Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Thursday, December 12, 2013

Anugerah Darjah Kebesaran Dato’ Dari Luar Negara –Siri 2-

Sebelum ini, penulis pernah paparkan mengenai penganugerahan ‘Darjah Kebesaran’ yang membawa gelaran “Dato’” oleh individu yang mengaku sebagai “Sultan Sulu” dan “Raja Surakarta” kepada rakyat negara kita. Ada juga komen-komen yang bermati-matian mempertahankan tindakan kedua-dua individu berkenaan. Artikel ini dikeluarkan kerana masih banyak komen-komen yang diberikan berkenaan dengan artikel yang telah dikeluarkan dahulu. Dan artikel ini juga adalah artikel yang terakhir membicarakan mengenai isu anugerah Dato’ dari luar negara kerana sesungguhnya isu ini amatlah membosankan khususnya kepada mereka yang masih lagi ingin menegakkan benang yang basah. Oleh itu, artikel ini akan cuba disampaikan seringkas yang mungkin supaya mudah difahami pembaca.

Kepada para pembaca khasnya yang baru mengikuti blog ini, ingin penulis maklumkan bahawa salah satu cabang yang penulis khususkan adalah mengenai kajian sejarah Kerajaan dan Kesultanan yang pernah wujud di Nusantara, terutamanya Negeri-negeri Melayu yang telah terkubur. Cuba semak, adakah terdapat blog-blog tempatan sebelum ini yang pernah memaparkan kisah mengenai Negeri-negeri Melayu dan Rajanya di luar Malaysia seperti Deli dan Serdang di Sumatera atau Sambas dan Pontianak di Kalimantan?

Penulis bukan setakat mengkaji, malahan juga berhubung secara langsung dengan kebanyakan waris Kerajaan dan Kesultanan tersebut, terutamanya kepada waris yang bertindak sebagai Pemangku Adat iaitu Raja/Sultan simbol warisan Kerajaan nenek moyang mereka, biarpun tidak lagi berdaulat. Namun begitu, lama kelamaan minat untuk mengkaji Kerajaan dan Kesultanan yang ada kadang kala menurun bila melihat perangai sesetengah waris (tetapi tidak semua) yang beriya-iya mahu mengangkat diri sendiri menjadi Raja dan menghentam waris yang lain, padahal sesiapa juga yang naik, tetap juga tidak berdaulat dan tetap juga tidak memiliki kuasa pemerintahan. Jadi, apa sebenarnya yang dikejar oleh mereka?

Penulis berikan satu contoh klasik seperti di bawah. Sebelum ini, individu di bawah ini berapi-api mendedahkan sindiket penjualan gelaran Dato’ pada harga tertentu oleh individu yang mengaku sebagai “Sultan Sulu”.


Hari ini, dia dengan bangganya mengangkat dirinya sendiri sebagai “Sultan Sulu” dan turut menganugerahkan “Darjah Kebesaran”nya sendiri pula! Manusia oh manusia...



Contoh kedua adalah kisah mengenai “Raja Surakarta”. Mungkin ramai yang tidak mengetahui, selepas kematian Paku Buwono XII (Raja Surakarta/Solo) pada tahun 2004 yang lalu, dua daripada anaknya (tetapi berlainan ibu) telah berebut untuk menjadi Raja Surakarta yang seterusnya, iaitu antara Pangeran Hangabehi dan Pangeran Tejowulan. Pangeran Tejowulan kemudian akhirnya beralah dan membolehkan Pangeran Hangabehi mengisytiharkan dirinya sebagai Paku Buwono XIII. Paku Buwono XIII inilah kemudian yang banyak memberikan “Darjah Kebesaran” yang membawa gelaran “Dato’” kepada rakyat Negara kita. Sebenarnya gelaran Dato’ adalah asing bagi Keraton Jawa, kerana ianya lebih banyak digunapakai oleh Istana Melayu. Seperti “Sultan Sulu”, terdapat sindiket yang menguruskan permohonan rakyat Malaysia yang menginginkan gelaran Dato’ dari “Raja Surakarta” ini.



Yang terbaru, muncul pula “Darjah Kebesaran Dato’” yang dikurniakan oleh Sultan Palembang. Untuk makluman, Kesultanan Palembang telah lama terbubar iaitu pada tahun 1823 (hampir 190 tahun dahulu!) dengan pemerintah terakhirnya ialah Sultan Ahmad Najamuddin III. Jika ditelusuri sejarah Kesultanan ini, terdapat pemerintahnya yang amat disegani iaitu Sultan Mahmud Badaruddin II kerana keberaniannya berjuang menentang penjajahan Belanda. Sultan Mahmud Badaruddin II ini telah diangkat sebagai salah seorang Pahlawan Nasional Indonesia dan wajahnya turut diabadikan pada wang kertas Rp 10.000 Rupiah Indonesia.

Pada hari ini, terdapat dua waris yang mengangkat diri mereka sebagai Sultan Palembang. Pertama, Sultan Mahmud Badaruddin III dan kedua, Sultan Iskandar Mahmud Badaruddin, kedua-duanya pun mengambil nama sempena nama Sultan Mahmud Badaruddin II. Walaupun begitu, sebenarnya terdapat ratusan waris Kesultanan Palembang yang boleh mengaku diri mereka sebagai “Sultan Palembang” memandangkan warisan Sultan Palembang telah lama terputus. Mungkin “belajar” daripada Raja Surakarta, Sultan Mahmud Badaruddin III ini kemudian turut menganugerahkan “Darjah Kebesaran Dato’” yang turut diberikan kepada rakyat Malaysia. Dan seperti biasa, permohonan untuk mendapatkan “Dato’ Palembang” juga boleh dipohon di internet.



Untuk memendekkan cerita, penulis menjawab dua soalan utama yang sering ditimbulkan oleh penerima “Dato’” oleh “Raja-raja” dari luar negara ini :

1. Kenapa Darjah Kebesaran Dato’ dari Sultan Brunei diiktiraf pula oleh Kerajaan sedangkan ianya juga dari luar negara?

Satu soalan bodoh yang sering dikemukakan. Jawapannya mudah sahaja, kerana Sultan Brunei adalah pemerintah yang berdaulat dan diiktiraf bukan sahaja di negara beliau, malahan di dunia. Perlembagaan Negara Brunei Darussalam dengan jelas meletakkan Raja mereka sebagai pemerintah tertinggi, malahan memiliki kuasa mutlak. Cuba bandingkan pula dengan individu yang mengaku diri mereka sebagai “Sultan Sulu”, “Raja Surakarta” atau “Sultan Palembang” ini. Adakah Undang-undang Dasar Negara Republik Indonesia ada menyatakan yang republik tersebut mengiktiraf monarki berkenaan? Seperkara lagi adakah mereka memiliki wilayah yang ditadbir dan dikuasai? Mengapakah “Sultan Palembang” menganugerahkan “Darjah Kebesarannya” di hotel-hotel? Bukankah Kesultanan Palembang mempunyai keratonnya sendiri seperti Museum Sultan Mahmud Badaruddin II atau Kuto Besak yang masih berdiri hingga ke hari ini? Adakah individu-individu yang mengaku sebagai Raja ini boleh mengarahkan Gabenor Wilayah Autonomi Mindanau, Gabenor Sumatera Selatan atau Wali Kota Surakarta untuk mengubah hari cuti hujung minggu seperti yang dilakukan oleh Sultan Johor?


2. Ramai VVIP dan VIP dari Malaysia juga menerima Dato’ dari Raja-raja di Indonesia

Ya, ini adalah taktik lapuk yang digunakan bagi mengangkat prestij Darjah Kebesaran yang mereka kurniakan. Malahan jika boleh, mungkin Presiden Barrack Obama atau Ban Ki-moon pun mereka berikan pingat Dato’ mereka dan kemudian cetak gambar bersama banyak-banyak. Untuk makluman, ramai VVIP dan VIP yang bersetuju menerima darjah kebesaran mereka atas dasar diplomasi politik dan persahabatan antara dua negara. Tetapi para VVIP dan VIP ini tetap menggunakan gelaran kebesaran Dato’ yang telah diterima dari dalam negara sahaja. Cuba semak, adakah terdapat VVIP dan VIP yang dengan bangganya meletakkan singkatan nama anugerah yang diterima daripada para “Raja” di Indonesia ini di dalam urusan-urusan rasmi?


Sudah tiba masanya Kerajaan bertegas dengan menguatkuasakan peruntukan di bawah pindaan Akta Nama dan Lambang (Pencegahan Salah Laku) 1963 iaitu penjara 5 tahun kepada individu-individu yang menggunakan gelaran Dato’ palsu atau gelaran yang diterima daripada individu yang tidak diiktiraf di sisi undang-undang (termasuklah tindakan kepada individu di dalam negara yang mengangkat diri sendiri sebagai “Sultan” dan turut sama memberi anugerah) demi mengelakkan penyalahgunaan dan penipuan daripada terus berlaku. Untuk makluman, di Indonesia, terdapat ratusan “Raja” dan “Sultan” yang muncul pasca kejatuhan Presiden Soeharto, dari Sumatera hinggalah ke Sulawesi dan Maluku. Hari ini hanya dua atau tiga sahaja individu dari sana yang menawarkan Darjah Kebesaran Dato’. Esok atau lusa mungkin puluhan individu lain pula yang berlumba-lumba menawarkan Darjah Kebesaran mereka. Dan kepada individu yang masih lagi ingin mempertahankan “Dato’” yang mereka terima daripada “Sultan Sulu”, “Raja Surakarta” atau “Sultan Palembang” ini, satu sahaja dokumen yang penulis minta, iaitu surat pengesahan daripada Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri, bahawa Darjah Kebesaran yang mereka terima itu diiktiraf dan boleh digunakan di dalam Negara.

Wednesday, November 27, 2013

Tuntut Kembali Batu Puteh


Isu Batu Puteh kembali hangat baru-baru ini apabila mantan Pengarah Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim mendedahkan wujud sogokan wang yang menyebabkan kekalahan tuntutan negara kita kepada Singapura pada tahun 2007 yang lalu. Pendedahan ini bukanlah bukanlah satu dakwaan kosong kerana ianya dibuat dalam bentuk Akuan Bersumpah (SD) setebal 31 muka surat dan turut dihantar ke Pejabat Perdana Menteri dan beberapa pemimpin kanan negara.

Akuan Bersumpah berkenaan telah mendedahkan salah laku individu yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kes berkenaan bagi pihak negara kita. Turut dinyatakan maklumat bahawa terdapat wang dalam amaun yang besar telah bertukar tangan dan dipindahkan ke dalam sebuah akaun di Hong Kong.

Penulis memohon supaya pihak-pihak berwajib yang mempunyai kuasa dan masih mempunyai perasaan cinta kepada negara agar membuat siasatan segera dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Perkara ini melibatkan maruah negara dan sekiranya benar dakwaan berkenaan, pengkhianat yang telah menjual kedaulatan negara perlu dihadapkan ke Mahkamah dan dikenakan hukuman yang paling berat. Untuk makluman, cerita mengenai tindakan sabotaj dalaman yang dilakukan oleh agent-agent negara jiran di kalangan rakyat tempatan dalam kes tuntutan Batu Puteh bukanlah perkara baru. Penulis memetik kembali kenyataan Datuk Ruhanie Ahmad di dalam blognya Kuda Kepang pada tahun 2008 yang lalu :

“sebelum menghadiri sessi akhir ICJ mengenai Pulau Batu Puteh di The Hague, Belanda, pertengahan Mei 2008 lalu, saya difahamkan bahawa Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, dipercayai telah menerima daripada Sultan Johor satu scroll dan dokumen sejarah yang sangat penting mengenai pulau tersebut.

Dokumen dan scroll ini dikatakan akan digunakan sebagai “senjata terakhir” dalam perbicaraan ICJ bagi menjamin serta mempertahankan kedaulatan Pulau Puteh terus kekal dimiliki oleh Malaysia.

Berasaskan scroll serta dokumen tersebut, Rais dikatakan telah memberitahu Sultan Johor bahawa kemungkinan besar keputusan ICJ mengenai Pulau Batu Puteh akan memihak kepada Malaysia.

Persoalannya di sini, adakah scroll dan dokumen penting ini telah benar-benar digunakan sebagai “senjata terakhir” Malaysia dalam perbicaraan ICJ? Jika tidak, mengapakah jadi begitu? Kemanakah perginya scroll dan dokumen ini sekarang?”

Sebelum ini, Singapura sentiasa berdolak dalik untuk membawa kes Batu Puteh ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Adalah jelas bahawa Batu Puteh adalah lebih dekat dengan Negeri Johor iaitu hanya 7.7 batu nautikal berbanding dengan jarak dari Singapura yang sejauh 25 batu nautikal. Walaupun negara kita telah mengemukakan tujuh (7) dokumen bertulis bersejarah yang membuktikan pemilikan Negeri Johor ke atas Batu Puteh, ICJ akhirnya memutuskan Batu Puteh menjadi milik Singapura hanya kerana sekeping surat yang dikirimkan oleh pemangku Setiausaha Kerajaan Johor (bukan Setiausaha Kerajaan Johor sendiri!) kepada Setiausaha Koloni British di Singapura (bukan kepada Republik Singapura!) pada 21 September 1953. Batuan Tengah pula disahkan milik negara sementara status Tubir Selatan masih tidak jelas, tidak pula diketahui keputusan akhir Jawatankuasa Teknikal Bersama yang ditubuhkan Malaysia dan Singapura.



Tiada rakyat Malaysia terutamanya Bangsa Johor yang menerima kenyataan bahawa keputusan ICJ tersebut adalah win-win situation. Malahan Almarhum Sultan Iskandar semasa merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor pada 19 Jun 2008 dengan tegas telah bertitah :

"Suka beta ingatkan bahawa beta tidak lupa pada Pulau Batu Puteh. Pulau Batu Puteh bukan hak Singapura tetapi hak milik Johor. Sampai bila pun beta akan cari ikhtiar untuk mendapatkan semula pulau milik Johor itu,"

Namun begitu, malang sekali negara ketika itu dipimpin oleh regim yang dikuasai oleh anak menantu langsung tidak ada usaha untuk menyokong titah almarhum Sultan Iskandar untuk terus menuntut Batu Puteh. Sama sahaja seperti sikap mereka sebelum itu yang sesuka hati menyalahkan rakyat Johor untuk membatalkan pembinaan jambatan bengkok atas alasan tidak masuk akal bahawa rakyat Johor tidak bersetuju dengan pertukaran untuk menjual pasir ke Singapura dan kebenaran pesawat SAF untuk memasuki ruang udara negara.

Negara kita hanya mempunyai tempoh lebih kurang empat (4) tahun sahaja lagi untuk mengemukakan rayuan kepada ICJ berhubung keputusan ke atas Pulau Batu Puteh. Bukti yang wajib untuk dicarigali dengan bersungguh-sungguh oleh Arkib Negara, Jabatan Warisan, Muzium Diraja atau mana-mana sahaja agensi yang berkaitan adalah surat tahun 1844 yang telah dikirimkan oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, William John Butterworth, kepada Sultan Johor (Sultan Ali, Sultan Johor terakhir dari keturunan Bendahara yang akhirnya hanya memerintah Muar) dan Temenggong Johor (Temenggong Abdul Rahman Tun Abdul Jamil, datuk kepada almarhum Sultan Abu Bakar, Sultan Johor). Kandungan surat berkenaan adalah mengenai permohonan British untuk meminta izin daripada pihak Kesultanan Johor untuk membina sebuah rumah api di atas pulau tersebut, seterusnya membuktikan bahawa pulau tersebut sememangnya milik sah Negeri Johor. Surat berkenaan tidak dapat dijumpai di dalam arkib negara, tetapi dipercayai masih berada dalam simpanan arkib negara jiran.

Friday, November 1, 2013

Prestij Darjah Kebesaran Dato’ Johor

Darjah Dato' Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ)


Ketika penulis bersembang dengan beberapa orang rakan baru-baru ini, seorang rakan telah menimbulkan isu berkenaan dengan penganugerahan terlalu banyak Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato’/Datuk kepada terlalu ramai orang pada masa ini. Penulis dimaklumkan, kesan penganugerahan yang terlalu banyak ini telah menyebabkan masyarakat umum memandang sinis kepada penerima anugerah berkenaan, dengan tempiasnya turut terkena kepada penerima yang benar-benar telah banyak menyumbangkan jasa kepada masyarakat dan negara.

Penulis memberitahu kepada rakan berkenaan, penganugerahan Darjah Kebesaran termasuk yang membawa gelaran Dato’/Datuk adalah hak pemerintah setiap Negeri atas pertimbangan terhadap jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh setiap penerimanya. Justeru itu, penulis tidak berhasrat untuk mengulas panjang mengenai isu berkenaan. Jika dilihat dari sudut sejarah, penggunaan gelaran kebesaran ‘Datuk’ ini telah wujud sejak zaman Kerajaan Srivijaya lagi. Namun begitu, kewujudan Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato’ telah dimulakan oleh Kesultanan Johor Moden iaitu bermula pada era pemerintahan almarhum Sultan Abu Bakar.

Seperti yang diketahui, almarhum Sultan Abu Bakar bercita-cita untuk memodenkan sistem pentadbiran Negeri Johor Darul Takzim. Justeru itu, baginda banyak mengadakan lawatan ke negara-negara asing. Di dalam lawatan berkenaan, baginda telah menerima banyak anugerah kebesaran dari Ketua-ketua Negara Asing yang dilawatinya. Justeru itu, salah satu sebab mengapa baginda memperkenalkan Darjah Kebesaran di Johor adalah bertujuan untuk membalas pemberian anugerah kebesaran yang telah diterima kepada Ketua-ketua Negara Asing.

Darjah Dato' Paduka Mahkota Johor (DPMJ)

Sehingga kini, anugerah Darjah Kebesaran Negeri Johor telah diiktiraf sebagai anugerah yang tertua dan memiliki prestijnya yang tersendiri. Tidak seperti di Negeri lain, pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Johor yang membawa gelaran Dato’ adalah hak mutlak DYMM Sultan Johor dan secara puratanya, hanya dua atau tiga individu sahaja yang akan dikurniakan Darjah Kebesaran tersebut sewaktu Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda. Walau bagaimanapun, Darjah Kebesaran ini juga turut boleh dikurniakan pada bila-bila masa mengikut perkenan baginda. Pencalonan untuk penerima Darjah Kebesaran ini melalui proses yang amat ketat dan dikurniakan dalam jumlah yang amat terhad. Berikut merupakan maklumat lain yang berkaitan :

1) Darjah Kebesaran Negeri Johor iaitu Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati dan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia telah diperkenalkan pada tahun 1886. Disebabkan itulah, Darjah Kebesaran Negeri ini dianggap paling kanan dan tertua sekali di negara kita. Hanya selepas 30 tahun, barulah Negeri-negeri lain mengikut jejak langkah Negeri Johor dengan memperkenalkan Darjah Kebesaran Negeri masing-masing.

2) Mengikut artikel yang ditulis oleh Allahyarham Hakim Tan Sri Harun Hashim di akhbar New Straits Times pada 24 Ogos 2003, Darjah Kebesaran Dato’ Johor adalah salah satu daripada dua Darjah Kebesaran Dato’ di negara kita (selain Kelantan) yang diiktiraf oleh Court of St. James di England dan setaraf dengan British Knighthood.

3) Rekabentuk Darjah Kebesaran Negeri Johor pada asalnya ditempah daripada Syarikat J.W. Benson, London, pada tahun 1885 sebelum bertukar pula kepada Syarikat Garrard of London pada tahun 1960 sebelum diambil alih sebuah syarikat tempatan. Dan sehingga kini, reka bentuk, ukuran dan warnanya kekal tidak berubah sebagaimana Darjah Kebesaran yang mula ditempah pada tahun 1885 dahulu. Begitu juga dengan reka bentuk dan kandungan surat Watikah yang akan disertakan bersama-sama dengan Darjah Kebesaran yang masih sama sejak tahun 1886.

4) Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia mempunyai tiga pangkat iaitu Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ), Dato’ Paduka Mahkota Johor (DPMJ) dan Setia Mahkota Johor (SMJ). Walau bagaimanapun, hanya penerima pangkat pertama dan kedua sahaja yang berhak memakai gelaran Dato’. Pada asalnya, gelaran Dato’ Sri digunapakai kepada penerima SPMJ pada tahun 1886. Tetapi gelaran ini kemudian tidak lagi digunakan dan hanya dikekalkan gelaran Dato’ kerana almarhum Sultan Abu Bakar tidak mahu membeza-bezakan antara ahli pangkat pertama dan kedua.

5) Hanya penerima Dato’ Johor sahaja satu-satunya di negara kita yang perlu didahului dengan panggilan Yang Berhormat, tidak seperti penerima anugerah Dato’ lain yang didahului dengan panggilan Yang Berbahagia atau Yang Hormat (bagi Negeri Pahang). Panggilan Yang Berhormat Dato’ ini perlu disebut sepenuhnya di dalam majlis rasmi dan tidak boleh disingkatkan menjadi YB bagi membezakannya dengan panggilan Yang Berhormat (YB) bagi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

6) Mulai 30 Mac 1986, ahli-ahli wanita yang menerima SPMJ dan DPMJ akan memakai gelaran Datin Paduka dan tidak lagi gelaran Dato’. Perkara ini adalah selari dengan protokol di Britain yang mana wanita yang menerima Darjah Kebesaran tidak memakai gelaran ‘Sir’ tetapi bergelar ‘Dame’. Negeri Selangor juga mempunyai protokol yang sama iaitu penerima Darjah Bergelar bagi wanita memakai gelaran Datin Paduka dan bukannya Dato’.

7) Di Negeri Johor, isteri kepada suami yang bergelar Dato’ tidak boleh mamakai gelaran Datin dihadapan namanya kerana mengikut protokol di Johor, hanya suaminya sahaja yang menerima Darjah Kebesaran dan gelaran tersebut. Isteri seorang Dato’ di Johor perlu dipanggil dengan gelaran Datin Dato’ ...(nama suaminya)....

8) Menurut maklumat yang diterima penulis, selain daripada Kerabat Diraja Johor, hanya individu yang berumur lebih daripada 40 tahun dan ke atas sahaja boleh dipertimbangkan untuk menerima Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato’. Sekiranya individu tersebut berumur di bawah 40 tahun, beliau hanya boleh dikurniakan SMJ.


Setia Mahkota Johor (SMJ)

 
9) Sekiranya bakal penerima Darjah Kebesaran di Johor merupakan seorang yang beragama Islam, beliau dikehendaki menyempurnakan solat sunat dua rakaat dan mengangkat sumpah Syarie di hadapan Mufti dan disaksikan oleh dua orang Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja. Sumpah Syarie yang dilafazkan mengandungi ikrar taat setia kepada perintah-perintah Allah SWT dan taat setia kepada Raja dan kerajaan.

10) Mengikut Fasal 13 Undang-undang dan Peraturan Darjah, DYMM Sultan Johor berhak memecat Ahli Darjah (Dato’) sekiranya didapati menderhaka atau membuat kesalahan yang mendatangkan sifat kehinaan kepada orang baik-baik. Mereka yang ditarik balik gelaran perlu memulangkan semula bintang kebesaran serta surat watikah dan pembatalan mereka sebagai Ahli Darjah akan turut diwartakan. Chua Jui Meng, mantan Menteri Kesihatan adalah antara Ahli Darjah yang telah ditarik balik gelaran Dato’ oleh DYMM Sultan Johor.

Sejak 1886 hingga 2011, jumlah individu yang bergelar Dato’ Johor adalah terlalu kecil iaitu hanya 763 orang. Berbalik kepada isu penganugerahan terlalu banyak Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato’/Datuk kepada terlalu ramai orang pada masa ini, mungkin wasiat daripada almarhum Sultan Abu Bakar, Raja Melayu pertama yang memperkenalkan Darjah Kebesaran Moden, dan amanat ini turut dicatat di dalam Fasal 53 Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Negeri Johor, boleh dijadikan panduan dan renungan bersama :

“Janganlah diperbuat, dijadi dan diadakan sesuatu Darjah lain dengan sebab semata-mata hendak membanyakkan dan menambahkan bilangan darjah sahaja dengan tidak difikirkan dengan cermat dan baik adakah berguna dan berkehendak dijadikan yang baru kerana banyak bilangan dan terlalu banyak kelihatan dalam Negeri akan menjadikan kurang mutu dan kurang harga semuanya.”

Monday, October 21, 2013

Ulasan Trailer New Village

Filem New Village yang menimbulkan kontroversi kerana dihalang penayangannya sebelum ini adalah satu percubaan jahat untuk menulis dan mengubah semula sejarah Negara. Kepada pencacai dan pengikut setia Chinpengzee, mereka menganggap filem tersebut adalah filem yang memaparkan ‘sejarah’ sebenar. Artikel pada kali ini akan cuba mengulas trailer filem berkenaan memandangkan filem tersebut telah ditangguhkan penayangannya akibat kejahilan (atau kemalasan) LPF yang sepatutnya mengharamkan filem pengganas komunis ini sejak dari awal lagi. Jika ditonton trailer filem ini berulang kali, terasa seperti ada mesej-mesej tertentu yang ingin dipropagandakan secara bawah sedar kepada golongan penonton tertentu.




Pertamanya, perlu diulas asal usul kewujudan ‘Kampung Baru’ ini sendiri. Kewujudan Kampung-kampung Baru yang dihuni oleh rakyat berketurunan Cina ini adalah hasil Rancangan Briggs untuk menjauhkan setinggan-setinggan Cina di Tanah Melayu daripada pengaruh Komunis pada zaman darurat dahulu. Tetapi perkara yang jarang dinyatakan adalah kewujudan Kampung-kampung Baru ini didirikan atas tanah-tanah milik Melayu. Perkara ini pernah dibangkitkan oleh DYTM Raja Dr. Nazrin Syah, Raja Muda Perak berikutan tindakan Kerajaan Negeri Perak yang dikuasai DAP pada masa tersebut mengeluarkan hakmilik tanah bagi kampung-kampung ini, sedangkan sepatutnya tanah-tanah ini dikembalikan semula kepada pemilik asalnya memandangkan ancaman Komunis telah berakhir. Tetapi beranikah penerbit filem ‘sejarah’ ini untuk memaparkan hakikat sebenar latar belakang tapak-tapak Kampung Baru ini?




Kedua, dalam satu babak dinyatakan kata-kata “Kami sudah lama di sini, kami tidak akan pindah”. Berapa lamakah penduduk keturunan Cina telah tinggal di Tanah Melayu? Sebenarnya kedatangan orang Cina di Tanah Melayu telah dapat dikesan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Yang paling popular sudah pasti kisah tentang Puteri Li Po yang dihantar oleh Maharaja China kepada Sultan Melaka. Tetapi fakta yang seringkali dikesampingkan oleh golongan Ultra Kiasu ialah kumpulan pendatang Cina pada zaman tersebut bercampur gaul dan berasimilasi dengan budaya Melayu tempatan hingga melahirkan golongan peranakan Cina yang digelar Baba Nyonya. Kumpulan kedua pendatang Cina dari selatan China terutamanya dari Fujian dan Guangdong pula datang ke Tanah Melayu secara besar-besaran pada kurun ke-19 untuk bekerja dengan penjajah British. Pendatang dari selatan China ini terdiri daripada suku kaum dengan dialek berbeza seperti Hokkein, Hakka, Kantonis dan Teochew. Oleh yang demikian, bolehlah dikatakan bahawa penduduk Cina di negara kita baru tinggal di sini selama lebih kurang 200 tahun sahaja.




Babak paling menarik ialah apabila seorang perempuan Cina digambarkan mengatakan “Ini tanahair kita, kita mesti berjuang” samping dihalakan senapang dalam keadaan bersedia untuk menembak oleh tentera British, seorang berwajah Hindustan, seorang lagi berkulit seperti Melayu (tidak jelas). Jika disorot kembali, filem ini dinyatakan berlatar belakangkan tahun 1949. Pada tahun berkenaan, Persekutuan Tanah Melayu di bawah naungan British baru sahaja ditubuhkan susulan daripada pembubaran Malayan Union akibat penentangan orang Melayu. Pada zaman tersebut, kebanyakan pendatang Cina adalah stateless people yang masih memandang Tanah Besar China sebagai negara mereka sementara sebahagian kecil orang Cina adalah British Subject terutamanya di negeri-negeri Selat. Pendatang Cina di Tanah Melayu pada ketika itu memang tidak berhasrat untuk berintegrasi dengan masyarakat setempat (orang Melayu). Mereka hanya menganggap negara ini hanyalah tempat mengumpul wang dan persinggahan sementara sebelum mereka balik ke negeri mereka. (rujuk buku Malaysia's Political Economy: Politics, Patronage and Profits, karya Edmund T. Gomez dan Jomo K.S, 1997). Disebabkan itulah pendatang Cina di Tanah Melayu menubuhkan akhbar dan Sekolah-sekolah Cina iaitu sebagai persediaan kepada anak cucu mereka mengenai budaya dan bahasa Cina sebelum pulang semula ke China. Hanya selepas kemerdekaan negara, barulah lebih dari sejuta pendatang Cina dan India diberikan kerakyatan, yang menyaksikan demografi orang Melayu di negara ini menurun dengan mendadak iaitu daripada 84.2% ketika Pilihanraya 1955 kepada hanya kira-kira 49% ketika Pilihanraya 1959.




Babak seterusnya memaparkan kata-kata “Sama ada tentera British atau Jepun, tiada perbezaan” dengan menunjukkan adegan tentera British berkulit seperti Melayu (tidak jelas). Ada perbezaan antara penjajah British dengan Jepun. Penjajah Jepun sememangnya berlaku kejam kepada para pendatang Cina sewaktu penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu disebabkan peperangan dan permusuhan selama ratusan tahun antara Jepun dengan China. Tetapi kesilapan filem ini adalah mereka memandang negatif kepada penjajah British. Sepatutnya penerbit filem ini memberikan penghargaan dan berterima kasih kepada penjajah British kerana disebabkan penjajah British-lah, pendatang-pendatang dari selatan China ini dapat melarikan diri daripada kekacauan dan huru hara di bawah pemerintahan Dinasti Qing dengan dibawa masuk oleh Btitish ke Tanah Melayu untuk mencari kekayaan dan kehidupan yang lebih aman. British melayan pendatang Cina di Tanah Melayu jauh lebih baik berbanding dengan orang-orang Melayu tempatan terutamanya dalam bidang bidang pendidikan dan ekonomi. Perkara ini dibuktikan oleh Sterling Seagrave dalam bukunya Lords of the Rim yang menyatakan sewaktu era penjajahan British di Tanah Melayu, pemerintah British merupakan golongan atasan, pendatang Cina merupakan golongan pertengahan sementara orang-orang Melayu merupakan golongan bawahan.




Babak seterusnya pula memaparkan kata-kata “Kita semua mangsa di bawah penjajahan”. Jika sudah begitu, mengapa mereka beriya-iya pula menerbitkan sebuah filem ‘Cinta’ yang memaparkan perjuangan Komunis yang kononnya anggota Komunis ini ‘dalam hati ada taman’? Bukankah pengganas Komunis ini juga adalah penjajah yang cuba menjajah Tanah Melayu? Parti Komunis Malaya pada asalnya adalah cawangan seberang laut kepada Parti Komunis China. Mereka berjuang dan mengangkat senjata bukannya untuk memelihara kedaulatan Raja-raja, bukannya bagi menjaga kepentingan orang-orang Melayu dan Bumiputera. Perjuangan Komunis yang berterusan membunuh penduduk tempatan walaupun setelah negara kita merdeka adalah untuk menubuhkan sebuah Republik Komunis Malaya yang berkiblatkan Komunis China dengan Chin Peng sebagai Pemimpin Agung mereka. Jangan dilupakan jasa dan kehebatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merupakan satu-satunya tentera di dunia yang berjaya menewaskan Komunis. Jika tidak, sudah tentu negara kita pada hari ini menjadi seperti Korea Utara.



Babak berikutnya memaparkan ayat “Penderitaan kita akan tamat dengan menghalau mereka dari bumi kita” Siapa sebenarnya yang ingin dihalau dalam filem ini? Penjajah British atau Komunis? Jika British, ini adalah satu hipokrasi yang sangat jelas. Ketika penjajah British mengumumkan pembentukan Malayan Union pada 1 April 1946, hanya orang-orang Melayu yang merupakan penduduk asal Tanah Melayu bangkit untuk menentang cadangan tersebut sekeras-kerasnya. Pendatang Cina di Tanah Melayu tidak menentang penubuhan Malayan Union memandangkan cadangan tersebut tidak mendatangkan apa-apa kerugian kepada mereka walaupun Malayan Union telah mengubah taraf Tanah Melayu daripada sebuah negeri naungan kepada negeri jajahan. Malahan, kewarganegaraan akan diberi secara Jus Soli dan semua kaum diberikan taraf sama rata tanpa mengambil kira hak dan kepentingan Bumiputera tempatan.


Tidak dapat dipastikan apakah filem New Village ini akan ditayangkan juga akhirnya. Tetapi memandangkan negara kita kini dikuasai oleh golongan Liberal yang tidak mementingkan Melayu dan Islam, sudah pasti filem ini akhirnya akan turut ditayangkan akibat tekanan politik yang diberikan. Dan sudah pasti kutipan filem ini kelak akan mendapat Box-Office supaya dapat dijadikan modal untuk memperlecehkan filem Tanda Putera.


Akhir kata, mungkin petikan kata-kata daripada Ye Lin-Sheng di dalam bukunya The Chinese Dilemma (East West Publishing, Australia, 2003) paling tepat untuk menggambarkan perangai sesetengah orang Cina di negara kita “Kami sendiri orang yang tinggal di China tidak menerima ideologi Komunis, tetapi orang Cina di Malaysia lebih selesa untuk mengamal serta menyebarkan ideologi Komunis”.

Thursday, September 26, 2013

10 Ringkasan Kisah Berkenaan Chin Peng dan PKM

Anak kecil Melayu mangsa pengganas Komunis dalam tragedi Bukit Kepong


Nampaknya masih ada beberapa pihak yang cuba memesongkan fakta kononnya Chin Peng adalah seorang patriot yang anti penjajah British sementara Parti Komunis Malaya (PKM) pula adalah segolongan pejuang suci hati yang berperang demi kemerdekaan negara. Sukar sebenarnya untuk menjelaskan kepada puak-puak yang menyanjung tinggi Chin Peng dan PKM ini, yang bolehlah digelarkan sebagai ‘Chinpengzee’ (meminjam istilah Mo Razzi dari blog Untold Histories of Malaya) kerana mereka lebih mengutamakan sentimen perkauman dan politik daripada melihat fakta sejarah dari sudut yang jujur. Sebelum ini, MCA dan DAP beriya-iya melobi supaya Kerajaan membenarkan abu mayat Chin Peng dibenarkan bersemadi di negara kita atas alasan dia dilahirkan di Sitiawan, Perak. Tetapi mengapakah semasa Allahyarham Rashid Madin, bekas Ketua Rejimen Ke-10 PKM meninggal dunia pada 01 September 2006 di selatan Thailand, langsung tidak kedengaran bunyi mereka mendesak supaya jenazah Allahyarham dibawa balik ke Malaysia untuk dikebumikan sedangkan Allahyarham juga adalah anak jati Gopeng, Perak.


Daripada membuang masa membentangkan fakta kepada puak-puak ‘Chinpengzee’ ini, ada baiknya dipaparkan ringkasan 10 kisah yang berkaitan dengan Chin Peng dan PKM ini :

1. Parti Komunis Malaya (PKM) pada asalnya merupakan satu cabang Parti Komunis China di seberang laut yang berjuang untuk menubuhkan Republik Komunis Malaya. PKM mendapat banyak bantuan dan tajaan daripada pihak British iaitu dari segi bekalan senjata, peluru dan latihan ketenteraan untuk menentang tentera Jepun susulan daripada dendam, permusuhan dan peperangan antara Bangsa Jepun dan Bangsa China yang turut berlarutan ke Tanah Melayu iaitu apabila tentera Jepun menindas imigran Cina yang datang ke Tanah Melayu.

2. Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dihargai oleh penjajah British dan dia telah menerima anugerah darjah kebesaran ‘Order of the British Empire’ (OBE) yang membawa gelaran ‘Sir’ oleh Pemerintah British ketika itu.

3. Selepas Perang Dunia ke-II Tamat, MPAJA yang turut disertai oleh PKM telah bermaharajalela dengan membunuh dan menyeksa penduduk tempatan sesuka hati termasuklah para Penghulu dan para Imam kampung dengan tuduhan mereka bersubahat dengan tentera Jepun dan menjadi tali barut British. Dikatakan pelbagai cara dan kaedah digunakan untuk membunuh penduduk tempatan antaranya ditanam hidup-hidup, diseksa sampai mati, direbus atau diseret di jalan.

4. Panglima Salleh dan Tentera Selempang Merah yang telah keluar untuk menggempur dan menentang kekejaman tentera PKM di Batu Pahat hanya menggunakan senjata tradisional seperti parang dan tombak berbanding PKM yang menggunakan senjata api tetapi mereka lebih digeruni. Paling popular kerana dikatakan mereka kebal dari peluru dan parang mereka terbang mencari kepala komunis untuk dicantas. Tetapi apa yang perlu ditekankan ialah Panglima Salleh dan Tentera Selempang Merah melakukan amal ibadat tertentu seperti berpuasa, solat hajat, berzikir serta mengamalkan bacaan wirid tertentu sebagai persediaan dan sumber kekuatan mereka.

5. Walaupun hanya mempunyai kekuatan seramai 22 anggota yang dilengkapi dua pucuk senjata automatik, anggota Polis yang diketuai oleh Sarjan Jamil Mohd Shah enggan menyerah kalah dan tetap berani menentang pengganas komunis yang berjumlah hampir 200 anggota dan dilengkapi dengan senjata-senjata automatik untuk mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950. Pengganas Komunis akhirnya membakar hangus berek kelamin dan balai polis berkenaan walaupun masih terdapat isteri dan anak-anak Polis Melayu yang masih kecil di dalamnya. Komunis turut melontar mereka yang tercedera dan mayat mereka yang terkorban ke dalam api termasuklah seorang kanak-kanak anak Polis Melayu yang dicampak hidup-hidup ke dalam api.

6. Walaupun berketurunan Iban dan berasal dari Negeri Sarawak, Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau telah berjuang bermati-matian dalam jarak hanya lapan meter sahaja dari kedudukan pengganas komunis di Tanah Hitam, Perak, pada 19 Februari 1980 bagi membalas tindakan pengganas Komunis yang telah menembak mati seorang anggota 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) beberapa hari sebelumnya. Dalam pertempuran tersebut, beliau terus berjuang meskipun telah ditembak tiga kali dan hampir menemui ajal selepas peluru mengenai jantung, merosakkan satu buah pinggang, selain usus perutnya terburai. Mendiang merupakan penerima tunggal dua pingat keberanian utama negara iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB).

7. Walaupun kemerdekaan Negara telah dicapai pada 31 Ogos 1957 dan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, PKM masih enggan meletakkan senjata dan terus membunuh, mencederakan dan mencacatkan ribuan rakyat tempatan dan anggota keselamatan walaupun penjajah British telah lama meninggalkan negara kita. Malahan, mangsa mereka terdiri daripada pelbagai peringkat golongan dan kaum seperti Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Hashim, mantan Ketua Polis Negara dan Mendiang Datuk Khoo Chong Kong, mantan Ketua Polis Perak.

8. PKM hanya bersetuju untuk menandatangani Perjanjian Damai Haadyai pada 2 Disember 1989 dengan Kerajaan Malaysia selepas menyedari kekuatannya semakin melemah dan ideologi Komunisme juga semakin tenggelam iaitu dengan jatuhnya Komunisme di timur Eropah. Berdasarkan perjanjian ini, bekas anggota PKM dibenarkan untuk kembali ke Malaysia dengan syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi.

9. Chin Peng bukan seorang warganegara Malaysia dan tidak pernah memohon untuk menjadi warganegara Malaysia walaupun selepas Perjanjian Damai Haadyai dimeterai.

10. Chin Peng tidak pernah meminta maaf kepada mangsa-mangsa kekejaman PKM yang dipimpinnya dan tidak pernah menyatakan kekesalannya yang telah menyebabkan ribuan rakyat Malaysia terbunuh, cedera, menjandakan serta meyatim-piatukan ribuan ahli keluarga dan anggota pasukan keselamatan yang dibunuh dengan kejam dan zalim. Kerana katanya, "Saya tidak menyesal berjuang ke atas sesuatu yang saya percaya dan masih mempercayainya sebagai suatu perjuangan yang adil."

Pada golongan ‘Chinpengzee’ ini, mereka tidak kenal dengan Panglima Salleh, Sarjan Jamil Mohd Shah atau Temenggong Kanang Anak Langkau yang telah berjuang menentang kezaliman dan mempertahankan kedaulatan negara. Pada mereka, individu yang sepatutnya disanjung adalah Chin Peng kerana jika PKM menang, PKM sepatutnya boleh menjadi seperti regim Khmer Rouge di Kemboja yang berterusan membunuh jutaan rakyatnya sendiri sementara Chin Peng pula bolehlah mewujudkan Dinasti Kim seperti Korea Utara di negara kita.


Sejarah kita terus dipesongkan dan akan terus diputarbelitkan kerana kita lalai dan leka. Bermula dengan media sosial, kemudian buku, dan terkini filem...



Wednesday, September 4, 2013

Perjuangan Sistem Republik Berpresiden?



Masyarakat Melayu-Islam di negara kita sememangnya bertuah kerana dikurniakan pelbagai nikmat yang jarang diperoleh atau tak mungkin dirasai oleh saudara-mara kita di negara lain. Tidak seperti pemuda Melayu di Vietnam dan Kemboja yang hanya mampu memandang sayu peta di pusat pelancongan yang menunjukkan satu masa dahulu mereka mempunyai sebuah negara sendiri bernama Champa di sepanjang pantai timur Indochina. Tidak seperti pakcik di selatan Thai yang terpaksa menggunakan nama Saibuding Doaloh agar berbau Thai walaupun nama Melayu sebenarnya adalah Saifuddin Abdullah. Tidak seperti tentera berketurunan Melayu dalam Angkatan Tentera Singapura (SAF) yang sampai mati pun tidak mungkin berpeluang merasa pangkat General berserta kuasa yang sebenarnya walaupun mereka lebih berkelayakan. Ataupun Melayu di Sumatera Utara yang kadangkala terasa dihimpit oleh suku Bumiputera yang lain terutamanya dalam bidang politik.

Malangnya, disebabkan berasa dalam zon selesalah menyebabkan kadang kala sebahagian daripada kita berasa leka dan terlupa bahawa semua nikmat yang diperolehi pada hari ini sebenarnya boleh hilang pada bila-bila masa. Mereka ini, yang berpelajaran dan berpendidikan tinggi termasuklah dalam bidang agama, kadang-kala bertindak memperjuangkan sesuatu yang sebenarnya boleh memberi kesan buruk kepada agama, bangsa dan negara mereka sendiri. Demi ego dengan merasakan diri sendiri kononnya seorang pejuang, mereka sanggup menggadaikan perkara-perkara yang menjadi tunjang kekuatan umat Islam di negara kita.

Ambil contoh pemuda bernama Wan Ji di atas yang dikatakan sebagai seorang ‘Ustaz’. Dia bercita-cita hendak menghapuskan institusi Sultan dan menggantikannya dengan Presiden iaitu apabila Malaysia menjadi sebuah Republik. Tak tahulah sama ada dia sedar atau tidak dengan apa yang diperkatakan dan dicita-citakannya itu. Benar, pada hari ini, kebanyakan masyarakat Melayu-Islam di negara kita tidak lagi melihat peranan Sultan sebagaimana di awal zaman pengembangan Islam. Tetapi adakah itu bermakna kita perlu menghapuskan terus institusi Sultan di negara kita? Mana-mana individu yang menjawat apa-apa jawatan sekalipun terdedah kepada kelemahan. Tidak kira lah Sultan, Perdana Menteri atau Menteri Besar. Jika seseorang individu yang memegang jawatan Mufti mempunyai kelemahan dan korup, adakah kita perlu bertindak menghapuskan terus jawatan Mufti atau institusi Jabatan Agama Islam di negara kita?

Kita boleh mengkritik individu terbabit, tetapi institusi Beraja di negara kita perlu terus dipertahankan kerana ianya adalah salah satu tonggak kekuatan Melayu iaitu selain daripada Bahasa Melayu dan hak keistimewaan Melayu. Tegaknya pemerintahan sesebuah negeri Melayu pada masa dahulu kerana adanya Raja yang memerintah. Disebabkan itulah, sehingga kini, perkataan ke-Raja-an terus digunakan sebagai terjemahan kepada ‘Government’ dan tidak terhad hanya kepada ‘Kingdom’.



Benarkah tanpa Raja Melayu sebagai simbol perpaduan, Bangsa Melayu tetap akan terus kekal bersatu? Well, lihatlah kepada perjuangan kemerdekaan oleh para pejuang Melayu di selatan Thai. Sampai sekarang masih gagal dan akan terus gagal kerana mereka berpecah belah sesama sendiri kepada PULO, PULO (Baru), BRN, BRN-Coordinate, Barisan Islam Pembangunan Pattani, Gerakan Mujahidin Pattani dan entah berapa puluh lagi kumpulan yang ada tanpa ada satu pun elemen atau tokoh yang dapat menyatukan mereka. Di selatan Mindanao pula, tumbangnya Kesultanan Maguindanao dan Kesultanan Sulu menyebabkan suku-suku Islam Moro berebut kuasa sesama mereka menerusi MNLF dan MILF. Jika penulis adalah seorang perisik asing yang berhasrat untuk meruntuhkan kekuatan Melayu Islam di negara kita, sudah pasti gerakan untuk menghapuskan institusi Beraja akan dijadikan agenda dan keutamaan. Kerana dengan hancurnya institusi Beraja di Malaysia, bermakna hancur jugalah sebahagian daripada kekuatan Melayu-Islam dan semakin mudahlah musuh untuk menguasai kita.

Jika Wan Ji diatas benar-benar seorang Ustaz, alangkah elok sekiranya beliau bercita-cita supaya institusi Sultan diperkukuhkan dengan melantik individu yang benar-benar berkelayakan dan memahami betapa beratnya amanah dan tanggungjawab jawatan tersebut di akhirat kelak, agar kemudian sistem Khilafah yang menyatukan pelbagai pemerintahan negeri-negeri Islam dapat diwujudkan kembali. Ini tidak, yang diperjuangkan adalah agar Malaysia menjadi negara Republik dengan sistem berPresiden, yang kedua-duanya adalah sebahagian daripada sistem demokrasi ciptaan dan rekaan Barat.

Adakah dengan tumbangnya institusi Sultan dan Malaysia menjadi sebuah negara Republik yang diketuai oleh Presiden, negara kita akan menjadi lebih baik? Syiar Islam akan lebih berkembang dan terpelihara? Lihat apa yang telah terjadi kepada Turki. Jatuhnya Sultan Abdul Hamid II bermakna jatuhnya juga sistem Khilafah yang terakhir di dunia. Dan kewujudan Republik Turki menyebabkan syiar Islam semakin tertindas dan bukannnya semakin berkembang terutamanya sewaktu era Kamal Ataturk. Itu pun nasib baiklah 75 peratus daripada penduduk Turki terdiri daripada Bangsa Turk dan Islam meliputi hampir 90 peratus penduduknya. Bandingkan dengan negara kita yang Melayu dan Bumiputera hanyalah berjumlah 60 peratus sementara Islam sekitar 55 peratus lebih sahaja. Bayangkan sekiranya dalam pilihanraya Presiden, kaum bukan Melayu-Islam bersatu untuk menyokong Presiden daripada golongan mereka sementara orang Melayu-Islam, ditolak golongan Mat Rempit, Mat Ganja, Bohsia, kaki disko, kaki enjoy dan lain-lain individu yang tidak ambil peduli dan tidak mendaftar sebagai pengundi, undi mereka berpecah pula kepada dua calon Presiden Melayu yang bertanding, seorang berpendidikan Barat sementara seorang lagi berpendidikan Timur Tengah. Maka atas dasar kesamarataan dan kesaksamaan sebagaimana sistem Republik berpresiden, jawatan Presiden pun jatuh ke tangan bukan Melayu-Islam iaitu berasaskan undi majoriti.

Maka ketika itu, mungkin ‘Ustaz’ Wan Ji akan terlonjak-lonjak keriangan kerana perjuangan Republik dan Presiden-nya telah tercapai dan berjaya.

Wednesday, February 27, 2013

Pejuang atau Pelingkup Islam?


Seorang rakan yang juga seorang pengkaji pernah memberitahu penulis, orang Melayu mudah lembut hati dan bersimpati kepada bangsa Asing (bukan Islam) yang menunjukkan minat terhadap Islam. Perkara itu tidaklah menghairankan kerana rata-ratanya orang Melayu sememangnya dikenali sebagai kaum yang mengutamakan agama. Malangnya, sesetengah pihak menggunakan aspek psikologi Melayu ini sebagai satu titik kelemahan dan senjata untuk mengugat kesucian Islam. Justeru itu, jangan dihairankan jika diteliti kepada sesetengah kes Melayu murtad (terutamanya di kalangan wanita) bermula dengan pasangan bukan Islamnya berpura-pura berminat untuk mengenali Islam sebelum meracuni kembali pemikiran pasangan Islamnya.

 
Dewasa ini juga, dapat kita lihat sesetengah politikus bukan Islam di hadapan hadirin beragama Islam, ghairah untuk menunjukkan kononnya mereka mesra-Islam. Maka sesetengah umat Melayu-Islam juga mudah terpesona apabila ada dikalangan politikus bukan-Islam ini dihadapan mereka ini tampil berbaju kurung dan berselendang, berbaju Melayu dan bersongkok, berceramah sambil memetik satu dua ayat Al-Quran (walaupun salah dan tunggang langgang), walaupun niat mereka sebenarnya hanya untuk memancing undi umat Islam semata-mata.


Kemuncaknya adalah apabila Lim Guan Eng secara terbuka menyatakan bahawa parti DAP pimpinannya turut memperjuangkan Islam di Negara ini, sedangkan hakikatnya, belum reda lagi isu dia mendesak supaya kalimah Allah dibenarkan untuk digunapakai dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu. Kepada Melayu-Islam yang terlalu lurus dan naïf, mereka boleh pula berbangga dengan saranan tersebut dan menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah salah satu kaedah untuk berdakwah kepada orang Kristian untuk mengenal tuhan yang sebenar. Kepada Melayu-Islam yang celik dan tidak terkongkong dengan politik kepartian sempit, mereka sedar bahawa tindakan tersebut merupakan satu jarum halus untuk mengelirukan orang Melayu-Islam dalam hal ketuhanan khususnya kepada anak-anak muda kita yang cetek pengetahuan agama.


Penulis tidak menafikan bahawa sememangnya umat Kristian terutamanya di Sabah telah lama menggunakan kalimah Allah dalam kitab Bible mereka, kerana penulis sendiri pernah tinggal di Malaysia timur (Sabah & Sarawak) untuk satu tempoh yang agak lama. Tetapi tidakkah para pembaca sekalian merasa pelik apabila parti chauvinis yang sering memperlekehkan dan mengabaikan kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan tiba-tiba sahaja beriya-iya mendesak supaya nama Allah dibenarkan dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu yang mereka sendiri tidak gunakan? Sedangkan para pemimpin politik Kristian dari Sabah dan Sarawak sendiri tidak mempolitikkan isu ini kerana ia telah diselesaikan secara berhemah demi menjaga keamanan Negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.


Kepara para pembaca Melayu-Islam yang terlalu 'sayangkan' DAP dan masih beriya-iya ingin mempertahankan mereka kononnya 'mesra Islam', cubalah teliti tindakan-tindakan anti-Islam mereka seperti di bawah ini setelah mendapat kuasa pasca PRU-12 sebelum ini :


1) Kerajaan DAP Pulau Pinang dikatakan cuba menghalang perarakan sambutan Maulidur Rasul di Pulau Pinang pada 13 Februari 2010 namun akhirnya dibatalkan setelah mendapat kecaman ramai.


2) Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP telah menyelar dan memarahi Nasruddin Hassan Tantawi, Ketua Pemuda PAS, kerana menggesa Pihak Berkuasa Agama di empat buah negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat untuk menguatkuasakan dan mengadakan operasi cegah khalwat dan zina sempena Hari Valentine pada 14 Februari.


3) Ronnie Liu Tian Khiew, EXCO DAP Selangor telah memarahi dan mengecam Dato’ Dr. Hassan Ali, EXO PAS Selangor dan mengarahkan supaya bekalan arak yang dirampas daripada Kedai 7-11 di Shah Alam, yang merupakan sebuah kawasan majoriti penduduk Melayu-Islam, dipulangkan semula.


4) Teresa Kok Suh Sim, EXCO DAP Selangor berdolak dalik tentang isu petisyen memperlahankan bunyi azan bagi surau di Puchong dengan akhirnya mengakui penduduk yang membantah tentang bunyi azan tersebut pernah menghantar salinan petisyen tersebut ke pejabatnya dan minta bekas pembantunya untuk "acknowledge receipt" dengan cop pejabatnya dalam surat mereka;


5) Teo Nee Ching, Ahli Parlimen Serdang dari DAP menghina rumah ibadat umat Islam apabila memasuki Surau Al-Huda di Kajang dengan memakai pakaian yang tidak menutup aurat dan menampakkan susuk badan serta memijak tempat sujud umat Islam untuk bersolat kepada Allah. Perkara ini telah mendatangkan murka Sultan Selangor sebagai pemimpin Islam negeri dan baginda telah memberi teguran.



6) David Nga Kor Ming, Ahli Parlimen Taiping dari DAP yang mengaku dirinya seorang Kristian mempermainkan kesucian Al-Quran dengan membaca Surah Al-Aura yang tidak pernah wujud di dalam al-Quran.


7) Jeff Ooi, Ahli Parlimen DAP Pulau Pinang merangkap Ketua Staf kepada Ketua Menteri Pulau Pinang disiarkan di dalam akhbar The Sunday STAR bertarikh 2 Ogos 2009 di mukasurat N.12 menuduh Mohd. Razali bin Abdullah, Ahli Majlis Kerajaan Tempatan Pulau Pinang daripada PKR sebagai "Muslim extremist" hanya kerana menjadi ahli Jemaah Islah Malaysia (JIM) yang merupakan sebuah NGO Islam. Jeff Ooi telah diarah membayar denda RM150,000 kepada Mohd. Razali Abdullah oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 23 Mei 2011 atas tuduhan tersebut termasuk mendakwa Mohd. Razali Abdullah sebagai “Mad Man”.


8) Jeff Ooi, Ahli Parlimen DAP Pulau Pinang menggelabah dan berdolak dalik dalam isu Majlis ikrar untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Negara dan melantik Perdana Menteri Malaysia dari kalangan Kristian. Dia kemudian mendesak seorang saksi ahli DAP beragama Islam, Mohamed Razali Abdul Rahman, yang turut berada dalam majlis tersebut supaya mendedahkan kandungan laporan polis yang telah dibuat. Mohamed Razali Abdul Rahman kemudian sekali lagi membuat laporan Polis apabila menerima ugutan yang mengancam nyawanya sebelum dipecat terus keanggotaannya tanpa bicara dari DAP.



9) Ronnie Liew, EXCO Kerajaan DAP Selangor telah membekukan arahan Majlis Daerah Kuala Selangor yang telah mengarahkan pasangan Muslim yang belum berkahwin supaya duduk berasingan di dalam pawagam.


10) James Ngeh Koo Ham dalam twitternya telah memperlekehkan umat Islam apabila menyatakan umat Islam telah membuang terlalu banyak masa dan tenaga untuk membantah penayangan filem yang menghina Islam oleh Sam Basile.


11) DAP Kedah menegaskan mereka akan menentang pelaksanaan Garis Panduan papan iklan yang ingin dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar antaranya menggunakan model berpakaian sopan dan bertudung jika beragama Islam.


Selepas ini, tidak mustahil mungkin DAP akan mengaku pula mempertahankan hak Istimewa orang Melayu dan memperjuangkan hak kaum-kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak! Maka pada waktu itu bolehlah para Melayu-Islam yang lurus bendul ini bersujud syukur beramai-ramai dan mendoakan lagi para pemimpin kuffar ini dalam khutbah Solat Jumaat mereka.