Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Wednesday, June 22, 2011

Seperti Dijangka, Ultra-Kiasu Tunjuk Belang di Sarawak




Seperti yang telah penulis jangkakan sebelum ini, para ultra-Kiasu yang memenangi beberapa kerusi DUN Sarawak baru-baru ini terus menunjukkan penentangan secara halus terhadap budaya Malaysia yang berteraskan Melayu dan agama Islam. Dan perkara ini terbukti berlaku pada pembukaan sidang DUN Sarawak yang diadakan pada hari semalam apabila Wakil Rakyat dari DAP enggan memakai pakaian istiadat rasmi DUN.





Paling pelik, apabila Ketua DAP Sarawak, Wong Ho Leng, dilaporkan telah mempersoalkan pemakaian seragam rasmi dan songkok pada upacara pembukaan persidangan kerana menyifatkan ia sebagai menafikan kebebasan beragama dan hak asasi manusia. Artikel terdahulu penulis telah menerangkan secara panjang lebar bahawa bersongkok tidak semestinya melambangkan Islam. Apakah semua ADUN DAP Sarawak ini telah dijangkiti sindrom Islamophobia? Jika memakai songkok pun dikatakan menafikan hak asasi manusia, apakah selepas ini penggunaan Bahasa Melayu di DUN dan Parlimen juga akan dikatakan menafikan hak asasi manusia?

Jika penulis tidak silap, di Indonesia, songkok merupakan salah satu daripada komponen pakaian rasmi yang wajib dipakai oleh ahli Majelis Permusyawaratan Rakyat (MPR) pada majlis-majlis rasmi tertentu. Di Thailand pula, mereka turut mempunyai pakaian istiadatnya sendiri di Parlimen bagi menghormati Raja mereka yang hadir merasmikan sidang Parlimen negara mereka. Mantan Perdana Menteri Thai seperti Thaksin Shinawatra yang berdarah campuran Cina pun tidak pernah membuat tindakan bodoh menentang pemakaian istiadat itu. Pernahkah orang Melayu Muslim memboikot beramai-ramai pemakaian jubah pada majlis Konvokesyen universiti-universiti dalam negara atas alasan ia menyerupai jubah Paderi Kristian? Penulis memuji sikap matang 3 ADUN dari PKR dan seorang bebas yang tidak terikut-ikut dengan perangai hodoh para Ultra-Kiasu dari DAP ini.



Pakaian istiadat rasmi di Thailand


Selain daripada itu, penulis juga ingin menyentuh tentang tahap pemikiran beberapa pengunjung blog ini. Setiap kali penulis menyiarkan artikel yang menyentuh mengenai sikap angkuh golongan Ultra-Kiasu, mesti ada ‘Meleis’ yang terasa. Pelik sungguh, yang kena tegur, golongan Ultra-Kiasu. Yang kena marah, ahli DAP. Tetapi yang tiba-tiba melenting, segelintir ‘Meleis’. Apa kes ni? Bangga sangatkah para ‘Meleis’ ni menjadi manusia berjiwa pencacai? Lepas itu, tiba-tiba akan keluarlah segala komen yang berkaitan dengan konflik UMNO-PAS. Apakah kerana penulis menghentam DAP, maka segelintir pembaca terus membuat konklusi singkat, “Oh... Ibnu Rusydi ni agent penulis parti pemerintah kot?”. Para ‘Meleis’ ni memang sepanjang masa asyik berpolitik sahaja ke? Tidak bolehkah dalam masa satu minit, berfikir secara matang tentang artikel penulis dan keluar sebentar dari kepompong pemikiran UMNO-PAS? Penulis teringat pengalaman di Miri dan Sibu pada pilihanraya negeri yang lalu apabila berjumpa dengan segelintir Bumiputera Islam yang beriya-iya berkempen untuk calon-calon Ultra-Kiasu. Malangnya, mereka sendiri mengeluh dan merungut apabila golongan Ultra-Kiasu ini langsung tidak mahu membantu kempen calon-calon Bumiputera Islam yang turut bertanding. Apakah kita hanya berbangga menjadi pencacai dan pak turut kepada golongan Ultra-Kiasu ini?





Apa pun, penulis terus mengucapkan syabas kepada Tuan Speaker DUN Johor kerana hanya dia sahaja di Malaysia yang masih mempunyai keberanian untuk menegur dan bertindak tegas terhadap sikap golongan Ultra-Kiasu ini yang dengan sengaja tidak mahu menghormati majlis di DUN.

Saturday, June 11, 2011

Champa : Negara Melayu Yang Hilang Dari Peta Dunia




Ratusan tahun sebelum Bangsa Melayu menangisi kehilangan pulau Singapura, kita telah lama kehilangan satu wilayah yang cukup luas, iaitu hampir meliputi keseluruhan pantai timur Indochina. Lebih menyakitkan, wilayah tersebut menyimpan seribu satu rahsia dan bukti tamadun awal rumpun Melayu yang pernah menguasai hampir keseluruhan kawasan daratan dan perairan Asia Tenggara. Negara tersebut, tidak lain dan tidak bukan, adalah Champa, yang telah berhadapan dengan serangan dan migrasi besar-besaran secara berterusan selama ratusan tahun daripada satu kaum yang berasal dari selatan Negara China iaitu Dai-Viet. Kehilangan Champa sama seperti kehilangan Patani yang mewarisi keagungan Langkasuka juga akibat serangan dan migrasi berterusan daripada kaum Thai (Sukotai, Ayutthaya dan Chakri) yang juga berasal dari selatan China. Champa, atau apa jua panggilan kepadanya, seperti Lin Yi dan Houan-Wang (catatan China), Kembayat Negara (Syair Siti Zubaidah – Perang China), dan Tawalisi (catatan Ibnu Battutah) kini hanya tinggal sejarah dan penduduknya hidup bertaburan terutamanya di Vietnam serta Kemboja dan menjadi kaum minoriti di bumi sendiri.





Kali terakhir Champa berjaya bangkit membela nasib sendiri adalah semasa di bawah pemerintahan Raja teragung mereka iaitu Che Bo Nga, yang dinyatakan dalam lagenda Cham sebagai Binasuar, manakala Sejarah Dinasti Ming mencatatkan namanya sebagai Ngo-Ta-Ngo-Tcho, memerintah mulai sekitar tahun 1360 Masihi. Malangnya, kebangkitan Che Bo Nga ibarat seperti ‘sinar matahari yang penghabisan sebelum terbenam’. Di bawah pimpinan baginda, Champa kembali bangkit dari tahun 1361 hingga 1390 Masihi dengan melancarkan beberapa serangan balas kepada pihak Dai-Viet dan memenanginya. Malangnya, baginda akhirnya mangkat pada bulan Februari 1390 Masihi akibat pengkhianatan daripada salah seorang pengawalnya sendiri yang menyebabkan perahu baginda dikepung oleh tentera Vietnam. Apa yang menarik, kebanyakan pengkaji sejarah bersepakat bahawa Sultan Zainal Abidin, tokoh yang dinyatakan di dalam sebuah hikayat Melayu lama iaitu Syair Siti Zubaidah merujuk kepada Che Bo Nga itu sendiri, sedangkan kebanyakan pengkaji sejarah Barat bersetuju Raja-raja Champa hanya mula memeluk Islam bermula pada abad ke-17 iaitu berdasarkan catatan seorang paderi bernama M. Mahot yang bertugas di Champa pada tahun 1676 hingga 1678 Masihi dan mengatakan bahawa Raja dan sebahagian besar penduduk Negara Champa telah menerima agama Islam yang disebarkan oleh orang Melayu yang telah ramai berhijrah dan menetap di sana. Laporan Mahot ini telah disahkan oleh seorang paderi lain bernama M. Freet apabila dia menyaksikan sendiri keIslaman Raja Champa dan telah dihadiahkan sebuah Al-Quran.



Mahkota Kebesaran Champa


Maklumat mengenai Raja-raja Champa khususnya daripada riwayat tradisi Kelantan pula memberikan perspektif yang berbeza daripada sejarah umum kerana dinyatakan bahawa kebanyakan Raja-raja Champa semasa era Pandurangga (Phan Rang) sebagai ibukota telah beragama Islam dan mempunyai hubungan kekerabatan dan persaudaraan yang erat dengan Negeri-negeri Melayu di pantai timur semenanjung Tanah Melayu. Sebagai contoh, Raja Bo Tri Tri dikatakan adalah Wan Bo, anak kepada Ali Nurul Alam (Patih Majapahit Barat yang berpusat di Kelantan) serta cucu kepada Sayyid Hussein Jamadil Kubra, tokoh terulung penyebar syiar Islam di Nusantara. Wan Bo dikatakan telah meninggalkan Patani dan pergi ke Champa menjadi panglima perang untuk membantu bapa mertuanya iaitu Raja Chandranekalawa atau Ban-La-Tra-Toan menentang Dai-Viet. Selepas mengalami kekalahan dalam peperangan pada tahun 1471 Masihi, Wan Bo bersama-sama rakyat Champa yang lain telah berundur ke kawasan selatan yang berpusat di Pandurangga. Baginda kemudian diisytiharkan sebagai Raja Champa dengan gelaran Sultan Wan Abu Abdullah untuk menggantikan bapa mertuanya iaitu Ban-La-Tra-Toan yang telah ditawan dan mangkat dalam tahanan musuh. Pemerintahannya berakhir sehingga tahun 1478 Masihi dan digantikan oleh dua orang anak saudaranya iaitu Wan Abu Yusof dan kemudiannya Wan Abdul Kadir atau Kou Lai (1478-1515 Masihi).

Riwayat Kelantan juga menyatakan bahawa Datu wilayah Jambu yang juga pemangku Sultan Patani iaitu Datu Nik Musthapa telah kembali ke Champa bagi membebaskan bumi Melayu-Islam tersebut daripada pencerobohan rejim Nguyen pada tahun 1570. Raja Champa, Sultan Yaakub Syahibuddin yang sudah sangat lanjut usianya telah ditawan dan mangkat dalam kurungan sangkar besi semasa diarak ke Kota Hue. Pada tahun 1577, Datu Nik Mustapha membawa 10,000 orang tentera Patani dan bersama anak saudaranya Sultan Adiluddin yang membawa 5,000 orang tentera Kelantan bertolak dari kota Pengkalan Datu, Kelantan dan menyerang Dai-Viet untuk merebut kembali Pandurangga. Sebahagian besar dari bumi Champa yang telah jatuh ke tangan Dai-Viet sejak tahun 1471 Masihi telah dapat dikuasai semula sehingga hampir ke Kota Hue. Setelah peperangan tamat dalam tahun 1580, Datu Nik Mustapha telah ditabal menjadi Raja Champa dengan gelaran Sultan Abdul Hamid Syah. Di kalangan orang-orang Cham dan Vietnam, baginda lebih dikenali degan pangilan Po Rome, manakala orang-orang Kemboja memanggil baginda Ong Tpouo.

Walaubagaimanapun, dalam tahun 1684 Masihi, Champa telah kalah dalam peperangan dengan Dai-Viet dan Negeri Kelantan telah dibanjiri oleh pelarian dari Champa termasuklah rajanya sendiri iaitu Po Ibrahim (Po Nrop). Po Ibrahim kemudian telah berangkat bersama pengikutnya meninggalkan Kelantan dan berpindah ke Kampong Brek Bak di dalam wilayah Cham di Kemboja untuk meneruskan penentangan terhadap Dai-Viet. Putera kepada Po Ibrahim iaitu Wan Muhammad telah diangkat oleh Dai-Viet menjadi Raja Champa bergelar Po Jatamuh setelah baginda bersedia mengakui untuk membayar ufti kepada Kerajaan Nguyen.

Setelah Po Jatamuh mangkat, kekandanya iaitu Wan Daim yang sebelum itu merupakan Datu Negeri Jambu telah diangkat menjadi Raja Champa bergelar Po Top. Dalam tahun 1692, baginda cuba memberontak terhadap regim Nguyen setelah membuat pakatan dengan ayahandanya Po Ibrahim yang sedang berada di Kemboja dan kemudian terjadilah serangan serentak di dalam negeri dan perbatasan Kemboja. Walaubagaimanapun, Wan Daim tewas dalam peperangan tersebut dan berundur kembali bersama keluarganya ke Patani, sementara ayahandanya Po Ibrahim yang telah tua mangkat di Kemboja dan dimakamkan di Kampong Brek Bak. Raja-raja Champa selepas itu tidak lagi memiliki kedaulatan sehinggalah Kerajaan Champa dihapuskan sepenuhnya di bawah pemerintahan rajanya yang terakhir iaitu Po Chong Chan.





Sejarah kemegahan dan tamadun Champa yang cukup panjang iaitu memakan masa ratusan tahun tidak cukup untuk diulas dan dimuatkan semuanya dalam ruangan artikel yang terhad ini. Namun begitu, ianya bagaikan tidak bermakna pada hari ini kerana hanya tinggal sisa-sisa sejarah. Wilayah kekuasaannya telah menyusut sedikit demi sedikit sebelum hilang sepenuhnya dan kini seolah-olah menjadi tanahair asal untuk kaum Dai-Viet. Negara Champa telah merakamkan sisi gelap yang sering menyebabkan kejatuhan sesebuah Kerajaan di Nusantara, terutamanya disebabkan perpecahan di kalangan pembesar negara dan rakyatnya serta pengkhianatan yang dibuat oleh orang kepercayaan sendiri disebabkan sifat tamakkan ganjaran dunia. Malahan, kebanyakan orang Melayu sendiri pada hari ini tidak kira di negara kita, Singapura, Brunei dan Indonesia pun kadang kala tidak tahu mengenai kewujudan negara Champa.

Adalah amat mustahil untuk sebuah negara Champa wujud semula pada hari ini. Kadang kala penulis berfikir, mungkin kemusnahan Champa sebagaimana yang telah ditakdirkan boleh dijadikan iktibar untuk renungan kita semua pada hari ini bahawa kegemilangan dan tingkat tamadun bukanlah satu jaminan untuk sesebuah negara itu akan kekal selamanya, melainkan dengan izin Allah jua. Begitu juga dengan kehilangan pulau Singapura, dapat kita pelajari bagaimanakah bentuk dan corak negara kita pada masa akan datang jika kita terus tertipu dengan permainan golongan Ultra-kiasu. Penulis hanya ingin menekankan kepada dua aspek iaitu bersatu dan amanah kepada pembaca sekalian. Kita boleh berbeza fahaman seperti fahaman politik antara UMNO-PAS, tetapi jangan sesekali menggadaikan kepentingan agama, bangsa dan tanahair sendiri. Pada hari ini, ada berpuluh blog dan laman sesawang yang diwujudkan hanya untuk menyerang mereka yang berbeza fahaman politik sesama kita, walaupun kadangkala ianya berlebihan hingga 'melondehkan' keaiban kita semua sendiri kepada 'pihak luar', tetapi boleh dibilang dengan jari bilangan blog yang menyeru kepada mencari titik persamaan dan persefahaman dan menggalakkan penyatuan disebalik perbezaan yang wujud.

Jangan menyesal jika anak cucu kita pula kelak pada masa akan datang yang akan menangisi ‘kehilangan’ negara mereka dan menyalahkan serta mengutuk tindakan yang telah kita semua buat pada hari ini.


Lihat juga catatan lama :

Kaum Utsul di Pulau Hainan, China

Friday, June 3, 2011

Melayu Islam Beraja

Penulis suka mengikuti tulisan artikel dan buku serta ceramah yang disampaikan oleh saudara-saudara kita yang bukan Melayu, khususnya oleh ahli MACMA seperti Tuan Haji Ann Wan Seng dan Dr. Mohd. Ridhuan Tee Chuan Seng. Pada awal tahun ini juga, penulis turut diundang untuk mengikuti ceramah yang telah disampaikan oleh Mr. Ridzuan Wu, seorang Cina Muslim dari Singapura yang juga merupakan Timbalan Presiden bagi Regional Islamic Da'wah Council for Southeast Asia & the Pasific (RISEAP). Maklumat yang disampaikan, biarpun ringkas, tetapi amat penting dan berguna khususnya untuk kita memahami corak pemikiran kaum Cina yang sangat berbeza dengan masyarakat Melayu termasuklah bagi tujuan menyebarkan dakwah.

Kaum Cina adalah sebuah kaum yang bersifat 'ethnocentric'. Mereka amat-amat mementingkan budaya kaum mereka yang mereka anggap bertaraf lebih tinggi daripada kebudayaan kaum lain. Di bidang perniagaan yang menjadi darah daging mereka pula, mereka bersikap monopoli. Mereka lebih terbuka dalam hal agama, tetapi sayangnya sesetengah daripada mereka agak prejudis dengan Islam kerana kesilapan kita yang sering memomokkan memeluk Islam sama seperti masuk (menjadi) Melayu, dan seterusnya dikhuatiri akan menghakis ke’Cina’an generasi anak cucu mereka. Di Malaysia, terdapat tiga tiang tonggak kekuatan kaum Cina yang mesti dipertahankan oleh setiap orang Cina, iaitu Sekolah Cina ((1,291 SRJK(C) and 60 sekolah persendirian), Persatuan-persatuan Cina atau Hua Zong (7,000 persatuan puak/keluarga dan Badan-badan Perniagaan) serta akhbar media Cina (enam di semenanjung Malaysia dan lapan di Sabah dan Sarawak).

Dari segi politik pula, tidak seperti masyarakat Melayu yang menyandarkan harapan dan kekuatan mereka kepada parti politik Melayu seperti UMNO dan PAS, yang berkuasa untuk mempengaruhi pola pengundian masyarakat Cina adalah Persatuan-persatuan Cina sebagai contoh Dong Jiao Zong. Disebabkan itulah, walaupun Bapak chauvinist seperti Lim Kit Siang dengan lantang menyatakan di Parlimen bahawa dia adalah “Malaysian First, Chinese Second”, dia tidak akan sekali-kali membuat kerja gila dengan meminta supaya masyarakat Cina menyokong Sekolah Kebangsaan atau Sekolah Wawasan dan memansuhkan pembukaan Sekolah Cina baru, walaupun kajian yang dijalankan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) jelas mendapati Sekolah Cina menjadi penyebab kepada ketidakfasihan penuntut Cina untuk bertutur dalam Bahasa Kebangsaan dan menjadi penyebab kepada masalah berlakunya polarisasi kaum di negara ini. Parti-parti politik Cina hanya berani membangkitkan isu-isu kecil dan remeh seperti usaha untuk menghapuskan ruang pengenalan kaum dalam Borang-borang Jabatan Kerajaan daripada membangkitkan isu yang lebih penting seperti pendidikan Cina dalam konteks integrasi nasional, satu tindakan yang jika dibuat sama seperti membunuh hayat politik mereka sendiri.

Cerita di atas berkaitan dengan kaum Cina, bagaimana pula dengan kaum Melayu? Tonggak kekuatan kaum Melayu khususnya dalam konteks Malaysia pada hari ini berdiri di atas tiga aspek iaitu agama Islam (Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan), hak istimewa Melayu dan Bumiputera (Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan) dan Raja-raja Melayu (di 9 buah Negeri). Malangnya, tidak seperti parti politik Cina yang konsisten mempertahankan kepentingan kaum mereka tidak kira sama ada di pihak Kerajaan mahupun pembangkang, politik Bumiputera seolah-olah telah dipisahkan dengan sempadan bahawa UMNO itu rasis kerana memperjuangkan perkauman, sementara PAS pula jumud kerana memperjuangkan Islam yang tidak menggambarkan realiti masyarakat majmuk di negara kita.





Penulis berasa hairan dengan tindakan sesetengah pemimpin Melayu-Muslim dalam PR yang tergamak menyerang habis-habisan kedaulatan Raja-raja Melayu dan Hak Istimewa Melayu hanya kerana bencikan UMNO dan ingin mengejar undi bukan Melayu. Penulis juga geram dengan tindakan pemimpin Melayu-Muslim dalam BN yang hanya diam membisu apabila terdapat pemimpin bukan Islam di kalangan komponen BN yang memperlekehkan negara Islam dan mempermainkan prinsip calon muslimat yang hanya akan bersalaman dengan bukan mahram secara berlapik tangan. Hak istimewa Melayu sebagaimana yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan bukanlah hak milik mutlak UMNO, begitu juga agama Islam bukanlah urusan mutlak PAS semata-mata.





Mempertahankan hak istimewa Melayu bukanlah bermaksud Melayu adalah 'Master Race' seperti fahaman Hitler sebagaimana yang dimomokkan oleh seorang pemimpin Ultra-Kiasu dari DAP. Polisi-polisi berkaitan seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) juga tidak bermaksud memperlekehkan kaum bukan Bumiputera seperti dasar Apartheid di Afrika Selatan sebagaimana yang didakwa seorang pemimpin Ultra-Kiasu di Johor. Hak istimewa Melayu merupakan perkara pokok yang telah dipersetujui semasa pembentukan dan kemerdekaan negara kita sebelum ini yang perlu sentiasa dihormati oleh semua rakyat, sebagaimana hak istimewa yang dinikmati oleh Negeri Sabah dan Sarawak serta rakyat pribuminya yang perlu sentiasa dihormati khususnya bagi rakyat yang datang dari semenanjung Malaysia termasuklah orang Melayu sendiri!

Ada sesetengah pengunjung blog ini yang mencadangkan agar diutamakan Islam daripada bangsa. Penulis bersetuju penuh, sebagaimana yang dinyatakan oleh Y.B. Dato’ Zulkifli Nordin, Ahli Parlimen bebas “Islam come first, the rest are second”. Cuma suka penulis ingatkan, bagi golongan Ultra-Kiasu, mereka memandang Islam dan Hak Istimewa Melayu dalam satu pakej, sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 160(2), Perlembagaan Persekutuan. Jika mereka menyerang habis-habisan hak istimewa Melayu, tidak pula bermakna mereka secara senang-lenang pula akan menerima Islam. Berfikir diluar kotak dan bertindaklah dengan bijak, jangan mudah terbelenggu dengan sentimen konflik UMNO-PAS.





DYMM Sultan Brunei amat-amat memahami realiti sosio-politik di Nusantara ini. Disebabkan itulah, Melayu-Islam-Beraja (MIB) yang menjadi tonggak kekuatan masyarakat Melayu-Muslim sejak zaman berzaman dipilih dan dijadikan sebagai ideologi rasmi Negara Brunei Darussalam. Jangan pandang rendah kepada Brunei, biarpun negara tersebut merdeka lewat daripada kita dan mengamalkan sistem Monarki Berpelembagaan, tetapi Brunei adalah negara yang paling aman dan stabil dari segi politik di kawasan Asia Tenggara, jika dibandingkan dengan masyarakat Muslim di negara kita yang telah berpecah belah dan menjadi korban demokrasi akibat fanatik dengan fahaman sempit politik masing-masing.