Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Monday, April 28, 2014

Dilema Uthaya Sankar Yang Keliru




Secara peribadi, penulis menghormatinya. Dia merupakan seorang penulis bukan Melayu yang menguasai Bahasa Melayu dengan baik sekali. Satu contoh yang perlu dijadikan ikutan khususnya kepada golongan yang beriya-iya mendakwa diri mereka ‘Malaysian First’ kononnya tetapi nak bercakap dalam Bahasa Kebangsaan sendiri tunggang-langgang! Namun begitu, apa yang penulis tidak bersetuju ialah apabila dia dengan mudah seringkali memesongkan sejarah Melayu yang bukan bidang dia dan dia sendiri tidak faham apabila menyentuh sesuatu perkara. Boleh rujuk terlebih dahulu artikel dia sebelum ini seperti di bawah ini :


serta jawapan yang telah diberikan di bawah tetapi masih belum diulas kembali olehnya :



Terbaru, sekali lagi dia cuba menimbulkan kekeliruan di dalam artikelnya seperti di bawah :

Dilema Melayu, Cina, India

Secara ringkas, penulis melihat isu utama yang cuba diutarakan olehnya adalah berkenaan dengan  kekeliruan istilah-istilah ‘Keturunan’, ‘Kaum’, ‘Etnik’, ‘Ras’ dan ‘Bangsa’ yang perlu diisi pada borang-borang rasmi. Namun begitu, daripada memfokuskan kepada topik perbincangan yang dia sendiri utarakan dan memberikan cadangan penyelesaian yang sewajarnya, dia menerawang dengan ‘menyerang’ sejarah dan kewujudan Bangsa Melayu hanya bersandarkan semata-mata kepada pendapat seorang penulis buku yang tidak dikenali.


Bagi meringkaskan cerita dan menjimatkan ruang, disini penulis memberi ulasan dan jawapan terhadap artikel tulisannya :

1. Pada pandangan penulis, istilah ‘Keturunan’, ‘Kaum’ dan ‘Etnik’ pada borang-borang rasmi perlu disatukan menjadi ‘Suku Kaum’ atau ‘Etnik’ sahaja bagi mengelakkan kekeliruan.  

2. Memandangkan istilah Bangsa mempunyai dua definisi yang berbeza, iaitu merujuk kepada ‘Kaum’ dan juga ‘Rakyat Bagi Sesebuah Negara’, maka boleh dicadangkan agar istilah ‘Bangsa’ pada borang rasmi diselaraskan merujuk kepada kaum sahaja.

3. Jika ‘Bangsa Melayu’ didakwa tidak wujud kerana tidak ada sebuah negara bernama ‘Melayu’ mengikut logik di dalam artikelnya, adakah boleh dikatakan (contoh sahaja) bahawa kaum Malayali (keturunan dia) juga sebenarnya tidak wujud kerana yang ada hanyalah Negeri Kerala di India, bukannya Negeri Malayalam?

4. Untuk makluman juga, sebelum Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak bergabung membentuk Malaysia, negara Malaya (dalam Bahasa Inggeris) dipanggil sebagai ‘Persekutuan Tanah Melayu’ dalam Bahasa Melayu!

5.  Jika dia mengimpikan utopia di mana rakyat Malaysia yang berbeza bahasa Ibunda, budaya serta agama tidak ditanya tentang kaum dan keturunan mereka, maka lebih baik dia memulakan kempen menyokong penggunaan satu bahasa tunggal bagi memulakan kelahiran tulen Bangsa Malaysia. Sebagai permulaan, dia boleh membuat penulisan mencadangkan kempen 1 Sekolah Kebangsaan untuk semua murid dan pelajar.

6. ‘Malay Race’ atau dalam Bahasa Melayunya ‘Ras Melayu’ adalah istilah yang dicipta oleh seorang saintis Jerman iaitu Johann Friedrich Blumenbach merujuk secara umum kepada kumpulan manusia berkulit coklat dan diberi nama berkenaan berdasarkan kepada kesamaan Bahasa Melayu yang digunakan. Bahasa Melayu adalah lingua franca di kepulauan Asia Tenggara dan berasal daripada bahasa yang dipertuturkan oleh Bangsa Melayu di semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dan Borneo. Oleh itu, jelas bahawa Melayu bukannya sekadar bahasa!

7. Menyanggah rujukannya terhadap pendapat penulis buku bernama AB Sulaiman, Bangsa Melayu sememangnya mementingkan aspek peraturan dan undang-undang. Jika tidak, bagaimana wujud peraturan sebagaimana di dalam Adat Perpatih dan Adat Temenggung yang diamalkan dan diwarisi turun temurun sejak ratusan tahun dahulu? Bagaimana Kerajaan dan Kesultanan Melayu menulis Hukum dan Undang-undang negeri mereka seperti Undang-undang Kedah jika mereka tidak mementingkan aspek peraturan?

8.  Jika Melayu dikatakan enggan menerima perubahan, bagaimana tulisan di dalam Bahasa Melayu boleh mengalami transformasi daripada tulisan Kawi ke tulisan Jawi dan kini dalam tulisan Rumi?

9. Jika Melayu dikatakan hanya berpusatkan kelompok sendiri, bagaimana pribumi Melayu di semenanjung sanggup menerima jutaan imigran dari China dan India sebagai rakyat dan saudara mereka di dalam Negara Malaya yang merdeka hinggakan demografi bangsa mereka sendiri jatuh mendadak hanya dalam satu malam sahaja?

10. Melayu telah wujud di semenanjung lebih awal dari kewujudan Kerajaan Langkasuka lagi. Justeru itu, memang benar ada orang Melayu di Malaysia yang nenek moyang mereka bukan dari wilayah kepulauan Nusantara (Indonesia) berbanding sesetengah Melayu Anak Dagang yang lain.

11. Penyempitan definisi ‘Melayu’ di dalam Perlembagaan Malaysia yang mengikat Melayu dengan agama Islam adalah keputusan politik tetapi tidak menafikan mengenai kewujudan Bangsa Melayu itu sendiri dari sudut sejarah. Malahan, bukannya paksaan jika terdapat Mualaf bukan Melayu yang baru memeluk Islam secara sukarela ingin mengamalkan adat budaya dan Bahasa Melayu sepenuhnya.

12.  Hang Tuah kononnya keturunan Cina hanyalah dakwaan tanpa bukti segelintir cybertroopers bukan Melayu, bukannya teori pun!

13. Berbalik kepada topik asal, jika istilah ‘India’ yang diisi pada borang rasmi dirasakan tidak tepat, maka boleh dicadangkan istilah lain, sebagai contoh ‘Dravidia’, untuk digunakan sebagai jalan penyelesaian. Habis cerita, tak perlu panjang lebar untuk putar belit tentang sejarah Melayu.

Sebagai penutup, sekali lagi penulis nyatakan, penulis amat-amat menghormati dia yang juga seorang penulis blog. Namun perlu ditegaskan, ini tidak bermakna penulis hanya akan mendiamkan diri apabila dia dengan mudah menyebarkan fakta yang tidak betul mengenai sejarah dan bangsa penulis. Kepada dia, jangan mudah melabel dan memperlekehkan pembaca yang berani menyanggah kenyataan anda! Orang Melayu tidak keliru pun dengan sejarah mereka. Yang ada dilema sebenarnya adalah anda sendiri! Jika di dalam penulisan blog anda, anda seringkali menyatakan bahawa anda anti golongan rasis, maka lebih baik anda benar-benar bersikap demikian dan jujur terhadap sejarah dan kewujudan Bangsa Melayu.

Para pembaca juga boleh merujuk kepada jawapan balas oleh Helmy Effendy (The Patriot) yang sehingga kini masih belum diulas kembali juga oleh dia.

Bangsa Melayu Itu Tidak Wujud - Uthaya Sankar SB