Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Wednesday, March 3, 2010

Mengenang Kembali Kejatuhan Kerajaan Melayu di Sumatera Timur

Definisi Melayu di Indonesia adalah berbeza dengan definisi Melayu di negara kita, Malaysia. Di Indonesia, kelompok Melayu dibahagikan kepada dua, iaitu Melayu pesisir (Coastal Malays) yang mendidiami sepanjang pantai barat Sumatera, serta Melayu Kalimantan (Borneo Malays), yang bertaburan di seluruh Pulau Borneo. Lain-lain rumpun Melayu tidak dianggap sebagai ’Melayu’, melainkan dikenali dengan nama etnik masing-masing. Ini termasuklah Acheh, Minang, Jawa, Mandailing, dan sebagainya.

Salah satu wilayah yang diakui sebagai wilayah bagi etnik Melayu dan mempunyai hubungan yang rapat dengan tanah semenanjung ialah Sumatera Timur. Di wilayah ini, terdapat empat buah Kerajaan Melayu utama yang pernah wujud, iaitu Kesultanan Langkat Darul Aman, Kesultanan Deli Darul Maimon, Kesultanan Serdang Darul Arif, dan Kesultanan Asahan. Bukti hubungan rapat antara Sumatera Timur dengan tanah semenanjung adalah apabila dialek yang digunakan di sini adalah lebih mirip dialek yang digunakan di tanah semenanjung. Malahan, para Kerabat Diraja Melayu Sumatera Timur pada masa dahulu sering melangsungkan perkahwinan dengan Kerabat Diraja Melayu di negeri-negeri di semenanjung.



Peta wilayah Kesultanan-kesultanan Melayu di Sumatera Timur





Selepas perang dunia ke-2, Kerajaan-kerajaan Melayu di Sumatera Timur ini muncul sebagai wilayah yang kaya dan makmur hasil daripada perkembangan sektor perladangan. Perkara ini dapat dilihat daripada binaan istana-istana Sultan yang sebahagiannya masih lagi dapat dilihat hingga ke hari ini. Kemakmuran wilayah ini turut menarik kehadiran pendatang-pendatang dari tanah Jawa untuk menginap di wilayah ini bagi bekerja di ladang-ladang. Walaubagaimanapun, amat malang apabila dikalangan Kerajaan-kerajaan Melayu ini tidak membentuk perikatan atau kerjasama sesama mereka, sebaliknya bersaing sesama sendiri.





Pada masa tersebut, keadaan politik di Hindia Timur Belanda berada dalam kacau-bilau. Pengisytiharan kemerdekaan Indonesia secara sepihak oleh Soekarno dicabar keabsahannya oleh penjajah Belanda, memandangkan pengaruh dan kuasa Soekarno pada masa itu hanya meliputi Pulau Jawa sahaja. Kelekaan Kerajaan-kerajaan Melayu di Sumatera Timur dengan kemewahan hasil pembangunan ladang-ladang bagi tujuan tanaman menyebabkan mereka tidak menyedari jumlah ’pendatang’ yang bekerja di wilayah kekuasaan mereka telah melebihi jumlah penduduk tempatan sendiri. Kehidupan para pendatang dari Jawa di Sumatera Timur ini berada dalam keadaan yang menyedihkan dan tidak terurus. Raja-raja Melayu di Sumatera Timur enggan menganggap para pendatang Jawa ini sebagai ’Melayu’ kerana amalan agama Islam mereka yang berbeza dengan amalan penduduk Islam tempatan. Sementara para pendatang Jawa juga tidak mahu mengaku mereka adalah rakyat (subject) kepada Raja-raja Melayu di wilayah yang mereka duduki.

Raja-raja Melayu menganggap pengisytiharan kemerdekaan Indonesia tidak akan menguntungkan kerajaan masing-masing, kerana ia didominasi oleh kaum Jawa yang berpusat di Pulau Jawa sendiri dan menyokong pemerintahan bercorak Republik. Kerana tersepit antara kebangkitan semangat nasionalisme Indonesia dengan kewajipan untuk mempertahankan Kerajaan dan takhta masing-masing, Raja-raja telah melakukan kesilapan (mungkin kerana terpaksa, tiada pilihan) dengan menghantar surat menyatakan kesetiaan kepada Ratu Belanda.

Tindakan tersebut telah diambil kesempatan oleh para Nasionalis Indonesia yang didominasi etnik Jawa untuk mengecap para Raja-raja Melayu di Sumatera Timur ini sebagai boneka dan talibarut penjajah Belanda. Kemuncak kepada persengketaan ini adalah apabila para pendatang Jawa di Sumatera Timur bertindak dengan menyerang dan membakar kediaman di Raja, merogol, memenggal kepala dan membunuh para kerabat di raja Melayu hanya dalam tempoh satu malam iaitu pada 3 Mac 1946. Antara yang terkorban termasuklah Tengku Amir Hamzah, pujangga Melayu yang terkenal. Para nasionalis Indonesia cuba menyelindungkan perkara ini dengan mengatakan berlaku ’Revolusi Sosial’ rakyat bangun menentang pemerintahan monarki. Sedangkan realitinya, yang bangkit menyerang adalah hanya para pendatang dari Jawa yang terdiri daripada para penyamun, perompak, perogol dan penjenayah yang mengambil kesempatan daripada situasi yang berlaku.

Apa yang menarik, selepas kejadian tersebut, kebanyakan rakyat tempatan seboleh mungkin menyembunyikan identiti ’Melayu’ mereka bagi mengelakkan diserang oleh para ’Nasionalis Indonesia’. Malahan, sebahagian kaum Batak Karo dan Simalungun yang telah memeluk Islam dan mengamalkan cara hidup Melayu, kembali memakai nama asal Batak mereka dan mengelakkan dilihat sebagai Melayu. Satu persekutuan yang meliputi wilayah Kerajaan-kerajaan Melayu kemudian ditubuh, dengan nama Negara Sumatera Timur, dengan harapan untuk menyertai Republik Indonesia Serikat sebagai salah sebuah negeri di dalamnya. Namun, Negara Sumatera Timur ini mengelak daripada melibatkan Raja-raja Melayu yang seolah-olah telah menjadi satu taboo yang memalukan pada masa tersebut.

Negeri-negeri yang termasuk di dalam Republik Indonesia Serikat


Lambang dan Bendera Negara Sumatera Timur



Akhirnya? Jangka hayat Negara Sumatera Timur ini juga tidak lama dan kemudian dibubarkan. Republik Indonesia Serikat juga akhirnya dibubarkan dan digantikan sepenuhnya dengan Republik Indonesia yang bercorak negara kesatuan yang berpusat di pulau Jawa. Bagi melemahkan pengaruh Raja-raja Melayu dan kekusaan etnik Melayu (yang dibimbangi lebih cenderung untuk bergabung dengan Malaysia), wilayah Sumatera Timur ini kemudiannya digabungkan dengan wilayah Tapanuli yang didiami majoriti suku kaum Batak untuk menjadi Propinsi Sumatera Utara. Kini, etnik Melayu hanya menjadi kaum minoriti yang tidak berkuasa di negerinya sendiri di dalam Propinsi Sumatera Utara. Para waris Raja-raja Melayu pada hari ini cuba menghidupkan kembali warisan dan takhta Kerajaan mereka yang hilang, namun hanya atas dasar melestarikan kebudayaan tempatan semata-mata, iaitu bagi mengelakkan salah faham daripada Pemerintah Indonesia.



Sri Paduka Tuanku Sultan Azwar 'Abdu'l Jalil Rahmad Shah al-Haj ibni al-Marhum Tengku Maimun, Raja Langkat, bersama para pembesarnya.






Paduka Sri Sultan Mahmud Aria Lamanjiji Perkasa 'Alam Shah ibni al-Marhum Sultan Otteman Mahmud Ma'amun Padrap Perkasa 'Alam Shah, Raja Deli, yang masih kanak-kanak, ditabalkan bagi menggantikan ayahandanya, seorang pegawai tentera yang terkorban semasa bertugas di Acheh.



Tuanku Luckman Sinar @ Sultan Bashar Shah II, Raja Serdang, bersama keluarga dan hulubalangnya.



Sri Paduka Tuanku Sultan Dr. Kamal Abrahim 'Abdu'l Jalil Rahmad Shah ibnu al-Marhum Sultan Sha'ibun 'Abdu'l Jalil, Raja Asahan


Apa pengajaran yang kita boleh pelajari daripada sejarah Sumatera Timur ini?

1) Sebahagian besar rakyat Indonesia, khususnya yang berketurunan atau berasal di Pulau Jawa, masih mempunyai pandangan skeptikal terhadap Bangsa Melayu. Justeru itu, usahlah hairan apabila setiap kali timbul isu berkaitan Malaysia, mereka terus menjadi beruk dengan terkinja-kinja di jalan raya mahu menganyang negara kita dan menghina Raja-raja kita. Itulah ’warisan’ yang masih terpahat di kepala lutut mereka apabila mereka menyamakan situasi negara kita dengan Raja-raja Melayu di Sumatera Timur dahulu.

2) Institusi Kesultanan Melayu (diulangi, institusi! Bukannya mengenai peribadi Raja secara personal) mempunyai kepentingannya yang tersendiri sebagai simbol penyatuan dan pertahanan warisan kebudayaan Bangsa Melayu. Mesti mempunyai sebab tertentu Allah mentakdirkan Bangsa Melayu ini berdiri atas wilayah yang didirikan oleh Raja-raja mereka, bukannya memiliki sempadan dan wilayah tertentu bagi setiap bangsa sebagaimana di Eropah. Cuba lihat mengapa penjajah berusaha bekerjasama dengan pemerintah Thailand dan Filipina menghapuskan institusi di Raja bagi Kesultanan Patani Darul Makrif dan Kesultanan Sulu Darul Jambangan. Hingga kini perjuangan kemerdekaan di selatan Siam dan Moro (selatan Filipina) masih lagi gagal dan berpecah-belah disebabkan kemunculan pelbagai kumpulan pejuang dengan pelbagai ideologi yang berbeza.

3) Pemakaian maksud Kerajaan pada hari ini telah berubah daripada ’Kingdom’ kepada ’Government’. Pada hari ini, kemakmuran negara kita dilihat tidak selari dengan keadaan Bangsa Melayu yang berpecah belah. Sebagaimana di Sumatera Timur pada tahun 1940-an dahulu, kita berpecah, bersaing dan tikam-menikam sesama sendiri antara negeri ’Kerajaan BN’, negeri ’Kerajaan PAS’ dan negeri ’Kerajaan PKR’. Para penduduk dari kalangan keturunan bukan penduduk asal pula telah berani mempertikaikan kedudukan dan hak istimewa Raja-raja dan penduduk Bumiputera. Jika kita tidak berwaspada dan insaf, jangan menyesal pula jika kita mewariskan kepada anak cucu kita sejarah dan keadaan sebagaimana yang berlaku di Sumatera Timur ini.

4) Renungan untuk mereka yang menyokong dasar tak rasmi ’Memelayukan’ Bumiputera bukan Melayu serta bukan Bumiputera yang memeluk Islam, supaya menggunapakai nama Melayu dan ditonjolkan kebudayaan Melayu apabila para saudara mualaf baru ini berkahwin, inilah kata-kata kaum Batak Karo dan Simalungun apabila berlaku serangan terhadap kaum Melayu di Sumatera Timur dahulu, ”Jika kami boleh ’masuk’ Melayu, maka apa pula yang menghalang kami untuk ’keluar’ Melayu?”. Oleh yang demikian, biarkanlah para saudara baru kita ini dengan nama dan kebudayaan asal kaum mereka apabila telah memeluk Islam, asalkan sahaja ianya tidak menyimpang daripada ajaran Islam. Bukankah lebih elok ditonjolkan Islam ini milik semua kaum, daripada menonjolkan memeluk Islam seolah-olah ’masuk Melayu’, hingga mendatangkan persepsi negatif dikalangan keluarga bukan Islam?


Rujukan :

1) Arifin Omar (1999) ”Revolusi Indonesia dan Bangsa Melayu : Runtuhnya Kerajaan-kerajaan Melayu Sumatera Timur Pada Tahun 1946” Penerbit Universiti Sains Malaysia.

2) Prof. Anthony Milner (2008) ”The Malays” Blackwell