Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Tuesday, March 15, 2016

Perbezaan Gelaran Tun, Tan Sri dan Datuk @ Dato’


Kepada page-page sampah macam BeautifulBloodyfoolNara & OhMyMoronMedia  yang sesuka hati copy paste artikel-artikel tulisan aku tanpa langsung minta izin, sila pergi jahanam!




Baru-baru ini, penulis ada terbaca sebuah post yang dikongsikan bertajuk “Perbezaan Pangkat Dato, Dato Seri, Tan Sri, Tun dan Sebagainya” di sebuah blog. Sedikit pembetulan kepada penulisnya, ianya adalah gelaran dan bukannya pangkat. Sebahagian besar kandungan artikel tersebut pula hanya copy paste senarai Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Persekutuan semata-mata tanpa ada penerangan dengan lebih lanjut.

Jadi penulis merasakan, sebahagian besar pembaca mungkin masih kurang arif mengenai maklumat dan protokol berkaitan gelaran kehormat yang digunapakai di negara kita. Jadi di sini penulis kongsikan sedikit pengetahuan yang ada secara ringkas kepada pembaca. Mungkin bermanfaat sebagai pengetahuan am dan info tambahan.


1.         Mana Satu Ejaan Yang Betul? Datuk atau Dato’?

Persoalan ini sangat popular. Sebenarnya kedua-dua ejaan tersebut betul iaitu bergantung kepada Darjah Kebesaran yang dianugerahkan. Bagi Darjah Kebesaran yang dikurniakan oleh Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan Melaka, ejaan gelarannya adalah Datuk. Sementara penerima Darjah Kebesaran selain daripada 5 negeri/wilayah di atas, ejaan gelarannya adalah Dato’.

Walau bagaimanapun, bagi tujuan penyelarasan dan memudahkan pembacaan, kebiasaannya di media massa seperti akhbar dan televisyen, ejaan ‘Datuk’ digunakan secara umum.    

Info tambahan : pada hari ini, Kerajaan Negeri Sarawak telah memperkenalkan tambahan Darjah Kebesaran Negeri yang baharu dan ejaan gelarannya adalah Dato tanpa tanda ( ' ) dihujungnya.


2.         Gelaran “Tun” dan “Tan Sri” Hanya Dari Persekutuan

Gelaran “Tun” dan “Tan Sri” merupakan Darjah Kebesaran Persekutuan yang hanya dikurniakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. “Tun” merupakan anugerah bergelar tertinggi negara dan lazimnya dikurniakan kepada Yang Dipertua Negeri, Ketua Hakim Negara, dan mantan Perdana Menteri. Isteri kepada "Tun" akan bergelar "Toh Puan". Panggilan hormat bagi penerima anugerah ini dan pasangannya adalah Yang Amat Berbahagia (YABhg).  Bagi “Tan Sri” pula, ia merupakan gelaran kedua tertinggi dan panggilan hormat bagi anugerah ini sama seperti “Datuk” iaitu Yang Berbahagia (YBhg.). Isteri kepada "Tan Sri" akan bergelar "Puan Sri".


3.         Panggilan Hormat Bagi Darjah Kebesaran “Datuk” atau “Dato’” Kurniaan  Negeri

Secara umumnya, panggilan hormat bagi semua penerima Datuk atau Dato’ dari Persekutuan mahupun Negeri adalah sama iaitu Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk / Dato' kecuali di dua buah negeri iaitu Johor dan Pahang.

Johor : Di Johor, bagi penerima Darjah Kebesaran Negeri Johor yang membawa gelaran Dato’, panggilan hormatnya ialah Yang Berhormat (YB) Dato' iaitu seperti panggilan hormat yang digunakan oleh Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh negara.

Pahang : Di Pahang, bagi para penerima Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang membawa gelaran Dato' Sri atau Dato’, panggilan hormatnya ialah Yang Hormat (YH) Dato' Sri / YH Dato'.


4.         Gelaran Dato’ Hanya Untuk Penerima Lelaki, Bukan Wanita

Benar. Tetapi hanya di Negeri Johor dan Selangor sahaja. Di kedua-dua negeri ini, gelaran Dato’ hanya digunakan oleh penerima lelaki. Sekiranya yang menerima Darjah Kebesaran tersebut merupakan seorang wanita, gelaran yang digunakan adalah Datin Paduka (termasuk juga Datin Paduka Seri dan Datin Paduka Setia di Selangor). Oleh yang demikian, di Johor dan Selangor, wanita yang bergelar Datin Paduka merupakan individu yang menerima sendiri Darjah Kebesaran tersebut dan bukannya bermaksud pasangan mereka mempunyai gelaran Dato’ Paduka.


5.         Tiada ‘Datin’ Untuk Isteri Dato’ di Terengganu

Secara lazimnya, isteri kepada individu yang bergelar Datuk atau Dato’ akan memakai gelaran Datin. Namun begitu, bagi penerima Darjah Kebesaran Negeri Terengganu, isteri kepada Dato’ akan memakai gelaran To’ Puan (jangan keliru dengan gelaran ‘Toh Puan’ yang digunakan oleh isteri kepada suami yang bergelar ‘Tun’).

Info tambahan : Di Negeri Johor, gelaran rasmi bagi isteri yang suaminya bergelar Dato’ adalah Datin Dato’ (nama suaminya) dan bukannya menggunakan namanya sendiri.  


6.         Sarawak Antara Negeri Yang Banyak Gelaran Kebesaran Berbeza

Di Negeri Johor, bagi penerima Darjah Kebesaran Kelas Pertama mahupun Kelas Kedua, kedua-duanya membawa gelaran yang sama iaitu YB Dato’. Begitu juga dengan Negeri Kelantan yang menggunakan satu sahaja gelaran iaitu YBhg. Dato'. Tetapi di Negeri Sarawak, terdapat tujuh (7) Darjah Kebesaran yang membawa gelaran yang berbeza-beza iaitu Pehin Sri, Datuk Patinggi, Datuk Amar, Dato Sri, Datuk, Dato dan Datu ('Datu' di Sarawak merupakan gelaran kehormat dan berbeza dengan penggunaan nama Datu yang diwarisi secara turun temurun oleh sesetengah keluarga di Sabah).

Antara gelaran yang digunakan di negeri-negeri lain adalah seperti berikut :

Kedah : Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri Diraja, Dato’ Seri Wira, Dato’ Seri, Dato’ Paduka, Dato’ Diraja, Dato’ Wira, Dato’
Selangor : Dato' Seri, Dato' Setia, Dato’
Perak : Dato’ Sri Diraja, Dato’ Seri Panglima, Dato’ Seri, Dato’ Pahlawan, Dato’
Pahang : Dato’ Sri Diraja, Dato’ Sri, Dato’
Negeri Sembilan : Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri, Dato’
Perlis : Dato' Seri Diraja, Dato' Seri Setia Diraja, Dato' Seri, Dato' Paduka, Dato' Wira, Dato' Pahlawan, Dato’
Pulau Pinang : Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri, Dato’
Sabah : Datuk Seri Panglima, Datuk
Melaka : Datuk Seri Utama, Datuk Seri, Datuk Wira, Datuk
Wilayah Persekutuan : Datuk Seri Utama, Datuk Seri, Datuk


7.         Hanya Dato’ Brunei Gelaran Dari Luar Negara Yang Diiktiraf Kerajaan

Darjah Kebesaran yang diiktiraf oleh Kerajaan adalah yang dikurniakan oleh Ketua-ketua Negara Asing yang berdaulat, sembilan (9) DYMM Raja-raja Melayu serta empat (4) Yang Dipertua Negeri sahaja. Oleh yang demikian, hanya Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato’ yang dikurniakan oleh Sultan Brunei sahaja merupakan satu-satunya dari luar negara yang diiktiraf oleh Kerajaan.

Oleh itu, gelaran Dato’ yang dikurniakan oleh individu yang mengaku dirinya sebagai waris keturunan Maharaja Nusantara, Raja Majapahit, Sultan Negeri Pasir Berdengung, Raja Negeri Isketambola dan sebagainya merupakan satu penipuan dan pemberi serta penerima yang menyalahgunakan gelaran kebesaran tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.


66 comments:

  1. adakah gelaran sir atau lord tidak diktiraf oleh kerajaan

    ReplyDelete
  2. ooo...baru pakcik tau.info yg sgt berguna. nnt kalo tuan tanah ada masa lg,blh la plak buat pasal panggilan2 keturunan pembesar melayu seperti nik,tuan,wan,megat,datu dan lain2.

    ReplyDelete
  3. saya baru dapat darjah dato dari Negeri Isketambola. baru tahu scam rupanya....ish

    ReplyDelete
  4. terima kasih diatas penerangan di dalam ini. Bertambah lagi pengetahuan am.

    ReplyDelete
  5. baru faham...good info..tq

    ReplyDelete
  6. ALLAHYARHAM...GELARAN MAMPU MILIK

    ReplyDelete
  7. nak copy paste boleh? sy tnggal kredit.. boleh ke tuan>?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Share link artikel blog ini sahaja dibenarkan. TK

      ~IR~

      Delete
  8. Bagaimana pulak dgn gelaran Dato' sri/seri?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dato' Sri untuk penerima SSAP dari Negeri Pahang.

      Kalau Sarawak, Dato Sri tanpa tanda ( ' )

      Negeri2 lain umumnya guna ejaan 'Seri'

      Boleh refer ke Bhgn Istiadat JPM untuk cross check & info lanjut

      ~IR~

      Delete
  9. Inilah masaalah kita, lebih mementingkan pangkat dari agama kita sendiri. Islam tidak pernah mengalakan perbezaan melalui anugerah dan darjat. Perbezaan antara kita hanyalah mereka yang bertaqwa pada Allah bukan pangkat yang dianugerahkan oleh manusia.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Inilah masaalah kita. Dah terang2 ditulis kat atas, info ni cuma untuk perkongsian maklumat. Sebagai pengetahuan asas tentang peraturan protokol yang ramai tak tahu. Terima jelah as ilmu. Bila masa pulak artikel kat atas ni tulis pangkat dunia ni lebih penting dari agama?

      Delete
    2. Ilmu pengetahuan ni luas..
      Ambillah ia sebagai pengetahuan am..

      Delete
    3. Setuju...perlu juga ilmu dunia utk di jadikan pelaburan utk bekalan di akhirat nanti.

      Delete
    4. kan dah tulis di atas utk perkongsian umum..lagi satu penulis ada tulis yg itu bukan lah pangkat..itu hanya gelaran..sedang kan binatang pon ada gelaran..ini kan pula manusia yg mana adalah makhluk sebaik baik ciptaan..tidak ada masalah dgn gelaran..rasulullah hanya menentang sifat assobiyah & jahilliah..tetapi baginda tidak menentang gelaran...semua bergantung atas penilaian kita sendiri mahu menganggap seseorang itu seperti mana..

      Delete
  10. Very informative fact-filled article for readers to be thankful. Comments towards recipients and awarding Authorities are totally uncalled for.

    ReplyDelete
  11. Tambahan, di Sarawak Datu' tidak dikurniakan kepada wanita, sebaliknya gelaran Datin Paduka dikurniakan seandainya penerima tersebut wanita. Datu dan Datin Paduka biasanya diberikan kepada pegawai perkhidmatan awam yang menunjukkan kecemerlangan kepada negeri Sarawak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks atas info.

      Boleh bagi sumber rujukan untuk saya cross-check?

      ~IR~

      Delete
    2. Darjah Jasa
      Bakti Sarawak
      (D.J.B.S)
      Lelaki - Datu
      Wanita -Datu

      http://hus.moh.gov.my/bm/wp-content/uploads/2018/02/11.-SARAWAK-1.doc

      Delete
  12. Terima kasih atas perkongsian ilmiah dan usaha murni tuan...

    ReplyDelete
  13. Terima kasih atas info yang cemerlang.Kami menghargainya.

    Bagaimana pula gelaran Dato bintara setia? (Tak pasti pula saya tentang ejaanya dato/dato'/datuk)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada sstgh gelaran Datuk merupakan Datuk bergelar khas yang dikurniakan kpd Orang2 Besar Negeri.

      Almarhum Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz, mantan MB Kelantan. Contoh lain, Dato' Seri Mahawangsa Mahdzir Khalid, mantan MB Kedah.

      Contoh lain, pada bulan Jun 2016 yang lalu, Sultan Selangor berkenan anugerahkan gelaran Dato' Kurnia Bakti Diraja & Dato' Setia Pekerti Diraja kpd 2 penerima.

      Info diatas lebih kpd maklumat secara umum..

      Delete
  14. Terima kasih atas info yang sangat bermanfaat ini.. Izinkan saya bertanya :-

    1. Bagi penerima gelaran tersebut yang telah meninggal dunia, dalam majlis yang rasmi, boleh ke kita gunakan gelaran tersebut? Contoh Allahyarham Dato' (Nama) atau cukup Allahyarham (Nama)..
    2. Seperti dinyatakan Tun adalah gelaran tertinggi.. Adakah benar mereka yang dikurniakan gelaran Tun dikatakan 'kebal' disisi undang-undang sehingga gelaran Tun ditarik balik?

    ReplyDelete
  15. 1. Rasanya tiada masalah. Ramai penerima yang menerima Darjah Kebesaran selepas meninggal dunia masih dipanggil dengan gelarannya. Contoh : Tan Sri Datuk Amar P. Ramlee, Dato' Sudirman dsb.

    2. Seorang bergelar Tun (Bukan Melayu) pernah didakwa atas satu skandal kewangan. Jadi saudara boleh fikir sendiri jawapan bagi persoalan no. 2 diatas.

    ReplyDelete
  16. Bagaimana pula dengan mereka yang menggunapakai gelaran Tan Sri Dato' Sri?

    ReplyDelete
  17. Macam mana pulak dengan gelaran isteri tan sri yang mempunyai pangkat datin paduka atau dato? Mohob penjelasan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Apa yg saya tahu, gunakan gelaran yg lebih kanan terlebih dahulu.m

      Delete
  18. Terima kasih atas perkongsian info yang sangat bermanfaat ini.

    ReplyDelete
  19. YABhg merujuk kepada Yang Amat Berbahgia ke???bukan Yang Amat Berhormat....sebab berbahagia biasanya digunakan untuk vip majlis..
    contohnya:
    "yang berbahagia tuan pengetua ..bla..bla"

    p/s: betulkan kalau ada kesilapan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yang Amat Berhormat tu singkatan dia kan YAB? Bukannya YABhg. Biasanya YAB tu untuk PM, TPM & MB/KM.

      Delete
  20. So kalau macam eina azman pelakon tu, suaminya dapat gelaran dato' paduka, so eina dapat ke gelaran datin paduka? Sebab datin paduka tu hanya untuk org yg menerima sndiri pangkat tersebut. Atau sy yang tak faham. Hahaha. Minta perjelaskan. Terima kasih

    ReplyDelete
    Replies
    1. Di Kedah & Perlis, ada darjah kebesaran yang bawa gelaran Dato' Paduka. Pasangannya akan pakai gelaran Datin Paduka.

      Cuma di Johor dan Selangor, kalau yang menerima darjah kebesaran tu adalah wanita, dia bawa gelaran adalah Datin Paduka, bukannya Dato'.

      Tu je perbezaan dia.

      Delete
  21. Boleh share info utk setiap gelaran berapa imbuhan/elaun yg diterima? Ke takda? Ke ada?

    ReplyDelete
  22. Kalau tambahan seri atau sri tu maknanya lagi tinggi la ye?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Biasanya untuk Darjah Kebesaran Dato' Negeri Kelas Pertama, Dato' Seri lebih tinggi dari Dato'

      Tapi di Johor & Kelantan, Kelas Pertama & kedua, dua2 titlenya sama iaitu Dato'. Bezanya kelas pertama pingatnya ada kalung..

      Delete
  23. Terima kasih.... info yg amat berguna....
    Cuma nak tanya sikit....kalaulah orang tu dpt banyak pingat....dari federal dan negeri... yg mana satu akan digunakan.... sebab terperasan yg najib dgn dr mahathir dari dulu pakai gelaran dato seri je... takkanlah depa ni takde pingat tan sri?..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tun Mahathir & Dato' Sri Najib tak ada gelaran Tan Sri semasa jd PM.

      Jika ada lebih dr 1 gelaran, akan gunakn title ikut kekananan darjah kebesaran yg diterima..

      Delete
  24. Salam,

    Terima kasih atas halaman maklumat yang sungguh bagus. Saya ada beberapa soalan, termasuk soalan yang tidak terjawab di atas:

    1. Apakah protokol untuk individu yang telah menerima dua atau lebih gelaran (i.e. Tan Sri Dato' Sri)?

    2. Apakah protokol untuk wanita yang mempunyai gelarannya sendiri, tetapi suaminya mempunyai gelaran yang lebih tinggi (i.e. wanita bergelar Tan Sri tetapi suaminya seorang Tun)

    3. Adakah pihak Kerajaan atau istana mempunyai halaman rasmi untuk protokol gelaran sebegini?

    Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mohon maaf lewat reply. Quit busy lately & tak sempat check blog.

      1. Jika ada lebih dr 1 gelaran, guna title yg lebih tinggi dahulu. Contohnya YBhg. Tan Sri Datuk .....

      2. Biasanya untuk gelaran Tun or Toh Puan, jarang digunakan bersama title yg lebih rendah. Kecuali untuk TYT YPN, digunakan bersama gelaran Tun dgn title Negeri.

      3. Boleh hantar pertanyaan kpd Bhgn Istiadat & Urusetia Persidangan antarabangsa JPM, if tak silap.

      Boleh dapatkn confirmation disana.

      Harap membantu.

      Delete
  25. adakah gelaran 'tun' hanya diberikan dgn jumlah penerima @ kouta yang terhad? maksudnye penerima gelaran 'tun' yang masih hidup adalah terhad pada satu masa.. betul ke??

    ReplyDelete
  26. Gelaran datin akan diterima secara automatik jika si suami dpt gelaran dato,wanita juga bole terima gelaran dato mcm lelaki,contoh dato seri shahrizat yg kini bergelar tan sri dan juga ketua puteri umno melaka dato Emy :)

    ReplyDelete
  27. Suami saya baru dapat gelaran 'Datuk'...tapi saya dapat gelaran 'nenek' je...

    ReplyDelete
  28. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  29. Adakah Bhgn Istiadat & Urusetia Persidangan antarabangsa JPM mempunyai satu rekod pendaftaran semua anugerah yang di kurniakan kepda semua individu dari dulu? kalau ada baru senang nak check si polan tu betul ke Dato" ke idak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setakat yang saya tahu, masih dalam progress.

      Delete
  30. secara peribadi bagaimana kita nak mengesahkan sesorang itu mendapat anugerah kebesaran.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Semak di web Bahagian Istiadat. Tapi masih belum kemaskini sepenuhnya.

      Delete
  31. Dato seri diraja x ckp pun

    ReplyDelete
  32. Jadi, kalau orang itu kata Dato' Seri dari Kelantan atau Johor, menipulah dia. Johor dan Kelantan tiada gelaran Dato' Seri.

    ReplyDelete
  33. Alhamdulillah . Penerangan yang jelas ..

    ReplyDelete
  34. Saya suka drama malaysia. Dan sering mendengar gelar2 tersebut diucapkan.
    Karena itu terbuka info ini. Cukup membantu. Walaupun juga tambah pusing dengan aturan2 perwilayah.. saya pikir aturannya universal satu negara. Ternyata ada aturannya lagi.. hahaha

    ReplyDelete
  35. Bertambah pening nk ingat...kne tgk nota br clear...😅

    ReplyDelete