Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Thursday, September 26, 2013

10 Ringkasan Kisah Berkenaan Chin Peng dan PKM

Anak kecil Melayu mangsa pengganas Komunis dalam tragedi Bukit Kepong


Nampaknya masih ada beberapa pihak yang cuba memesongkan fakta kononnya Chin Peng adalah seorang patriot yang anti penjajah British sementara Parti Komunis Malaya (PKM) pula adalah segolongan pejuang suci hati yang berperang demi kemerdekaan negara. Sukar sebenarnya untuk menjelaskan kepada puak-puak yang menyanjung tinggi Chin Peng dan PKM ini, yang bolehlah digelarkan sebagai ‘Chinpengzee’ (meminjam istilah Mo Razzi dari blog Untold Histories of Malaya) kerana mereka lebih mengutamakan sentimen perkauman dan politik daripada melihat fakta sejarah dari sudut yang jujur. Sebelum ini, MCA dan DAP beriya-iya melobi supaya Kerajaan membenarkan abu mayat Chin Peng dibenarkan bersemadi di negara kita atas alasan dia dilahirkan di Sitiawan, Perak. Tetapi mengapakah semasa Allahyarham Rashid Madin, bekas Ketua Rejimen Ke-10 PKM meninggal dunia pada 01 September 2006 di selatan Thailand, langsung tidak kedengaran bunyi mereka mendesak supaya jenazah Allahyarham dibawa balik ke Malaysia untuk dikebumikan sedangkan Allahyarham juga adalah anak jati Gopeng, Perak.


Daripada membuang masa membentangkan fakta kepada puak-puak ‘Chinpengzee’ ini, ada baiknya dipaparkan ringkasan 10 kisah yang berkaitan dengan Chin Peng dan PKM ini :

1. Parti Komunis Malaya (PKM) pada asalnya merupakan satu cabang Parti Komunis China di seberang laut yang berjuang untuk menubuhkan Republik Komunis Malaya. PKM mendapat banyak bantuan dan tajaan daripada pihak British iaitu dari segi bekalan senjata, peluru dan latihan ketenteraan untuk menentang tentera Jepun susulan daripada dendam, permusuhan dan peperangan antara Bangsa Jepun dan Bangsa China yang turut berlarutan ke Tanah Melayu iaitu apabila tentera Jepun menindas imigran Cina yang datang ke Tanah Melayu.

2. Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dihargai oleh penjajah British dan dia telah menerima anugerah darjah kebesaran ‘Order of the British Empire’ (OBE) yang membawa gelaran ‘Sir’ oleh Pemerintah British ketika itu.

3. Selepas Perang Dunia ke-II Tamat, MPAJA yang turut disertai oleh PKM telah bermaharajalela dengan membunuh dan menyeksa penduduk tempatan sesuka hati termasuklah para Penghulu dan para Imam kampung dengan tuduhan mereka bersubahat dengan tentera Jepun dan menjadi tali barut British. Dikatakan pelbagai cara dan kaedah digunakan untuk membunuh penduduk tempatan antaranya ditanam hidup-hidup, diseksa sampai mati, direbus atau diseret di jalan.

4. Panglima Salleh dan Tentera Selempang Merah yang telah keluar untuk menggempur dan menentang kekejaman tentera PKM di Batu Pahat hanya menggunakan senjata tradisional seperti parang dan tombak berbanding PKM yang menggunakan senjata api tetapi mereka lebih digeruni. Paling popular kerana dikatakan mereka kebal dari peluru dan parang mereka terbang mencari kepala komunis untuk dicantas. Tetapi apa yang perlu ditekankan ialah Panglima Salleh dan Tentera Selempang Merah melakukan amal ibadat tertentu seperti berpuasa, solat hajat, berzikir serta mengamalkan bacaan wirid tertentu sebagai persediaan dan sumber kekuatan mereka.

5. Walaupun hanya mempunyai kekuatan seramai 22 anggota yang dilengkapi dua pucuk senjata automatik, anggota Polis yang diketuai oleh Sarjan Jamil Mohd Shah enggan menyerah kalah dan tetap berani menentang pengganas komunis yang berjumlah hampir 200 anggota dan dilengkapi dengan senjata-senjata automatik untuk mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950. Pengganas Komunis akhirnya membakar hangus berek kelamin dan balai polis berkenaan walaupun masih terdapat isteri dan anak-anak Polis Melayu yang masih kecil di dalamnya. Komunis turut melontar mereka yang tercedera dan mayat mereka yang terkorban ke dalam api termasuklah seorang kanak-kanak anak Polis Melayu yang dicampak hidup-hidup ke dalam api.

6. Walaupun berketurunan Iban dan berasal dari Negeri Sarawak, Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau telah berjuang bermati-matian dalam jarak hanya lapan meter sahaja dari kedudukan pengganas komunis di Tanah Hitam, Perak, pada 19 Februari 1980 bagi membalas tindakan pengganas Komunis yang telah menembak mati seorang anggota 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) beberapa hari sebelumnya. Dalam pertempuran tersebut, beliau terus berjuang meskipun telah ditembak tiga kali dan hampir menemui ajal selepas peluru mengenai jantung, merosakkan satu buah pinggang, selain usus perutnya terburai. Mendiang merupakan penerima tunggal dua pingat keberanian utama negara iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB).

7. Walaupun kemerdekaan Negara telah dicapai pada 31 Ogos 1957 dan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, PKM masih enggan meletakkan senjata dan terus membunuh, mencederakan dan mencacatkan ribuan rakyat tempatan dan anggota keselamatan walaupun penjajah British telah lama meninggalkan negara kita. Malahan, mangsa mereka terdiri daripada pelbagai peringkat golongan dan kaum seperti Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Hashim, mantan Ketua Polis Negara dan Mendiang Datuk Khoo Chong Kong, mantan Ketua Polis Perak.

8. PKM hanya bersetuju untuk menandatangani Perjanjian Damai Haadyai pada 2 Disember 1989 dengan Kerajaan Malaysia selepas menyedari kekuatannya semakin melemah dan ideologi Komunisme juga semakin tenggelam iaitu dengan jatuhnya Komunisme di timur Eropah. Berdasarkan perjanjian ini, bekas anggota PKM dibenarkan untuk kembali ke Malaysia dengan syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi.

9. Chin Peng bukan seorang warganegara Malaysia dan tidak pernah memohon untuk menjadi warganegara Malaysia walaupun selepas Perjanjian Damai Haadyai dimeterai.

10. Chin Peng tidak pernah meminta maaf kepada mangsa-mangsa kekejaman PKM yang dipimpinnya dan tidak pernah menyatakan kekesalannya yang telah menyebabkan ribuan rakyat Malaysia terbunuh, cedera, menjandakan serta meyatim-piatukan ribuan ahli keluarga dan anggota pasukan keselamatan yang dibunuh dengan kejam dan zalim. Kerana katanya, "Saya tidak menyesal berjuang ke atas sesuatu yang saya percaya dan masih mempercayainya sebagai suatu perjuangan yang adil."

Pada golongan ‘Chinpengzee’ ini, mereka tidak kenal dengan Panglima Salleh, Sarjan Jamil Mohd Shah atau Temenggong Kanang Anak Langkau yang telah berjuang menentang kezaliman dan mempertahankan kedaulatan negara. Pada mereka, individu yang sepatutnya disanjung adalah Chin Peng kerana jika PKM menang, PKM sepatutnya boleh menjadi seperti regim Khmer Rouge di Kemboja yang berterusan membunuh jutaan rakyatnya sendiri sementara Chin Peng pula bolehlah mewujudkan Dinasti Kim seperti Korea Utara di negara kita.


Sejarah kita terus dipesongkan dan akan terus diputarbelitkan kerana kita lalai dan leka. Bermula dengan media sosial, kemudian buku, dan terkini filem...



Wednesday, September 4, 2013

Perjuangan Sistem Republik Berpresiden?



Masyarakat Melayu-Islam di negara kita sememangnya bertuah kerana dikurniakan pelbagai nikmat yang jarang diperoleh atau tak mungkin dirasai oleh saudara-mara kita di negara lain. Tidak seperti pemuda Melayu di Vietnam dan Kemboja yang hanya mampu memandang sayu peta di pusat pelancongan yang menunjukkan satu masa dahulu mereka mempunyai sebuah negara sendiri bernama Champa di sepanjang pantai timur Indochina. Tidak seperti pakcik di selatan Thai yang terpaksa menggunakan nama Saibuding Doaloh agar berbau Thai walaupun nama Melayu sebenarnya adalah Saifuddin Abdullah. Tidak seperti tentera berketurunan Melayu dalam Angkatan Tentera Singapura (SAF) yang sampai mati pun tidak mungkin berpeluang merasa pangkat General berserta kuasa yang sebenarnya walaupun mereka lebih berkelayakan. Ataupun Melayu di Sumatera Utara yang kadangkala terasa dihimpit oleh suku Bumiputera yang lain terutamanya dalam bidang politik.

Malangnya, disebabkan berasa dalam zon selesalah menyebabkan kadang kala sebahagian daripada kita berasa leka dan terlupa bahawa semua nikmat yang diperolehi pada hari ini sebenarnya boleh hilang pada bila-bila masa. Mereka ini, yang berpelajaran dan berpendidikan tinggi termasuklah dalam bidang agama, kadang-kala bertindak memperjuangkan sesuatu yang sebenarnya boleh memberi kesan buruk kepada agama, bangsa dan negara mereka sendiri. Demi ego dengan merasakan diri sendiri kononnya seorang pejuang, mereka sanggup menggadaikan perkara-perkara yang menjadi tunjang kekuatan umat Islam di negara kita.

Ambil contoh pemuda bernama Wan Ji di atas yang dikatakan sebagai seorang ‘Ustaz’. Dia bercita-cita hendak menghapuskan institusi Sultan dan menggantikannya dengan Presiden iaitu apabila Malaysia menjadi sebuah Republik. Tak tahulah sama ada dia sedar atau tidak dengan apa yang diperkatakan dan dicita-citakannya itu. Benar, pada hari ini, kebanyakan masyarakat Melayu-Islam di negara kita tidak lagi melihat peranan Sultan sebagaimana di awal zaman pengembangan Islam. Tetapi adakah itu bermakna kita perlu menghapuskan terus institusi Sultan di negara kita? Mana-mana individu yang menjawat apa-apa jawatan sekalipun terdedah kepada kelemahan. Tidak kira lah Sultan, Perdana Menteri atau Menteri Besar. Jika seseorang individu yang memegang jawatan Mufti mempunyai kelemahan dan korup, adakah kita perlu bertindak menghapuskan terus jawatan Mufti atau institusi Jabatan Agama Islam di negara kita?

Kita boleh mengkritik individu terbabit, tetapi institusi Beraja di negara kita perlu terus dipertahankan kerana ianya adalah salah satu tonggak kekuatan Melayu iaitu selain daripada Bahasa Melayu dan hak keistimewaan Melayu. Tegaknya pemerintahan sesebuah negeri Melayu pada masa dahulu kerana adanya Raja yang memerintah. Disebabkan itulah, sehingga kini, perkataan ke-Raja-an terus digunakan sebagai terjemahan kepada ‘Government’ dan tidak terhad hanya kepada ‘Kingdom’.



Benarkah tanpa Raja Melayu sebagai simbol perpaduan, Bangsa Melayu tetap akan terus kekal bersatu? Well, lihatlah kepada perjuangan kemerdekaan oleh para pejuang Melayu di selatan Thai. Sampai sekarang masih gagal dan akan terus gagal kerana mereka berpecah belah sesama sendiri kepada PULO, PULO (Baru), BRN, BRN-Coordinate, Barisan Islam Pembangunan Pattani, Gerakan Mujahidin Pattani dan entah berapa puluh lagi kumpulan yang ada tanpa ada satu pun elemen atau tokoh yang dapat menyatukan mereka. Di selatan Mindanao pula, tumbangnya Kesultanan Maguindanao dan Kesultanan Sulu menyebabkan suku-suku Islam Moro berebut kuasa sesama mereka menerusi MNLF dan MILF. Jika penulis adalah seorang perisik asing yang berhasrat untuk meruntuhkan kekuatan Melayu Islam di negara kita, sudah pasti gerakan untuk menghapuskan institusi Beraja akan dijadikan agenda dan keutamaan. Kerana dengan hancurnya institusi Beraja di Malaysia, bermakna hancur jugalah sebahagian daripada kekuatan Melayu-Islam dan semakin mudahlah musuh untuk menguasai kita.

Jika Wan Ji diatas benar-benar seorang Ustaz, alangkah elok sekiranya beliau bercita-cita supaya institusi Sultan diperkukuhkan dengan melantik individu yang benar-benar berkelayakan dan memahami betapa beratnya amanah dan tanggungjawab jawatan tersebut di akhirat kelak, agar kemudian sistem Khilafah yang menyatukan pelbagai pemerintahan negeri-negeri Islam dapat diwujudkan kembali. Ini tidak, yang diperjuangkan adalah agar Malaysia menjadi negara Republik dengan sistem berPresiden, yang kedua-duanya adalah sebahagian daripada sistem demokrasi ciptaan dan rekaan Barat.

Adakah dengan tumbangnya institusi Sultan dan Malaysia menjadi sebuah negara Republik yang diketuai oleh Presiden, negara kita akan menjadi lebih baik? Syiar Islam akan lebih berkembang dan terpelihara? Lihat apa yang telah terjadi kepada Turki. Jatuhnya Sultan Abdul Hamid II bermakna jatuhnya juga sistem Khilafah yang terakhir di dunia. Dan kewujudan Republik Turki menyebabkan syiar Islam semakin tertindas dan bukannnya semakin berkembang terutamanya sewaktu era Kamal Ataturk. Itu pun nasib baiklah 75 peratus daripada penduduk Turki terdiri daripada Bangsa Turk dan Islam meliputi hampir 90 peratus penduduknya. Bandingkan dengan negara kita yang Melayu dan Bumiputera hanyalah berjumlah 60 peratus sementara Islam sekitar 55 peratus lebih sahaja. Bayangkan sekiranya dalam pilihanraya Presiden, kaum bukan Melayu-Islam bersatu untuk menyokong Presiden daripada golongan mereka sementara orang Melayu-Islam, ditolak golongan Mat Rempit, Mat Ganja, Bohsia, kaki disko, kaki enjoy dan lain-lain individu yang tidak ambil peduli dan tidak mendaftar sebagai pengundi, undi mereka berpecah pula kepada dua calon Presiden Melayu yang bertanding, seorang berpendidikan Barat sementara seorang lagi berpendidikan Timur Tengah. Maka atas dasar kesamarataan dan kesaksamaan sebagaimana sistem Republik berpresiden, jawatan Presiden pun jatuh ke tangan bukan Melayu-Islam iaitu berasaskan undi majoriti.

Maka ketika itu, mungkin ‘Ustaz’ Wan Ji akan terlonjak-lonjak keriangan kerana perjuangan Republik dan Presiden-nya telah tercapai dan berjaya.