Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Monday, June 5, 2017

Mengapa Sekolah Satu Aliran Perlu Disokong

Akhbar China Press baru-baru ini mengeluarkan sebuah artikel menarik yang diterjemahkan oleh malaysianchinesenews.com sebagai ‘SingleStream Education Not The Key To Foster Unity’, atau dalam Bahasa Melayu bermaksud ‘Aliran Pendidikan Tunggal Bukan Kunci Untuk Menggalakkan Penyatuan’. Terdapat beberapa perkara yang ditimbulkan di dalam artikel berkenaan yang ingin diulas oleh penulis. Jadi disini penulis memohon keizinan untuk menjelaskan beberapa perkara seperti yang telah dibangkitkan di dalam artikel berkenaan.


1.    Bahasa Ibunda Masih Diajar di Sekolah Kebangsaan

China Press memulakan artikel tersebut dengan kata-kata “Accepting education in mother tongue is the fundamental human right”. Di negara ini, tiada siapa pun yang dihalang untuk menggunakan dan mempelajari bahasa ibunda masing-masing atau bahasa asing yang lain. Disebabkan itulah di Sekolah Kebangsaan, subjek bahasa tambahan seperti Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil sebagai Bahasa Komunikasi ditawarkan untuk diajar kepada para pelajar yang terlibat. Bahkan bahasa-bahasa suku kaum seperti Bahasa Iban dan Bahasa Kadazan-Dusun juga turut ditawarkan. Tambahan lagi, subjek-subjek bahasa tambahan ini turut ditawarkan untuk dinilai di dalam peperiksaan tahap tertinggi negara iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)! Jadi sekiranya Bahasa Ibunda bukan Melayu diajar di Sekolah Kebangsaan, apa lagi alasan untuk menolak Sekolah Kebangsaan?


2.    Precedent Case Berkenaan Status Sekolah Vernakular

China Press kemudiannya menambah “The right is also accorded under the Federal Constitution which cannot be shaken”. Jika kenyataan ini merujuk kepada status Sekolah Vernakular, pernyataan tersebut walau bagaimanapun boleh dipertikaikan dan jelas bertentangan dengan keputusan Mahkamah di dalam kes PP v Mark Koding yang telah memutuskan bahawa ‘there is nothing in proviso (a) to Article 152(1) (of the Federal Constitution) to justify the extension of the protection to the operation of schools where the medium of instruction is Chinese, Tamil, Arabic or English’ dan ‘accused is not guilty of sedition when he advocates for the closure of Tamil or Chinese schools’. Selain itu, keputusan kes Universiti Merdeka Berhad vs Kerajaan Malaysia, Mahkamah telah memutuskan “teaching in Chinese there would be using Chinese for an official purpose, and therefore it is not protected by the bracket words in proviso (a) of Article 150(1), and that on the contrary it would be prohibited”.


3.    Status Berbeza Sekolah Agama dengan Sekolah Vernakular

China Press menyatakan “However, on and off, there will be someone with ulterior motive to accuse vernacular education as the stumbling block to national unity.” Agaknya China Press terlupa untuk menegaskan bahawa terdapat juga pihak yang sering menuduh Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama sebagai penghalang perpaduan biarpun status Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama adalah jelas di sisi Perlembagaan Persekutuan. Mengapa hanya pendidikan vernakular sahaja yang dipertahankan? Bagaimana pula pandangan China Press berhubung kenyataan negatif mengenai Sekolah Agama oleh seorang Timbalan Presiden (bukan Melayu) sebuah parti politik yang kononnya berteraskan Malaysia pada awal tahun ini? Sedangkan berbeza dengan status Sekolah Vernakular, status Sekolah Agama jelas dilindungi di bawah Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan. Dan para pelajar hanya mengikuti sesi pembelajaran di Sekolah Agama setelah tamat sesi pembelajaran di Sekolah Kebangsaan dan bukannya menolak Sekolah Kebangsaan secara keseluruhan.  


4.    Silibus dan Peperiksaan Berbeza di Sekolah Vernakular

China Press menyatakan “For education to have its impact on national integration, it should be a common education content, common value and shared patriotism.” Masalahnya disini adalah, pengajaran yang di ajar di Sekolah Vernakular bukan sahaja berbeza bahasa pengantar, malahan silibusnya juga berbeza. Tambahan lagi para pelajarnya juga akan mengikuti peperiksaan tinggi yang juga berbeza dan terpisah dari peperiksaan awam negara iaitu Unified Certificate Exam (UCE). Jadi bagaimanakah integrasi nasional dapat dipupuk berdasarkan kesamaan kandungan pendidikan seperti yang dinyatakan oleh China Press?




5.    Tiada Sekolah Jenis Kebangsaan Untuk Kaum Bumiputera

China Press menyatakan lagi “The crux of national integration lies with whether the government is fair to all ethnic groups in its implementation of policies, respect and defend the basic rights of all ethnic groups.” Keadilan bagaimana pula yang dimahukan oleh China Press kepada semua kumpulan etnik? Di negara ini, tidak wujud permintaan dari kaum-kaum Bumiputera untuk mewujudkan pendidikan vernakular khas semata-mata untuk etnik masing-masing. Tidak wujud pun SJK(Orang Asli), tiada SJK(Iban), tiada SJK(Kadazan) dan sebagainya. Majoriti kaum-kaum bumiputera ini menyokong dan menghantar anak masing-masing ke Sekolah Kebangsaan. Bahkan tiada mana-mana kaum pun termasuklah bukan Bumiputera yang didiskriminasikan atau dihalang untuk belajar dan menuntut di Sekolah Kebangsaan. Justeru itu dengan pengorbanan mereka yang lebih toleran untuk menyokong Sekolah Kebangsaan berbanding mengutamakan etnik masing-masing, bukankah sewajarnya peruntukan untuk pendidikan perlu diutamakan kepada Sekolah Kebangsaan?


6.    Sekolah Kebangsaan Menggalakkan Integrasi, Bukannya Asimilasi

China Press menyatakan lagi “Instead of relying on assimilation policies to achieve national integration”. Penulis kira tuduhan berkenaan polisi asimilasi ini agak berat. Pernahkah dijumpai masyarakat Cina tempatan yang dihalang secara perundangan daripada menggunakan nama Cina dan bahasa ibundanya seperti yang pernah berlaku di Thailand dan Indonesia? Sedangkan di negara kita, kewujudan akhbar-akhbar, saluran radio dan televisyen berbahasa Cina dan Tamil yang cukup banyak sejak sekian lama membuktikan bahawa negara kita amat-amat bertoleransi dan tidak menekankan sebarang dasar paksaan asimilasi khususnya kepada masyarakat bukan Bumiputera.   


7.    Sekolah Kebangsaan Menggalakkan Interaksi Antara Kaum

China Press menyatakan lagi “In the 90s the Education Ministry implements student interaction unity project for schools of all streams to integrate through extra-curricular activities. This enhances understanding and interaction among students of all races.” Mungkin penulisnya terlupa, pada tahun 90an juga, Kerajaan cuba memperkenalkan konsep Sekolah Wawasan iaitu pengekalan tiga aliran sekolah yang berlainan tetapi berkongsi beberapa kemudahan dalam premis yang sama untuk menggalakkan interaksi antara pelajar berbilang kaum. Tetapi malangnya usaha murni ini pun gagal dan ditentang habis-habisan. Jadi penulis ingin bertanya sejauh manakah berjayanya proses interaksi antara pelajar yang berlainan kaum ini dapat dicapai sekiranya mereka hanya bertemu di dalam projek-projek tertentu? Adakah Sekolah Kebangsaan perlu dipersalahkan apabila jumlah pelajar Bumiputeranya menjadi dominan sedangkan kaum-kaum bukan Bumiputera sendiri enggan menghantar anak-anak mereka untuk belajar di sana?




8.    Tiada Sekolah Vernakular di Singapura


Untuk penutup, penulisnya menyatakan “Single stream education is an outdated concept without knowing the trend and development in the world”. Tokoh agung Singapura, mendiang Lee Kuan Yew pada awal pembentukan republik berkenaan dengan tegas telah bertindak untuk menutup sekolah-sekolah Cina dan Universiti Nanyang di sana dengan tujuan untuk menyatu-padukan rakyatnya di bawah satu sistem pendidikan tunggal agar dapat melahirkan masyarakatnya yang berfikir dan bertindak sebagai rakyat Singapura. Dan dasar berkenaan masih lagi berjalan dan diteruskan sehingga kini dan tidak dianggap sebagai ketinggalan zaman biarpun beliau telah beberapa tahun meninggal dunia. Ada apa-apa komen mengenai perkara ini?


No comments:

Post a Comment