Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Monday, August 7, 2017

Contohi Indonesia Dalam Mendaulatkan Bahasa Kebangsaan


Berdasarkan kepada Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara yang telah diadakan di Putrajaya pada hujung minggu lalu, salah satu isu yang dibincangkan adalah betapa Bahasa Kebangsaan kita telah gagal untuk menjadi medium perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara kita. Menurut Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong, bukti kegagalan itu ialah polarisasi kaum masih wujud secara nyata. Katanya, rata-rata pelajar di SJKC hanya fasih berbahasa Mandarin berbanding dengan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Jelas beliau lagi, pemerhatian mendapati negara yang membenarkan penggunaan satu bahasa sahaja sebagai bahasa utamanya lebih mudah mengurus perpaduan rakyatnya.

Penulis bersetuju penuh dengan apa yang dinyatakan oleh beliau. Tidak perlu untuk pergi jauh, lihat sahaja di seberang negara kita iaitu Indonesia. Indonesia mempunyai kepelbagaian kaum yang berkali-kali ganda berbanding dengan jumlah etnik yang ada di negara kita. Namun begitu, dalam hal perpaduan bangsa, terbukti Indonesia sepuluh langkah lebih maju berbanding negara kita apabila berjaya menjadikan Bahasa Indonesia sebagai elemen untuk mewujudkan dan menyatukan Bangsa Indonesia. Walaupun Bahasa Indonesia secara dasarnya merupakan bahasa suku minoriti Melayu di Sumatera, tetapi ia telah dipilih sebagai Bahasa Indonesia berdasarkan status bahasa berkenaan yang merupakan lingua-franca yang telah digunakan secara zaman berzaman dari Acheh hinggalah ke Maluku.

Walaupun dari segi pelaksanaan bahasa nasionalnya, Indonesia sering dikritik kerana dasar kerasnya yang mengharamkan penggunaan bahasa Mandarin terutamanya ketika era Orde Baru (di bawah mantan Presiden Soeharto), namun sekiranya diteliti kembali, bahasa Mandarin bukanlah bahasa ibunda (mother tongue) bagi majoriti etnik-etnik Cina di Asia Tenggara. Ini kerana etnik-etnik Cina di Asia Tenggara berasal dari wilayah-wilayah selatan tanah besar Cina seperti Fujian dan Guangdong yang bertutur dalam bahasa-bahasa mereka sendiri seperti Hokkien, Hakka, Teochew, Kantonis dan sebagainya. Bahkan tokoh agung Singapura, mendiang Lee Kuan Yew sendiri di dalam memoirnya mengakui bahawa bahasa Mandarin adalah terlalu asing bagi dirinya.



Bahasa Mandarin hanya menjadi bahasa rasmi bagi Republik Rakyat China dan Republik China (Taiwan) dan digunakan secara meluas di tanah besar China mulai awal abad ke-20 dan dipilih berdasarkan kepada dialek Beijing yang terletak di bahagian utara China. Berdasarkan sejarah pula, etnik-etnik Cina di wilayah selatan sukar untuk menumpahkan taat setia mereka kepada Maharaja China kerana pemerintah Dinasti Qing yang memerintah di bahagian utara adalah berketurunan Manchu (Jurchen) iaitu berbeza dengan mereka. Maka bukankah janggal apabila diaspora Cina di Malaysia pada hari ini tiba-tiba bersungguh-sungguh pula untuk mempelajari dan menguasai bahasa rasmi sebuah negara asing seperti Bahasa Mandarin yang bukan pun bahasa ibunda mereka tetapi pada masa yang sama mengabaikan dan tidak mampu untuk bertutur dalam bahasa kebangsaan?       

Bandingkan pula dengan situasi di Argentina sebagai contoh. Walaupun Argentina merupakan bekas tanah jajahan Sepanyol, tetapi hampir separuh daripada penduduknya mempunya darah keturunan Itali. Namun begitu, Bahasa Itali tidak pernah menjadi bahasa rasmi atau menggantikan kedudukan bahasa Sepanyol sebagai bahasa rasmi di Argentina. Ini kerana imigran-imigran Itali di Argentina datang dari pelbagai wilayah di Itali, dan mereka mempunyai bahasa-bahasa ibunda mereka yang tersendiri. Bahasa Itali standard pula hanya bermula selepas penyatuan Itali pada 1871 dan dipilih berdasarkan bahasa dialek Tuscan yang dituturkan di wilayah Florence. Bukan semula imigran di Itali di Argentina berasal dari Florence dan dialek Tuscan tidak semestinya bahasa ibunda mereka. Justeru itu, walaupun dialek Tuscan-Florentine telah diangkat menjadi bahasa Itali standard selepas penyatuan negara Itali, namun imigran Itali di Argentina telah memilih bahasa kebangsaan negara tersebut iaitu bahasa Sepanyol sebagai bahasa utama mereka. Sehingga kini, mereka tidak melihat sebarang keperluan pun untuk menjadikan bahasa Itali sebagai bahasa rasmi Argentina biarpun mereka sendiri berketurunan Itali!     


Justeru itu, bukankah Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan yang sewajarnya dimartabatkan sebagai bahasa pemersatu untuk semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum dan asal usul mereka?


Untuk yang berminat untuk mengikuti maklumat-maklumat ringkas di FB, boleh like dan follow page rasmi Ibnu Rusydi di bawah :



1 comment: