Featured Post

Peringatan Kepada Laman OhMyMedia dan Page-page Hiburan Kaki Copy Paste

Ketika penulis memulakan penulisan di blog kira-kira sembilan tahun yang lalu, ada tiga (3) niat utama yang terlintas di fikiran pen...

Monday, December 4, 2017

Catatan Perjalanan : France

Menara Eiffel Tower, Paris

Setelah sehari di Belgium, keesokan harinya penulis bertolak ke Paris, France, juga menerusi perkhidmatan Thalys Train dari Brussels, Belgium. Paris seperti diketahui amat terkenal sebagai sebuah ibukota romantis menerusi simbolnya yang terkenal di serata dunia iaitu Eiffel Tower. Ketibaan penulis tiba France bermula di Stesen Gare Du Nord. Agak mengejutkan apabila melihat wajah pelbagai bangsa di stesen berkenaan, terutamanya masyarakat berkulit hitam yang agak ramai di sana.

Salah satu perkara yang perlu diberikan perhatian di kota ini adalah hal keselamatan, khususnya jika anda hadir berseorangan. Selalunya anda akan menjadi sasaran dengan ditegur oleh seseorang dengan sapaan “excuse me” atau “Hello, English sir?”, seolah-olah ingin bertanyakan sesuatu atau untuk mengisi kertas oleh seseorang yang tidak dikenali. Jika dilayan, dalam sekelip mata tiba-tiba anda akan dikerumuni oleh sekumpulan orang dan tanpa disedari, beg atau barang-barang berharga anda boleh hilang dalam sekelip mata tanpa anda mampu mengenalpasti siapa yang mengambilnya.

Berdasarkan wajah mereka yang tidak terlalu Caucasian, penulis merasakan golongan ini mungkin merupakan pendatang tanpa izin yang berada di kota ini tetapi terpaksa melakukan jenayah tersebut demi kelansungan hidup. Seperti di Britain, isu kedatangan pendatang yang tidak terkawal hingga mengubah landskap wajah Paris dan France menjadi negatif ini merupakan salah satu hujah yang digunakan oleh pihak-pihak tertentu yang menginginkan agar France menuruti jejak langkah Britain dengan keluar dari Kesatuan Eropah (EU).

Arc De Triomphe

Selain masalah jenayah seperti di atas, satu lagi masalah yang dihadapi oleh penulis adalah untuk berkomunikasi dengan masyarakatnya. Sesetengah masyarakatnya mempunyai persepsi yang tinggi terhadap bahasa ibunda mereka (Bahasa Perancis) dan tidak akan melayan sekiranya anda bertutur dalam bahasa Inggeris. Jadi apa yang harus dilakukan sekiranya mengalami situasi seperti ini? Maka bercakaplah dalam bahasa ibunda anda sendiri. Jika Melayu, ucapkan ‘Bonjour!’ terlebih dahulu dan kemudian bertanyalah dalam Bahasa Melayu, jika pandai ngomong Jawa, maka bercakaplah bahasa Jawa. Kebiasaannya, selepas itu baru mereka akan membalas dan bertanya kembali dalam bahasa Inggeris kepada anda.



Bercerita mengenai bahasa, walaupun France tidak pernah menjajah negara kita, namun mereka tetap terkait dengan sejarah di semenanjung yang mungkin tidak diketahui umum. Menurut Claude Guillot, sewaktu Phya Thaksin merampas kuasa di Siam pada tahun 1799, sekumpulan missionari Kristian berbangsa Perancis terpaksa melarikan diri ke semenanjung dan mereka kemudian telah dijemput oleh Francis Light untuk tinggal di Pulau Pinang, sebuah pulau yang dirampas dari Kesultanan Kedah secara tipu muslihat. Di sana, mereka memulakan perancangan untuk menyebarkan dakyah Kristian di kalangan masyarakat tempatan. Salah satu usaha yang cuba dilakukan adalah dengan menerbitkan bahan-bahan bacaan Kristian dalam bahasa Melayu.

Kumpulan missionari Kristian berbangsa Perancis ini telah berusaha untuk mempelajari Bahasa Melayu serta menerbitkan kamus bagi memudahkan dakyah mereka. Apa yang menarik, menerusi kajian surat-menyurat yang dikirimkan ke Paris, para missionari ini mengakui kelebihan dan kepentingan bahasa Melayu sebagai lingua-franca di rantau Nusantara serta mudah untuk dipelajari berbanding dengan bahasa Latin. Kamus Melayu-Perancis yang bermutu akhirnya dapat juga dihasilkan tetapi agak lewat iaitu pada tahun 1875 oleh Pierre Favre, seorang Profesor yang juga bekas missionari Kristian.

Louvre Museum

Misi utama penulis di kota Paris ini pada asalnya adalah untuk meninjau artifak-artifak dari Nusantara yang mungkin tersimpan di Louvre Museum, muzium yang terkenal kerana menempatkan lukisan Monalisa serta antara yang terbesar. Namun atas sebab-sebab tertentu, hasrat tersebut terpaksa dibatalkan dan penulis kemudian mengubah haluan menuju ke Grand Mosque Paris.

France merupakan negara terakhir di Eropah dalam rangka lawatan penulis pada kali ini. Penulis kemudian menaiki Eurostar Train untuk kembali ke London untuk pulang semula ke tanahair menerusi penerbangan MAS di Lapangan Terbang Heathrow. Sesungguhnya benua Eropah ini sebenarnya menyimpan banyak bahan-bahan khazanah sejarah negara dan Nusantara yang masih boleh digali dengan mendalam. Namun kekangan masa dan kos banyak membantutkan hasrat penulis.  


Untuk catatan bergambar di Masjid Agung Paris, sila rujuk pautan di FB :

Grand Mosque of Paris


Akan datang, Catatan Perjalanan : Thailand 


No comments:

Post a Comment