuk sempat singgah sebentar di kota bersejarah Delft, barulah penulis bertolak ke Amsterdam. Selaras dengan kedudukan Belanda yang pernah menjajah Melaka dan Nusantara, terdapat banyak peninggalan dari Nusantara yang boleh diterokai dari muzium-muzium yang terdapat di ibu kota negara Belanda ini. Memandangkan penulis mempunyai kekangan masa, hanya Tropen Museum yang dipilih untuk dilawati memandangkan muzium tersebut menempatkan paling banyak artifak-artifak peninggalan dari Nusantara yang pernah mereka jajahi.

Aktiviti melibatkan kanak-kanak yang dijalankan di dalam Muzium Tropen

Menariknya di kota Amsterdam ini juga, terdapat sebuah restoren yang menempatkan masakan Malaysia, dimiliki oleh seorang rakyat negara kita yang berketurunan Cina. Restoren ini terletak tidak jauh dari Amsterdam Central. Penulis berasa amat seronok dapat menikmati masakan ala Malaysia serta dapat berbual dengan rakan senegara di bumi asing ini biarpun berlainan keturunan.   

Amsterdam Central yang menjadi tumpuan pengangkutan awam terletak di tengah-tengah bandar Amsterdam


Untuk catatan bergambar lain, sila rujuk pautan di FB :

1.    Masjid Fatih Amsterdam : Dulu Gereja, Kini Masjid

2.    Keris Tertua di Dunia, Ada di Tropen Museum, Netherland

3.    Tropen Museum IV

4.    Tropen Museum III

5.    Tropen Museum II

6.    Tropen Museum I

7.    Delft City, Netherland

8.    Rotterdam City, Netherland



Akan datang, Catatan Perjalanan : Belgium