Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Thursday, May 3, 2018

Kesan Pengiktirafan Terhadap Peperiksaan Persendirian Sekolah Vernakular



1. Penulisan ini dibuat memandangkan masih ada yang berpandangan isu pengiktirafan Peperiksaan Persendirian yang dijalankan oleh Sekolah Vernakular tidak ada mendatangkan apa-apa kesan atau impak ketara terhadap masyarakat kita khususnya golongan Bumiputera.

2. Jika dirujuk dari sudut sejarah, Sekolah Vernakular mempunyai kaitan dengan perjuangan untuk menjadikan Bahasa Cina sebagai salah satu bahasa rasmi negara. Perkara ini boleh dirujuk pada Y.A. Tan dan H.S. Teoh (2016) p.5 yang menyatakan “the launching of the Chinese language movement was underpinned by their demand to recognised Chinese as an official language in order to legitimise the position of Chinese education in the national education system”.

3. Tetapi perkara yang jarang diketengahkan, ‘bahasa Cina’ apakah yang digunakan sebagai bahasa pengantar di Sekolah Vernakular? Jawapannya adalah Mandarin, yang merupakan bahasa rasmi Republik Rakyat China. Sedangkan bahasa ibunda (mother tongue) bagi masyarakat Cina tempatan sebenarnya adalah bahasa-bahasa selatan seperti Hokkein, Hakka dan Kantonis. Mendiang Lee Kuan Yew sendiri di dalam memoirnya menyatakan bahawa “Mandarin was totally alien to me, and unconnected with my life”.  

4. Y.A. Tan dan H.S. Teoh (2016) p.76 menyatakan bahawa “the grand vision of the chinese educationists is to have a complete system of Chinese education (wanzheng de jiaoyu tixi) in Malaysia since the 1960s”. Dan perkara ini akhirnya telah berjaya dicapai menerusi kewujudan sekolah vernakular di peringkat rendah, menengah serta kolej swasta seperti New Era College.

5. Rujuk pula Y.K. Cheong (2013), demi membela status quo SJK(C), mereka secara konsisten telah menentang pelaksanaan Skim 3M pada tahun 1980 (p.144), membantah Surat Pekeliling berhubung pelaksanaan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam perhimpunan sekolah pada tahun 1984 (p.153), membantah Program Percubaan Sekolah Integrasi (PSI) yang bertujuan untuk mengintegrasikan murid-murid berbilang kaum melalui kegiatan ko-kurikulum pada tahun 1985 (p.156), mempertikai penghantaran 60 orang guru Cina yang tidak berkelayakan bahasa Cina ke SJK(C) pada tahun 1987 (p.163), dan membantah projek Sekolah Wawasan pada tahun 1995 iaitu pelajar sekolah berlainan aliran belajar di bawah satu bumbung dan berkongsi kemudahan asas dan kepakaran guru (p.176).

6. Y.A. Tan dan H.S. Teoh (2016) p.77 mengakui bahawa “The ICSSs (Independent Chinese Secondary School) and the NTCSSs (National-type Secondary School) have become ethnic enclaves resulting in ethnic segregation in the country”.       

7. Apa pula impak yang dijangkakan akan berlaku selepas pilihanraya ini susulan daripada pengiktirafan tersebut? Ada tiga (3) perkara utama yang dapat difikirkan.

8. Pertama, lebih banyak bantuan akan dipohon untuk disalurkan kepada Sekolah Vernakular. Maka akan terdapat persaingan untuk pengagihan peruntukan bantuan kepada Sekolah Kebangsaan. Fikirkan keadaan Sekolah-sekolah Kebangsaan di kawasan luar bandar, Sekolah-sekolah Kebangsaan di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang masih memerlukan banyak bantuan?

9. Kedua, tuntutan terhadap syarat kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) serta permohonan kerja ke sektor awam juga akan turut perlu dikaji semula. Sekali lagi fikirkan nasib pelajar Melayu di kampung, pelajar Iban, Bidayuh, Kadazan, Murut, dan Bumiputera lain yang lazimnya menuntut di Sekolah Kebangsaan dan selama ini terpaksa bersaing dengan pelajar-pelajar dari kawasan bandar untuk kemasukan ke universiti.

10. Ketiga, pengambilan kerja di sektor swasta. Selepas ini, mungkin akan dapat dilihat lebih banyak iklan-iklan kerja kosong yang mensyaratkan kelulusan dalam Peperiksaan Persendirian dari Sekolah-sekolah Vernakular persendirian dengan seribu alasan yang boleh direka berbanding dengan Peperiksaan Umum Negara seperti SPM.