Featured Post

Kenapa Singapura Lebih Maju?

Sudah beberapa hari berlalu sejak negara jiran kita iaitu Singapura menyambut Hari Kemerdekaannya yang ke-50 pada 9 Ogos yang lalu. Nam...

Wednesday, March 9, 2011

Tamatnya Pewaris Terakhir Dinasti Brooke di Sarawak

Mungkin ramai yang tidak maklum, Rajah Muda Sarawak, Anthony Walter Dayrell Brooke, baru-baru ini telah pun meninggal dunia di Rumah Brooke, Wanganui, New Zealand pada 2 Mac 2011 yang lalu. Beliau berusia 98 tahun. Biarpun hanyalah Rajah Muda (setaraf dengan Tengku Mahkota), beliau sebenarnya pernah mentadbir Sarawak hampir setahun lamanya iaitu pada tahun 1939-1940 bagi memangku jawatan pakciknya, Rajah Charles Vyner Brooke yang juga Raja Sarawak terakhir ketika ketiadaannya.





Keunikan mengenai kisah seorang pedagang British yang akhirnya menjadi Raja di sebuah pulau di nusantara sememangnya amat menarik untuk diteliti. Penulis kadang kala terfikir bagaimana James Brooke boleh berjaya memperdaya dan meyakinkan Sultan Brunei untuk melantiknya sebagai pentadbir dan kemudiannya sebagai Raja di Sarawak (asalnya hanya seluas Bahagian Kuching sahaja). Sarawak asalnya diperintah oleh seorang Sultan Melayu Islam iaitu Sultan Tengah, tetapi selepas kemangkatannya, anak cucunya menjadi Sultan Sambas yang kini terletak di Kalimantan Barat sementara Sarawak kemudiannya ditadbir kembali oleh seorang Gabenor yang dilantik oleh Sultan Brunei. Sebelum digelar Bumi Kenyalang, negeri ini dikenali juga dengan gelaran Sarawak Darul Hana.



Lambang dan bendera Sarawak semasa era Dinasti Brooke


Apa yang menariknya, walaupun Sarawak ditadbir oleh ‘Orang Putih’, tetapi mereka turut mengadaptasi dan menggunapakai budaya dan adat istiadat Di Raja Melayu. Sebagai contoh, gelaran penuh untuk Rajah Brooke adalah dalam Bahasa Melayu iaitu Sri Paduka Duli Yang Maha Mulia Rajah Brooke Sarawak, sementara permaisurinya menggunakan gelaran Ranee. Pewaris takhta pula menggunakan gelaran Rajah Muda dan pasangannya Ranee Muda. Gelaran kebesaran untuk kerabat yang lain adalah Tuan Muda/Dayang Muda dan Tuan Bongsu/Dayang Bongsu. Anak perempuan Rajah Brooke kesemuanya memakai gelaran Dayang, sebagaimana gelaran anak perempuan golongan bangsawan Melayu Perabangan di negeri tersebut. Di dalam majlis-majlis rasmi di Eropah, permaisuri Rajah Brooke juga dengan bangganya memakai pakaian dan busana Melayu berbanding dengan pakaian Di Raja Eropah.



Dayang Muda Gladys Brooke @ Khairunnisa' binti Abdullah


Berbalik kepada kisah Rajah Muda Sarawak terakhir ini, jarang sekali buku-buku sejarah khususnya yang diterbitkan oleh pihak Barat memaparkan fakta bahawa ibu kepada Rajah Muda Anthony Brooke ini adalah seorang Muslimah. Ayah kepada Anthony Brooke, Tuan Muda Bertram Willes Dayrell Brooke merupakan adik kepada Rajah Charles Vyner Brooke, sementara isterinya pula (juga ibu kepada Anthony Brooke) bernama Gladys Palmer atau gelaran rasminya Dayang Muda Gladys Brooke. Dayang Muda Gladys Brooke ini kemudiannya telah memeluk Islam di sebuah masjid di Kotaraya Paris, Perancis, pada tahun 1939 dan kemudiannya turut menggunapakai nama Islamnya iaitu Khairunnisa’ binti Abdullah.

Rajah Charles Vyner Brooke mempunyai tiga anak perempuan dan berdasarkan tradisi Di Raja Melayu, takhta hanya boleh diwariskan kepada waris lelaki. Justeru itu, anak saudaranya iaitu Anthony Brooke yang merupakan Rajah Muda adalah pewaris kepada Kerajaan (Kingdom) Sarawak. Buku-buku sejarah di sekolah sering menyatakan bahawa Rajah Charles Vyner Brooke tidak mahu anak saudaranya, Anthony Brooke, mewarisi takhta Sarawak tanpa sebab yang jelas.



Rajah Charles Vyner Brooke bersama keluarga


Disinilah kadang kala penulis terfikir, adakah Rajah Sarawak khuatir jika satu-satunya Dinasti Eropah di bumi Nusantara ini akan menjadi sebuah Kesultanan Islam? Pada pandangan penulis, tidak mustahil jika ibu kepada Anthony Brooke ini boleh mempengaruhi anaknya untuk turut memeluk agama Islam, termasuk atas sebab pertimbangan politik, memandangkan kedudukan negeri Sarawak yang terletak di tengah-tengah Nusantara dan dikelilingi oleh berpuluh-puluh Kesultanan Melayu-Islam yang sedang dalam proses menuntut kemerdekaan. Mungkin ‘pengIslaman’ keluarga Di Raja Sarawak ini akan menjadi satu ‘penghinaan’ kepada pandangan sesetengah kerabat yang kuat dengan sentimen ‘White Man’s Burden’, iaitu apabila mereka memeluk agama yang menjadi pegangan sebahagian daripada rakyat yang dijajahnya.

Apa pun, andaian tetap satu andaian, yang tidak boleh diterima sebagai satu fakta, memandangkan penulis sendiri pun tidak pernah berbual atau berbincang dengan Rajah Muda Anthony Brooke mengenai perkara ini semasa hayatnya. Dan jelas bahawa beliau adalah seorang Kristian hingga ke akhir hayatnya. Pemerintahan Dinasti Brooke ini telah mewujudkan Negeri Sarawak yang luasnya sebagaimana yang kita lihat pada hari ini, sementara Bahasa Inggeris masih menjadi salah satu bahasa utama yang digunapakai terutamanya dalam pentadbiran Kerajaan Negeri.





Untuk artikel lain, lihat juga http://ibnurusydi.blogspot.com/2009/09/sultan-sarawak.html


Rujukan :

1) Jeffrey Finestone (2001) "Royal Families of South-East Asia" Shahindera Sdn Bhd

2) Bob Recce (2004) "The White Rajahs of Sarawak : A Borneo Dynasty" Archipelago Press

12 comments:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Buat apa kecoh? Jika anda faham & menghargai sejarah ada tdk akn berkata demikian. Penjajahan ada baik & burok nya. Sarawak rukun dan damai walau ada lebih 30 suku kaum krn penjajahan brooke. Krn mereka juga sarawakian lebih awal civilized dr negeri2 lain d malaysia. Saya anak sarawak dan saya bangga dgn sejarah sarawak.

      Delete
    2. Rajah Putih bukan penjajah. Mereka adalah pemerintah seperti mana Sultan yg dilantik memerintah Negerinya (Sarawak). Jadi tugas pemerintah menjaga rakyatnya dan berjiwa rakyat. Berbeza dgn Penjajah British. Jajah dan ambil hasil dan bawa balik..berbeza dgn Dinasti Rajah Brooke. Mereka bukan wakil Penjajah British.
      Dari Fahaman RAJA Sarawak inilah lanjutan rasa tidak puas hati Rosli Dhobi & rakan2 menentang penyerahan Sarawak kepada penjajahan British. Kerana mereka masih sayangkan pemerintahan Brooke yang menjaga Negara Sarawak dengan baik sebelum ini.

      Delete
    3. nampaknya ada orang lipas bodoh kat sini.. google pasal brooke, pastu menghina pulak. dah bodoh tu memang tak kemana...

      Delete
    4. bodoh kau tu jgn bagi nampak sangat..statement ntah apa2...

      Delete
  2. Maklumat yang sangat menarik... terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Sekadar berkongsi ilmu dan rasa buat sesama.

    ReplyDelete
  4. terima atas maklumat dan kalu ada maklumat mengenai era tahun 1940 sehingga 1945 semasa pemerintahan jepun dan mengenai pegawai british diketuai oleh Andrew Macpherson melarikan diri ke Indonesia melalui marudi dan di bunuh oleh tentera jepun serta nama yang terlibat saya amat alu alukanTERIMA KASIH

    ReplyDelete
  5. Anon 955am adalah satu manusia yang paling bodoh dalam dunia. Kenapa? Menolak ilmu free yang di beri free oleh blog ini.

    ReplyDelete
  6. Terima kasih atas ilmu ini.

    http://www.facebook.com/Fakulti.Sejarah.Sarawak

    ReplyDelete