Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Tuesday, July 18, 2017

Siapa Pengasas Sebenar Kuala Lumpur?



Penulis baru selesai menghadiri satu forum yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, bertajuk “Apakah Kuala Lumpur Dibuka oleh Yap Ah Loy?”. Forum ini menampilkan dua tokoh terkemuka iaitu YBhg. Dato’ Ar. Haji Hajeedar Abdul Majid, Pengerusi Majlis Warisan Negara, dan YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Khoo Kay Kim, pakar rujuk bidang sejarah Negara. Di awal forum lagi, fasilitator telah mengingatkan bahawa forum ini diadakan bukan bertujuan untuk menafikan sumbangan mana-mana tokoh pun, tetapi sekadar membetulkan naratif pensejarahan negara.


Ulasan Khoo Kay Kim


Forum dimulakan dengan sesi pembentangan oleh Prof. Khoo yang menyatakan isu apakah Kuala Lumpur dibuka oleh Yap Ah Loy ini sepatutnya tidak berbangkit lagi. Prof. Khoo melontarkan satu soalan mudah untuk difikirkan, Yap Ah Loy adakah Kapitan Cina ketiga yang dilantik bagi Kuala Lumpur. Justeru adakah logik beliau yang mengasaskan pembukaan bandar berkenaan?

            Senarai Kapitan Cina Kuala Lumpur :
            1858 – 1861 Hiu Siew
            1862 – 1868 Liu Ngim Kong
            1868 – 1885 Yap Ah Loy
            1885 – 1889 Yap Ah Shak
            1889 – 1902 Yap Kuan Seng

Prof. Khoo menjelaskan bahawa Yap Ah Loy merupakan tokoh yang telah diarahkan oleh British untuk membina semula bangunan-bangunan di Kuala Lumpur yang telah terjejas akibat bencana kebakaran. Walau bagaimanapun, kaum Cina bukanlah golongan pertama yang membuka Kuala Lumpur. Golongan yang membuka Kuala Lumpur adalah kaum Mandailing dan Kerinchi. Ketua kaum Mandailing yang membuka Kuala Lumpur adalah Sutan Puasa dan beliau bertanggungjawab menjemput kaum Cina untuk datang melombong bijih timah di kawasan berkenaan.

Prof. Khoo kemudian menjelaskan dengan panjang lebar mengenai sejarah hubungan etnik dengan penekanan diberikan bahawa Malaya bererti ‘Land of The Malays’ dan orang-orang Melayu memanggil tanah semenanjung mereka ini sebagai ‘Tanah Melayu’. British mengakui kewujudan Negeri-negeri Melayu yang diperintah oleh Raja-rajanya dan British hanya bertindak sebagai penaung, bukan pemerintah. Jajahan British hanya merangkumi Negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Dinding, Melaka dan Singapura. Orang-orang Melayu secara automatik menjadi rakyat Raja di negeri masing-masing sementara masyarakat di Negeri-negeri Selat merupakan British subjects. Di dalam bancian yang dilakukan oleh British, orang Melayu dinyatakan sebagai The Malays sementara etnik-etnik Melayu anak Dagang yang lain seperti Jawa, Bugis, Boyan dan sebagainya dinyatakan sebagai other Malaysians. Masyarakat bukan Melayu yang berpindah ke Negeri-negeri Melayu adalah berstatus Stateless Citizen.

Berbalik kepada Kuala Lumpur, bandar ini dipilih sebagai Ibu negeri oleh British atas faktor geografi iaitu terletak di tengah-tengah antara dua pelabuhan utama milik British iaitu Pulau Pinang dan Singapura. Justeru itu, pembangunan pesat berlaku di Kuala Lumpur disebabkan British memberi tumpuan terhadap bandar berkenaan. Setiap kuala ada sungainya, dan sungai Lumpur sebenarnya merujuk kepada nama sebenar Sungai Gombak yang wujud pada hari ini.


Ulasan Hajeedar Abdul Majid


            Pembentangan diteruskan oleh Ar. Hajeedar yang juga merupakan anak jati Kuala Lumpur. Beliau menjelaskan bahawa penempatan telah mula diwujudkan di Kuala Lumpur oleh kaum Mandailing dan pentadbiran asas telah diperkenalkan oleh pemimpin mereka iaitu Sutan Naposo yang diberikan gelaran ‘Waris Negeri’ atau ‘Ketua Dagang’ oleh Sultan Selangor. Beliau juga dikenali sebagai Sutan Puasa Raja Iro Koling dan merupakan bangsawan Mandailing dari marga Lubis yang berasal dari Mandailing Julu, Sumatera. Kaum Mandailing banyak melakukan penghijrahan termasuk ke Tanah Melayu kesan daripada Perang Padri. Nama asal Kuala Lumpur adalah Muara Bustak yang bermaksud ‘muara berlumpur’ dalam Bahasa Mandailing. Perkembangan aktiviti melombong bijih timah di Kuala Lumpur telah menyebabkan Sutan Puasa menjemput Hiu Siew dari Lukut sebagai Kongsi dan turut melantiknya sebagai Kapitan Cina pertama bagi Kuala Lumpur. Liu Ngim Kong kemudian menggantikan Hiu Siew sebagai Kapitan Cina Kuala Lumpur yang kedua sebelum Yap Ah Loy, yang merupakan orang kanan Liu Ngim Kong, menjadi Kapitan Cina Kuala Lumpur yang ketiga.

           Pembangunan Kuala Lumpur turut melibatkan kaum Kerinchi menerusi pemimpinnya iaitu Haji Abdullah Hukum yang mengambil upah daripada Sutan Puasa dan bertanggungjawab membuka tanah dan membina terusan pengairan bagi tujuan pertanian. Beliau juga bertanggungjawab membuka perkampungan di Sungai Puteh yang kini dikenali sebagai Kampung Abdullah Hukum.

            Ar. Hajeedar memberikan penjelasan yang memuaskan bahawa polemik mengenai isu siapa pengasas sebenar Kuala Lumpur berlaku disebabkan oleh terjemahan bagi istilah ‘founder’ yang dibuat mengikut konteks Barat. Menurutnya, dalam konteks yang rumit dan kompleks, istilah berkenaan diutamakan oleh orang-orang berkepentingan untuk menjustifikasikan kuasa atau hak mereka dengan tidak mengambil kira adanya masyarakat dan tamadun tempatan dikawasan yang dikuasai. Beliau memberikan contoh berikut :

            Christopher Columbus – discoverer of America
            James Cook – founder of Australia
            Stanford Raffless – founder of Singapore
            Francis Light – founder of Penang

            Maka istilah yang sama telah digunakan oleh British untuk Yap Ah Loy, yang berasal dari Huizhou, Guangdong, dan merupakan Ketua Kongsi Hai San (Hakka) yang telah banyak terlibat dalam pembangunan semula Kuala Lumpur akibat daripada bencana seperti banjir dan kebakaran serta kesan dari perang saudara. 


Siapa Kaum Mandailing dan Kerinchi?

Usai forum, penulis kemudian membuat carian lanjut mengenai kaum Mandailing dan Kerinchi. Dengan merujuk maklumat yang diberikan oleh M. J. Melalatoa (1995) menyatakan bahawa suku Mandailing merupakan salah satu daripada sub-etnik kaum Batak dan wilayahnya kini termasuk dalam Kabupaten Tapanuli Selatan, Provinsi Sumatera Utara. Orang Mandailing memang banyak merantau berbanding dengan kelompok Batak di bahagian utara. Berbeza dengan etnik-etnik Batak di bahagian utara Tapanuli yang secara umumnya beragama Kristian, kaum Mandailing merupakan penganut Islam yang taat.

Bagi kaum Kerinchi pula, penulis membandingkan maklumat antara M. J. Melalatoa (1995) dengan Zulyani H. (1996) dan mendapati kaum Kerinchi berasal dari Kabupaten Kerinchi, Propinsi Jambi. Kebudayaan kaum ini banyak dipengaruhi oleh kaum Minangkabau, tetapi sistem pemerintahan tradisionalnya banyak dipengaruhi oleh kaum Melayu Jambi. Seperti kaum Melayu yang lain, kaum Kerinchi beragama Islam dan bahasanya dikenali sebagai bahasa Melayu Kerinchi.


Apa yang penulis dapat simpulkan dari forum ini, Kuala Lumpur telah diasaskan dan dibuka oleh Sutan Puasa, muktamad! Namun begitu, sumbangan Yap Ah Loy dalam membangunkan semula bandar berkenaan tidak boleh dinafikan. Seperti yang dinyatakan oleh ahli panel, pelbagai tokoh dari pelbagai kaum sebenarnya telah bersama-sama membangunkan Kuala Lumpur hingga menjadi sebuah kota metropolitan seperti yang kita ketahui pada hari ini.   


Bagi yang ingin mengikuti Ibnu Rusydi di Facebook, sila like link di bawah :

Ibnu Rusydi FB Page

No comments:

Post a Comment