Featured Post

Kenapa Singapura Lebih Maju?

Sudah beberapa hari berlalu sejak negara jiran kita iaitu Singapura menyambut Hari Kemerdekaannya yang ke-50 pada 9 Ogos yang lalu. Nam...

Monday, October 26, 2009

Sokong Kemerdekaan / Autonomi Kepada Patani Darul Makrif

Sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-15 yang diadakan di Hua Hin, Thailand, pada 26 Oktober 2009, Perdana Menteri kita, Y.A.B. Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak ketika ditemuramah oleh akhbar berbahasa Inggeris, Nation dan Bangkok Post, menyatakan tuntutan kemerdekaan oleh kumpulan pemisah di kawasan selatan Thailand adalah tidak wajar. Namun begitu, Thailand seharusnya menawarkan tahap tertentu autonomi kepada wilayah yang majoritinya didiami oleh orang Islam. Perdana Menteri berkata, tuntutan bagi mendapatkan kemerdekaan atau pemisahan tidak boleh diterima sama sekali.

Perdana Menteri berkata, beberapa bentuk autonomi tertentu boleh menjadi penyelesaian bagi menamatkan keganasan dan kerajaan Thailand boleh menawarkan kebebasan tertentu bagi penduduk di kawasan itu yang dirasakan amat penting buat penduduk tempatan, umpamanya pemilihan pemimpin tempatan, pekerjaan, agama dan pendidikan.
Penulis memahami kewajaran kenyataan tersebut dibuat memandangkan sebagai rakan dalam ASEAN, prinsip “tidak campur tangan” dalam urusan negara tetangga perlu sentiasa dipegang oleh pemerintah negara kita. Tetapi pada masa yang sama, kita juga merasa simpati di atas penindasan serta diskriminasi yang telah dialami oleh saudara mara kita yang sama-sama beragama Islam serta berketurunan Melayu di kawasan tersebut.

Walaubagaimanapun, penulis merasa sangsi sama ada pihak pemerintah Thailand bersedia untuk memberikan status autonomi kepada wilayah di selatan Thai ini, khususnya bagi kawasan yang merangkumi wilayah asal Kesultanan Melayu Patani. Malahan, keganasan dikawasan tersebut yang didakwa didalangi oleh kumpulan pemisah sebenarnya juga boleh dipertikaikan. Secara ringkasnya, kaum Melayu di selatan Thai menjadi mangsa permainan politik kumpulan-kumpulan di Thailand, terutamanya kumpulan Merah (pro-Thaksin) serta kumpulan kuning (pro-Abhisit). Kekalutan yang berlaku turut diambil kesempatan oleh golongan lain seperti pengedar dadah, tentera, politikus tempatan dan sebagainya demi kepentingan sendiri dengan menjadikan ‘kumpulan pemisah’ yang entah wujud atau tidak sebagai kambing hitam atas setiap insiden yang terjadi. Salah satu blog masyarakat Thai-Buddha di negara kita turut menyokong kemerdekaan wilayah selatan Thai jika itulah jalan terbaik untuk menamatkan tragedi kemanusiaan yang telah lama berlaku tanpa pembelaan sewajarnya. Sila layari http://sejarahnagarakedag.blogspot.com/2009/06/krisis-selatan-thailand-penyelesaiannya.html untuk bacaan lanjut.






Isu di selatan Thai sebenarnya tidak akan selesai jika pihak pemerintah Thailand masih berkeras dengan dasarnya selama ini. Pihak Thailand berpegang kepada dasar asimilasi daripada integrasi. Semenjak Kerajaan Sukhotai menyerang pusat pentadbiran Siam-Islam di Ayuthia dan menawan negeri-negeri Melayu di segenting Kra, dasar asimilasi telah dilaksanakan dengan menghakis identiti kemelayuan penduduk tempatan. Tindakan ini diperhebatkan lagi semasa era Phibun Songkram yang memperkenalkan Dasar Rattaniyom yang bertujuan untuk meng’Thai’kan semua suku kaum di sana, termasuklah Kaum Melayu yang ditukar menjadi ‘Thai Muslim’. Oleh yang demikian, janganlah dihairankan apabila kebanyakan kaum Melayu di segenting Kra (kecuali di wilayah Patani, Yala dan Narathiwat) pada hari ini kebanyakannya mempunyai nama berunsur Thai dan tidak lagi mampu bertutur dalam Bahasa Melayu. Hanya agama Islam sahaja yang menjadi petunjuk bahawa mereka mempunyai darah berketurunan Melayu. Penduduk Melayu di wilayah Bukit (Phuket), Phattalung (Bedelong), Satun (Setul), Songhkla (Singgora), Krabi (Ghraibi), Trang (Terang), Ranong (Rundung), Surattani/Chaiya (Cahaya) dan Ligor/Nakorn Sithammarat (Negara Sri Dharmaraja) kebanyakannya berasimilasi menjadi “Orang Thai yang beragama Islam”, sedangkan penduduk di wilayah Patani masih kuat dengan bahasa dan budaya Melayu mereka dan menolak proses asimilasi yang berbaur Thai.

Walaubagaimanapun, penulis tetap optimis pemerintah Thailand di bawah pentadbiran Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva akan memberi ruang dan kelonggaran terhadap cadangan yang diutarakan oleh Y.A.B. Perdana Menteri kita. Pihak Thailand boleh menjadikan Wilayah Autonomi Muslim Mindanau (ARMM) yang telah dibentuk oleh pemerintah Filipina hasil kerjasama dengan pejuang di wilayah terbabit untuk dijadikan contoh. Sebagai jalan penyelesaian, pemerintah Thailand boleh mencadangkan penubuhan sebuah Wilayah Autonomi Patani Darussalam yang merangkumi wilayah Satun (Setul), Patani, Yala (Jala), Narathiwat (Menara) serta empat buah daerah dalam wilayah Songkhla (Singgora) iaitu Thepha (Tiba), Chenak, Saba Yoi (Sebayu) dan Na Thawi (Nawi), yang merupakan wilayah yang dihuni majoriti masyarakat Melayu-Islam untuk disatukan dibawah satu bumbung. Berhubung dengan perkara pokok yang perlu diutamakan bagi penubuhan wilayah autonomi ini, tuntutan bekas pejuang Patani iaitu Allahyarham Haji Sulong Abdul Kadir (Nama Thai : Sulong Tohmeena) bolehlah kembali dijadikan rujukan iaitu :

i) Perlantikan seorang anak Melayu-Islam tempatan melalui pemilihan umum yang akan mengetuai keseluruhan empat wilayah di selatan Thai ini.
ii) 80% penjawat awam di wilayah ini mestilah dikalangan Melayu-Islam, sesuai dengan demografi kawasan ini.
iii) Bahasa Melayu dan Bahasa Thai sama-sama digunakan dan dijadikan bahasa rasmi.
iv) Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di sekolah-sekolah.
v) Semua hasil dan pendapatan yang diperolehi daripada wilayah ini perlu dibelanjakan bagi pembangunan wilayah ini sendiri.
vi) Pemerintah pusat perlu membenarkan penubuhan Majlis Agama Islam bagi menguatkuasakan undang-undang berdasarkan adat dan budaya tempatan dengan persetujuan pihak berkuasa.
vii) Pemerintah perlu mengasingkan Mahkamah Syariah daripada Mahkamah Sivil bagi membicarakan kes-kes yang berkaitan.


Sumber : http://patanibook.blogspot.com/
Buku Patani : Behind The Accidental Border, tulisan saudara Kijangmas Perkasa

1 comment:

  1. ..terima kasiih atas info yg diberikan...sangat2 membantu..moga mendapat rahmat dariNya atas p'kongsian ilmu...=)

    ReplyDelete